Manchester United berjaya mengatasi saingan sengit Liverpool untuk kembali menerajui takhta liga selepas mencatat kemenangan 2-1 di Old Trafford sebentar tadi. Gol kemenangan United dijaringkan pemain antarabangsa Korea Selatan, Park Ji Sung berjaya membawa United meraih mata berharga ke atas musuh tradisi mereka itu. Ini juga merupakan kemenangan pertama United ke atas Liverpool dalam empat pertemuan terakhir mereka sekaligus menebus kehampaan musim lalu selepas mereka tewas kepada The Reds 1-4 digelanggang yang sama. Diawal perlawanan, skuad bimbingan Rafael Benitez tampak akan mengulangi rentetan kemenangan mereka ke atas United selepas Fernando Torres menanduk masuk gol pendahuluan diminit ke 6. Bagaimanapun United tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Wayne Rooney diminit ke 11. Pengadil, Howard Webb tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti itu selepas Luis Antonio Valencia dikasari Javier Mascherano di dalam kawasan penalti. Mascherano turut bernasib baik apabila Webb sekadar melayangkan kad kuning kerana kekasaran itu biarpun pada awalnya tampak dia akan diperintah keluar padang. Kedudukan kekal terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Di separuh masa kedua, United menguasai permainan dengan lawan tampak tertekan dan dipaksa bertahan di kawasan sendiri. Walau bagaimanapun United gagal mencipta sebarang peluang terbaik untuk menambah gol dengan kedua-dua pasukan bermain secara berhati-hati. Selepas lebih banyak menguasai permainan, United akhirnya memperolehi gol yang dicari-cari diminit ke 60 apabila Ji-Sung berjaya menanduk masuk hantaran Darren Fletcher dari sebelah kanan. Selepas gol itu, tempo permainan menjadi agak keras dan lawan membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Alberto Aquilani dan Ryan Babel bagi memberi suntikan baru kepada barisan tengah dan serangan mereka. Untuk seketika, kehadiran Aquilani dan Babel berjaya mengubah tempo permainan lawan tetapi benteng United yang diterajui Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic ternyata terlalu ampuh untuk ditembusi. Liverpool memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan diminit ke 89 melalui pemain gantian mereka, Yossi Benayoun tetapi tandukan lemah pemain antarabangsa Israel itu terus kedakapan Edwin Van der Sar. Tambahan masa selama 5 minit yang diberikan pegawai perlawanan tidak cukup bagi Liverpool untuk mencari gol penyamaan dan kekalahan ini mengancam peluang mereka untuk mencuri slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan