28 Mac 2010

UNITED KEKAL DI KEDUDUKAN TERATAS

Jlloyd Samuel of Bolton Wanderers scores an own goal
Manchester United kembali merampas kedudukan teratas liga dari Chelsea selepas membenam cabaran sengit Bolton Wanderers di Stadium Reebok awal pagi tadi. United mengumpul 72 mata, satu mata mengatasi pesaing terdekat mereka itu yang turut mencipta kemenangan ke atas Aston Villa di Stamford Bridge. Seperti yang dijangka, Ferguson merehatkan Wayne Rooney dalam perlawanan ini bagi memberi ruang buat ayam tambatannya itu cergas sepenuhnya menjelang pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara dengan Bayern Munich Rabu ini. Tanpa kelibat Rooney, Dimitar Berbatov diletakkan sebagai penggempur tunggal sambil dibantu Ryan Giggs, Darren Fletcher dan Nani di belakang. United menghadapi sedikit kesulitan menembusi benteng lawan di awal permainan akibat corak permainan fizikal yang diterap skuad The Trotters itu. Walau bagaimanapun gawang tuan rumah yang dikawal Jussi Jaaskelainen akhirnya berjaya ditembusi diminit ke 38 hasil gerakan dari sebelah kiri Ryan Giggs. Hantaran lintang Giggs di hadapan pintu gol yang cuba dikeluarkan Jlloyd Samuel akhirnya menyaksikan pemain pertahanan itu tertolak ke gawang sendiri.

Nani of Manchester United battles for the ball with Sam Ricketts  of Bolton Wanderers
Memulakan aksi di babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan ke kubu United bagi mencari gol penyamaan. Walaupun ditekan hebat, benteng United yang diketuai Nemanja Vidic kental menangani ancaman penggempur lawan terutamanya melalui penyerang antarabangsa Sweden, Johan Elmander. Barisan United akhirnya berjaya mengendurkan asakan tuan rumah apabila mereka berjaya menambah gol kedua menerusi jaringan Berbatov diminit ke 69. Gol itu berpunca apabila rembatan Fletcher dari jarak 20 meter yang gagal ditangkap kemas Jaaskelainen dan bola yang muntah berjaya dimanfaatkan Berbatov untuk meletakkan United selesa di hadapan. Gol kedua itu ternyata menyentap semangat tuan rumah dan sepuluh minit kemudian, Berbatov sekali lagi menemui sasaran apabila menyempurnakan gerakan menarik Nani dari sebelah kiri. Nani sekali lagi menjadi ilham kepada gol keempat United apabila melakukan gerakan yang hampir sama dari sebelah kiri. Sayap antarabangsa Portugal itu berjaya memperdayakan Samuel Rickett sebelum melakukan hantaran yang disempurnakan pemain gantian Darron Gibson diminit ke 82.

Lain-lain Keputusan Perlawanan:

Chelsea (7) - Aston Villa (1)
Birmingham City (1) - Arsenal (1)
Hull City (2) - Fulham (0)
Tottenham (2) - Portsmouth (0)
West Ham (0) - Stoke City (1)
Wolverhampton (0) - Everton (0)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan