Penggempur Manchester United, Wayne Rooney kemungkinan besar akan direhatkan dari aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini. United akan menentang Bolton Wanderers di Stadium Reebok dan pastinya akan berusaha mempertahankan kelebihan mereka di tangga teratas biarpun tanpa kelibat Rooney. Langkah merehatkan Rooney terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kecederaan lebih serius selepas penyerang England itu dilihat berjalan terhencut-hencut sebaik tamat perlawanan menentang Liverpool di Old Trafford, Ahad lalu. Pasukan perubatan United pada mulanya menjangka kecederaan lutut yang dialami Rooney ketika mewakili England bulan lalu kembali menghantui penyerang itu. Walau bagaimanapun pemeriksaan susulan mendapati tiada masalah serius pada lutut Rooney tetapi Sir Alex Ferguson dijangka merehatkan ayam tambatannya itu hujung minggu ini bagi memberikan tumpuan kepada aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada 31 Mac dan aksi penting Liga Perdana menentang Chelsea pada 3 April nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan