Bayern Munich bangkit dari ketinggalan di babak pertama untuk menewaskan Manchester United menerusi dua gol lewat dari Franck Ribery dan Ivica Olic dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi tadi. Kemenangan ini bagaimanapun bukanlah bekalan selesa buat gergasi Jerman itu yang akan bertandang ke Old Trafford 8 April nanti. United bagaimanapun mengejutkan tuan rumah menerusi gol Wayne Rooney yang memanfaatkan sepakan percuma Nani dari sebelah kanan untuk menewaskan Hans Jorg Butt. Rooney yang berjaya melepasi kawalan Martin Demichelis mudah menolak masuk bagi meletakkan United di depan diminit ke 2. Gol awal itu nyata mengejutkan tuan rumah yang kemudiannya menguasai perlawanan dengan melancarkan gerakan-gerakan ke kawasan United. Mereka memperolehi peluang terbaik menyamakan kedudukan menerusi tandukan Demichelis diminit ke 12 tetapi sedikit tersasar dari pintu gol. Selepas itu, bola lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang dengan tuan rumah kerap melancarkan serangan menerusi hantaran-hantaran lintang dan percubaan jarak jauh. Walaupun menguasai permainan Bayern masih gagal menembusi benteng United yang diterajui Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic selain dihampakan ketangkasan Edwin Van der Sar.
Diminit ke 72, tuan rumah sekali lagi menguji kekebalan gawang United menerusi percubaan Ivica Olic tetapi berjaya ditepis keluar Van der Sar. Kesabaran tuan rumah akhirnya berhasil selepas memanfaatkan kesilapan Gary Neville yang memegang bola di luar kotak penalti. Sepakan percuma Franck Ribery yang terkena benteng mengelirukan Van der Sar untuk Bayern mengikat kedudukan diminit ke 76. Enam minit kemudian, Nemanja Vidic hampir meletakkan United kembali di depan tetapi tandukannya dari sepakan sudut Ryan Giggs sekadar singgah di palang gol. Olic akhirnya muncul wira Bayern melalui gerakan menariknya yang menewaskan tiga pemain United sebelum mudah menolak masuk menewaskan Van der Sar dimasa kecederaan. Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya bermain di bawah keupayaan sebenar dalam perlawanan ini namun pengendali dari Scotland itu berjanji United akan bangkit dalam perlawanan kedua di Old Trafford nanti. "Kami tidak bermain dengan baik dan kerap kehilangan bola. Mereka kerap menekan kami dan saya sedikit kecewa dengan gol kemenangan lawan diminit-minit akhir", ujar Ferguson. "Namun perlawanan kedua di Old Trafford nanti akan berbeza dan kami akan tampil lebih baik. Tiada keraguan tentang perkara itu. Kami memiliki gol di tempat lawan dan itu adalah sesuatu yang bagus", tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan