15 Mac 2010

DENDAM BERBALAS, UNITED KEMBALI KE PUNCAK

Wayne Rooney of Manchester United celebrates scoring
Penyerang prolifik Manchester United, Wayne Rooney menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menang 3-0 ke atas Fulham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam. Satu lagi gol Red Devils disumbangkan oleh Dimitar Berbatov di penghujung permainan. United yang tewas kepada Fulham di Craven Cottage tahun lalu berjaya membalas semula kekalahan mereka dan menambah luka kepada anak-anak buah Roy Hodgson yang sebekumnya tewas 1-3 kepada Juventus dalam kempen Liga Europa. Kemenangan ini juga berjaya melonjakkan United kembali di kedudukan teratas liga dengan kelebihan dua mata dari saingan terdekat mereka, Chelsea dan Arsenal. Sir Alex Ferguson menurunkan hampir keseluruhan skuad yang sama ketika membelasah AC Milan tempohari dan menguasai permainan sejak wisel permulaan ditiupkan. Walau bagaimanapun corak permainan berdisiplin pelawat menyukarkan United menembusi gawang lawan yang dikawal Mark Schwarzer. Corak permainan bertahan lawan yang sesekali cuba melakukan serang balas pantas memaksa anak-anak buah Ferguson bersabar ketika melakukan setiap gerakan. United memperolehi peluang terbaik melalui Dimitar Berbatov diminit ke 24, tetapi tandukan penyerang Bulgaria itu melambung tinggi biarpun hanya berdepan dengan Schwarzer di hadapan gawang. Enam minit kemudian giliran Rooney pula mencemaskan benteng pelawat tetapi rembatannya dari luar kotak penalti tersasar sedikit ke sebelah kanan gawang. Fulham yang banyak bergantung kepada Bobby Zamora dilihat begitu sukar menembusi benteng United dan lebih banyak menumpukan perhatian di kawasan mereka sendiri untuk memaksa tuan rumah berkongsi kedudukan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Dimitar Berbatov of Manchester United holds off Chris Baird of  Fulham
Memasuki babak kedua permainan, United tidak perlu menunggu lama apabila Rooney mudah memanfaatkan hantaran Nani dari sebelah kiri untuk meletakkan United mendahului diminit ke 46. Gol pendahuluan itu akhirnya membuatkan Fulham kembali membuka permainan dengan melakukan hantaran-hantaran jauh yang ditujukan kepada Zamora. Perubahan taktikal pelawat membuat United mengendurkan sedikit tekanan dan memberikan tumpuan kepada benteng mereka yang diterajui Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand. Diminit ke 54, United memperolehi peluang terbaik untuk menambah gol dalam situasi kelam kabut dihadapan gawang tetapi rembatan Rooney berjaya ditampan pertahanan lawan. Ketika United leka menekan pelawat, gawang mereka nyaris bocor hasil serang balas pantas lawan diminit ke 75 melalui Zamora. Walau bagaimanapun rembatannya berjaya dihalang oleh tindakbalas hebat Nemanja Vidic. Berbatov sekali lagi terlepas peluang menjaringkan gol diminit ke 76 apabila dia yang menerima hantaran lambung Park Ji-Sung sekadar melihat tandukannya tersasar lagi. Selang enam minit kemudian, United kembali mencemaskan benteng pelawat menerusi gerakan Darren Fletcher tetapi percubaan pemain tengah Scotland itu berjaya ditampan keluar Schwarzer. United akhirnya memperolehi gol kedua mereka diminit ke 84 sekaligus menutup terus cabaran pelawat. Gol berpunca dari gerakan menarik Berbatov dari sebelah kanan yang kemudiannya berjaya disudahkan Rooney untuk meletakkan United selesa di hadapan. Ketika semangat melawan pelawat semakin luntur, Berbatov akhirnya menemui sasaran diminit ke 89 selepas berjaya memanfaatkan hantaran Ji-Sung untuk mudah menanduk masuk gol ketiga United.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan