02 April 2014

MENGHARAPKAN ADA KEJUTAN DAN KEAJAIBAN DI ALLIANZ ARENA

“Manchester United adalah kelab besar tetapi Bayern Munich adalah fenomena”, itulah perkataan yang keluar dari mulut Arjen Robben sebelum berlangsungnya perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi tadi. Saya terpukau dengan corak permainan Bayern terutamanya menerusi hantaran-hantaran pendek yang cukup kemas dilakukan sesama pemain mereka, maka atas sebab itulah saya bersetuju dengan kata-kata Robben bahawa Bayern memang satu fenomena. Dalam situasi United sekarang, keputusan seri ketika menentang kelab yang dilabel sebagai terbaik di dunia itu saya anggap satu keputusan yang bagus dan jauh lebih baik berbanding jika kita tewas. Keputusan seri yang dicapai awal pagi tadi juga membuktikan bahawa musim buat Manchester United belum berakhir dan kita sekurang-kurangnya masih boleh berharap agar anak-anak buah David Moyes mampu melakukan sesuatu ketika berkunjung di Allianz Arena nanti. Robben mengatakan bahawa beliau berpuashati walaupun sekadar mencatat keputusan seri tetapi reaksinya selepas perlawanan jelas menunjukkan sebaliknya. Jika Robben kecewa, saya faham mengapa beliau berperasaan sebegitu kerana sebelum perlawanan Bayern digembar-gemburkan tiada masalah untuk menewaskan United di Old Trafford. Memang benar mereka berjaya menjaringkan gol penting di tempat lawan menerusi Bastian Schweinsteiger, tetapi keputusan seri ini sebenarnya menyebabkan aksi kedua nanti masih terbuka. Apa sahaja boleh berlaku di Allianz Arena nanti walaupun Bayern memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

Tidak mustahil United juga mampu menjaringkan gol di sana dan jika itu berlaku, Bayern sebenarnya berdepan situasi bahaya. Mujur juga buat mereka kerana Danny Welbeck terlepas peluang keemasan di babak pertama selain jaringannya turut dibatalkan, jika tidak sudah tentu situasi pada perlawanan kedua nanti mungkin sedikit berubah. Paling menarik apabila melihat reaksi Pep Guardiola selepas berakhirnya 90 minit permainan dan kata-katanya bahawa United adalah ancaman buat pasukannya. Adakah reaksi Guardiola itu satu daripada tanda-tanda bahawa gergasi Bundesliga itu mula dilanda kebimbangan menjelang aksi kedua di gelanggang sendiri nanti? Jika benar mereka bimbang, kebimbangan itu ada asasnya kerana saya percaya kunjungan mereka ke Old Trafford kali ini berbekalkan keyakinan cukup tinggi disebabkan prestasi United sendiri yang tidak menentu selain status mereka selaku juara bertahan dan juara kelab dunia. Keseluruhannya inilah aksi terbaik yang dipamerkan anak-anak buah Moyes dalam tempoh beberapa bulan terakhir, malah saya anggap lebih baik berbanding ketika mereka memadam defisit dua gol milik Olympiacos 20 Mac lalu. Bagaimanapun saya amat tertarik dengan persembahan yang dipamerkan benteng pertahanan United terutamanya prestasi yang ditunjukkan dua veteran kita, Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand. Pada usia sekarang, Ferdinand tidak sepantas dulu dan mustahil untuk beliau beraksi setiap minggu tetapi apabila tiba perlawanan besar seperti ini, pengaruh serta pengalaman yang dimiliki beliau amat diperlukan. Komitmen Vidic pula tidak perlu kita ragui walaupun sudah sah beliau akan meninggalkan kelab hujung musim ini.

Permainan yang ditunjukkan Vidic seolah-olah tidak langsung menggambarkan bahawa ini adalah musim terakhirnya di Old Trafford. Gol hasil tandukan menerusi situasi bola mati yang dijaringkannya diminit ke-58 itu adalah 'makanan' beliau dan sudah tentu selepas ini saya akan merindui aksi-aksi seperti itu dari captain marvel ini. Perlawanan awal pagi tadi bukanlah yang paling menarik terutamanya selepas melihat dominasi total Bayern dari segi penguasaan bola (70%) tetapi seperti yang saya pernah sebutkan dalam artikel sebelum ini, dalam keadaan sekarang tolak ketepi permainan 'cantik' kerana apa yang penting adalah keputusan di akhir perlawanan. United tidak menewaskan Bayern tetapi sekurang-kurangnya menerusi permainan sebegini kita tidak menyaksikan lagi berulangnya kekalahan besar seperti yang dialami ketika tewas kepada Liverpool dan Manchester City.  Seluruh pasukan patut diberikan pujian atas keputusan yang dicapai awal pagi tadi tetapi posisi paling mencuri tumpuan saya sudah tentu benteng pertahanan. “Kagum”, hanya itulah perkataan yang saya boleh berikan kepada back four United yang ditunjangi Vidic dan Ferdinand, manakala persembahan Alexander Buttner selaku pengganti Patrice Evra dalam menutup ruang buat Robben dan Phil Jones pula yang ditugaskan merantai pergerakan Franck Ribery tidak mengecewakan. Pep Guardiola mengakui strategi permainan yang dilakar Moyes menyukarkan barisan hadapannya ketika melakukan gerakan dan beliau berharap sebelum 10 April nanti beliau sudah menemui jawapan bagaimana caranya mahu menembusi benteng pertahanan United.

Sebelum sekali lagi berdepan Bayern, United ada perlawanan liga yang akan mereka harungi iaitu menentang Newcastle United di gelanggang lawan. Prestasi The Magpies diakui tidak begitu baik pada dua aksi terakhir mereka apabila tewas kedua-dua perlawanan termasuk diaibkan Southampton (0-4) ketika bermain di gelanggang sendiri minggu lalu. Bagaimanapun St James Park tetap bukan gelanggang yang mudah dan saya kira inilah medan pemanas badan terbaik sebelum barisan kendalian Moyes berlepas ke kota Munich. Persoalannya sekarang mampukah prestasi baik yang dipamerkan awal pagi tadi diteruskan pula hujung minggu ini? Konsistensi adalah antara musuh utama United sejak di bawah kendalian Moyes dan kerana ketidakmampuan mengekalkan prestasi baik setiap minggulah menyebabkan kelab kini berada di tangga ketujuh liga. Kejayaan mengikat Bayern awal pagi tadi sepatutnya tidak 'dirayakan' terlalu lama kerana United belum pun lagi layak ke separuh akhir. Sudah tentu cabaran selama 90 minit yang menanti di Allianz Arena minggu hadapan jauh lebih mencabar dan bakal menguji sejauh mana karakter sebenar barisan The Red Devils dalam situasi genting seperti ini. Allianz Arena adalah cabaran terbaik buat United dan jika anak-anak buah Moyes berjaya mengatasinya, saya percaya luka akibat 'kerosakan-kerosakan' yang berlaku dalam tempoh sembilan bulan ini sedikit sebanyak akan terubat. Bayern memiliki kelebihan kerana bakal beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua nanti tetapi saya berharap barisan kendalian Moyes akan memilih Allianz Arena sebagai pentas terbaik untuk mereka melakar kejutan dan keajaiban. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan