Saya tidak pernah sukakan Luis Suarez dan saya tidak akan
pernah sukakan Suarez (kecuali jika beliau menyertai United). Walaupun saya
tidak sukakan Suarez tetapi saya tetap mengagumi beliau sebagai antara
penyerang terbaik di dunia ketika ini dan penghijrahannya ke La Liga satu
kehilangan besar buat Liga Perdana. Musim lalu Suarez adalah penyerang paling
tajam menerusi 31 gol yang beliau hasilkan dari 33 perlawanan liga. Ketiadaan
Suarez menyebabkan Liverpool bergelut tambahan pula mereka turut kehilangan khidmat
Daniel Sturridge yang mengalami kecederaan. Suarez tidak akan mempertahankan
kasut emas yang beliau menangi musim lalu dan kini tumpuan beralih pula kepada
nama-nama besar yang baru menyertai Liga Perdana seperti Diego Costa, Angel di
Maria, Radamel Falcao dan Alexis Sanchez manakala 'orang-orang lama' Liga
Perdana seperti Robin Van Persie, Wayne Rooney, Sergio Aguero, Danny Welbeck
dan Daniel Sturridge pula sedia memberikan cabaran. Berikut adalah empat kelab
yang dianggap memiliki barisan penggempur terbaik di Liga Perdana yang harus
diberikan perhatian musim ini:
CHELSEA: Musim lalu Diego Costa membuktikan bahawa
beliau antara penyerang paling produktif di Eropah. Tiada keraguan bahawa
Atletico Madrid sukses kerana dibantu ketajaman Costa di hadapan gawang lawan.
Setakat ini Costa sudahpun menjaringkan 9 gol dari 7 perlawanan liga untuk
Chelsea sekaligus muncul pendahulu senarai penjaring terbanyak. Dibantu dengan
umpanan-umpanan yang dibekalkan Eden Hazard dan Oscar, Costa nampaknya seperti
sukar dihentikan. Melihat kepada kualiti milik Loic Remy dan Dedier Drogba di
bangku simpanan pula, barisan hadapan Chelsea antara yang patut dicemburui
musim ini.
MANCHESTER CITY: Musim lalu City
muncul juara Liga Perdana dan dalam masa yang sama mereka juga muncul pasukan
paling banyak menghasilkan gol (102 gol). Atas sebab itu juga tiada keraguan
untuk mengiktiraf barisan penggempur mereka sebagai yang terbaik sepanjang
musim lalu. Ketika Chelsea, United dan Arsenal menandatangani pemain-pemain
baru di bahagian hadapan, Manuel Pellegrini pula kekal menyandarkan harapan
kepada Edin Dzeko dan Sergio Aguero sebagai penggempur utamanya. Meskipun tidak
berbelanja besar musim ini, City tetap pasukan yang perlu diberikan perhatian
kerana Aguero sentiasa boleh diharapkan dalam misi memburu gol manakala Dzeko
pula mampu meledak pada detik yang tidak kita jangka. Jangan lupakan juga
Stevan Jovetic yang mempamerkan ketajaman pada perlawanan-perlawanan pra musim
City.
ARSENAL: Musim lalu Arsene
Wenger mengejutkan ramai pihak apabila beliau berjaya menandatangani Mesut Ozil
dari Real Madrid. Musim ini Wenger sekali lagi melakukan kejutan dengan
mendapatkan pula Alexis Sanchez dari seteru Madrid, Barcelona. Sanchez antara
pemain paling menarik untuk kita saksikan aksinya sepanjang pusingan akhir
Piala Dunia yang lalu dan sudah tentu jugalah harapan besar diletakkan
dibahunya ketika beliau melangkah masuk ke Stadium Emirates. Pemain-pemain
seperti Alexis Sanchez, Mesut Ozil dan Jack Wilshere akan memudahkan tugas
Danny Welbeck dalam misi menggegar gawang lawan dan kini Wenger hanya perlu
menunggu Oliver Giroud serta Theo Walcott pulih dari kecederaan untuk
menjadikan barisan penggempur Arsenal antara yang perlu diawasi musim ini.
MANCHESTER UNITED:
Melihat kepada nama-nama seperti Radamel Falcao, Wayne Rooney, Robin Van Persie
dan Angel di Maria sudah cukup menjadikan bahagian hadapan United paling
dicemburui musim ini. Di Maria dan Rooney paling produktif setakat ini apabila
masing-masing sudah menjaringkan tiga gol, Van Persie pula sudah menjaringkan
dua gol manakala Falcao baru sahaja mengorak langkah apabila mencipta gol
sulungnya Ahad lalu ketika berdepan Everton. Musim lalu United hanya mampu
menjaringan 64 gol, namun kini di bawah kendalian Van Gaal kita berharap agar
naluri pembunuh barisan serangan United lebih tajam ketika berada di hadapan
gawang lawan. Jika Van Persie, Rooney, Falcao dan Di Maria mampu mengeluarkan
segala potensi milik mereka ketika di atas padang, saya percaya gawang lawan
akan dihujani gol. Berikan mereka sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan
corak permainan masing-masing dan selepas itu saya percaya Van Gaal akan
memiliki kekuatan serangan yang paling menakutkan di Liga Perdana.
Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan