02 April 2017

KETIKA DE GEA `TIDUR’...KEPUTUSAN TETAP BERAKHIR SERI

Ketika Manchester United menguasai hampir keseluruhan permainan dan melakukan percubaan demi percubaan ke arah gawang lawan, mereka sekali lagi terpaksa akur dengan satu lagi keputusan seri. Sepertimana Stoke City, Burnley, West Ham dan Bournemouth sebelum ini, West Bromwich juga nampaknya begitu...datang ke Old Trafford dengan misi memungut satu mata.

Segala statistik di atas padang memihak United kecuali keputusan perlawanan dan mata yang terpaksa mereka kongsi bersama skuad kendalian Tony Pulis itu. Aksi menentang West Brom menjadi satu lagi bukti bahawa United hilang idea dan cara bagaimana mahu menembusi pintu gol lawan yang datang ke Old Trafford dengan mentaliti bertahan.

Mungkin mengambil kira pelajaran dari kejayaan Stoke, Burnley, West Ham dan Bournemouth sebelum ini yang berjaya mengikat United dengan taktik bertahan mereka, Pulis juga meletakkan hampir kesemua pemain-pemainnya di dalam kotak penalti sendiri setiap kali United menguasai bola. Taktik itu berhasil dan mereka akhirnya pulang ke West Midlands dengan satu mata berharga.

Hilang Kreativiti...

Tiada apa yang kurang pada senarai barisan pemain diturunkan Jose Mourinho semalam. Berdepan lawan seperti West Brom, kesebelasan utama yang diturunkan Mourinho merupakan kesebelasan mampu menang walaupun beliau hilang sentuhan Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba dan Ander Herrera. Buktinya mereka menguasai perlawanan dari minit pertama hinggalah Mike Dean meniup wisel penamat.

Satu-satunya kekurangan United semalam ialah mereka hilang kreativiti dalam usaha menembusi pintu gol lawan yang mengamalkan pendekatan bertahan seperti West Brom. Henrikh Mkhitaryan, Jesse Lingard, Anthony Martial dan Marcus Rashford selaku pemain di barisan hadapan yang ditugaskan untuk menjaringkan gol gagal melakukan tanggungjawab mereka hinggakan United sekali lagi terpaksa berkongsi mata di gelanggang sendiri.

Apa Yang Diperlukan Mourinho?...

Dahulu United memiliki barisan pemain-pemain seperti David Beckham, Paul Scholes, Cristiano Ronaldo dan Roy Keane yang mampu melepaskan rembatan jarak jauh tepat ke sasaran. Mereka-mereka inilah yang memainkan peranan sangat efektif menerusi ledakan-ledakan jarak jauh yang sering membuatkan penjaga gol lawan tergamam ketika mereka meletakkan lapan atau sembilan pemain di dalam petak penalti sendiri.

Kebolehan yang dimiliki Beckham, Scholes, Ronaldo dan Keane itu sebenarnya ada dalam diri Pogba tetapi hingga kini pemain termahal dunia itu masih belum menunjukkan kualiti setaraf dengan harga yang terpaksa di bayar kelab untuk membawa beliau kembali ke Old Trafford. Dari 24 penampilan beliau dalam saingan liga, Pogba menjaringkan empat gol, dan dari jumlah tersebut hanya satu dihasilkan beliau dari luar petak penalti (ketika berdepan Swansea City, 6 November lalu).

Di luar sana ada beberapa pemain yang memiliki kemampuan melepaskan rembatan jarak jauh tepat ke sasaran selain berkebolehan memecah benteng pertahanan lawan menerusi kreativiti serta skill yang dimiliki mereka. Gareth Bale, Toni Kroos, James Rodriguez, Marco Reus, Christian Eriksen dan Miralem Pjanic antara yang saya maksudkan...jadi sangat menarik untuk melihat type pemain bagaimana yang bakal di bawa masuk Mourinho musim panas nanti.

Tidak Tewas 19 Perlawanan Tetapi...

Sejak kekalahan besar 0-4 yang dialami United di Stamford Bridge 21 Oktober lalu, mereka sudah mengharungi 19 perlawanan liga tanpa kalah. Catatan itu sepatutnya meletakkan United di kedudukan lebih baik dalam carta liga, bukan seperti sekarang di mana mereka masih bergelut untuk cuba masuk ke kelompok empat teratas. Semuanya gara-gara sembilan keputusan seri yang diraih mereka sejak kekalahan besar kepada Chelsea lebih lima bulan lalu.

Secara keseluruhannya, United sudah mencatatkan 11 keputusan seri dari 28 aksi liga di mana lapan daripadanya berlaku di Old Trafford. Statistik ini juga menyaksikan United mencatatkan keputusan seri paling banyak di Old Trafford dalam semusim sejak musim 1980/81 (11 keputusan seri) dalam saingan Liga Divisyen Satu. Setakat ini saya boleh katakan bahawa Old Trafford masih kubu yang kebal tetapi terlalu banyak keputusan seri di sini bukanlah `trend’ yang bagus.

Kembalinya `Tiga Pemain Fergie’ Ke Old Trafford...

Ben Foster, Jonny Evans dan Darren Fletcher...tiga bekas pemain United era Sir Alex Ferguson kembali semula ke Old Trafford. Paling menarik ketiga-tiga mereka memainkan peranan penting di posisi masing-masing di sebalik kejayaan West Brom memaksa United berkongsi mata.

Fletcher cemerlang mengepalai jentera tengah The Baggies malah beliau juga hampir saja menjaringkan gol, Evans melaksanakan tugasnya dengan cukup berkesan ketika mematahkan gerakan-gerakan Martial, Rashford dan Mkihtaryan tetapi Foster pula cukup menakjubkan di gawang mereka.

Tiga penyelamatan hebat yang dilakukan Foster memaksa United berputih mata tetapi paling menarik melihat bagaimana beliau menafikan percubaan Rashford menerusi sepakan percuma di babak kedua. Disiplin anak-anak buah Pulis ketika bertahan wajar berikan pujian namun tanpa aksi cemerlang Foster, saya yakin gawang mereka boleh dibolosi dua atau tiga gol.

Masih Relevankah Empat Teratas?...

Pelajaran paling penting semalam ialah betapa pemain-pemain muda United seperti Martial dan Rashford sebenarnya belum bersedia memikul peranan sebagai penggempur utama untuk diletakkan di barisan hadapan. Jadi kembalinya Ibra dari penggantungan ketika berdepan Everton nanti saya harap mampu memberikan perubahan dan perbezaan besar di bahagian hadapan.

Masih realistikkah untuk kita melihat United menamatkan musim ini di kelompok empat teratas selepas keputusan yang mereka raih semalam? Ya...saya masih yakin barisan kendalian Mourinho mampu melakukannya kerana slot ke Liga Juara-Juara musim depan selaku pasukan di kelompok empat teratas masih dalam jangkauan.

Akhirnya West Brom sekali lagi mengajar kita bahawa bolasepak sangat-sangat aneh. Anda boleh menekan lawan dari minit pertama hingga terakhir, melakukan percubaan demi percubaan ke arah pintu gol lawan dan menguasai bola di segenap penjuru padang tetapi akhirnya anda perlukan gol untuk keluar sebagai pemenang. Sangat aneh bila melihat De Gea seperti `tertidur’ tetapi United tetap gagal keluar sebagai pemenang untuk kesekian kalinya...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan