Musim 1998-99 merupakan musim paling gemilang
dalam sejarah Manchester United dan musim tersebut akan kekal terpahat dalam
ingatan kerana pada musim tersebutlah barisan kendalian Sir Alex Ferguson
berjaya menjulang kejuaraan `treble’.
Bila bercakap tentang kejuaraan `treble’ yang dimenangi United hampir 18
tahun lalu itu, sorotan utama pastinya lebih terarah kepada keajaiban yang
berlaku di Nou Camp bilamana gol penghujung perlawanan Teddy Sheringham dan Ole
Gunnar Solskjaer memberikan United kejuaraan kedua Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun momen keajaiban `Treble 99’ United sebenarnya sudah
bermula ketika Ryan Giggs menjaringkan `golden
goal’ menerusi larian solo dari tengah padang ketika mereka berdepan
Arsenal yang juga merupakan juara bertahan dalam perlawanan ulangan separuh
akhir Piala FA.
Gol itu memang indah hingga ada yang
membandingkan jaringan itu dengan gol solo Diego Maradona ketika Argentina
menyingkirkan England di peringkat suku akhir Piala Dunia 1986. Satu persamaan
antara gol solo Maradona dan Giggs ialah fakta bahawa kedua-dua mereka berjaya
menewaskan pertahanan terbaik England ketika itu.
Ulangan
Separuh Akhir Piala FA...
Enam minggu sebelum berlangsungnya final Liga
Juara-Juara di Nou Camp, United dan Arsenal terpaksa melakukan perhitungan buat
kali kedua bagi menentukan siapa yang layak mara ke Wembley selepas kedua-dua
pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama (peringkat separuh akhir
Piala FA).
Buat kali kedua, Villa Park dipilih sebagai
medan pertempuran antara barisan Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger yang dalam
masa sama juga sedang bersaing hebat dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga. Musim
1998-99 juga bagi saya merupakan musim paling sengit membabitkan sejarah persaingan
United dan Arsenal.
Dalam perlawanan ini, Fergie memilih
merehatkan gandingan Andy Cole/Dwight Yorke, Paul Scholes dan Giggs manakala
Wenger pula memilih pendekatan berbeza apabila beliau menurunkan skuad hampir terkuatnya.
Sedikit rombakan yang dilakukan Wenger apabila beliau memilih Frederik
Ljungberg di posisi sayap kiri dan meletakkan Marc Overmars di bangku simpanan.
Keajaiban
Pertama Di Villa Park...
Ketepatan rembatan kaki kanan David Beckham
sentiasa menjadi igauan ngeri buat mana-mana penjaga gol lawan dan entah kali
keberapa juga Beckham berjaya menewaskan David Seaman menerusi ledakan kaki
kanannya. Ketika perlawanan sudah berlangsung selama 18 minit, Beckham
meletakkan United di hadapan menerusi satu rembatan cantik dari jarak kira-kira
25 meter yang menewaskan Seaman.
Ketika kelebihan satu gol masih kekal menjadi
milik United hingga minit ke-62, Fergie cuba menambah kreativiti pasukannya
dengan memasukkan Giggs (menggantikan Jesper Blomqvist) manakala Wenger pula
mengeluarkan Frederik Ljungberg dan memasukkan Marc Overmars. Tujuh minit
selepas itu Arsenal berjaya menyamakan kedudukan menerusi Dennis Bergkamp dan
selepas itu momentum berada ditangan mereka.
Tambah memeritkan apabila Roy Keane di
perintah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua kerana kekasaran
yang dilakukan beliau ke atas Overmars hanya lima minit selepas Bergkamp
menyamakan kedudukan. Tidak cukup dengan itu, kesilapan Phil Neville yang
menjatuhkan Ray Parlour di dalam petak penalti di penghujung perlawanan
seolah-olah menandakan bahawa mimpi `treble’
United bakal berakhir.
Kekasaran dilakukan Phil menyebabkan Arsenal
dihadiahkan sepakan penalti, dan ketika itu semua orang tahu bahawa jika
Bergkamp berjaya menyempurnakan sepakan tersebut, Arsenal akan lolos ke final.
Memandangkan perlawanan sudah pun memasuki masa kecederaan, tiada peluang buat
United melakukan kebangkitan tetapi tanpa diduga takdir pula tertulis
sebaliknya.
Tidak banyak harapan yang mampu diletakkan di
bahu Peter Schmeichel untuk menyelamatkan United dari tersingkir ditambah pula
dengan reputasi Bergkamp yang sebelumnya tidak pernah gagal menyempurnakan 18
sepakan penalti. Apa yang mampu dibayangkan penyokong-penyokong United ketika
itu hanyalah mimpi indah mereka bakal bertukar kepada bencana.
Di sinilah bermulanya keajaiban pertama di
Villa Park, dan di sini jugalah anda dapat saksikan bagaimana kekuatan mental
Schmeichel serta Bergkamp diuji ke tahap maksima. Penyokong United yang
sebelumnya sudah bersedia meninggalkan stadium bagaikan tidak percaya melihat `The Great Dane’ menyelamatkan sepakan
penalti Bergkamp dan bermula dari detik inilah pemain-pemain mula percaya
bahawa perlawanan ini bakal menjadi milik mereka.
Percaturan
Tepat Fergie...
Percaturan Fergie meletakkan Giggs di bangku
simpanan dan hanya menurunkan beliau di separuh masa kedua, itupun ketika
permainan sudah memasuki minit ke-62 ternyata keputusan yang tepat. Giggs
seperti yang anda tahu ketika zaman mudanya memiliki skill kawalan bola yang sangat
bagus selain pantas ketika melakukan larian ke kawasan lawan.
Aset dimiliki Giggs inilah digunakan
sepenuhnya oleh Fergie dalam perlawanan yang berintensiti tinggi seperti ini
dan ketika perlawanan terpaksa dilanjutkan hingga ke masa tambahan, Giggs bagi
saya antara pemain yang masih `segar’ dari segi fizikal dan mental di atas
padang ketika itu.
Keajaiban
Kedua Di Villa Park...
Entah apa yang menyebabkan pemain tengah
sekaliber Patrick Vieira boleh melakukan kesilapan mudah dengan melakukan
hantaran liar yang kemudiannya dimanfaatkan Giggs. Mungkin kegagalan Bergkamp
menyempurnakan penalti memberikan kesan kepada mental beliau atau faktor kepenatan
yang semakin menghakis kudrat menganggu fokus Vieira dalam perlawanan genting
seperti itu.
Ketika menerima `assist’ Vieira, Giggs mendedahkan beliau memiliki dua pilihan dalam
fikirannya iaitu sama ada mahu melakukan hantaran kepada Dwight Yorke atau
terus melarikan bola ke dalam petak penalti lawan. Akhirnya Giggs memilih
pilihan kedua iaitu melakukan gerakan solo persis yang dilakukan Maradona ketika
beliau merobohkan benteng pertahanan England pada 1986.
Dianugerahi dengan skill kawalan bola memukau
serta larian yang deras, gerakan solo yang dilakukan Giggs itu sangat-sangat
indah umpama karya seni pelukis agung di atas sehelai kanvas. Liuk lentok
tubuhnya ketika melepasi Vieira, Martin Keown dan Lee Dixon sangat mempesona
manakala Tony Adams pula mendapati usaha terakhir beliau menghalang Giggs sudah
terlambat apabila legenda United itu melepaskan rembatan padu kaki kiri tepat
ke penjuru kanan gawang Seaman.
Meskipun sudah 18 tahun berlalu, momen
tersebut masih lagi tidak jemu untuk ditonton manakala imej Giggs berlari
sambil membuka jersi dan memutar-memutar di udara ketika merayakan jaringan
tersebut antara imej paling ikonik untuk ditatap. Apa yang mampu dilakukan
pemain-pemain Arsenal ketika itu? Tidak banyak yang mampu dilakukan mereka. Ada
yang tergamam tanda tidak percaya, ada yang tertunduk lesu tanda pasrah dan ada
yang segera beredar meninggalkan padang.
Kesan
`Sihir’ Giggsy...
`Sihir’ yang dilakukan Giggs di Villa Park 18
tahun lalu bukan sahaja membawa United ke pentas final tetapi juga meniup api
perjuangan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain dalam merealisasikan misi
menjulang kejuaraan `treble’ musim tersebut. Selepas pertembungan di Villa
Park, kedua-dua pasukan mengalihkan pula fokus mereka kepada perlumbaan merebut
kejuaraan liga.
Arsenal sangat `terluka’ dengan kekalahan
pada 14 April 1999 itu, manakala kejayaan di Villa Park menyuntik motivasi
tambahan kepada misi barisan Fergie untuk merampas kembali trofi Liga Perdana
dari Highbury. Ketika perlumbaan merebut kejuaraan liga semakin sengit dan ketika
saingan semakin menuju ke penghujung, Arsenal sekali lagi melakukan kesilapan.
Dalam aksi ke-37 mereka, Arsenal tewas 0-1
kepada Leeds di Elland Road manakala kejayaan United mengikat Blackburn Rovers
di Ewood Park pula meletakkan mereka selaku pendahulu liga menerusi kelebihan
hanya satu mata berbanding The Gunners.
Meskipun Arsenal berjaya menewaskan Aston Villa di Highbury pada perlawanan
terakhir, United mengesahkan kejuaraan liga milik mereka menerusi kejayaan
menundukkan Tottenham Hotspurs (2-1) di Old Trafford.
`Sihir’ Giggs di Villa Park pada 14 April
1999 berlaku di minit akhir, sebulan selepas itu United mengesahkan kejuaraan
liga pada perlawanan terakhir dan mereka menutup musim 1998-99 dengan kejuaraan
treble di Nou Camp juga menerusi cara yang cukup dramatik. Jadi tidak hairanlah
mengapa Wenger menyebut tahun itu merupakan tahun `Keajaiban Treble 99’ United.
Menurut Wenger, hingga kini beliau masih
terdengar teriakan kemenangan United di Villa Park biarpun momen tersebut sudah
18 tahun berlalu. Malah selepas Giggs mengumumkan persaraannya tiga tahun lalu,
Wenger meluangkan masa untuk menonton kembali detik gol fantastis itu terhasil.
Gol itu juga meninggalkan kesan psikologi yang besar kepada beberapa pemain
Arsenal terutamanya Bergkamp, hinggakan selepas kekalahan di Villa Park itu,
beliau memutuskan untuk tidak lagi mengambil sepakan penalti.
Karya Terindah...
Karya Terindah...
Dari ratusan gol yang sudah dijaringkan
Giggs, gol menerusi gerakan solo pada 14 April 1999 itu merupakan gol terbaik
yang pernah dijaringkannya. Semasa masih bermain, Giggs tidak pernah
membicarakan tentang gol tersebut kerana beliau percaya akan ada lagi gol
cantik yang bakal menyusul dari sepasang kakinya selepas itu. Bagaimanapun
akhirnya beliau mengakui bahawa gol itu merupakan gol yang fantastis dan momen
18 tahun lalu itu merupakan momen terindah sepanjang kariernya.
`Sihir’, `Magis’, `Fantastis’...atau apa
sahaja perkataan yang sesuai boleh anda berikan untuk menggambarkan betapa indahnya
jaringan dari Ryan Joseph Giggs ke gawang Arsenal 18 tahun lalu itu. Sepanjang
kariernya bersama United, beliau memang tidak pernah berhenti dari mengagumkan
kita tetapi `karya agung’ yang dihasilkannya pada 14 April 1999 terlalu hebat
untuk dilupakan dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan.
Terima kasih Giggsy untuk gol yang sangat
indah itu...dan selepas menyaksikan momen itu berulang kali maka fahamlah saya
mengapa Alessandro Del Piero pernah mengatakan bahawa selain Diego Maradona,
hanya Giggs pemain yang mampu membuatkan beliau menangis setiap kali
menyaksikan aksi legenda hidup United itu di atas padang...Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan