19 April 2017

OLE GUNNAR SOLSKJAER...`SI PEMBUNUH’ YANG SELALU ADA BILA UNITED PERLUKANNYA




Banyak perkataan yang boleh digambar bila anda bercakap tentang Ole Gunnar Solskjaer, tetapi saya lebih suka memilih ayat “Beliau selalu ada ketika Manchester United perlukannya”. `Baby-Faced Assassin’ itulah gelaran akrab untuk wira dari bangku simpanan ini...senjata rahsia yang sering digunakan Sir Alex Ferguson ketika beliau mendapati penyerang utamanya hilang idea dalam usaha mereka memecah kekebalan benteng pertahanan lawan.

Usah tertipu dengan wajah `keanak-anakan’ Solskjaer kerana di sebalik wajah `comel’ itu tersimpan naluri pembunuh yang sangat kejam dalam dirinya. Ron Atkinson menjadi saksi terbaik bagaimana kejamnya Solskjaer ketika beliau melihat skuad Nottingham Forest kendaliannya dibelasah 1-8 oleh United dalam aksi liga pada 6 Februari 1999. Masuk menggantikan Dwight Yorke ketika tempoh permainan sebenar berbaki 18 minit, Solskjaer hanya memerlukan 10 minit untuk meledak empat gol ke gawang Dave Beasant.

Jan Olav Hjelde, pertahanan tengah Forest yang juga rakan senegara Solskjaer menyifatkan kekalahan itu sebagai bencana besar sepanjang kariernya. Menurut Hjelde, ketika melihat Solskjaer di bawa masuk, beliau dapat merasakan United yang ketika itu sudahpun mendahului 4-1 tidak akan berhenti dari terus membolosi gawang pasukannya. Telahan Hjelde tepat, dan Solskjaer kemudiannya menambah empat gol lagi untuk merekodkan kemenangan terbesar di gelanggang lawan dalam sejarah Liga Perdana.

Empat gol jaringan Solskjaer dalam tempoh 10 minit itu juga menyaksikan beliau muncul pemegang rekod selaku pemain simpanan yang paling banyak menjaringkan gol dalam satu perlawanan di Liga Perdana. Dan pastinya detik paling diingati bila anda bercakap tentang Solskjaer tentunya gol kemenangan yang beliau jaringkan ke gawang Bayern Munich dalam aksi final Liga Juara-Juara di Nou Camp pada 26 Mei 1999.

Fergie Lebih Mahukan Shearer...Bukan Ole...

Ketika jendela perpindahan pemain musim panas 1996 dibuka, Alan Shearer ialah sasaran utama Fergie namun penyerang prolifik England itu akhirnya memilih menyertai Newcastle United berbanding berpindah ke Old Trafford. Berbanding Shearer, Solskjaer pula merupakan alternatif kepada barisan penyerang sedia ada yang dimiliki Fergie.

Akhirnya selepas dicadangkan oleh pasukan pencari bakat United yang diketuai Les Kershaw, Fergie menandatangani Solskjaer dari Molde FK dengan nilai perpindahan berjumlah £1.5 juta. Jika Peter Schmeichel merupakan pembelian bernilai £500 ribu terbaik yang pernah dilakukan Fergie, £1.5 juta yang dilaburkan beliau ke atas Solskjaer pula boleh diumpamakan seperti memenangi `jackpot’.

Solskjaer tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan betapa nilai £1.5 juta yang dibelanjakan United untuk mendapatkan khidmatnya lebih dari berbaloi. Beliau menjaringkan gol pertama pada penampilan pertamanya untuk United ketika berdepan Blackburn Rovers dan selepas itu Solskjaer seperti sukar dihentikan pertahanan lawan apabila beliau meledak lima gol lagi dari enam penampilan pertama di Liga Perdana.

18 gol yang dijaringkan Solskjaer sepanjang musim pertamanya di Old Trafford menyaksikan beliau muncul penjaring terbanyak kelab manakala di penghujung musim pula barisan Fergie berjaya menjulang trofi Liga Perdana selepas mengetepikan cabaran sengit Newcastle United pimpinan Kevin Keegan.

Ole Yang Tidak Pernah `Merengek’...

Sukar untuk mencari pemain yang memiliki tahap kesabaran tinggi seperti Solskjaer. Menghabiskan bertahun-tahun kariernya di Old Trafford sebagai `supersub’ tetapi tidak pernah sekalipun meminta kepada Fergie supaya dijual ke pasukan lain. Dengan kebolehan yang dimilikinya, saya percaya Solskjaer tidak bermasalah untuk meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama mana-mana pasukan di Liga Perdana ketika zaman kemuncaknya.

Ketika kelibatnya diintai banyak pasukan yang mampu menawarkan beliau tempat dalam kesebelasan utama mereka, Solskjaer sebaliknya memilih untuk terus kekal di bangku simpanan United sepanjang kariernya di Old Trafford. Ada cerita yang mengatakan bahawa pada 1998, Solskjaer menolak perpindahan ke White Hart Lane ketika pihak pengurusan United sendiri sebenarnya sudah bersetuju menerima tawaran dari Tottenham Hotspurs.

Akhirnya kesabaran Solskjaer berbaloi kerana pada musim 1998-99, United mencipta sejarah di atas kejayaan mereka memenangi kejuaraan Treble, pencapaian yang hingga kini masih gagal diatasi/diulangi oleh mana-mana kelab Inggeris. Dan lebih manis, Solskjaer dijulang sebagai `wira Nou Camp’ menerusi gol kemenangan di penghujung perlawanan jaringan beliau yang akhirnya meletakkan United di podium kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab.

Rahsia Di Sebalik Ketajaman Ole....

Fergie pernah mengatakan bahawa Solskjaer merupakan seorang `penganalisa perlawanan dari bangku simpanan’ yang cukup bagus, kerana itulah mengapa kelibatnya sangat digeruni pertahanan lawan setiap kali Fergie mengarahkan beliau masuk ke padang. Hal itu turut diakui Solskjaer dalam satu temubual dengan The Observer pada 2012.

Apa yang dilakukan Solskjaer di bangku simpanan? Sementara menunggu Fergie mengarahkan beliau bersedia untuk masuk ke padang, Solskjaer tidak menghabiskan masanya berbual kosong dengan rakan-rakan sepasukan yang lain. Dari bangku simpananlah beliau mengamati perlawanan, terutamanya dalam  mencari titik kelemahan dan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan pertahanan lawan.

Jadi tidak hairanlah mengapa Solskjaer sentiasa memiliki `kunci’ untuk memecah kekebalan benteng pertahanan lawan meskipun adakalanya beliau cuma berada di atas padang selama 10 atau 20 minit. Samuel Kuffour dan Thomas Linke, dua centre back unggul di Bundesliga sendiri tiada jawapan bagaimana mahu menghentikan Solskjaer sebaik Fergie mengarahkan beliau menggantikan Andy Cole di Nou Camp hampir 18 tahun lalu.

Falsafah Ole...

“Tiada penyelamatan yang bagus, yang ada cumalah penyelesaian akhir yang buruk”, itulah falsafah yang dipegang Solskjaer setiap kali beliau berada di atas padang. Bukan mahu meremehkan kemampuan penjaga gol lawan tetapi kata-kata itu memang selayaknya dilontarkan oleh seorang penyerang yang memang tugas utamanya ialah membocori pintu gol lawan.

Jika sebelum ini saya pernah menyebut bahawa gol Roy Keane ke gawang Juventus sebagai pencetus kebangkitan di Turin hingga membawa United ke pentas akhir Liga Juara-Juara 1999, gol Solskjaer ketika beliau `membunuh’ Oliver Kahn pula merupakan penamat paling indah pada musim sensasi United walaupun pada mulanya misi `Treble 99’ dianggap cuma cerita dongeng oleh penyokong lawan.

Itu antara salah satu penyudah terbaik yang pernah hadir dari sepasang kaki Solskjaer. Biarpun bukan gol yang cantik, juga bukan gol yang mampu melanggar hukum fizik, tetapi gol itu membuktikan kebenaran falsafah beliau. Imbas kembali aksi final di Nou Camp, Kahn bagi saya sebenarnya jarang diuji oleh barisan hadapan United yang diterajui Cole dan Yorke.

Tetapi ketika Solskjaer diarahkan Fergie untuk masuk menggantikan Cole, penyokong-penyokong tahu bahawa keajaiban bakal berlaku. Akhirnya itulah yang dilakukan Solskjaer hampir 18 tahun lalu. Bukan sahaja mencipta keajaiban tetapi juga `membunuh’ antara penjaga gol terbaik dunia ketika itu serta barisan pertahanan yang dianggap paling kebal di Bundesliga menerusi hanya satu sentuhan yang kekal diingati hingga kini.

Terima Kasih Ole...

Menyaksikan detik pertama kehadirannya di Old Trafford, tiada siapa menyangka bahawa Solskjaer yang ketika itu baru berusia 23 tahun bakal muncul legenda kelab yang namanya tertulis dengan tinta emas dalam lipatan sejarah suatu hari nanti. Sepanjang 11 musim beliau menabur bakti menyarung jersi kelab, terlalu banyak gol-gol penting sumbangan beliau yang menyelamatkan United.

Paling saya ingati sudah tentu jaringan kemenangan penuh dramatik yang dihasilkannya pada 24 Januari 1999 ketika United menyingkirkan Liverpool di pusingan keempat Piala FA, selain keajaiban saat akhir yang berlaku di Nou Camp empat bulan selepas itu.

Fergie mengatakan cara dan standard yang diletakkan Solskjaer ketika beliau menjaringkan gol tidak pernah menurun, sejak kali pertama beliau menyarung jersi United hinggalah tahun terakhirnya pada 2007. Namun takdir juga sudah tertulis bahawa `hidup’ Solskjaer bersama United lebih banyak dihabiskan di bangku simpanan.

Walaupun begitu, status selaku pilihan kedua atau ketiga bukan penghalang untuk Solskjaer dari terus mengagumkan kita. Beliau tidak pernah pun mengeluh ketika mendapati dirinya cuma pilihan ketiga di belakang Andy Cole dan Dwight Yorke, kemudiannya terpaksa pula menyaksikan Ruud Van Nistelrooy memegang watak utama dibarisan hadapan selepas Fergie menandatangani `The Flying Dutchman’ pada 2001.

Bagi Solskjaer tugas utama beliau ialah menjaringkan gol bila Fergie memerlukan sentuhan penyudahnya dan tanggungjawab itulah yang digalas beliau dengan sebaik mungkin sepanjang 11 musim `Baby-Faced Assassin’ memainkan wataknya selaku `pembunuh dari bangku simpanan’ United. Momen indah di Nou Camp 18 tahun lalu akan sentiasa terpatri dalam ingatan kita bila bercakap tentang sosok bernama Ole Gunnar Solskjaer ini.

Sangat indah bila menyaksikan bagaimana seorang pemain yang datang dari bangku simpanan, masuk ke padang ketika tempoh sebenar permainan berbaki sembilan minit sebelum ditamatkan dan kemudiannya merentap pula ego penjaga gol sekelas Oliver Kahn hanya menerusi satu sentuhan pembunuh.

Ketika ego Kahn dirobek sehabisnya, ketika air mata jantan Samuel Kuffour mengalir deras dan ketika seluruh pemain Bayern Munich terpaku tanda tidak percaya...seluruh Nou Camp pula menyanyi dan bergema dengan frasa “And Solskjaer has won it”. Laungan  yang menggegar seluruh Nou Camp 18 tahun lalu itu seolah-olah masih lagi nyaring kedengaran hingga kini. Terima kasih Ole.... Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan