Mungkin ada di kalangan anda agak kurang
selesa bila membaca tajuk artikel kali ini. Ya...sebagai penyokong Manchester
United, saya memahami bahawa mungkin tiada siapa di kalangan anda yang pernah
dan akan menyukai Liverpool, seteru abadi dari dulu, kini dan mungkin
selamanya.
Sentimen penyokong-penyokong United terhadap Liverpool
tidak pernah berubah dari generasi terdahulu hinggalah sekarang dan begitu
jugalah sebaliknya di pihak mereka. Bagaimanapun buat masa ini ketepikan
sebentar segala `kebencian’ dan rasa kurang senang anda terhadap mereka kerana
musim ini ada statistik dan catatan mereka yang wajar United pelajari.
Mereka
Pasukan Yang Produktif...
Perlu diakui bahawa Liverpool merupakan
pasukan paling produktif dalam menghasilkan gol musim ini. Dari 32 perlawanan,
mereka sudah menjaringkan 68 gol berbanding United (46 gol dari 30 perlawanan).
Jumlah gol yang dijaringkan mereka juga mengatasi catatan Chelsea (65 gol)
selaku pendahulu liga dan juga Tottenham Hotspurs (64 gol).
Berbanding United yang memiliki Zlatan
Ibrahimovic dan Chelsea yang ada sosok Diego Costa di barisan hadapan mereka,
Liverpool sebenarnya tidak memiliki seorang penjaring gol yang mampu
menghasilkan lebih 20 jaringan semusim. Bagaimanapun faktor itu tidak
menghalang barisan Jurgen Klopp untuk muncul pasukan yang cukup produktif dalam
menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan.
Faktor
Yang Menyebabkan Mereka Produktif...
Tidak terlalu bergantung kepada seorang
pemain sebagai penjaring gol. Itulah faktor utama yang menyebabkan mengapa
Liverpool sentiasa sahaja pasukan yang berbahaya ketika mereka menyerang. Musim
ini mereka memiliki enam pemain yang mampu menjaringkan lebih dari lima gol di
peringkat liga.
Dan itu juga bermakna Jurgen Klopp memiliki
lebih banyak opsyen tanpa terlalu bergantung kepada Daniel Sturridge atau
Roberto Firmino dalam menghasilkan gol. Selepas mengharungi 32 perlawanan liga,
Sadio Mane muncul penjaring terbanyak mereka menerusi ledakan 13 gol yang
dihasilkan pemain antarabangsa Senegal itu.
Ketika Klopp berdepan prospek kehilangan
sentuhan Mane hingga akhir musim, saya masih percaya Liverpool tetap tidak
berdepan masalah dalam melakukan penyelesaian akhir di hadapan gawang lawan
dengan adanya Firmino, Phillipe Coutinho, Divock Origi, James Milner dan Adam
Lallana yang sudah menyumbang 39 gol dalam saingan liga.
Di pihak United pula cuba anda bayangkan
bagaimanakah situasinya jika Jose Mourinho secara tiba-tiba gagal meletakkan
Ibra di barisan hadapan kerana faktor kecederaan atau penggantungan. Kita
pernah merasai betapa peritnya melihat United bermain tanpa sentuhan Ibra dalam
tiga perlawanan kerana penggantungan hinggakan mereka gagal mempertahankan
kejuaraan Piala FA dan sekadar seri ketika berdepan West Brom.
Berhenti
Dari Terlalu Bergantung Kepada Ibra...
Kita sebenarnya sangat beruntung kerana
memiliki penyerang setajam Ibra, seorang penyerang yang secara puratanya mampu
menjaringkan lebih 20 gol setiap musim. Tetapi terlalu bergantung kepada
seorang pemain untuk menghasilkan gol juga bukanlah sesuatu yang bagus.
Setakat ini Ibra sudah menjaringkan 17 gol
pada musim pertama beliau di Old Trafford, dan jumlah ini jauh meninggalkan
Juan Mata di posisi kedua (6 gol) dalam senarai penjaring United, diikuti
Henrikh Mkhitaryan, Marcus Rashford dan Paul Pogba yang masing-masing sudah
meledak 4 gol.
Statistik ini sudah cukup menggambarkan
betapa terlalu bergantungnya United kepada kelibat Ibra dalam menghasilkan gol.
Berbanding Klopp, Mourinho pula seperti tidak memiliki banyak pilihan untuk
beliau sandarkan harapan sebagai peledak pasukannya.
Mengambil contoh aksi menentang Stoke City di
gelanggang lawan Januari lalu, ketika Ryan Shawcross dan Bruno Martins-Indi
silih berganti mengawal Ibra, kita mendapati barisan hadapan United berdepan
masalah dalam misi menembusi gawang lawan meskipun mereka menguasai sebahagian
besar perlawanan.
Ketika kali terakhir United menjulang
kejuaraan liga (musim 2012-13), Robin Van Persie muncul peledak utama menerusi
26 gol yang beliau hasilkan. Ketika itu memang tampak seperti Sir Alex Ferguson
sangat bergantung kepada ketajaman Van Persie dalam menyudahkan peluang, tetapi
cuba semak semula senarai penjaring United sepanjang musim terakhir Fergie di
Old Trafford.
Wayne Rooney ketika itu menyumbang 12 gol
diikuti Javier Hernandez dengan 10 gol manakala Shinji Kagawa pula di tangga
keempat dengan 6 gol. Ketika itu United mampu menjaringkan gol dari pelbagai
sudut dan situasi hinggakan pemain di barisan belakang seperti Patrice Evra,
Alexander Buttner dan Jonny Evans turut ikut sama meletakkan nama mereka dalam
senarai penjaring kelab.
Leicester City juga begitu ketika mereka
mencipta sejarah menjulang kejuaraan liga musim lalu. Jamie Vardy muncul
penyumbang utama gol-gol The Foxes
menerusi 24 jaringan yang dihasilkannya, tetapi dalam masa yang sama di
belakang Vardy ada Riyadh Mahrez yang turut memiliki ketajaman hampir sama
menerusi 18 gol yang diledak beliau.
Jika terlalu pahit untuk belajar dari
Liverpool atau menjadikan mereka contoh dalam usaha memperbaiki segala
kesilapan yang berlaku musim ini, cuba-cubalah imbas kembali bagaimana Fergie
membawa kelab menjulang kejuaraan liga empat tahun lalu atau paling hampir ketika
Claudio Ranieri mencipta sejarah bersama Leicester City musim lalu...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan