Selepas `tenggelam’ ketika bersama Manchester United, Memphis Depay tiba-tiba mengejutkan kita menerusi gol menarik dari jarak hampir separuh padang yang dijaringkannya ketika berdepan Toulouse dalam aksi Ligue 1, 13 Mac lalu. Gol itu memang menarik dan juga gol yang sukar dihasilkan berdasarkan jarak dan kedudukan Memphis ketika beliau melakukan tendangan.
Jadi tidak hairanlah mengapa gol itu dianggap
antara gol tercantik pernah dijaringkan di Ligue 1, manakala Memphis pula
mengakui bahawa itu adalah gol terbaik pernah dihasilkannya. Bagaimanapun gol
itu juga sebenarnya bukanlah gol jarak jauh paling menarik pernah disaksikan
kerana pada pandangan saya gol Wayne Rooney dan Dejan Stankovic menerusi
sepakan voli jauh lebih indah.
Dari segi jarak, Xabi Alonso semasa beliau
bermain untuk Liverpool pernah menjaringkan gol dari jarak lebih separuh
padang, Charlie Adam dan Miralem Pjanic juga pernah melakukan hal yang sama.
Tetapi bagi generasi penyokong Manchester United era 90an, gol Depay ketika
berdepan Toulouse mengingatkan kita kembali kepada jaringan jarak jauh David
Beckham yang menerjah ke gawang Neil Sullivan kira-kira 21 tahun lalu.
Gol itu bukanlah gol yang menentukan
kemenangan United kerana mereka sebenarnya sedang mendahului Wimbledon 2-0
hasil jaringan Eric Cantona dan Denis Irwin. Tetapi gol itu memang cukup
istimewa buat Beckham kerana gol itulah yang membuka pintu dan jalan kepada
karier seorang pemain muda yang baru berusia 21 tahun ketika itu. Hal tersebut
diakui Beckham dalam autiobiografinya yang berjudul “My Side”.
`Lahir’
Dari Pembersihan Yang Dilakukan Fergie...
Kekecewaan Sir Alex Ferguson selepas menyaksikan
United terpaksa melepaskan kejuaraan Liga Perdana kepada Blackburn Rovers di
penghujung musim 1994-95 menerusi perbezaan hanya satu mata menyaksikan beliau
melakukan `pembersihan’ dalam skuadnya bagi menghadapi musim baharu.
Amarahnya kepada beberapa pemain senior
seperti Paul Ince, Paul Parker, Andrei Kanchelskis dan Mark Hughes tidak dapat
dibendung. Malah tanpa berselindung beliau melabelkan Ince sebagai `pemalas’
dan punca mengapa United tewas kepada Rovers dalam perebutan kejuaraan liga
musim tersebut.
Hasil dari kekecewaan Fergie, maka lahirlah
generasi Class of 92 dalam skuad
utama United menerusi keberanian beliau melakukan perjudian dengan
mengetengahkan pemain-pemain muda lulusan akademi kelab. Dan salah seorang dari
generasi tersebut tentulah Beckham.
Gol
Yang Mengubah Nasib Beckham...
Pemergian Mark Hughes ke Stamford Bridge pada
musim panas 1995 menyaksikan Beckham mewarisi jersi nombor 10 dari bekas
penyerang prolifik United itu. Dan itu juga bermakna beliau bersama rakan-rakan
generasi Class of 92-nya menikmati
penampilan lebih banyak bersama skuad utama United.
Meskipun mencatat 33 penampilan dan
menjaringkan tujuh gol dalam saingan liga (musim 1995-96), prestasi Beckham
gagal menarik perhatian Terry Venables untuk disenaraikan dalam skuad
kebangsaan ke Kejohanan Euro 1996. Keputusan Venables itu antara kekecewaan
besar buat Beckham tambahan pula England merupakan tuan rumah kejohanan
tersebut.
Bagaimanapun keajaiban hadir pada perlawanan
pertama United untuk musim 1996-97. Dan keajaiban itu hadir menerusi tendangan
jarak jauh separuh padang dari kaki kanan Beckham yang melambung tinggi lalu
terus menerjah gawang Wimbledon.
Selhurst Park menjadi saksi dan Selhurst Park
juga menjadi tanda kehadiran seorang anak muda yang akhirnya muncul bintang
bola sepak paling popular di planet ini. Ramai yang terpesona dengan gol cantik
seperti itu tetapi lebih penting gol itu sebenarnya membuka jalan kepada
Beckham untuk `terbang’ lebih tinggi.
Bagaimana
Gol Ikonik Itu Terhasil?...
Gol itu berpunca dari kesilapan pemain tengah
Wimbledon (Robbie Earle) yang gagal mengawal bola dengan kemas sekaligus
membolehkan Brian McClair melakukan hantaran pendek kepada Beckham. Menurut
Beckham, ketika melihat Sullivan sudah terkeluar dari posisinya beliau terfikir
“Mengapa tidak sahaja aku melakukan percubaan dari sini (tengah padang)”.
Beckham akhirnya mengambil keputusan pantas
dan melakukan tendangan tersebut di mana bola yang melambung tinggi secara
tiba-tiba menjunam turun lalu menerjah gawang Sullivan. Tendangan itu dilakukan
Beckham dari jarak 60 meter dengan kelajuan bola mencapai 45.4 batu sejam,
manakala jangkamasa untuk bola menerjah gawang pula ialah 2.7 saat.
Sebelum
Gol Itu Dihasilkan...
Sebelum gol spektular itu terhasil, Beckham
hampir sahaja dikeluarkan Fergie kerana kerap melakukan percubaan-percubaan
kurang tepat ke arah gawang lawan yang dianggap merugikan pasukan. “Jika dia
melakukannya sekali lagi (percubaan kurang tepat), dia akan diganti”, itulah
yang diberitahu Fergie kepada Brian Kidd (penolong beliau ketika itu) di bangku
simpanan pemain.
Apa
Kata Si Mangsa (Sullivan)...
Malu? Mana-mana penjaga gol akan berasa malu
jika gawang mereka dibolosi dengan cara seperti itu. Begitu juga halnya dengan
Sullivan. Bagaimanapun dalam masa yang sama beliau juga tidak mampu
menyembunyikan kekaguman menyaksikan bagaimana gol itu dihasilkan.
“Ia berlaku di penghujung perlawanan selepas
kami ketinggalan 0-2. Bola tendangan Beckham melepasi kepala saya namun saya
masih berfikir percubaan itu tidak akan menerjah gawang. Bagaimanapun bola
kemudiannya turun dan masuk ke dalam jaring. Saya melihat penyokong-penyokong
United di belakang dan mereka hanya tertawa”, cerita Sullivan.
Istimewanya
Gol Tersebut Kepada Beckham...
Boot
Predator yang digunakan Beckham ketika beliau menjaringkan gol tersebut
sebenarnya `milik’ pemain tengah Glasgow Rangers, Charlie Miller. Bagaimanapun
disebabkan kesilapan Adidas ketika melakukan penghantaran, boot itu sebaliknya
tiba ke tangan Beckham. Namun hal tersebut bukanlah penyebab mengapa gol itu sangat
istimewa kepada Beckham.
Selepas gol itu terhasil, ramai yang mula
membandingkan `kecantikan’ jaringan itu dengan jaringan setengah padang Rivaldo
pada 1993 atau voli Nayim yang menewaskan David Seaman pada 1995. Bagaimanapun
menurut Fergie, gol Beckham lebih mengagumkan manakala Nayim dibantu faktor
nasib ketika beliau melakukan jaringan ke gawang Arsenal.
Ketepikan perdebatan tentang gol mana yang
lebih cantik kerana apa yang pasti selepas 17 Ogos 1996, lensa kamera dan
sorotan mata peminat mula terarah kepada kelibat Beckham, manakala cerita
sensasi luar padang beliau menjadi modal pihak akhbar melariskan jualan mereka.
Anggota
Backstreet Boys Ke-6...
Selepas 17 Ogos 1996 juga, Fergie mula
mendapati tugas beliau dalam melindungi pemain-pemain mudanya terutama Beckham
dari godaan populariti serta segala aktiviti luar padang yang boleh menjejaskan
prestasi pemainnya menjadi semakin berat dan sukar.
Meskipun Fergie berjaya melakukannya kepada
Ryan Giggs sebelum ini, Beckham adalah cabaran yang berbeza buat beliau. Jika
George Best pernah dilabel sebagai `Anggota The Beatles Ke-6’, Beckham pula saya
anggap `Anggota Backstreet Boys Ke-6’ kerana ketampanan wajah dan populariti
luar padang yang diraihnya.
Penampilan, wajah tampan dan kelincahannya di
atas padang menyebabkan peminat-peminat wanita tidak kira sama ada mereka
penyokong United atau tidak boleh histeria setiap kali menyaksikan
aksinya...fenomena sama yang pernah dicetuskan Backstreet Boys di atas pentas
ketika zaman kegemilangan mereka di era 90an.
Status Beckham kini bertukar dari seorang
anak muda kota London yang merantau ke Manchester demi mengasah bakat
bolasepaknya kepada `superstar dalam pembikinan’. Tajaan datang mencurah, dari
jenama barangan sukan, produk penjagaan rambut hinggalah pakaian dalam
menyaksikan Beckham muncul antara pemain muda yang menerima pendapatan paling
lumayan ketika itu.
Populariti
Yang Menamatkan Karier Beckham Di Old Trafford...
Ketika populariti Beckham menjulang tinggi, fokus
beliau di padang latihan juga mula terganggu dan hal ini sangat merimaskan
Fergie, tambahan pula selepas perkahwinannya dengan bintang pop Britain,
Victoria Adam. Sering lewat tiba di padang latihan serta mudah hilang fokus
menyebabkan hubungan Beckham dan Fergie yang dahulunya umpama ayah dan anak mulai
retak.
Kemuncak amarah Fergie akhirnya meledak pada
16 Februari 2003 selepas perlawanan menentang Arsenal di pusingan keenam Piala
FA yang menyaksikan United tewas 0-2 di Old Trafford. Insiden `boot terbang’ di bilik persalinan yang
menyaksikan imej Beckham dengan kening bertampal tersebar di dada akhbar
keesokan harinya petanda awal bahawa karier `anak emas’ ini bersama kelab bakal
berakhir.
Akhirnya di penghujung musim (2002-03) Fergie
menerima tawaran dari Real Madrid untuk mendapatkan Beckham, sekaligus menamatkan
karier 11 tahun beliau bersama skuad senior. Selepas itu Beckham tidak lagi
kembali ke Old Trafford sebagai pemain United tetapi peranan dan sumbangannya masih
diingati manakala kelibatnya masih dirindui penyokong-penyokong hingga
sekarang.
Insiden yang berlaku 14 tahun lalu itu
bukanlah penamat sempurna kepada karier gemilang Beckham di Old Trafford tetapi
itulah harga yang terpaksa beliau bayar kerana kegagalan sendiri dalam
mengendalikan publisiti meluas dan kehidupan selebriti luar padangnya.
Gol sensasi yang dicipta Beckham ke gawang Wimbledon
pada 17 Ogos 1996 itu mengubah cara hidup dan karier beliau secara drastik.
Sorotan berlebihan media dan gangguan luar padang yang gagal beliau tangani
dengan baik akhirnya menyebabkan Beckham `disingkir’ Fergie dari Old Trafford.
Meninggalkan United bukanlah pilihan yang
dimahukan Beckham tetapi Fergie juga tiada pilihan lain selain menyingkirkan
`anak emasnya’ itu. Fergie tidak mahu populariti melampau Beckham boleh merebak
menjadi barah pembunuh kepada dinasti gemilang yang sudah beliau bina selama
bertahun-tahun walaupun dalam masa sama beliau juga sedar menyingkirkan `anak
emasnya’ itu bukanlah sesuatu yang mudah...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan