Dua keputusan seri dalam masa empat hari dan
kedua-duanya berlaku ketika Manchester United bermain di gelanggang sendiri. Mengecewakan?
Ya...memang mengecewakan terutamanya bila melihat United `ditendang’ kembali di
kedudukan keenam liga selepas berbulan-bulan mereka berjuang untuk berada di
kelompok lima teratas.
Ketika masa semakin singkat, ketika peluang
semakin mengecil dan ketika baki perlawanan semakin berkurangan, United tidak
lagi boleh keciciran banyak mata selepas ini jika mereka mahu layak ke saingan
Liga Juara-Juara musim hadapan selaku pasukan yang berada di kelompok empat
teratas liga.
Melihat kepada pasukan-pasukan yang bakal
United hadapi selepas ini dari baki sembilan perlawanan mereka, misi Jose
Mourinho meletakkan kelab kembali di kelompok empat teratas di penghujung musim
nanti menjadi semakin sukar. Jadi apa yang perlu dilakukan Mourinho? Cari jalan
bagaimana mahu menembusi pintu gol lawan yang seolah-olah semakin `mengecil’
untuk United sejak kebelakangan ini.
Benarkah
Van Gaal Lebih Bagus Berbanding Mourinho?...
Perbandingan inilah yang sering dibuat
penyokong-penyokong United sejak akhir-akhir ini. Semasa musim pertama Van Gaal
di Old Trafford, skuad kendalian beliau berjaya mengumpul 58 mata dari 29
perlawanan liga...dua mata mengatasi Mourinho menerusi jumlah perlawanan yang
sama.
Ya...dari segi jumlah mata yang berjaya
dikumpul, Van Gaal berjaya mengatasi Mourinho. Tetapi jangan lupakan fakta
bahawa topik paling hangat yang sering dibincangkan di kalangan
penyokong-penyokong ketika era Van Gaal ialah bagaimana United bertukar dari
pasukan yang menarik disaksikan aksi mereka kepada pasukan yang sangat
membosankan.
United di era Van Gaal jelas mengetepikan
tradisi permainan menyerang mereka hinggakan adakalanya barisan pemainnya sukar
melakukan kebangkitan jika lawan berjaya menjaringkan gol pendahuluan. Jadi tidak
hairan jugalah mengapa musim lalu United cuma mampu menjaringkan 28 gol dari 23
penampilan liga dengan Wayne Rooney muncul penjaring terbanyak menerusi enam
gol.
Musim ini United jelas pasukan yang jauh berbeza
di bawah kendalian Mourinho. Meskipun sebelumnya ramai yang melabelkan beliau
sebagai seorang yang `pragmatik’, United kembali bermain menyerang, kembali
menghiburkan kita dan kembali membuatkan jantung kita berdegup kencang setiap
kali menyaksikan aksi mereka di atas padang.
Van Gaal pada musim pertamanya berjaya
membawa kelab kembali ke kelompok empat teratas dan bermain di Liga Juara-Juara
musim berikutnya (2015-16) selain kejuaraan Piala FA yang berjaya dimenangi (musim
lalu) buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.
Mourinho pula pada musim pertama beliau di
Old Trafford berjaya mengemudi kelab menjulang kejuaraan Piala Liga selain berpotensi
mencipta sejarah selaku pengurus pertama United yang berjaya menjulang trofi
Liga Europa. Jika beliau gagal membawa kelab berada di posisi empat teratas
sekalipun, United tetap berpeluang beraksi di Liga Juara-Juara musim depan
asalkan mereka menjulang trofi Liga Europa di Solna nanti.
Mampu
Keluar Dari Tekanan...
Everton muncul pasukan kesembilan musim ini
yang berjaya mengikat United di Old Trafford dan itu juga bermakna United cuma mengutip
27 mata dari 16 aksi di gelanggang sendiri. Masih terlalu awal untuk menyerah
kalah kerana United masih memiliki baki sembilan perlawanan liga yang perlu
mereka selesaikan musim ini.
United bakal berdepan perlawanan sukar di gelanggang
lawan menentang Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Manchester City manakala aksi
menentang Chelsea 16 April ini di Old Trafford pula peluang terbaik untuk Mourinho
menebus kembali kekalahan besar yang dialami skuadnya ketika mereka bertandang ke
Stamford Bridge Oktober lalu.
Menyaksikan jadual padat bulan April dan baki
perlawanan yang perlu diharungi United selepas ini, secara realistiknya peluang
merebut posisi empat teratas memang sukar. Bagaimanapun Mourinho merupakan
pengendali yang sangat berpengalaman, biasa berdepan tekanan dan sentiasa punya
cara untuk keluar dari tekanan.
United sendiri memiliki beberapa pemain yang
kaya dengan pengalaman untuk memimpin rakan-rakan yang lain ketika berdepan
detik-detik sukar. Ketika inilah pemain-pemain seperti Michael Carrick, Zlatan
Ibrahimovic, Wayne Rooney dan Juan Mata perlu menunjukkan karakter sebenar
mereka.
Semoga
Tuah Tidak Terlalu Menjauhi United....
Saya masih beranggapan keputusan-keputusan
seri yang dicatatkan United sebelum ini banyak dibantu faktor tuah yang
menjauhi mereka. Tidak perlu memandang terlalu jauh kerana aksi menentang
Everton contoh terbaru dan paling hampir.
Kesilapan pembantu pengadil yang membatalkan
jaringan Ibra meskipun beliau tidak berada di posisi offside, tandukan Paul Pogba yang sekadar singgah ke palang gol
selain tindakan cemerlang Joel Robles yang menyelamatkan sepakan percuma Daley
Blind di babak pertama sekadar menguatkan lagi andaian saya bahawa tuah
sentiasa menjauhi United musim ini.
Musim ini kita sudah menyaksikan sembilan
percubaan yang dilakukan Pogba singgah sama ada di palang atau tiang gol lawan.
Cuba bayangkan bagaimana sekiranya separuh dari jumlah percubaan itu tepat ke
sasaran dan berapa jumlah mata yang berjaya dikutip United jika sembilan percubaan-percubaan
Pogba yang tersasar itu menghasilkan gol.
Selain perlukan lebih ketajaman dalam
menyudahkan peluang ketika di hadapan pintu gol lawan, elemen tuah juga sebenarnya
sangat diperlukan United ketika ini dalam usaha mereka mengejar misi posisi
empat teratas. Berbaki sembilan aksi liga musim ini, berharaplah semoga tuah
tidak terlalu menjauhi United.
United
Perlukan Lebih Dari Sekadar Rekod...
Keputusan seri yang dicatatkan ketika
menentang Everton juga menyaksikan United kini sudah mengharungi 20 perlawanan
liga tanpa kalah. Catatan itu memang masih jauh dari rekod `Invincibles’ Arsenal yang dilakukan
mereka dari Mei 2003 hingga Oktober 2004.
Tidak tewas dalam 20 perlawanan liga dalam
era bolasepak moden memang sesuatu yang boleh dianggap luar biasa malah United juga
boleh memanjangkan catatan ini jika mereka tidak tewas dalam baki sembilan
perlawanan selepas ini. Bagaimanapun untuk mengisi posisi empat teratas dan
layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan, United perlu mengumpul sebanyak
mata yang boleh.
Gagal mengisi posisi empat teratas tetap satu
tamparan hebat pada musim pertama Mourinho di Old Trafford walaupun sekiranya
United berjaya memanjangkan angka 20 perlawanan tanpa tewas kepada 29 di
penghujung musim nanti. United sudah berada di peringkat suku akhir Liga Europa
tetapi perjalanan mereka untuk menjulang trofi tersebut masih lagi jauh.
Mengharapkan agar kelab berjaya merebut tiket
ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selaku juara Liga Europa tetap satu
risiko yang tinggi. Jadi United perlu mengumpul sebanyak mungkin mata pada baki
sembilan perlawanan liga selepas ini demi memastikan misi berada di kelompok
empat teratas tercapai.
Ketika kita mendapati pintu gol lawan semakin
`mengecil’ dan ketika kelab semakin kesuntukan masa, berharaplah semoga
Mourinho ada idea dan cara bagaimana mahu membawa United kembali meraih
kemenangan. Kelompok empat teratas tetap misi yang perlu disempurnakan dan
semoga tuah juga mengiringi United dalam menyempurnakan misi tersebut...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan