09 April 2017

KALAULAH ADA CHICHARITO....

37 gol dari 103 penampilan liga tentu jumlah jaringan yang banyak dari seorang `supersub’ seperti Javier Hernandez aka Chicharito. Beliau ditandatangani Sir Alex Ferguson pada 2010, ketika beliau baru berusia 22 tahun dan dianggap masih lagi muda ketika itu. Keputusan Fergie menandantangani Chicharito juga menyaksikan beliau muncul pemain Mexico pertama yang menyarung jersi United.

Fergie sudah memantau aksi Chicharito bersama Chivas De Guadalajara selama berbulan-bulan sebelum mengambil keputusan menandatanganinya. Meskipun pada awalnya keputusan Fergie membawa Chicharito ke Old Trafford diperdebatkan oleh para pengkritiknya, namun penyerang Mexico itu segera memadam keraguan apabila beliau meledak 13 gol pada musim pertamanya di Liga Perdana.

Berbekalkan kelajuan yang dimilikinya, Chicharito menjaringkan banyak gol menerusi kecenderungan beliau meletakkan posisinya sebaris dengan garisan terakhir pertahanan lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa tipikal permainan Chicharito dikatakan mirip kepada Fillipo Inzaghi dan kecenderungan tersebut juga sebenarnya menyaksikan beliau sering terjebak dengan perangkap `offside’ lawan.

Di era Fergie, Chicharito membina reputasi sebagai antara penyerang berbahaya di Liga Perdana menerusi ketajaman beliau menyempurnakan peluang dari jarak dekat. Dan sepanjang tiga musim pertamanya di Old Trafford, beliau tidak dapat mengelak dari dibandingkan dengan legenda United, Ole Gunnar Solskjaer kerana persamaan peranan yang dimainkannya dari bangku simpanan.

Sepertimana Solskjaer, Chicharito juga sering menjaringkan gol-gol penting setiap kali Fergie mengarahkan beliau masuk sebagai pemain gantian. Walaupun beliau bukanlah seorang `finisher’ yang lengkap seperti Wayne Rooney, Robin Van Persie dan kini Zlatan Ibrahimovic, kemampuan Chicharito meletakkan dirinya di posisi yang tepat untuk menyudahkan hantaran rakan sangat-sangat mengagumkan.

Melihat bagaimana sukarnya United menjaringkan gol dan banyaknya keputusan-keputusan seri yang dicatatkan mereka musim ini, saya lantas terfikir alangkah bagusnya jika ketika ini kelab masih memiliki Chicharito. Jose Mourinho juga mengakui betapa pentingnya kehadiran pemain seperti Chicharito yang bijak menterjemahkan peluang kepada jaringan gol ketika berada dalam petak penalti lawan.

Keluhan Mourinho ada sebabnya kerana berbanding enam lagi kelab yang menghuni kelompok tujuh teratas, United merupakan pasukan yang paling kurang menjaringkan gol. Malah Everton yang berada di tangga ketujuh liga mendapati barisan hadapan mereka lebih produktif apabila anak-anak buah Ronald Koeman sudah menjaringkan 53 gol (berbanding 43 gol oleh United) setakat ini.

Kebergantungan United terhadap ketajaman Ibra dan ketumpulan jentera serangan ketika berada dalam petak penalti lawan menyebabkan Mourinho kembali terfikir mengapa United sanggup melepaskan Chicharito berpindah secara tetap ke Bayer Leverkusen dua tahun lalu. Adakah itu petanda bahawa Mourinho sedang merangka peluang untuk membawa kembali Chicharito pulang ke Old Trafford?

Mungkin timbul perdebatan di kalangan anda tentang hal ini memandangkan Chicharito kini sudah pun berusia 28 tahun, bukan pemain ternama, jadi beliau juga bukanlah prospek penyerang yang sebahagian besar dari anda impikan untuk Mourinho tandatangani musim panas nanti. Tapi secara peribadi saya melihat tiada salahnya jika Mourinho membawa kembali Chicharito beraksi di Old Trafford.

Musim lalu beliau menjaringkan 17 gol dari 28 penampilan untuk Leverkusen di mana dari jumlah tersebut beliau cuma diturunkan selama 90 minit dalam 14 perlawanan liga. Musim ini pula beliau sudah menjaringkan 10 gol dari 23 penampilan di mana Tayfun Korkut menurunkan beliau selama 90 minit dalam 13 perlawanan (liga).

Melihat kepada statistik di atas, jelaslah bahawa peranan Chicharito tidak kira di kelab mana pun beliau bermain dari dulu hingga kini tetap tidak berubah, iaitu sebagai `supersub’. Dan untuk seorang pemain yang mampu menjaringkan nisbah hampir satu gol per perlawanan dari bangku simpanan tentulah catatan yang sangat mengagumkan.

Henrikh Mkhitaryan, Paul Pogba dan Juan Mata antara pemain yang memiliki kreativiti tinggi dalam skuad Mourinho tetapi lebih daripada itu beliau juga sebenarnya perlukan seorang pemain yang memiliki `killer instinct’ dalam menyudahkan peluang. Dan perlu juga diakui bahawa berbanding ketika era Fergie, Mourinho sebenarnya tidak memiliki ramai penjaring gol tulen dalam skuadnya.

Agak malang bila melihat ketika United tampil dominan, menguasai segenap penjuru padang dan kembali bermain bolasepak menyerang, mereka akhirnya gagal keluar sebagai pemenang hanya disebabkan tiada seorang `finisher’ yang mampu menyelesaikan peluang terhidang di dalam petak penalti lawan.

Masalah terbesar yang dihadapi Mourinho musim ini sebenarnya ialah beliau tiada seorang `finisher’ tipikal seperti Chicharito, pemain yang sangat cekap menghidu peluang dan kesilapan lawan hinggakan beliau mampu menjaringkan gol walaupun cuma diturunkan ketika tempoh permainan berbaki 10 atau 20 minit.

Ya...Mourinho mengakui beliau perlukan penyerang seperti Chicharito, seorang penyerang yang walaupun tidak dianugerahi skill kawalan bola memukau tetapi sentiasa mampu menterjemahkan peluang sebesar 20% atau 30% kepada jaringan gol dan pemain yang sentiasa tahu meletakkan dirinya di posisi dan masa yang tepat untuk menerima `rebound’ hasil kesilapan lawan atau ketika menerima hantaran rakan.

Chicharito memang tidak dianugerahi skill kawalan bola memukau seperti Neymar atau Ronaldinho dan juga Cristiano Ronaldo tetapi beliaulah tipikal penyerang yang sangat-sangat diperlukan Mourinho. Ketika skuadnya tidak menjaringkan cukup gol hinggakan mereka bergelut untuk merebut slot empat teratas, hanya nama Chicharito terlintas dalam fikiran Mourinho...bukan Neymar, bukan Robert Lewandowski dan bukan juga Antoine Griezmann. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan