Kemenangan penting....itu sahaja perkataan
paling sesuai selepas menyaksikan Manchester United menewaskan Chelsea di Old
Trafford semalam. Ya...kemenangan itu sangat penting kepada United dalam misi mereka
memburu posisi empat teratas sekaligus menyaksikan perlumbaan merebut kejuaraan
liga yang membabitkan perhitungan dua penjuru antara Tottenham Hotspurs dan The Blues semakin menarik.
Selepas kecewa dengan keputusan seri yang
dicatatkan ketika berdepan Anderlecht dalam aksi Liga Europa dua hari
sebelumnya, United membuktikan walaupun tanpa kelibat Zlatan Ibrahimovic di
barisan hadapan, dan banyaknya keputusan seri yang dicatatkan mereka di
gelanggang sendiri sebelum ini, bukan mustahil untuk barisan Jose Mourinho itu
menundukkan Chelsea yang hadir dengan keyakinan tinggi selaku pendahulu liga.
Kenapa
Ibra Di Letakkan Di Bangku Simpanan?....
Sangat mengejutkan bila melihat lineup United di Old Trafford semalam tanpa
nama Ibra. Jika sebelumnya kita sering menyebut bahawa United `tidak boleh
hidup’ tanpa Ibra tetapi semalam mereka membuktikan sebaliknya.
Meletakkan Ibra di bangku simpanan ketika
menentang lawan yang merupakan pendahulu liga serta dua kali menewaskan mereka
sebelum ini saya anggap sesuatu yang `gila’, tetapi keputusan berani Mourinho
itu akhirnya membuahkan hasil.
United ada pengalaman bermain menentang
Chelsea tanpa Ibra iaitu semasa aksi suku akhir Piala FA, 14 Mac lalu. Dalam
perlawanan itu mereka bermain jauh lebih baik berbanding kunjungan pertama di
Stamford Bridge yang menyaksikan mereka dibelasah 0-4.
Tanpa Ibra yang menjalani penggantungan tiga
perlawanan ketika itu, Mourinho meletakkan Marcus Rashford selaku penggempur
utama di mana kepantasan yang dimiliki penyerang muda itu sering memberikan
masalah kepada David Luiz dan Gary Cahill.
Prestasi bagus yang ditunjukkan beliau ketika
diletakkan sebagai penggempur utama di Stamford Bridge 14 Mac lalu diulangi
lagi Rashford semalam. Bijak mencari ruang kosong di celah pertahanan lawan
sambil dibantu kelajuan dan ketajaman melakukan penyudah menyaksikan Rashford
memerlukan hanya 7 minit untuk menembusi gawang pelawat.
Jelas kelajuan yang dimilikinya serta skill
kawalan bola yang bagus dari sepasang kakinya sering memberikan ancaman kepada
benteng pertahanan Chelsea dan aset itulah yang sangat-sangat diperlukan
Mourinho semalam.
Berikan beliau sedikit masa, peluang bermain
lebih kerap dan dalam masa yang sama belajar dari Ibra untuk lebih tajam dalam
menyudahkan peluang ketika berada di hadapan gawang lawan. Percayalah dalam
tempoh setahun atau dua lagi, Rashford akan muncul selaku penggempur yang jauh
lebih lengkap berbanding sekarang.
3-5-2
vs 3-4-3...
Sama seperti aksi menentang Chelsea di
Stamford Bridge 14 Mac lalu, Mourinho sekali lagi menggunakan sistem tiga
pertahanan menerusi formasi 3-5-2 yang diterapkan beliau dalam permainan
United. Di benteng beliau meletakan trio Eric Bailly, Matteo Darmian dan Marcos
Rojo manakala Jesse Lingard serta Marcus Rashford pula bertindak selaku
pasangan penggempur di barisan hadapan.
Bailly dan Rojo terutamanya melakukan tugas
mereka dengan cukup berkesan dalam membayangi pergerakan Diego Costa sepanjang
perlawanan. Mudah sebenarnya menangani pemain yang `temperemental’ seperti Costa biarpun saya mengakui penyerang
antarabangsa Sepanyol itu memiliki ketajaman yang sangat bagus dalam
menyudahkan peluang.
Apa yang perlu dilakukan Bailly dan Rojo
ialah sentiasa berada dekat dengan Costa, menutup ruang dan kalau perlu
melakukan pelanggaran-pelanggaran yang mampu menjejaskan fokus penggempur panas
baran The Blues itu. Hasilnya seperti
yang anda dapat lihat, Costa sering kelihatan agak emosional sepanjang
permainan hingga menjejaskan prestasi keseluruhannya di atas padang.
Sepanjang perlawanan, Costa cuma mampu
melepaskan satu percubaan (itu pun tersasar) selain gagal mencipta sebarang
peluang jaringan gol. Begitu jugalah halnya dengan Eden Hazard, pemain yang
sangat menonjol dalam skuad Antonio Conte musim ini tetapi pergerakannya
berjaya dikunci Ander Herrera.
Strategi
Khusus Mourinho Terhadap Herrera...
Herrera pada saya pemain United paling
menonjol semalam menerusi kerja kerasnya menghidupkan bahagian tengah, lantas
penampilan beliau sepanjang 90 minit permainan mengundang pujian menggunung
dari Gary Neville.
Di atas padang, Mourinho memberikan tugas
kepada Rojo dan Bailly menghentikan pergerakan Costa, Marouane Fellaini
membayangi Nemanja Matic manakala Herrera pula `pendamping’ paling akrab kepada
Hazard.
Hazard seperti yang anda tahu merupakan jenis
pemain yang gemar bertukar-tukar posisi namun itu tidak menghalang Herrera dari
terus membayangi setiap pergerakan pemain yang saya anggap paling berbahaya
dalam skuad Chelsea itu.
Tugas Herrera bukan sekadar menjadi
`bayang-bayang’ kepada Hazard tetapi kelibatnya juga diperlukan dalam situasi offensive. Hasilnya satu assist dan satu gol berjaya beliau
sumbangkan semalam.
Gol jaringan Herrera di minit ke-49 itu juga
merupakan gol sulung beliau dari 25 penampilan liga musim ini. Pertembungan
Herrera dan Hazard sebenarnya mewarnai aksi di Old Trafford walaupun sebelumnya
saya sangat teruja menanti apa yang bakal dilakukan Paul Pogba untuk mengatasi
N’Golo Kante.
Strategi
Mourinho `Mematikan’ Chelsea...
Skema permainan United terutamanya di babak
pertama sangat menyukarkan Chelsea ketika mereka melakukan serangan. Musim ini
Chelsea sangat dikenali kerana bahayanya mereka ketika melakukan `counter attack’, tetapi ketika Hazard, Kante
dan Costa berjaya dikunci, tidak banyak yang mampu dilakukan mereka dalam
memberikan ancaman kepada David De Gea.
Melihat bagaimana sukarnya menembusi benteng
pertahanan United, Conte menggantikan Victor Moses dengan Cecs Fabregas di
babak kedua dan menggunakan empat pemain pertahanan bagi mengawal
serangan-serangan United dari sebelah sisi kiri dan kanan. Manakala Mourinho
pula memasukkan Michael Carrick untuk menambah kekuatan di bahagian tengah.
Perubahan strategi Conte mula membuahkan
hasil apabila mereka mula menguasai bola lebih lama dan lebih dominan berbanding
sebelumnya. Walau bagaimanapun United kekal dengan corak permainan berdisiplin
ketika bertahan dengan Rojo dan Bailly muncul watak utama dalam menghentikan sebarang
usaha dan ancaman yang cuba dihadirkan Costa.
Chelsea
Berjaya `Dineutralkan’...
Dua kali terpaksa menelan kekalahan di tangan
Conte, Mourinho nampaknya sudah belajar dan memiliki cara bagaimana mahu menghentikan
Chelsea kali ini. Untuk rekod juga tiada mana-mana pengurus yang berjaya
menewaskan Mourinho dua kali dalam tempoh enam musim terakhirnya dalam aksi di
Liga Perdana.
Menerusi formasi 3-5-2 beliau, Chelsea
berjaya `dineutralkan’ hinggakan barisan kendalian Conte gagal melepaskan
sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan buat pertama kali dalam
saingan liga sejak September 2007.
Secara tepatnya, Mourinho kini sudah mempunyai
jawapan dalam menangani formasi 3-4-3 Conte, atau mungkin juga beliau belajar
dari kejayaan Crystal Palace ketika mereka menewaskan Chelsea di Stamford
Bridge 1 April lalu.
Ketiadaan Marcos Alonso juga memberikan kesan
kepada permainan Chelsea dan ketika Hazard di bayangi Herrera sepanjang
permainan, Conte mendapati skuadnya hilang keseimbangan lantas memudahkan lagi kerja
United menghantar mereka pulang ke Stamford Bridge dengan tangan kosong.
Misi
`Top Four’ Yang Masih Menyala...
Ini merupakan persembahan terbaik pernah saya
saksikan dari kesebelasan United musim ini tambahan pula mereka menewaskan
pendahulu liga dan skuad yang cukup konsisten seperti Chelsea. Ketika pencabar
kelompok empat teratas seperti Manchester City dan Liverpool menang perlawanan
masing-masing, United tiada cara lain selain menewaskan Chelsea untuk kekal
mencabar.
Ketika jalan ke Liga Juara-Juara musim depan
masih terbuka asalkan Unted muncul juara Liga Europa, Mourinho tetap melihat
posisi empat teratas sebagai kepentingan yang harus diletakkan di tempat
teratas. Memandangkan jurang mata antara United, Arsenal, Manchester City dan
Liverpool terlalu rapat, tiada salahnya jika Mourinho meletakkan fokus menjuarai
Liga Europa dan empat teratas sebagai misi yang wajib disempurnakan...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan