30 Oktober 2020

FRED `THE RED'

 


Musim pertamanya di Old Trafford, Fred terpaksa bergelut dalam usaha beliau menampilkan prestasi terbaiknya, malah pada satu peringkat penampilan beliau di atas padang sering dijadikan bahan jenaka. Pada 2019, The Sun memberikan Fred `pengiktirafan’ dengan menyenaraikan namanya dalam `Kesebelasan Terburuk Liga Perdana’ bagi musim 2018/19 bersama-sama tiga lagi pemain United (Ashley Young, David de Gea dan Alexis Sanchez).

 

Laporan-laporan media ketika itu juga menyebut bahawa Fred bukanlah pemain yang dimahukan Jose Mourinho kerana pengendali dari Portugal itu sebenarnya meletakkan Antoine Griezmann sebagai sasaran utama. Jadi mungkin atas dasar itu jugalah Fred sering dipinggirkan ketika era pengurusan Mourinho. Berbanding peranan besar yang dimainkannya ketika bersama Shakhtar Donetsk, Fred pada peringkat awal ketibaan beliau di Old Trafford tidak lagi kelihatan dinamik sebagai pemain tengah.

 

Fred di Old Trafford bukan lagi Fred yang kita pernah lihat aksinya ketika masih bersama Shakhtar Donetsk, seorang box to box midfielder yang kerap digunakan Mircea Lucescu atau Paulo Fonseca untuk merosakkan tempo permainan lawan ketika bertahan atau merancang gerakan dalam situasi offensive. Akibatnya sepanjang sebelas penampilan beliau di bawah kendalian Mourinho, Fred hilang penguasaan bola sebanyak 18 kali, 17 kali melakukan kekasaran, hanya 13 kali melepaskan percubaan dan cuma empat kali berjaya melakukan dribble.

 

Kemuncak kesabaran Mourinho tiba juga apabila selepas kekalahan kepada Valencia dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, beliau secara terbuka mengeluarkan kenyataan bahawa tempoh Fred di Old Trafford sudah berakhir. Bagaimanapun takdir Tuhan berkata sebaliknya kerana hanya enam hari selepas kenyataan yang beliau buat, Mourinho teraksa menerima hakikat bahawa tempoh beliau di Old Trafford berakhir lebih awal berbanding Fred.

 

Kehadiran Ole Gunnar Solskjaer seolah-olah memberikan satu sinar baharu kepada karier Fred. Malam penuh keajaiban di kota Paris saat United menyingkirkan Paris St Germain dari saingan Liga Juara-Juara  pada Mac tahun lalu, boleh dianggap sebagai turning point kepada kebangkitan beliau. Meskipun selepas itu United disingkir Barcelona di peringkat suku akhir, Fred membuktikan kepada pengkritiknya bahawa  jika mereka mahu melihat prestasi terbaiknya, letakkan beliau di posisi idealnya.

 

Peter Schmeichel melabelkan Fred sebagai `Kisah Hebat’ di sebalik peningkatan United pada fasa kedua saingan liga musim lalu. Manakala Pep Guardiola pula melabel Fred sebagai `pemain yang luarbiasa’ selepas skuadnya tewas (0-2) dalam kunjungan mereka ke Old Trafford pada Mac lalu. Pada awal pagi Khamis saat United menerima kunjungan RB Leipzig, Fred sekali lagi memainkan peranan pentingnya di jentera tengah The Red Devils.

 

Sorotan selepas perlawanan memang terarah kepada Marcus Rashford menerusi hatrik sensasi yang dihasilkannya dalam perlawanan itu. Tetapi jauh di sebalik tabir, ada seorang pemain yang kelibatnya sering sahaja kita terlepas pandang. Tentunya pemain yang saya maksudkan ialah Fred. Sepanjang babak pertama, dalam pertempuran yang begitu sengit di zon tengah padang, United tidak akan mampu menangani strategi counterpressing Leipzig tanpa pemain seperti Fred.

 

Dan sepanjang perlawanan, pemain kelahiran Belo Horizonte itu melakukan 72 sentuhan, melepaskan 12 umpanan ke zon final third lawan, melakukan empat tactical fouls, tiga intercept, tiga clearance, dua percubaan dan dua tackle bersih. Mungkin juga ada yang terlepas pandang kerana dua ball recoveries yang dilakukan Fred turut menghasilkan dua gol dalam perlawanan itu (gol pertama dan gol ketiga United).

 

Dari pemain yang hampir terbuang, Fred kini berubah kepada pemain yang kita mahu sentiasa lihat kelibatnya dalam setiap perlawanan. Bukan kerana skill permainan memukau yang dimilikinya, tetapi kerana kerja keras dan disiplin tinggi permainan yang ada pada beliau. Dan Fred sentiasa akan berada di belakang tabir, memainkan peranan pentingnya di jentera tengah United meskipun kadangkala sumbangan besarnya tidak pernah kita sedari. Glory Glory Manchester United!!!



29 Oktober 2020

PREVIEW: NAGELSMANN DATANG DENGAN REPUTASI...TAPI KUNCI PERLAWANAN DI TANGAN SOLSKJAER

 


Mereka datang ke Old Trafford dengan reputasi selaku pendahulu serta catatan rekod tanpa kalah dalam saingan Bundesliga dari lima perlawanan. Sebelum pertembungan antara Manchester United dan RB Leipzig ini berlangsung, hanya Bayern Leverkusen satu-satunya pasukan yang berjaya mencalarkan rekod kemenangan 100% barisan kendalian Julian Negelsmann itu apabila kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri (1-1) dalam aksi yang dilangsungkan pada 26 September lalu.

 

Musim lalu RB Leipzig antara empat pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir sebelum perjalanan epik mereka disekat Paris St Germain. Musim ini, sepertimana United, mereka juga memulakan aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara dengan catatan kemenangan selepas menewaskan Istanbul Basaksehir (2-0) di Red Bul Arena. Melihat kepada prestasi terkini, memang wajarlah sebelum perlawanan Nagelsmann melaungkan amaran bahawa mereka datang ke Old Trafford berbekalkan misi untuk menang.

 

Pemegang Kunci Perlawanan

 

Di atas kertas segala aspek nampaknya menyebelahi Nagelsmann berbanding Ole Gunnar Solskjaer. Di Hoffenheim beliau mengubah skuad bergelar Die Kraichgauer itu dari kesebelasan yang sering bergelut di zon penyingkiran kepada kesebelasan yang bersaing untuk slot ke Liga Juara-Juara. Di Red Bull Arena pula, sentuhan magis Nagelsmann menyaksikan Leipzig cuma tewas tujuh kali dari 54 perlawanan di bawah kendalian beliau.

 

Berbanding Leipzig, United pula sekadar berada di tangga ke-15 liga selepas mereka memungut tujuh mata dari lima aksi setakat ini. Jika diambilkira bahawa ini merupakan musim penuh kedua Solskjaer selaku pengendali di Old Trafford, beliau sepatutnya boleh menjadikan United kesebelasan yang lebih baik berbanding apa yang anda lihat sekarang. Di bawah kendalian beliau, United mencatatkan purata 1.79 mata, 1.80 gol dan 1.10 bolos per perlawanan.

 

Bagaimanapun segala kelebihan di atas kertas milik Nagelsmann tidak berguna ketika aksi sebenar berlangsung di atas padang. Jika sebelum perlawanan beliau begitu optimis bahawa kesebelasannya bakal pulang semula ke Jerman dengan sebuah senyuman, hakikatnya di akhir perlawanan ialah Old Trafford umpama neraka buat pendahulu Bundesliga itu.

 

Menyaksikan pintu gol skuadnya bolos lima kali tentulah sesuatu yang tidak pernah difikirkan Nagelsmann, tetapi itulah realiti bolasepak. Tiada salahnya dengan strategi `counterpressing’ yang digunakan kebanyakkan pengurus bolasepak moden ketika ini dan Nagelsmann tidak terkecuali. Bagaimanapun `pemegang kunci perlawanan’ ialah Solskjaer menerusi tindakan bijak beliau memasukkan Marcus Rashford di pertengahan babak kedua.

 

Hasilnya selepas 13 minit Rashford dimasukkan, United menambah empat gol lagi menerusi hatrik yang dijaringkan beliau (minit ke-76, 78 dan 90+2) manakala satu lagi gol dijaringkan Anthony Martial menerusi sepakan penalti (minit ke-86). Tiga gol yang dijaringkan Rashford dalam perlawanan ini menyaksikan beliau muncul pemain kedua United selepas Solskjaer yang berjaya menjaringkan hatrik selaku pemain gantian. Untuk rekod, Solskjaer melakukannya ketika berdepan Nottingham Forest pada Februari 1999.

 

Sepertimana yang saya sebutkan tadi, Solskjaer berjaya mengatasi strategi `counterpressing’ Nagelsmann dan keluar sebagai pemenang kerana beliau memegang `kunci perlawanan’ menerusi keberadaan Marcus Rashford. Selain daripada itu jangan lupakan sumbangan Bruno Fernandes yang mengubah `wajah’ jentera tengah United selepas beliau masuk menggantikan Donny Van de Beek di minit ke-68.

 

Jika Rashford dinamakan selaku pemain terbaik perlawanan menerusi hatrik yang dihasilkannya, kehadiran Bruno pula menyaksikan United secara tiba-tiba menguasai bola di bahagian tengah, sesuatu yang gagal dilakukan mereka sepanjang 68 minit aksi berlangsung. Satu lagi bantuan gol yang diciptanya menyaksikan Bruno sudah mengumpul 12 assist sejak melakukan debut untuk United pada Februari lalu, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain United setakat ini.

 

Memang Begitu Cara Mason

 

Selain dari hatrik yang disumbangkan Rashford, salah satu momen yang menjadi sorotan dalam perlawanan ini ialah gol jaringan pertama United yang disumbangkan Mason Greenwood. Bagi anda yang sering menyaksikan Mason bermain, cara beliau menjaringkan gol tersebut bukanlah terlalu asing. Gol itu tampak mudah disempurnakan Mason tetapi gol itu juga adalah bukti efisiensi tinggi yang dimiliki penggempur muda itu dalam menyudahkan peluang.

 

Mengulas tentang perkara tersebut, Solskjaer berkata, “Dia pada kebiasaannya menjaringkan gol menerusi percubaan pertama. Dia sangat efisien di depan gawang, finisher yang bagus dan saya sangat berpuashati dengan penampilannya. Masa yang tepat ketika dia melakukan larian, sambil dibantu umpanan berkualiti dari Pogba hinggakan saya tidak pasti adakah dia offside atau tidak. Selepas itu pengadil melakukan keputusan yang sangat penting buat kami.

 

Simpati Untuk Dayot?

 

Salah satu daya tarikan dalam perlawanan ini ialah sosok pemain pertahanan kental milik Leipzig. Siapa lagi jika bukan Dayot Upamecano. Dayot saya anggap pertahanan tengah serba lengkap bukan sahaja menerusi kemampuan beliau ketika bertahan tetapi juga dalam situasi ofensif. Lihat sahaja apa yang beliau lakukan hampir sepanjang perlawanan, apabila kelibatnya sering kelihatan naik ke atas bagi melakukan build up.

 

Sesuai dengan peranannya sebagai pertahanan tengah, Dayot dianugerahkan dengan postur tubuh yang tegap serta sukar buat mana-mana penyerang lawan menewaskannya dalam situasi satu lawan satu. Agak tidak adil selepas melihat prestasi `hampir sempurna’ yang dipamerkannya sepanjang tempoh 73 minit, benteng Leipzig yang diketuai beliau kemudiannya bolos empat gol hanya dalam tempoh 16 minit terakhir permainan.

 

Back Four Yang Kambali Solid

 

Salah satu kesan positif yang dapat anda lihat dalam perlawanan ini ialah kemampuan barisan pemain di benteng pertahanan menyerap setiap asakan yang dilakukan lawan. Meskipun di babak pertama, United kelihatan seperti sukar menguasai bola tetapi benteng pertahanan mereka sangat berdisiplin ketika bertahan terutamanya dalam menangani ancaman yang datang dari bek sisi lawan menerusi keberadaan Angelino dan Benjamin Henrichs.

 

Meskipun mereka menguasai bola sepanjang babak pertama, jentera tengah Leipzig berdepan kesukaran membekalkan hantaran-hantaran kepada rakan di barisan hadapan. Untuk itu kredit juga wajar diberikan kepada Fred yang peranan beliau sepanjang permainan lebih cenderung untuk bertahan bagi memberikan lebih sokongan kepada Nemanja Matic dan perlindungan tambahan kepada rakan di barisan belakang.

 

Penutup

 

Selepas undian peringkat kumpulan dilangsungkan pada 1 Oktober lalu, ramai pihak mengatakan bahawa Kumpulan H merupakan `kumpulan maut’ kerana di dalamnya ada finalis dan semi finalis edisi musim lalu. Melihat kepada prestasi United di awal musim, ramai juga pihak yang agak sinikal bila bercakap tentang peluang mereka lolos ke peringkat kalah mati.

 

Pada awalnya kita juga agak bimbang bila memikirkan tentang peluang United untuk bersaing dengan kesebelasan seperti PSG dan Leipzig. Bagaimanapun sikap sinikal itu kini sudah beransur-ansur berubah menjadi optimis hasil dari dua kemenangan awal yang diraih barisan kendalian Solskjaer.

 

Paling menarik kedua-dua kemenangan itu diraih mereka ke atas kesebelasan yang pada awalnya diletakkan sebagai pilihan untuk mara ke pusingan kalah mati. Apa yang paling penting ialah kemenangan ke atas PSG dan Leipzig ini juga dicapai United bukan menerusi corak permainan pragmatis, tetapi menerusi pendekatan permainan yang terbuka yang diterapkan Solskjaer.

 

Melihat kepada pencapaian United di pentas Eropah setakat ini, langsung tidak menggambarkan bahawa mereka kini sedang menghuni tangga ke-15 carta liga. Dua tugas besar menanti Solskjaer selepas tamat aksi ini, iaitu melonjakkan kedudukan skuadnya dalam carta liga dan mereplikasikan prestasi terpuji mereka di Liga Juara-Juara ke pentas domestik pula. Glory Glory Manchester United!!!



28 Oktober 2020

PRA PERLAWANAN: MAN UNITED vs RB LEIPZIG

 


 

v    Ini merupakan pertemuan pertama dalam sejarah penubuhan kedua-dua kelab.

 

v    Sebelum ini, pertemuan terakhir United dengan kelab dari Jerman ialah menentang Wolfsburg di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (2015/16). United menang (2-1) di Old Trafford menerusi gol jaringan Juan Mata (penalti) dan Chris Smalling. Manakala pada aksi di Jerman, United tewas (2-3).

 

v    Satu-satunya pertembungan Leipzig dengan wakil dari England ialah menentang Tottenham Hotspurs di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara musim lalu. Leipzig menang pada perlawanan pertama (1-0) di London dan kemudiannya sekali lagi menewaskan Spurs (3-0) pada perlawanan kedua di gelanggang sendiri.

 

v    Bruno Fernandes merupakan penjaring terbanyak United di Liga Perdana setakat ini. Beliau sudah menjaringkan 3 gol dan menyumbang dua bantuan gol dari lima penampilan.

 

v    United menang kesemua lima perlawanan mereka di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Europa musim lalu. Mereka menjaringkan 15 gol dan cuma bolos satu gol.

 

v    Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, United tewas dua perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri. Pada musim 2018/19, United tewas (0-2) kepada PSG di peringkat kalah mati 16 pasukan dan tewas (0-1) kepada Barcelona di peringkat suku akhir.

 

v    Selain itu, United juga tewas empat kali dari enam aksi terakhir mereka di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara (menang sekali, seri sekali dan kalah empat kali).

 

v    Sejak April 2001, United tidak pernah tewas 10 perlawanan di gelanggang sendiri ketika berdepan wakil Jerman (menang tujuh kali dan seri tiga kali). Kelab Jerman terakhir yang berjaya menewaskan United di Old Trafford ialah Bayern Munich ketika kedua-dua pasukan bertemu di peringkat suku akhir edisi 2000/01. Ketika itu United tewas (0-1) di Old Trafford pada perlawanan pertama menerusi gol jaringan Paulo Sergio.

 

v    Secara keseluruhannya, United sudah berdepan dengan wakil Jerman di Old Trafford sebanyak 15 kali di peringkat Eropah. Dari jumlah tersebut, United menang sembilan kali, seri empat kali dan tewas dua kali.

 

v    31 adalah jumlah perlawanan membabitkan United dengan wakil Jerman di peringkat Eropah. Dari jumlah tersebut United menang 15 kali, seri lapan kali dan tewas lapan kali. Mereka menjaringkan 55 gol dan bolos 36 gol.

 

v    Leipzig masih belum tewas dalam saingan Bundesliga setakat ini. Menerusi empat kemenangan dan satu keputusan seri meletakkan mereka di tangga teratas liga dengan 13 mata.

 

v    Angelino, Yussuf Poulsen dan Emil Forsberg merupakan penjaring terbanyak mereka dalam saingan liga setakat ini apabila masing-masing sudah menjaringkan dua gol.


v    Leipzig sudah memenangi 9 dari 17 perlawanan dalam penyertaan mereka di Liga Juara-Juara (menang 9 kali, seri tiga kali dan kalah lima kali).

 

v    Leipzig menang 3 dari empat aksi mereka di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu (menang tiga kali dan seri sekali).

 

Glory Glory Manchester United!!!


25 Oktober 2020

REVIEW: AKHIRNYA `CLEANSHEET' JUGA

 


Akhirnya buat pertama kali dari tiga aksi di gelanggang sendiri musim ini, Manchester United tidak tewas dan untuk pertama kali dari lima perlawanan liga yang sudah mereka harungi gawang The Red Devils gagal dibolosi penyerang lawan. Keputusan seri (0-0) yang dilakar ketika berdepan Chelsea ini juga menyaksikan United mengutip mata ketujuh mereka dari lima perlawanan sekaligus meletakkan kelab di tangga ke-15 dalam carta liga.

 

Meskipun Ole Gunnar Solskjaer berpuashati dengan satu mata yang berjaya dikutip di Old Trafford, tetapi catatan ini juga menyaksikan United gagal menang dalam tiga aksi awal liga di gelanggang sendiri buat pertama kali sejak musim 1972/73. Kesudahan perlawanan ini boleh dianggap sebagai anti klimaks kerana pada awalnya kita mahu melihat ada gol dijaringkan memandangkan dari enam aksi terakhir membabitkan United dan Chelsea dalam semua kejohanan, 17 gol berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan.

 

Bila Nak Turunkan Van de Beek?

 

Ini adalah perlawanan tumpuan minggu ini, jadi mudah difahami mengapa sebahagian besar dari anda sedikit kecewa dengan keputusan seri tanpa jaringan yang diraih United. Apatah lagi mereka masih memburu kemenangan pertama liga di gelanggang sendiri musim ini. Melihat kepada keputusan perlawanan ini, timbul pertanyaan sampai bila Solskjaer akan berdegil untuk terus meletakkan Donny Van de Beek di bangku simpanan tatkalah jentera tengahnya memerlukan sentuhan kreatif dari pemain seperti beliau.

 

Bagaimanapun selepas melihat jadual padat yang diharungi United bulan ini, anda mungkin boleh bertolak ansur sedikit dengan keputusan yang diambil Solskjaer. Memandangkan tiga hari lagi United bakal berdepan RB Leipzig di pentas Liga Juara-Juara, penting untuk Solskjaer bertindak bijak dalam melakukan penggiliran pemain. Adakah Van de Beek akan disenaraikan dalam kesebelasan utama United ketika berdepan Leipzig nanti? Saya harap begitu kerana United tidak akan membayar £35 juta kepada Ajax hanya untuk meletakkan beliau di bangku simpanan.

 

`Mendy Factor’

 

Edouard Mendy membuktikan bahawa Chelsea melakukan tindakan yang tepat ketika mereka merekrut beliau dari Rennes pada September lalu. Aksi cemerlang penjaga gol Senegal ini antara faktor utama di sebalik kejayaan Chelsea pulang ke Stamford Bridge dengan satu mata. Selepas hampir melakukan `blunder’ diminit ke-30, penampilan Mendy selepas itu boleh dianggap `hampir sempurna’.

 

Sepanjang aksi 90 minit di Old Trafford, Mendy melakukan empat penyelamatan. Sudah tentu salah satu daripadanya ialah ketika beliau menafikan peluang terbaik yang diperolehi Marcus Rashford di babak pertama dengan kakinya. Sukar sebenarnya untuk memuji pemain lawan, tetapi untuk Mendy saya terpaksa memberi pengecualian apatah beliau sudah mencatatkan tiga `cleansheet’ saat ditugaskan mengawal gawang Chelsea.

 

Penalti Atau Tidak?

 

Salah satu momen menarik dalam perlawanan ini ialah insiden yang berlaku diminit ke-40 membabitkan Harry Maguire dan Cesar Azpilicueta di dalam pentak penalti. Selepas melihat ulang tayang, agak jelas bahawa kapten Chelsea itu ditarik Maguire ketika kedua-dua pemain melakukan duel bola tinggi.

 

Bagaimanapun Martin Atkinson beranggapan itu adalah perebutan bola 50/50 dan memilih untuk tidak merujuk insiden tersebut kepada VAR. Secara peribadi saya menilai bahawa kesilapan yang dilakukan Maguire itu sepatutnya berakhir dengan sepakan penalti diberikan kepada Chelsea. Tetapi mujurlah Atkinson memilih untuk tidak merujuknya kepada VAR.

 

Maguire Sudah Kembali?

 

Beliau antara pemain yang sering dijadikan sasaran kritikan di sebalik buruknya prestasi benteng pertahanan United di awal musim. Selaku ketua pasukan dan penyandang gelaran pertahanan termahal dunia, Maguire tentunya antara pemain yang perlu dipertanggungjawabkan selepas pintu gol United dibolosi 12 kali hanya dalam empat perlawanan.

 

Bagaimanapun buat pertama kali dari lima perlawanan liga, David De Gea tidak lagi perlu mengutip bola digawang sendiri. Sudah tentu, catatan `cleansheet’ ini tidak terlepas dari prestasi terpuji yang dipamerkan Maguire sepanjang aksi 90 minitnya di atas padang. Dan untuk itu beliau muncul pemain United yang diberikan rating paling tinggi (7.8) oleh Whoscored.com.

 

Selain insiden `pelukan mesra’ beliau dengan Azpilicueta, penampilan Maguire di benteng pertahanan United boleh dianggap cukup solid. Koordinasi beliau dengan Victor Lindelof begitu tersusun ketika bertahan sekaligus berjaya meminimakan ancaman dari barisan hadapan Chelsea yang dibarisi Timo Werner, Christian Pulisic dan Kai Havertz.

 

Mengapa 4-3-2-1 Dan Bukan 3-4-1-2?

 

Bukan sedikit pertanyaan yang berlegar diruang maya pasca perlawanan ini tentang mengapa Solskjaer memilih menggunakan semula formasi 4-3-2-1 sedangkan skema 3-4-1-2 yang beliau gunakan ketika berdepan Paris St Germain tempohari berjalan begitu efektif. Bagaimanapun formasi 4-3-2-1 yang digunakan Solskjaer dalam perlawanan ini juga sebenarnya berjalan dengan lancar kerana United mampu memberikan lebih ancaman berbanding Chelsea.

 

Sepanjang perlawanan, United melepaskan 14 percubaan ke arah gawang lawan dengan empat daripadanya merupakan percubaan on target. Manakala Chelsea pula melepaskan enam percubaan dan hanya satu daripadanya merupakan percubaan on target. Cuma apa yang menjadi persoalan sekarang ialah pemilihan pemain yang dilakukan Solskjaer dalam perlawanan ini.

 

Alex Telles yang beraksi dengan cukup baik pada penampilan pertamanya untuk United di Parc des Princes tiada dalam senarai manakala Edinson Cavani hanya bermain selama 32 minit. Paling malang ketika barisan pemainnya buntu dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan Chelsea, Solskjaer mengabaikan kreativiti milik Van de Beek dengan membiarkan pemain tengah Belanda itu sekadar menonton aksi rakan sepasukan hingga tamat perlawanan.

 

Menanti Penampilan Penuh El Matador

 

Sama sepertimana Thiago Silva untuk Chelsea, Edinson Cavani juga menyertai United dari Paris St Germain sebagai agen bebas. Cavani tidak diturunkan ketika United berdepan Newcastle United dan PSG, jadi aksi menentang Chelsea ini sangat ditunggu-tunggu penyokong United yang mahu melihat penampilan pertama si `El Matador’.

 

Apa yang anda lihat dalam perlawanan ini? 58 minit Solskjaer membiarkan Daniel James bergelut dalam usaha beliau memecah benteng pertahanan Chelsea dan 58 minit juga kita terpaksa menunggu sebelum dapat melihat kelibat Cavani di atas padang dalam perlawanan ini. Apa yang dilakukan Cavani?

 

Cuma seminit diperlukan Cavani untuk beliau memberikan ancaman kepada benteng Chelsea menerusi kuisan yang dilakukannya selepas menerima hantaran dari Bruno Fernandes. Selain itu ada satu lagi peluang tercipta di minit ke-87 tetapi percubaan dari jarak dekat beliau di halang Thiago Silva. Sumbangan Cavani tidak akan terhenti setakat 32 minit, kerana kelibatnya selaku pemburu gol untuk United akan kerap anda lihat lagi selepas ini.  

 

Penutup

 

Keputusan perlawanan ini semestinya bukan keputusan yang penyokong-penyokong United mahukan apatah lagi selepas kita masih lagi dibuai dengan kejayaan menundukkan PSG di Pars des Princes tempohari. Bagaimanapun menamatkan perlawanan liga musim ini buat pertama kali dengan catatan cleansheet tetap satu hal yang positif. Bagaimana pula penilaian anda tentang prestasi United sepanjang minggu ini? Secara peribadi saya menganggap United menjalani tempoh seminggu dengan cukup baik menerusi dua kemenangan dan satu keputusan seri yang berjaya mereka capai. Glory Glory Manchester United!!!



22 Oktober 2020

FANTASTIC 3

 



Masih lagi tentang aksi pembukaan Kumpulan H Liga Juara-Juara membabitkan pertembungan antara Paris St Germain dan Manchester United pada awal pagi Rabu. Selepas melihat prestasi membimbangkan yang dipamerkan barisan The Red Devils pada awal musim ini, jangan salahkan penyokong-penyokong United jika mereka begitu teruja dan masih membicarakan tentang kemenangan manis yang dilakar ke atas PSG di Parc des Princes itu.


Kredit memang wajar diberikan kepada barisan pemain selepas mereka menamatkan rekod 24 perlawanan tanpa kalah PSG di gelanggang sendiri dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara meskipun hadir di kota Paris selaku kesebelasan `underdog’. Gol jaringan Bruno Fernandes dan Marcus Rashford membolehkan United pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh, tetapi jangan lupakan sumbangan tiga pemain di barisan belakang yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan pada malam yang dipenuhi dengan aura `romantisme’ itu.


Bertandang ke kota Paris tanpa kemudi seorang kapten di benteng pertahanan dan berdepan pula dengan trio penggempur lawan yang dilabel antara trio terbaik dunia, apa yang mungkin anda bayangkan pada permulaannya ialah Kylian Mbappe, Neymar dan Angel Di Maria akan bermaharajalela merobek pintu gol United. Bagaimanapun realiti berkata sebaliknya apabila trio penggempur PSG itu seolah-olah sudah berdepan lawan sepadan berbanding rutin mereka di Ligue 1 setiap minggu.


Axel Tuanzebe baru pulih dari kecederaan panjang, Alex Telles baru melakukan penampilan pertama untuk United manakala Aaron Wan-Bissaka pula pernah dilabel Wayne Rooney sebagai bek sisi yang tidak memenuhi spesifikasi bolasepak moden. Bagaimanapun segala keraguan awal dipadamkan trio ini apabila sepanjang perlawanan tanpa rasa gentar mereka menyekat setiap gerakan demi gerakan yang cuba diatur sama ada oleh Mbappe, Neymar atau Di Maria. Statistik tidak akan berbohong, jadi mari kita lihat kerja-kerja yang dilakukan Tuanzebe, Telles dan Wan-Bissaka sepanjang aksi di Parc des Princes itu.


Axel Tuanzebe


Tanpa Harry Maguire dan Eric Bailly, Ole Gunnar Solskjaer melakukan pertaruhan berani dengan meletakkan seorang pertahanan mentah untuk berdepan pemain kelas dunia seperti Mbappe, Neymar dan Di Maria. Memang benarlah bahawa umur sekadar angka dan muda tidak semestinya `mentah’. Di atas padang Tuanzebe membuktikan bahawa meskipun beliau cetek pengalaman, reputasi besar milik Mbappe tidak pernah membuatkan dirinya gementar.


Sepanjang aksi di Parc des Princes, Tuanzebe melakukan tujuh clearance dari dalam petak penalti. Catatan ini meletakkan beliau selaku pemain paling banyak melakukan clearance berbanding mana-mana pemain yang beraksi dalam lapan perlawanan Liga Juara-Juara yang dilangsungkan pada awal pagi Rabu. Selain daripada itu, beliau juga berjaya memenangi dua kali duel bola tinggi dan melakukan sekali tackle bersih.


Alex Telles


Sepertimana yang anda tahu, ini merupakan penampilan pertama Telles untuk United selepas beliau melengkapkan perpindahannya dari FC Porto awal bulan ini. Di Parc des Princes, Telles cuma bermain selama 66 minit sebelum tempatnya digantikan Paul Pogba. Sepanjang 66 minit penampilan pertamanya untuk United, Telles berjaya mencipta beberapa peluang menerusi hantaran-hantaran yang dilakukannya dari sisi kiri. Statistik merekodkan Telles melepaskan lapan umpanan silang sekaligus muncul pemain paling banyak melakukan umpanan tersebut berbanding mana-mana pemain yang beraksi di Parc des Princes. Dari jumlah tersebut, tiga peluang jaringan gol tercipta menerusi hantaran yang dilakukannya.


Aaron Wan-Bissaka


Hanya tiga hari sebelumnya, beliau berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk United sejak berpindah ke Old Trafford pada musim lalu. Gol yang beliau jaringkan ke gawang Newcastle United itu membuatkan Bruno Fernandes kagum, kerana beliau tidak percaya bahawa Wan-Bissaka mampu melakukan rembatan tepat seperti itu.


Di Parc des Princes, giliran Wan-Bissaka pula membuatkan kita kagum menerusi kerja-kerja bertahan yang dilakukannya terutama dalam misi meneutralkan ancaman Mbappe dan Neymar. Reputasi Neymar dan Mbappe bukan calang-calang, kerana mereka dilabel sebagai salah satu dari lima duo penggempur terbaik dunia.


Sepanjang babak pertama, lawan beliau ialah Neymar yang diarahkan untuk bergerak di sisi kanan pertahanan United dalam skema formasi 4-3-3 yang digunakan Thomas Tuchel. Dibantu Scott McTominay yang kerap melakukan `double up’, anda boleh lihat reaksi frustasi Neymar selepas ancaman bintang Brazil itu berjaya diminimakan.


Di babak kedua, sedikit pertukaran strategi dilakukan Tuchel apabila beliau memasukkan Moise Kean yang berperanan selaku penyerang tengah, Mbappe pula beralih sebagai `flanker’ kiri manakala Neymar pula memainkan peranan sebagai pemain nombor 10. Akhirnya Mbappe juga menerima nasib yang sama seperti Neymar, hingga memaksa pemenang medal Piala Dunia itu berpindah semula ke sisi kanan.


Berdepan pemain yang cukup licik seperti Neymar dan Mbappe, tentunya menuntut kemampuan Wan-Bissaka dalam melakukan tackle. Sepanjang perlawanan beliau melakukan lapan tackle di mana enam daripadanya merupakan tackle bersih. Jumlah ini meletakkan beliau sebagai pemain paling banyak melakukan tackle berbanding mana-mana pemain dari lapan perlawanan di Liga Juara-Juara yang dilangsungkan pada awal pagi Rabu.


Penutup


Melihat kepada prestasi keseluruhan benteng pertahanan United di Parc des Princes sepatutnya membuatkan kita lega. Dari bahan jenaka, mereka tiba-tiba menunjukkan bahawa meskipun tanpa kelibat pertahanan termahal dunia, lima pemain di barisan belakang masih mampu tampil solid dan sorotan utama tentunya terarah kepada Tuanzebe, Telles dan Wan-Bissaka.


Tuanzebe adalah opsyen kepada posisi pertahanan tengah jika Solskjaer mahu menggandingkan beliau bersama Victor Lindelof atau Harry Maguire. Telles pula mampu memberikan dimensi kepada bentuk gerakan offensive United menerusi kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran dari sisi kiri. Jika pemain sehebat Neymar atau Mbappe berjaya dineutralkan, Wan-Bissaka pula nampaknya akan mendominasi sisi kanan pertahanan United buat jangka masa panjang. Glory Glory Manchester United!!!


21 Oktober 2020

REVIEW: MUSIM UNITED BARU BERMULA?

 


 

Mereka menanti perlawanan ini dengan semangat dan keinginan yang sangat tinggi. Mengambilkira reputasi selaku finalis Liga Juara-Juara musim lalu, serta prestasi semasa mereka dalam saingan domestik, Paris St Germain adalah lawan yang diunggulkan untuk keluar sebagai pemenang dalam perlawanan ini. Masih ingat lagi dengan kata-kata yang keluar dari mulut Thomas Tuchel selepas skuadnya tewas (1-3) kepada United di Parc des Princes sekaligus tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara edisi 2018/19?

 

“Jika kami bertemu United lagi sepuluh kali selepas ini, mereka tidak akan berjaya menewaskan kami walau sekalipun”, kata Tuchel pada Mac tahun lalu selepas tiket untuk skuadnya beraksi di pusingan suku akhir Liga Juara-Juara dinafikan United menerusi peraturan gol di tempat lawan. Awal pagi tadi hakikatnya tidak begitu kerana selepas 19 bulan, Tuchel sekali lagi terpaksa mengakui bahawa Parc des Princes seperti gelanggang yang sangat akrab untuk The Red Devils.

 

Sekali lagi Marcus Rashford memberikan perbezaan di Parc des Princes. Hanya selepas 19 bulan gol menerusi sepakan penaltinya menyingkirkan PSG dari saingan Liga Juara-Juara, kali ini beliau sekali lagi menghantui gergasi Perancis itu apabila gol jaringannya di minit ke-87 menyaksikan United pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh. 64 minit sebelum itu, sepakan penalti Bruno Fernandes membolehkan United memimpin perlawanan tetapi hanya dalam tempoh sepuluh minit sebaik babak kedua bersambung, tuan rumah menyamakan kedudukan selepas Anthony Martial tertanduk bola ke gawang sendiri.

 

Man of the Match

 

Meskipun penampilannya sejak kebelakangan ini dijadikan sasaran kritikan, tetapi perlu diakui bahawa David De Gea antara watak penting di sebalik kejayaan United awal pagi tadi. Gol Marcus Rashford memberikan United tiga mata berharga, tetapi tanpa kecemerlang De Gea di gawang, rekod tanpa kalah 24 perlawanan PSG di Parc des Princes dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tidak mungkin dapat dileburkan.

 

Sepanjang perlawanan, De Gea melakukan lima penyelamatan dan paling penting ialah bagaimana beliau menafikan dua percubaan yang dilakukan Kylian Mbappe dan Neymar di babak kedua. Agak ironi selepas begitu cemerlang menafikan peluang-peluang yang dicipta barisan hadapan lawan, De Gea tewas menerusi gol jaringan sendiri Anthony Martial, pemain yang masih belum menemui sentuhan jaringan untuk United dari empat penampilan beliau setakat ini.

 

Solskjaer (2)…Tuchel (1)

 

Berbanding kebiasaan, Ole Gunnar Solskjaer beralih dari formasi 4-2-3-1 kepada 3-4-1-2 dalam perlawanan ini. Dalam situasi defensive anda boleh melihat United memiliki lima pemain di benteng pertahanan mereka (Aaron Wan-Bissaka, Luke Shaw, Victor Lindelof, Axel Tuanzebe dan Alex Telles) manakala dalam situasi offensive Wan-Bissaka dan Telles akan mara ke atas bagi membentuk lima pemain di bahagian tengah bersama-sama Scott McTominay, Fred, dan Bruno Fernandes.

 

Dengan formasi ini, United begitu seimbang sama ada ketika mereka bertahan mahupun ketika menyerang. Musim lalu Solskjaer menang tiga dari empat pertembungannya dengan Pep Guardiola dan kini beliau melebarkan rekod kemenangannya ke atas Thomas Tuchel kepada (2-1). Bukan sekadar dibantu dengan pilihan strategi yang tepat, tetapi kemenangan ini juga membuktikan bahawa Solskjaer boleh berdepan dengan mana-mana pengurus berprofil tinggi dalam dunia bolasepak moden.

 

`Tuanzebe Time’

 

Bertandang ke kota Paris tanpa pertahanan termahal dunia, tetapi selepas United meninggalkan kota `romantik’ itu, akan ada satu nama yang bakal terpahat dalam ingatan Kylian Mbappe. Nama yang saya maksudkan ialah Axel Tuanzebe. Sebelum perlawanan, ramai pihak meramalkan bahawa Mbappe bakal menjadikan benteng pertahanan United sebagai lubuk untuk beliau menambah koleksi jaringannya di pentas Liga Juara-Juara.

 

Kebimbangan kita terhadap kemampuan benteng pertahanan United menahan asakan dari Mbappe dan Neymar memang ada asasnya kerana prestasi mereka di awal musim memang cukup meragukan. Datang ke Parc des Princes dengan hakikat bahawa gawang United sudah dibolosi lawan sebanyak 12 kali hanya dalam empat perlawanan di pentas liga bukanlah waktu yang tepat untuk mereka berdepan trio Mbappe, Angel Di Maria dan Neymar.

 

Bagaimanapun di akhir perlawanan tiada seorang pun dari trio hadapan PSG ini yang namanya tercatat di scoreboard sebagai penjaring. Tuanzebe antara salah seorang pemain yang sangat menonjol di Parc des Princes awal pagi tadi. Sepanjang perlawanan beliau beberapa kali berjaya menghentikan pergerakan Mbappe dalam situasi satu lawan satu. Lihat sahaja apa yang beliau lakukan di minit ke-34 ketika menghentikan satu gerakan Mbappe yang berpotensi untuk menghasilkan gol.

 

Bagaimana pula statistik Tuanzebe sepanjang perlawanan? Sepanjang aksi di Parc des Princes itu, beliau memenangi kesemua duel bola tinggi, peratus hantaran tepat yang dilakukannya mencapai 90%, melakukan tujuh clearance dan satu block. Menurut Rio Ferdinand, Tuanzebe kini adalah opsyen kepada benteng pertahanan United yang sebelumnya kerap kali berdepan masalah dalam menangani kepantasan barisan hadapan lawan.

 

Langkah Kanan Sang Kapten

 

Sudah lama sebenarnya penyokong-penyokong United mahu melihat armband ketua pasukan diberikan kepada Bruno Fernandes selepas melihat prestasi membimbangkan Harry Maguire di awal musim. Akhirnya impian mereka menjadi kenyataan apabila Solskjaer dalam sidang media pra perlawanan mengumumkan bahawa Bruno bakal mengetuai sepuluh lagi rakan sepasukannya dalam aksi menentang PSG.

 

Sebelum perlawanan saya menantikan penuh teruja `pertempuran’ antara Bruno dan Idrissa Gueye yang bakal berlaku di zon tengah padang. Gueye yang sebelum ini sering digandingkan bersama Marquinhos merupakan antara tonggak penting di bahagian tengah skuad Les Parisiens di sebalik kejayaan mereka mara ke pentas final edisi musim lalu.

 

Bagaimanapun Gueye agak pasif dalam perlawanan ini dan beliau bukanlah pemain yang biasa kita lihat menerusi peranan yang sering dimainkannya untuk merosakkan tempo permainan lawan. Berbanding Gueye, Bruno pula adalah penggerak penting kepada jentera tengah United. Sepanjang perlawanan beliau melepaskan empat percubaan (dua on target), melakukan satu dribble, lima tackle dan dua key passes.

 

Menjaringkan satu gol dan kemudiannya mengemudi rakan sepasukan menamatkan perlawanan sebagai pemenang pada penampilan pertama selaku ketua pasukan adalah satu permulaan yang indah buat debut Bruno untuk United di Liga Juara-Juara. Setakat ini Bruno sudah menjaringkan empat gol dan mencipta tiga bantuan gol dari enam penampilan di semua peringkat kejohanan untuk United.

 

Penutup

 

Selepas kemenangan (4-1) ke atas Newcastle United tempohari, Solskjaer mengatakan bahawa `United baru sahaja memulakan musim mereka’. Selepas tewas dua aksi di gelanggang sendiri dan bergelut sebelum meraih tiga mata penuh ketika berdepan Brighton and Hove Albion, ada perubahan yang dipamerkan barisan kendalian beliau sepanjang aksi di St James Park tempohari.

 

Kemenangan ke atas Newcastle United merupakan kemenangan moral buat United sebelum mereka bertandang ke Parc des Princes. Berbanding Newcastle, PSG merupakan lawan yang jauh lebih sukar bukan sahaja kerana reputasi yang dimiliki skuad kendalian Thomas Tuchel itu, tetapi juga barisan pemain kelas dunia yang dimiliki beliau.

 

Tidak banyak harapan yang diletakkan kepada barisan The Red Devils kerana idea permulaannya ialah pergi ke Paris dan pulang semula ke Old Trafford dengan sekurang-kurangnya satu mata. Hakikatnya United datang ke Parc des Princes bukan untuk bertahan atau sekadar mencari satu mata untuk dibawa pulang. Meskipun PSG lebih dominan dari segi penguasaan bola, United juga berbahaya dalam mencipta peluang.

 

Untuk itu, statistik menunjukkan bahawa United berjaya melepaskan 14 percubaan ke arah gawang lawan dengan enam merupakan percubaan on target. Tiada bezanya dengan apa yang dilakukan PSG, kerana mereka juga melepaskan 14 percubaan tetapi dari jumlah itu cuma lima merupakan percubaan on target.

 

Kemenangan ini juga menyaksikan United berjaya melebarkan rekod kemenangan mereka ketika beraksi di gelanggang lawan. Jika dihitung sejak musim lalu, United sudah mengharungi tujuh aksi di gelanggang lawan tanpa kalah. Gergasi Perancis berjaya ditumbangkan di arena mereka sendiri, kini barisan kendalian Solskjaer sedang memburu kemenangan pertama mereka musim ini di gelanggang sendiri. Semoga pada hujung minggu nanti mereka berjaya melakukannya. Glory Glory Manchester United!!!



19 Oktober 2020

MENJELANG AKSI PSG vs MAN UNITED

 


Rekod Pertemuan

 

Pertembungan di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara musim 2018/19 merupakan kali pertama kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kompetitif. United tewas (0-2) pada perlawanan pertama di Old Trafford tetapi berjaya mara ke peringkat suku akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas mereka menewaskan PSG (3-1) di Parc des Princes pada perlawanan kedua.

 

Selain daripada dua aksi di Liga Juara-Juara edisi 2018/19 itu, United dan PSG juga pernah bertemu pada perlawanan pra musim dalam kejohanan International Champions Cup di Amerika Syarikat. Dalam aksi yang dilangsungkan di Soldier Field Stadium itu, United tewas (0-2) menerusi gol jaringan Blaise Matuidi dan Zlatan Ibrahimovic.

 

Rekod PSG Di Parc des Princes

 

PSG cuma tewas tujuh dari 53 aksi mereka di gelanggang sendiri dalam sejarah penyertaan mereka di saingan Liga Juara-Juara. Meskipun United pernah menewaskan mereka di Parc de Princes pada Mac 2019, PSG secara hakikatnya tidak pernah tewas kepada pasukan yang sama sebanyak dua kali ketika beraksi di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara.

 

Sejak kekalahan kepada United itu juga, PSG mengharungi empat perlawanan di Parc des Princes dalam kempen mereka di Liga Juara-Juara dengan rekod 100%. Lebih menarik gawang PSG juga gagal dibolosi oleh mana-mana pasukan pelawat ketika mereka menerima kunjungan Real Madrid, Club Brugge, Galatasaray dan Borussia Dortmund.

 

Rekod United Di Bumi Perancis

 

Sejak musim 2005/06, United tidak pernah diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan mana-mana kelab dari Ligue 1 di Liga Juara-Juara. Pada musim tersebut, skuad kendalian Sir Alex Ferguson diletakkan dalam Kumpulan D bersama LOSC Lille, selain Benfica dan Villareal. Ketika berdepan wakil Perancis itu di peringkat kumpulan, United seri (0-0) di Old Trafford dan tewas (0-1) di gelanggang lawan.

 

Bagaimana pula dengan rekod United setiap kali mereka berdepan wakil Perancis di gelanggang lawan dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara? Untuk rekod dari enam kunjungan mereka di Perancis, mereka menang sekali, seri tiga kali dan tewas dua kali. Satu-satunya kemenangan yang dilakar United ialah ketika mereka menewaskan Bordeaux (2-1) pada Mac 2000.

 

24 Perlawanan Tanpa Kalah Di Parc Des Princess

 

Sejak kekalahan (1-3) kepada CSKA Moscow pada Disember 2004, tiada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan PSG di Parc des Princes dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Sejak itu juga PSG sudah mengharungi 24 perlawanan peringkat kumpulan di gelanggang sendiri dengan rekod 19 kali menang dan lima kali seri.

 

Perlawanan Pembukaan

 

Dari 22 aksi pembukaan mereka di Liga Juara-Juara, United cuma tewas dua kali iaitu kepada Juventus (musim 1996/97) dan PSV Eindhoven (musim 2015/16). Sebagai pemain, Ole Gunnar Solskjaer melakukan penampilan pertama beliau untuk United ketika tewas kepada Juventus dalam aksi pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim 1996/97.

 

Lima Penampilan Terakhir United

 

United tewas empat dari lima perlawanan terakhir mereka dalam saingan Liga Juara-Juara. Satu-satunya kemenangan yang dilakar United dari lima aksi terakhir mereka di Liga Juara-Juara ialah ketika menewaskan PSG di Parc des Princess pada Mac tahun lalu. Dua kekalahan terakhir United ialah ketika mereka berdepan Barcelona di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim 2018/19 (tewas 0-1 di Old Trafford dan 1-3 di Nou Camp)

 

Bagaimanapun fakta yang agak melegakan menjelang aksi pembukaan menentang PSG nanti ialah United tidak pernah tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam saingan peringkat Eropah sejak Mac 2005. Pada Edisi 2004/05 United tewas 0-3 kepada Fenerbahce dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum disingkir AC Milan dalam aksi timbal balik pusingan kalah mati 16 pasukan (tewas 0-1 di Old Trafford dan 0-1 di Milan).

 

Mbappe vs Kelab Inggeris

 

Kylian Mbappe sudah menjaringkan 19 gol dalam saingan Liga Juara-Juara, di mana empat daripadanya diledak beliau ke dalam gawang kelab Inggeris. Jika beliau berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan ini, Mbappe bakal muncul pemain termuda yang berjaya menjaringkan 20 gol di pentas Liga Juara-Juara (21 tahun, 305 hari) sekaligus memecah rekod sebelum ini yang dipegang Lionel Messi (22 tahun, 267 hari).

 

Faktor Cavani

 

Edinson Cavani antara pemain yang penyokong-penyokong United mahu Ole Gunnar Solskjaer senaraikan dalam kesebelasan utamanya pada perlawanan ini. Ketika masih bersama PSG, Cavani merupakan penjaring terbanyak mereka di pentas Liga Juara-Juara menerusi 30 gol yang berjaya dijaringkannya.

 

Jangan lupakan fakta bahawa Cavani juga berjaya menjaringkan gol pada penampilan pertamanya untuk Napoli dan PSG. Jadi memang wajarlah penyokong-penyokong United berharap agar kali ini Cavani melakukannya untuk United pula sekaligus menyamai pencapaian Zlatan Ibrahimovic dan Javier Saviola yang berjaya menjaringkan gol pada penampilan pertama untuk tiga pasukan berbeza.

 

Glory Glory Manchester United!!!