Mereka datang ke Old Trafford dengan reputasi
selaku pendahulu serta catatan rekod tanpa kalah dalam saingan Bundesliga dari
lima perlawanan. Sebelum pertembungan antara Manchester United dan RB Leipzig
ini berlangsung, hanya Bayern Leverkusen satu-satunya pasukan yang berjaya
mencalarkan rekod kemenangan 100% barisan kendalian Julian Negelsmann itu apabila
kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri (1-1) dalam aksi yang
dilangsungkan pada 26 September lalu.
Musim lalu RB Leipzig antara empat pasukan yang
berjaya mara ke peringkat separuh akhir sebelum perjalanan epik mereka disekat
Paris St Germain. Musim ini, sepertimana United, mereka juga memulakan aksi
Kumpulan H Liga Juara-Juara dengan catatan kemenangan selepas menewaskan Istanbul
Basaksehir (2-0) di Red Bul Arena. Melihat kepada prestasi terkini, memang
wajarlah sebelum perlawanan Nagelsmann melaungkan amaran bahawa mereka datang
ke Old Trafford berbekalkan misi untuk menang.
Pemegang Kunci Perlawanan
Di atas kertas segala aspek nampaknya menyebelahi Nagelsmann
berbanding Ole Gunnar Solskjaer. Di Hoffenheim beliau mengubah skuad bergelar
Die Kraichgauer itu dari kesebelasan yang sering bergelut di zon penyingkiran
kepada kesebelasan yang bersaing untuk slot ke Liga Juara-Juara. Di Red Bull
Arena pula, sentuhan magis Nagelsmann menyaksikan Leipzig cuma tewas tujuh kali
dari 54 perlawanan di bawah kendalian beliau.
Berbanding Leipzig, United pula sekadar berada di
tangga ke-15 liga selepas mereka memungut tujuh mata dari lima aksi setakat
ini. Jika diambilkira bahawa ini merupakan musim penuh kedua Solskjaer selaku
pengendali di Old Trafford, beliau sepatutnya boleh menjadikan United
kesebelasan yang lebih baik berbanding apa yang anda lihat sekarang. Di bawah
kendalian beliau, United mencatatkan purata 1.79 mata, 1.80 gol dan 1.10 bolos
per perlawanan.
Bagaimanapun segala kelebihan di atas kertas milik
Nagelsmann tidak berguna ketika aksi sebenar berlangsung di atas padang. Jika sebelum
perlawanan beliau begitu optimis bahawa kesebelasannya bakal pulang semula ke
Jerman dengan sebuah senyuman, hakikatnya di akhir perlawanan ialah Old
Trafford umpama neraka buat pendahulu Bundesliga itu.
Menyaksikan pintu gol skuadnya bolos lima kali
tentulah sesuatu yang tidak pernah difikirkan Nagelsmann, tetapi itulah realiti
bolasepak. Tiada salahnya dengan strategi `counterpressing’ yang
digunakan kebanyakkan pengurus bolasepak moden ketika ini dan Nagelsmann tidak
terkecuali. Bagaimanapun `pemegang kunci perlawanan’ ialah Solskjaer menerusi
tindakan bijak beliau memasukkan Marcus Rashford di pertengahan babak kedua.
Hasilnya selepas 13 minit Rashford dimasukkan,
United menambah empat gol lagi menerusi hatrik yang dijaringkan beliau (minit
ke-76, 78 dan 90+2) manakala satu lagi gol dijaringkan Anthony Martial menerusi
sepakan penalti (minit ke-86). Tiga gol yang dijaringkan Rashford dalam
perlawanan ini menyaksikan beliau muncul pemain kedua United selepas Solskjaer
yang berjaya menjaringkan hatrik selaku pemain gantian. Untuk rekod, Solskjaer
melakukannya ketika berdepan Nottingham Forest pada Februari 1999.
Sepertimana yang saya sebutkan tadi, Solskjaer berjaya
mengatasi strategi `counterpressing’ Nagelsmann dan keluar sebagai pemenang
kerana beliau memegang `kunci perlawanan’ menerusi keberadaan Marcus Rashford. Selain
daripada itu jangan lupakan sumbangan Bruno Fernandes yang mengubah `wajah’
jentera tengah United selepas beliau masuk menggantikan Donny Van de Beek di
minit ke-68.
Jika Rashford dinamakan selaku pemain terbaik
perlawanan menerusi hatrik yang dihasilkannya, kehadiran Bruno pula menyaksikan
United secara tiba-tiba menguasai bola di bahagian tengah, sesuatu yang gagal
dilakukan mereka sepanjang 68 minit aksi berlangsung. Satu lagi bantuan gol
yang diciptanya menyaksikan Bruno sudah mengumpul 12 assist sejak
melakukan debut untuk United pada Februari lalu, jumlah terbanyak berbanding
mana-mana pemain United setakat ini.
Memang Begitu Cara Mason
Selain dari hatrik yang disumbangkan Rashford,
salah satu momen yang menjadi sorotan dalam perlawanan ini ialah gol jaringan
pertama United yang disumbangkan Mason Greenwood. Bagi anda yang sering
menyaksikan Mason bermain, cara beliau menjaringkan gol tersebut bukanlah
terlalu asing. Gol itu tampak mudah disempurnakan Mason tetapi gol itu juga
adalah bukti efisiensi tinggi yang dimiliki penggempur muda itu dalam menyudahkan
peluang.
Mengulas tentang perkara tersebut, Solskjaer
berkata, “Dia pada kebiasaannya menjaringkan gol menerusi percubaan pertama.
Dia sangat efisien di depan gawang, finisher yang bagus dan saya sangat
berpuashati dengan penampilannya. Masa yang tepat ketika dia melakukan larian,
sambil dibantu umpanan berkualiti dari Pogba hinggakan saya tidak pasti adakah
dia offside atau tidak. Selepas itu pengadil melakukan keputusan yang
sangat penting buat kami.
Simpati Untuk Dayot?
Salah satu daya tarikan dalam perlawanan ini ialah
sosok pemain pertahanan kental milik Leipzig. Siapa lagi jika bukan Dayot
Upamecano. Dayot saya anggap pertahanan tengah serba lengkap bukan sahaja
menerusi kemampuan beliau ketika bertahan tetapi juga dalam situasi ofensif.
Lihat sahaja apa yang beliau lakukan hampir sepanjang perlawanan, apabila
kelibatnya sering kelihatan naik ke atas bagi melakukan build up.
Sesuai dengan peranannya sebagai pertahanan tengah,
Dayot dianugerahkan dengan postur tubuh yang tegap serta sukar buat mana-mana
penyerang lawan menewaskannya dalam situasi satu lawan satu. Agak tidak adil
selepas melihat prestasi `hampir sempurna’ yang dipamerkannya sepanjang tempoh
73 minit, benteng Leipzig yang diketuai beliau kemudiannya bolos empat gol
hanya dalam tempoh 16 minit terakhir permainan.
Back Four Yang Kambali Solid
Salah satu kesan positif yang dapat anda lihat
dalam perlawanan ini ialah kemampuan barisan pemain di benteng pertahanan
menyerap setiap asakan yang dilakukan lawan. Meskipun di babak pertama, United
kelihatan seperti sukar menguasai bola tetapi benteng pertahanan mereka sangat
berdisiplin ketika bertahan terutamanya dalam menangani ancaman yang datang dari
bek sisi lawan menerusi keberadaan Angelino dan Benjamin Henrichs.
Meskipun mereka menguasai bola sepanjang babak
pertama, jentera tengah Leipzig berdepan kesukaran membekalkan
hantaran-hantaran kepada rakan di barisan hadapan. Untuk itu kredit juga wajar
diberikan kepada Fred yang peranan beliau sepanjang permainan lebih cenderung
untuk bertahan bagi memberikan lebih sokongan kepada Nemanja Matic dan
perlindungan tambahan kepada rakan di barisan belakang.
Penutup
Selepas undian peringkat kumpulan dilangsungkan
pada 1 Oktober lalu, ramai pihak mengatakan bahawa Kumpulan H merupakan `kumpulan
maut’ kerana di dalamnya ada finalis dan semi finalis edisi musim lalu. Melihat
kepada prestasi United di awal musim, ramai juga pihak yang agak sinikal bila
bercakap tentang peluang mereka lolos ke peringkat kalah mati.
Pada awalnya kita juga agak bimbang bila memikirkan
tentang peluang United untuk bersaing dengan kesebelasan seperti PSG dan
Leipzig. Bagaimanapun sikap sinikal itu kini sudah beransur-ansur berubah
menjadi optimis hasil dari dua kemenangan awal yang diraih barisan kendalian
Solskjaer.
Paling menarik kedua-dua kemenangan itu diraih
mereka ke atas kesebelasan yang pada awalnya diletakkan sebagai pilihan untuk
mara ke pusingan kalah mati. Apa yang paling penting ialah kemenangan ke atas
PSG dan Leipzig ini juga dicapai United bukan menerusi corak permainan
pragmatis, tetapi menerusi pendekatan permainan yang terbuka yang diterapkan
Solskjaer.
Melihat kepada pencapaian United di pentas Eropah
setakat ini, langsung tidak menggambarkan bahawa mereka kini sedang menghuni
tangga ke-15 carta liga. Dua tugas besar menanti Solskjaer selepas tamat aksi
ini, iaitu melonjakkan kedudukan skuadnya dalam carta liga dan mereplikasikan
prestasi terpuji mereka di Liga Juara-Juara ke pentas domestik pula. Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan