Akhirnya
buat pertama kali dari tiga aksi di gelanggang sendiri musim ini, Manchester
United tidak tewas dan untuk pertama kali dari lima perlawanan liga yang sudah
mereka harungi gawang The Red Devils gagal dibolosi penyerang lawan.
Keputusan seri (0-0) yang dilakar ketika berdepan Chelsea ini juga menyaksikan
United mengutip mata ketujuh mereka dari lima perlawanan sekaligus meletakkan kelab
di tangga ke-15 dalam carta liga.
Meskipun
Ole Gunnar Solskjaer berpuashati dengan satu mata yang berjaya dikutip di Old
Trafford, tetapi catatan ini juga menyaksikan United gagal menang dalam tiga
aksi awal liga di gelanggang sendiri buat pertama kali sejak musim 1972/73. Kesudahan
perlawanan ini boleh dianggap sebagai anti klimaks kerana pada awalnya kita
mahu melihat ada gol dijaringkan memandangkan dari enam aksi terakhir membabitkan
United dan Chelsea dalam semua kejohanan, 17 gol berjaya dihasilkan kedua-dua
pasukan.
Bila
Nak Turunkan Van de Beek?
Ini
adalah perlawanan tumpuan minggu ini, jadi mudah difahami mengapa sebahagian
besar dari anda sedikit kecewa dengan keputusan seri tanpa jaringan yang diraih
United. Apatah lagi mereka masih memburu kemenangan pertama liga di gelanggang
sendiri musim ini. Melihat kepada keputusan perlawanan ini, timbul pertanyaan sampai
bila Solskjaer akan berdegil untuk terus meletakkan Donny Van de Beek di bangku
simpanan tatkalah jentera tengahnya memerlukan sentuhan kreatif dari pemain
seperti beliau.
Bagaimanapun
selepas melihat jadual padat yang diharungi United bulan ini, anda mungkin
boleh bertolak ansur sedikit dengan keputusan yang diambil Solskjaer.
Memandangkan tiga hari lagi United bakal berdepan RB Leipzig di pentas Liga
Juara-Juara, penting untuk Solskjaer bertindak bijak dalam melakukan
penggiliran pemain. Adakah Van de Beek akan disenaraikan dalam kesebelasan
utama United ketika berdepan Leipzig nanti? Saya harap begitu kerana United
tidak akan membayar £35 juta kepada Ajax hanya untuk meletakkan beliau di
bangku simpanan.
`Mendy
Factor’
Edouard
Mendy membuktikan bahawa Chelsea melakukan tindakan yang tepat ketika mereka
merekrut beliau dari Rennes pada September lalu. Aksi cemerlang penjaga gol
Senegal ini antara faktor utama di sebalik kejayaan Chelsea pulang ke Stamford
Bridge dengan satu mata. Selepas hampir melakukan `blunder’ diminit ke-30, penampilan
Mendy selepas itu boleh dianggap `hampir sempurna’.
Sepanjang
aksi 90 minit di Old Trafford, Mendy melakukan empat penyelamatan. Sudah tentu
salah satu daripadanya ialah ketika beliau menafikan peluang terbaik yang
diperolehi Marcus Rashford di babak pertama dengan kakinya. Sukar sebenarnya
untuk memuji pemain lawan, tetapi untuk Mendy saya terpaksa memberi pengecualian
apatah beliau sudah mencatatkan tiga `cleansheet’ saat ditugaskan
mengawal gawang Chelsea.
Penalti
Atau Tidak?
Salah
satu momen menarik dalam perlawanan ini ialah insiden yang berlaku diminit
ke-40 membabitkan Harry Maguire dan Cesar Azpilicueta di dalam pentak penalti. Selepas
melihat ulang tayang, agak jelas bahawa kapten Chelsea itu ditarik Maguire
ketika kedua-dua pemain melakukan duel bola tinggi.
Bagaimanapun
Martin Atkinson beranggapan itu adalah perebutan bola 50/50 dan memilih untuk
tidak merujuk insiden tersebut kepada VAR. Secara peribadi saya menilai bahawa
kesilapan yang dilakukan Maguire itu sepatutnya berakhir dengan sepakan penalti
diberikan kepada Chelsea. Tetapi mujurlah Atkinson memilih untuk tidak
merujuknya kepada VAR.
Maguire
Sudah Kembali?
Beliau
antara pemain yang sering dijadikan sasaran kritikan di sebalik buruknya
prestasi benteng pertahanan United di awal musim. Selaku ketua pasukan dan penyandang
gelaran pertahanan termahal dunia, Maguire tentunya antara pemain yang perlu
dipertanggungjawabkan selepas pintu gol United dibolosi 12 kali hanya dalam
empat perlawanan.
Bagaimanapun
buat pertama kali dari lima perlawanan liga, David De Gea tidak lagi perlu
mengutip bola digawang sendiri. Sudah tentu, catatan `cleansheet’ ini
tidak terlepas dari prestasi terpuji yang dipamerkan Maguire sepanjang aksi 90
minitnya di atas padang. Dan untuk itu beliau muncul pemain United yang
diberikan rating paling tinggi (7.8) oleh Whoscored.com.
Selain
insiden `pelukan mesra’ beliau dengan Azpilicueta, penampilan Maguire di
benteng pertahanan United boleh dianggap cukup solid. Koordinasi beliau dengan
Victor Lindelof begitu tersusun ketika bertahan sekaligus berjaya meminimakan
ancaman dari barisan hadapan Chelsea yang dibarisi Timo Werner, Christian
Pulisic dan Kai Havertz.
Mengapa
4-3-2-1 Dan Bukan 3-4-1-2?
Bukan
sedikit pertanyaan yang berlegar diruang maya pasca perlawanan ini tentang mengapa
Solskjaer memilih menggunakan semula formasi 4-3-2-1 sedangkan skema 3-4-1-2
yang beliau gunakan ketika berdepan Paris St Germain tempohari berjalan begitu
efektif. Bagaimanapun formasi 4-3-2-1 yang digunakan Solskjaer dalam perlawanan
ini juga sebenarnya berjalan dengan lancar kerana United mampu memberikan lebih
ancaman berbanding Chelsea.
Sepanjang
perlawanan, United melepaskan 14 percubaan ke arah gawang lawan dengan empat
daripadanya merupakan percubaan on target. Manakala Chelsea pula
melepaskan enam percubaan dan hanya satu daripadanya merupakan percubaan on
target. Cuma apa yang menjadi persoalan sekarang ialah pemilihan pemain
yang dilakukan Solskjaer dalam perlawanan ini.
Alex
Telles yang beraksi dengan cukup baik pada penampilan pertamanya untuk United
di Parc des Princes tiada dalam senarai manakala Edinson Cavani hanya bermain
selama 32 minit. Paling malang ketika barisan pemainnya buntu dalam usaha
mereka memecah benteng pertahanan Chelsea, Solskjaer mengabaikan kreativiti
milik Van de Beek dengan membiarkan pemain tengah Belanda itu sekadar menonton aksi
rakan sepasukan hingga tamat perlawanan.
Menanti
Penampilan Penuh El Matador
Sama
sepertimana Thiago Silva untuk Chelsea, Edinson Cavani juga menyertai United dari
Paris St Germain sebagai agen bebas. Cavani tidak diturunkan ketika United berdepan
Newcastle United dan PSG, jadi aksi menentang Chelsea ini sangat
ditunggu-tunggu penyokong United yang mahu melihat penampilan pertama si `El
Matador’.
Apa
yang anda lihat dalam perlawanan ini? 58 minit Solskjaer membiarkan Daniel
James bergelut dalam usaha beliau memecah benteng pertahanan Chelsea dan 58
minit juga kita terpaksa menunggu sebelum dapat melihat kelibat Cavani di atas
padang dalam perlawanan ini. Apa yang dilakukan Cavani?
Cuma
seminit diperlukan Cavani untuk beliau memberikan ancaman kepada benteng
Chelsea menerusi kuisan yang dilakukannya selepas menerima hantaran dari Bruno
Fernandes. Selain itu ada satu lagi peluang tercipta di minit ke-87 tetapi
percubaan dari jarak dekat beliau di halang Thiago Silva. Sumbangan Cavani
tidak akan terhenti setakat 32 minit, kerana kelibatnya selaku pemburu gol untuk
United akan kerap anda lihat lagi selepas ini.
Penutup
Keputusan
perlawanan ini semestinya bukan keputusan yang penyokong-penyokong United mahukan
apatah lagi selepas kita masih lagi dibuai dengan kejayaan menundukkan PSG di
Pars des Princes tempohari. Bagaimanapun menamatkan perlawanan liga musim ini
buat pertama kali dengan catatan cleansheet tetap satu hal yang positif.
Bagaimana pula penilaian anda tentang prestasi United sepanjang minggu ini? Secara
peribadi saya menganggap United menjalani tempoh seminggu dengan cukup baik
menerusi dua kemenangan dan satu keputusan seri yang berjaya mereka capai.
Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan