23 April 2014

BERAKHIRLAH ERA SINGKAT DAVID MOYES

Selepas dihidangkan dengan spekulasi demi spekulasi dan pertanyaan demi pertanyaan, berita bahawa David Moyes meletakkan jawatan selaku pengurus Manchester United akhirnya diumumkan oleh laman rasmi milik kelab (manutd.com) petang semalam. Sama ada Moyes mengambil keputusan meninggalkan kelab atau beliau di pecat itu soal kedua kerana apa yang penting sekarang ialah segala teka-teki tentang nasib bekas pengurus Everton itu akhirnya terjawab. Berita tentang pemecatan Moyes mula tersebar selepas berakhirnya perlawanan Everton/United di Goodison Park Ahad lalu. Kekalahan kepada Everton adalah 'jalan mati' kepada usaha beliau menyelamatkan karier pengurusannya di Old Trafford sekaligus menamatkan juga cerita fantasi ala Cinderella dalam dunia bolasepak. Siapa sangka dari deretan jurulatih berprofil tinggi yang sudah membuktikan kemampuan mereka dengan memenangi berbagai trofi di peringkat tertinggi, seorang pengurus dari kelab pertengahan Liga Perdana akhirnya dipilih untuk mewarisi kekosongan yang ditinggalkan Sir Alex Ferguson Mei lalu. Pemilihan Moyes selaku pengganti Sir Alex ibarat cerita dongeng tentang seorang pemuda miskin yang tinggal di pondok buruk tetapi tiba-tiba bertukar menjadi putera raja dan kemudiannya tinggal di istana.

Saya pernah katakan sebelum ini bahawa jawatan pengurus Manchester United memang menjadi idaman buat mana-mana jurulatih di dunia, maka tidak hairanlah jika ada cerita yang mengatakan bahawa Jose Mourinho begitu kecewa selepas mengetahui bahawa individu yang dipilih menggantikan tempat Sir Alex ialah Moyes bukan dirinya. Isu pemecatan Moyes sudah menjadi tajuk utama portal berita dan akhbar sejak Ahad lalu dan pengesahan bahawa beliau bukan lagi pengurus United bakal menjadi topik perbahasan hangat buat tempoh beberapa hari selepas ini. Kini segala persoalan sudah terjawab dan tepat jugalah segala spekulasi sebelum ini yang menyebut bahawa tugas terakhir Moyes ialah di Goodison Park dan selepas itu beliau akan digantikan Ryan Giggs selaku pengurus sementara pada baki empat perlawanan liga selepas ini. Perasaan saya bercampur baur ketika mendengar berita bahawa Moyes sudah mengosongkan pejabat beliau di Old Trafford.

Saya gembira dan lega kerana pihak pengurusan kelab akhirnya berani mengambil langkah drastik dengan memecat Moyes selepas prestasi keseluruhan The Red Devils di bawah kendalian beliau musim ini turun secara drastik biarpun berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Di sebalik rasa gembira dan lega itu, terselit juga rasa simpati saya terhadap Moyes kerana impian beliau untuk melakukan rombakan besar-besaran musim hadapan dan membentuk United mengikut acuan beliau sendiri tidak tercapai berikutan pemecatan ini. Ada yang mengatakan bahawa Moyes perlu diberikan peluang sehingga Disember ini sebelum penilaian sebenar boleh dibuat manakala di pihak lain pula mengatakan bahawa tempoh sembilan bulan sejak bermulanya saingan kompetitif sudah memadai untuk Moyes membuktikan bahawa beliau memang layak mengisi jawatan pengurus United. Saya tidak pernah bersetuju dengan kecenderungan kelab-kelab besar menukar pengurus/jurulatih umpama menukar pakaian jika mereka gagal memberikan keputusan yang diharapkan, tetapi 51 perlawanan dan tempoh sembilan bulan yang diberikan kepada Moyes saya rasa sudah lebih dari memadai untuk menilai kemampuan sebenar beliau.

Tempoh peralihan dan prestasi beberapa pemain utama yang sudah di penghujung karier sering dijadikan alasan mengapa United begitu merudum musim ini, tetapi sebagai individu yang bertanggungjawab melakar strategi dan plan permainan pasukannya, Moyes sepatutnya tidak boleh mengelak dari dipersalahkan. Ramai pihak mengatakan bahawa kecenderungan Moyes menggunakan bahagian sayap ketika menyerang menyebabkan permainan United begitu mudah di baca. Masih ingatkah anda komen Rene Meulensteen selepas Fulham berjaya memaksa United berkongsi mata di Old Trafford 10 Februari lalu. Menurut Meulensteen, strategi permainannya sungguh mudah iaitu meletakkan cukup pemain di dalam kotak penalti sendiri bagi menanti hantaran-hantaran lintang yang dilakukan Juan Mata dan Ashley Young dari sebelah kiri dan kanan. Agak malang ketika strategi permainannya dikatakan mudah dibaca, Moyes pula seolah-olah tidak punya jawapan bagaimana mahu mencari alternatif lain dalam usaha menembusi benteng pertahanan lawan dan terus menggunakan strategi sama pada perlawanan-perlawanan seterusnya.

Komen Dwight Yorke dan Jamie Carragher selepas berakhirnya perlawanan di Goodison Park Ahad lalu menarik perhatian saya. Menurut Carra, taktik permainan Moyes membingungkan manakala Yorke pula mengatakan bahawa 'hubungan' antara Moyes dan pemain-pemainnya terputus hingga mengakibatkan mereka seolah-olah bermain tanpa panduan. Kritikan paling keras pula datangnya dari Martin Keown yang melabelkan strategi permainan Moyes sebagai ketinggalan zaman. Kesilapan paling besar yang dilakukan Moyes bagi saya ialah kegagalan beliau mengenali dan memahami potensi sebenar milik pemain-pemainnya sendiri. Moyes gagal menentukan siapa pemain terbaik yang beliau miliki untuk disesuaikan dengan plan permainannya, jadi tidak hairanlah mengapa beliau menggunakan line up berbeza dalam 51 perlawanan yang beliau kendalikan. Saya akui Sir Alex juga sering mengamalkan penggiliran pemain tetapi beliau tahu pemain mana yang boleh diberikan tanggungjawab ketika berdepan perlawanan besar dan penting.

Misi utama Moyes pada musim pertamanya di Old Trafford bukan mengekalkan trofi Liga Perdana sebaliknya cukup sekadar meletakkan kelab di kedudukan empat teratas sekaligus layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Saya masih percaya bahawa kualiti yang ada pada pemain-pemain United musim ini sebenarnya mampu menyaingi mana-mana kelab yang menghuni empat tangga teratas, jadi kegagalan beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan adalah kegagalan total dan sebagai pengurus, Moyes adalah individu paling hadapan yang perlu memikul tanggungjawab ini. Tanpa Sir Alex, prestasi United sejak awal-awal lagi sudah dijangka bakal menurun dan tugas utama Moyes ialah cuba meminimakan penurunan (prestasi) itu ke tahap yang boleh diterima pihak pengurusan dan penyokong-penyokong United. Seperti yang saya sebutkan tadi, meletakkan kelab di kedudukan big four sudah memadai untuk memuaskan hati penyokong-penyokong terutamanya dari generasi muda yang hanya mengenali Manchester United menerusi kejayaan menjulang trofi demi trofi sepanjang era 27 tahun Sir Alex di Old Trafford.

Musim 2013/14 adalah musim paling suram sepanjang tempoh dua dekad walaupun pada awalnya kita meraikan kehadiran Moyes sebagai pengganti Sir Alex. Siapa sangka Stoke City yang tidak pernah menewaskan United di mana-mana venue akhirnya berjaya menamatkan rekod buruk mereka manakala mimpi ngeri Tottenham Hotspurs, Everton, West Bromwich Albion, Swansea City dan Newcastle United setiap kali beraksi di Old Trafford selama ini bertukar menjadi mimpi indah. Sisa-sisa peluang Moyes untuk menyelamatkan jawatan beliau pada pandangan saya sudah berakhir sejak United disingkir Bayern Munich di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara 10 April lalu. Selepas mengharungi tempoh-tempoh sukar di peringkat domestik, Liga Juara-Juara adalah satu-satunya pentas yang tinggal buat Moyes menutup mulut pengkritik-pengkritiknya sambil membuktikan bahawa beliau patut diberikan peluang untuk terus mengemudi pasukannya. Bagaimanapun di peringkat sejauh ini, Moyes tidak memiliki banyak pilihan selain terpaksa menerima hakikat bahawa Bayern Munich bukan mudah untuk dilepasi.

Jika Bayern menamatkan sisa-sisa perjuangan Moyes, Everton pula membawa beliau ke jalan mati. Kemarahan dan kecewa bercampur aduk ketika melihat aksi United di Goodison Park dan atas sebab itu jugalah saya tidak terkejut apabila keesokkan harinya membaca spekulasi-spekulasi pemecatan Moyes di portal berita dan akhbar. Selepas perlawanan Moyes mengatakan bahawa pasukannya tidak bernasib baik tetapi saya boleh katakan bahawa tempoh 90 minit ketika menentang Everton adalah antara permainan terburuk United musim ini. Bukan hanya penyokong-penyokong United kecewa melihat kejatuhan mendadak kelab musim ini tetapi perkara yang sama juga sudah tentu dirasai pemilik kelab (keluarga Glazer). Keluarga Glazer adalah taikun sukan yang 'melombong' wang menerusi bidang ini dan sudah tentu kejatuhan United memberikan kesan kepada poket mereka. Walaupun diberitakan bahawa mereka sanggup memberikan peruntukkan hingga £200 juta kepada pengurus bagi menguatkan pasukan musim hadapan, namun saya percaya mereka juga sudah tentu tidak mahu memberikan wang sebanyak itu kepada tangan yang salah.

Melihat apa yang sudah dilakukan Moyes selama beliau duduk di kerusi pengurus United, saya akan menganggap keluarga Glazer gila jika mereka sanggup menyerahkan cek bernilai £200 juta kepada Moyes bagi membeli pemain baru musim panas nanti. Prestasi Moyes sepanjang pasaran perpindahan musim panas lalu adalah contoh terbaik. Tindakan lewat beliau ketika mendapatkan khidmat Marouane Fellaini (hanya beberapa hari selepas klausa perpindahan pemain itu tamat), menyebabkan United terpaksa membayar kepada Everton £4 juta lebih mahal. Selain itu percubaan beliau mendapatkan Ander Herrera dari Athletic Bilbao dan Fabio Coentrao dari Real Madrid berakhir dengan 'huru-hara'. Pelaburan musim sejuk beliau untuk Juan Mata juga nampaknya tidak mampu menyelamatkan musim suram United. Kehadiran pemain-pemain berkualiti seperti Fellaini dan Mata sepatutnya mampu membantu United mengimbangi cabaran pesaing-pesaing mereka tetapi itu nampaknya tidak berlaku dan akhirnya kesabaran pemilik kelab sudah sampai ke kemuncak. Walaupun diberikan kontrak selama enam tahun, hayat Moyes selaku pengurus United berakhir ketika saingan liga musim ini berbaki empat perlawanan untuk ditamatkan.

Louis Van Gaal, Jurgen Klopp, Diego Simeone dan Carlo Ancelotti antara jurulatih berprofil tinggi yang dikaitkan bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Moyes tetapi buat masa ini biarkan Giggs menjalan tugasnya sebagai pengurus sementara United. Melihat kepada pencapaian Moyes selama sembilan bulan ini, sukar bagi saya untuk percaya bahawa Sir Alex memilih beliau sebagai penggantinya. Pemecatan Moyes mengundang berbagai reaksi tetapi sebelum bersetuju menerima tugas selaku pengurus United, beliau sudah tentu faham dengan segala risiko yang bakal menantinya. Berada di tangga ketujuh mungkin satu kejayaan buat kelab pertengahan seperti Aston Villa, Southampton, Stoke City atau Swansea City tetapi tangga ketujuh adalah satu tragedi untuk kelab besar seperti Manchester United. Mungkin ada benarnya kata-kata Shebby Singh tidak lama dulu bahawa kesilapan paling besar yang dilakukan Moyes ialah menerima tawaran selaku pengurus United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan