Siapa sangka tanpa kelibat Wayne Rooney dan
Robin Van Persie di barisan hadapan serta skuad hampir berbeza yang diturunkan
David Moyes berbanding ketika aksi menentang Bayern Munich Rabu lalu, The Red Devils masih mampu memungut tiga
mata penuh di samping menjaringkan empat gol di St James Park semalam. Tiga
mata yang diraih di St James Park sudah tentu cukup penting dalam usaha
menghidupkan kembali peluang merebut satu slot ke Liga Juara-Juara musim
hadapan tetapi apa yang lebih menarik perhatian saya ialah bagaimana jentera United
yang diturunkan semalam bekerja sepanjang 90 minit permainan. Dua gol yang
dihasilkan Juan Mata dalam perlawanan semalam menyebabkan nama bekas pemain
tengah Chelsea itu menjadi topik perbualan hangat di kalangan penyokong-penyokong
United, tetapi saya berharap anda tidak lupakan juga sumbangan yang diberikan
pemain-pemain seperti Darren Fletcher, Javier Hernandez serta Shinji Kagawa.
Fletcher umpamanya menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau sudah mula menemui
sentuhan lamanya dengan memainkan peranan cukup besar di bahagian tengah United
semalam. Statistik menunjukkan bahawa sepanjang 90 minit permainan, Fletcher
melakukan sentuhan bola sebanyak 83 kali manakala ketepatan hantarannya pula
mencapai 96%. Selain itu saya juga tertarik dengan persembahan trio Januzaj,
Mata dan Kagawa dalam formasi 4-2-3-1 yang digunakan Moyes semalam selepas
Ashley Young dikeluarkan di minit ke-18 akibat kecederaan. Januzaj menerusi
kepantasan dan kawalan bola menarik yang dimilikinya menyebabkan Massaido
Haidara berdepan masalah besar sebaik sahaja bintang muda itu masuk menggantikan
Young. Jika Mata mempesonakan menerusi dua gol yang dihasilkannya, persembahan
dan sumbangan Kagawa dalam beberapa minggu terakhir sepatutnya sudah mula
membuka mata Moyes tentang bakat yang ada pada pemain itu.
Pembelian Mata pada awalnya menyebabkan ramai
pihak berpendapat bahawa masa depan bintang antarabangsa Jepun itu di Old
Trafford bakal berakhir tetapi aksi beliau di St James Park semalam bakal
menyanggah segala teori tersebut. Bermain
bersama Mata, Kagawa saya lihat cukup selesa bergerak dalam mencari peluang,
menanti hantaran rakan dan kemudiannya membuka permainan hinggakan Davide
Santon seolah-olah tidak punya jawapan untuk menghentikannya. Kagawa hanya
mencipta satu assist tetapi
sumbangannya sepanjang perlawananan serta penglibatannya dengan gol-gol yang
dihasilkan United seolah-olah mengimbas kembali detik-detik gemilang dua musim
kariernya bersama Borussia Dortmund. Inilah sebenarnya 'wajah' Kagawa, dan atas
sebab itulah mengapa sebelum ini penyokong-penyokong United lantang
mempertikaikan langkah Moyes yang gemar meletakkan pemain itu di bangku
simpanan berbanding mempertaruhkan bakat beliau di tengah padang. Moyes
sepatutnya tidak perlu memandang terlalu jauh dalam mencari jawapan kepada
kurangnya kreativiti di bahagian tengah United musim ini kerana jawapan itu
sebenarnya sudah sekian lama berada di hadapan mata beliau. Walaupun misi
mempertahankan kejuaraan Liga Perdana sudah lama berakhir, tiada salahnya untuk
Moyes terus meletakkan gandingan Mata dan Kagawa dalam senarai kesebelasan
utamanya selepas ini. Melihat kepada keserasian yang dipamerkan dua pemain itu
semalam, saya berpendapat sudah tibalah masanya untuk Moyes cuba membangunkan
kekuatan di bahagian tengah bertunjangkan kepada bakat yang dimiliki Mata serta
Kagawa.
Tindakan Moyes yang sebelum ini cenderung
menggunakan Mata di sebelah kanan dan Kagawa pula di sebelah kiri (dalam
formasi 4-4-2) sebenarnya hanya membataskan kemampuan sebenar kedua-dua pemain
ini. Aksi di St James Park pada pandangan saya sepatutnya sudah menyedarkan
Moyes di mana Mata dan Kagawa sepatutnya beliau letakkan dan formasi apa yang
sepatutnya beliau gunakan jika kedua-dua pemain ini diturunkan serentak.
Ketiadaan Rooney semalam membolehkan Mata memainkan peranan nombor 10 dalam
struktur formasi Moyes, posisi yang memang ideal untuknya manakala Kagawa pula
di sebelah kiri beliau. Kehadiran Januzaj yang masuk menggantikan Ashley Young
sebenarnya melengkapkan lagi trio ini, jadi tidak hairanlah dengan adanya tiga
pemain yang memiliki attacking minded
di belakang Hernandez selaku penyerang utama, benteng pertahanan The Magpies yang diterajui Fabricio
Collocini, Mike Williamson, David Santon dan Massaido Haidara dipaksa bekerja
keras hampir sepanjang perlawanan. Ketiadaan Rooney dan kemudiannya kecederaan
yang menimpa Young pula membuka peluang buat trio ini (Mata, Kagawa dan
Januzaj) berganding bersama. Ketiga-tiganya sudah memainkan peranan mereka
dengan cukup berkesan semalam, tetapi saya yakin selepas Moyes memperolehi
kembali khidmat Rooney, kita tidak akan dapat melihat lagi trio ini berada
sebaris dalam formasi 4-2-3-1 (kecuali jika Moyes meletakkan Rooney selaku
penyerang utama). Meskipun secara keseluruhannya Moyes masih bergantung kepada
penggunaan dua pemain sayap tradisi, saya tetap berharap aksi di St James Park membuka
mata beliau untuk cuba mengubah kebiasaan tersebut. Bolasepak moden sudah
banyak berubah dan sesuai dengan perubahan tersebut kita kini melihat (khususnya
di Liga Perdana) lahirnya pemain-pemain seperti David Silva, Samir Nasri,
Phillipe Coutinho, Oscar dan Jesus Navas yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada
kelajuan tetapi sebaliknya mereka adalah pemain bolasepak yang bijak.
Jika Manchester City, Liverpool dan Chelsea
memiliki pemain-pemain seperti ini kita sebenarnya turut memiliki pemain dengan
type yang sama dan sudah tentu pemain
yang saya maksudkan ialah Mata dan Kagawa. Mata dan Kagawa sudah membuktikan bahawa
mereka berdua boleh bermain bersama, membuka ruang antara satu sama lain ketika
melancarkan serangan di mana akhirnya Mata menamatkan permainan dengan dua gol yang
djaringkannya manakala Kagawa pula menyumbang satu assist. Jika persembahan Kagawa dan Mata di St James Park semalam boleh
dijadikan kayu ukur, saya percaya mana-mana pertahanan kelas dunia pun akan menghadapi
kesukaran untuk mengekang pergerakan mereka. Mata dan Kagawa masing-masing
sudah berusia 25 tahun, dan untuk itu mereka bolehlah saya kategorikan sebagai
pemain yang sudah matang. Mata seperti yang kita tahu pernah membantu Chelsea
menjulang trofi Liga Juara-Juara (2011) dan Liga Europa (2013), malah sebelum
itupun beliau sudah bertahun-tahun beraksi di pentas tertinggi Eropah bersama
Valencia. Begitu juga dengan Kagawa yang pernah menjulang trofi Bundesliga dua
musim berturut-turut (2010-11 dan 2011-12) bersama Borussia Dortmund selain
pernah diiktiraf sebagai pemain terbaik di Bundesliga. Ringkasnya kedua-dua
mereka sudah punya cukup pengalaman bermain di pentas tertinggi Eropah, jadi bukanlah
sesuatu yang mengejutkan apabila melihat aksi yang mereka pamerkan di St James
Park semalam. Sebagai penyokong saya hanya mampu berharap dan harapan saya
sudah tentulah ingin melihat Moyes mengekalkan gandingan dua pemain ini dalam
kesebelasan utamanya pada perlawanan-perlawanan akan datang. Mata dan Kagawa
sudah memberikan petunjuk bahawa gandingan mereka adalah jawapan kepada masalah
yang sering dirungutkan Moyes selama ini, iaitu kurangnya kreativiti di
bahagian tengah. Penambahan beberapa pemain baru sudah tentu bakal dilakukan Moyes
musim panas nanti, jadi saya tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya jika Toni
Kroos atau Ilkay Gundogan berjaya dipancing menyertai United dengan Mata serta
Kagawa pula bermain di hadapan mereka. Sejauh manakah gandingan Mata dan Kagawa mampu dikekalkan? Jawapannya ada pada Encik David Moyes. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan