Tiada siapa boleh menafikan bahawa musim ini
merupakan musim paling mengecewakan buat Manchester United. Di bawah kendalian
David Moyes, United tidak akan beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan,
berdepan prospek untuk menamatkan saingan liga di kedudukan terendah sejak 1989
dan yang paling pedih kita mungkin menyaksikan Liverpool menamatkan kemarau 24
tahun kejuaraan liga mereka. Di bawah kendalian Sir Alex, United berjaya
memadamkan dominasi Liverpool selama lebih dari dua dekad, tetapi musim ini
kelab dari Merseyside (Liverpool dan Everton) membuktikan bahawa tanpa Sir
Alex, The Red Devils tidak lagi perlu
digeruni apabila masing-masing mencatatkan kemenangan berganda ke atas
aanak-anak buah Moyes dalam saingan
liga. Segala kegagalan dan catatan buruk yang berlaku musim ini ada harga yang
perlu dibayar dan sepertimana lazimnya seorang pengurus/jurulatih perlu
bertanggungjawab atas kegagalan pemain-pemainnya memberikan keputusan positif
di atas padang. Akibatnya seperti yang anda tahu, Moyes terpaksa membayar harga
yang mahal dari 'kejatuhan' United musim ini apabila ditunjukkan pintu keluar
walaupun pada awalnya beliau sendiri begitu yakin akan terus diberikan
kepercayaan menerajui kelab sehingga musim hadapan. Moyes sudah pun pergi dan
sementara pihak pengurusan mencari calon berkelayakan bagi mengisi kekosongan
yang ditinggalkan Moyes, Ryan Giggs akan memikul tugas selaku pengendali
sementara pada baki empat perlawanan liga selepas ini.
Jodoh Moyes bersama United sudahpun berakhir,
hidup perlu diteruskan manakala pengganti beliau perlu segera dicari. Mungkin
kerana dipengaruhi sentimen, ada di kalangan penyokong-penyokong United mahukan
agar jawatan pengurus United diberikan kepada Giggs secara tetap. Saya bukan
mahu memperkecilkan kredibiliti Giggs atau mengatakan bahawa beliau tidak layak
mengendalikan pasukan musim hadapan tetapi melantik seorang yang masih belum
membuktikan apa-apa dalam bidang kejurulatihan adalah satu langkah yang cukup
berisiko. Maka atas sebab itulah United harus segera mencari pengganti yang
benar-benar layak kerana seboleh mungkin kita tidak mahu lagi melihat episod
suram musim ini berulang sekali lagi musim hadapan. Sebagai pemain Giggs memang
mengagumkan serta penuh karisma dan jika ditanya secara peribadi, saya juga
mahukan agar beliau dilantik secara permanent
sebagai pengurus United. Mungkin disebabkan sentimen terhadap Giggs yang
merupakan lagenda dan pemain paling berjaya dalam sejarah kelab, kita berharap
agar beliau dilantik selaku pengurus United seterusnya, tetapi dalam masa yang
sama kita juga perlu ingat bahawa beliau masih terlalu 'hijau' dalam bidang
kejurulatihan dan hanya akan berdepan perlawanan pertamanya sebagai pengurus
secara rasmi Ahad ini.
Tiada kepastian sama ada Giggs akan terus
bermain musim hadapan tetapi jika beliau mahu menggantung boot dan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan adalah lebih
wajar beliau bermula dari bawah terlebih dahulu dengan menjadikan Pep Guardiola
sebagai contoh terbaik. Kurang setahun selepas memperolehi lesen kejurulatihan
Kelas A dari UEFA, pemecatan Moyes memberikan peluang terhidang buat Giggs
membuktikan keupayaan beliau sebagai pengurus selepas melalui tempoh 24 tahun
yang penuh gemilang sebagai pemain. Giggs ada empat perlawanan untuk
membuktikan kepada penyokong-penyokong United bahawa sentuhannya sebagai
pengurus sehebat aksinya ketika di atas padang. Kita terpaksa mengakui bahawa
United kini sedang dilanda krisis manakala pemain-pemain pula seolah-olah seperti
sudah hilang kepercayaan diri. Komen dari Jamie Redknapp yang mengatakan bahawa
pemain-pemain seolah-olah tidak gembira bermain di bawah kendalian Moyes sudah
cukup untuk menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku dalam kem United ketika
ini. Dengan hanya baki empat perlawanan yang tinggal, tiada apa yang mampu
dilakukan Giggs untuk menyelamatkan United, tetapi kehadiran beliau saya harap
sekurang-kurangnya mampu mengembalikan semula semangat yang kelihatan semakin
hilang dalam diri pemain-pemain. Sebahagian besar pemain-pemain United sudah
berjuang bersama-sama Giggs sejak sekian lama di atas padang dan sudah tentulah
kedua-dua belah pihak faham benar dengan kehendak dan keperluan masing-masing.
Sebagai seorang pemain yang penuh dengan
pengalaman dan biasa berdepan tekanan di atas padang, saya yakin Giggs mampu
melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada beliau untuk mengemudi United
pada baki empat perlawanan selepas ini. Giggs sudah membuktikan kepimpinannya
di atas padang selama 24 tahun mengerah keringat menyarung jersi United dan
kini kualiti kepimpinan beliau di tagih pula di luar padang. Saya mengiktiraf
Giggs sebagai seorang profesional tulen baik ketika berada di atas padang
mahupun ketika di luar padang. Ketika spekulasi hubungan beliau dengan Moyes
yang dikatakan bergolak hangat dimainkan media, Giggs sebaliknya mengambil
sikap meredakan keadaan dan cuba menjaga keharmonian dalam pasukan. Bukan
rahsia lagi bahawa tindakan Moyes yang jarang menurunkan Giggs menyebabkan
beliau agak kecewa tetapi selaku pemain yang penuh pengalaman, Giggs bijak
menyembunyikan kemelut hubungannya dengan pengurus ketika itu. “Hubungan kami
bagus. Tiada sebarang masalah dengan pengurus. Saya tahu banyak yang
diperkatakan media tetapi saya tidak tahu dari sumber mana mereka
memperolehinya. Sebagai pemain sudah tentu saya ingin bermain sekerap mungkin
tetapi saya tahu saya tidak akan diturunkan setiap perlawanan. Kali terakhir
saya bermain ialah enam atau tujuh minggu lalu. Seperti yang anda lihat ketika
bertemu Olympiakos, saya sentiasa bersedia diturunkan dan itulah yang perlu
anda lakukan sebagai pemain bukan mengeluh jika tidak diturunkan”, komen Giggs
awal bulan ini ketika beliau ditanya tentang hubungannya dengan Moyes.
Norwich City akan memberikan ujian pertama
kepada Giggs sebagai pengurus, tetapi lebih daripada itu saya ingin melihat
bagaimana reaksi pemain-pemain di atas padang selepas Moyes di pecat dan adakah
kehadiran Giggs mampu menyuntik kembali motivasi dalam diri barisan The Red Devils. Redknapp mengatakan
bahawa pemain-pemain United seolah-olah tidak gembira bermain di bawah
kendalian Moyes tetapi adakah kehadiran Giggs di bangku pengurus akan
membuatkan pemain-pemain kembali gembira dan menikmati sepenuhnya permainan
mereka di bawah arahan beliau? Faktor-faktor inilah yang menyebabkan saya agak
teruja menanti aksi menentang Norwich City Ahad ini walaupun pada hakikatnya
baki empat perlawanan yang tinggal hanyalah pelengkap jadual liga United bagi
musim ini. Jika dilihat kedudukan The
Canaries dalam carta liga, anda mungkin beranggapan bahawa United tidak
akan berdepan masalah besar untuk meraih tiga mata penuh. Bagaimanapun, saya
pula beranggapan sebaliknya kerana Norwich yang kini hanya dipisahkan dua mata
dari zon penyingkiran dan sedang berjuang untuk terus kekal di Liga Perdana
adalah pasukan yang berbahaya. Mana-mana pasukan yang berada dalam situasi
terdesak seperti Norwich adalah pasukan yang berbahaya dan cabaran yang bakal
mereka berikan tidak boleh dipandang ringan. Aksi di Old Trafford Ahad ini
merupakan perlawanan ke 49 dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan dan saya
jangkakan akan menjadi perlawanan yang sukar buat United. Dari sudut lain
kehadiran anak-anak buah Neil Adams tepat pada masanya untuk menguji sejauh
mana kredibiliti Giggs selaku pengendali dalam mengatur plan permainan
pasukannya dan dalam masa yang sama beliau sudah tentu tidak mahu penampilan
pertamanya sebagai pengurus dirosakkan The
Canaries.
Perlantikan Giggs (walaupun hanya sementara)
akan memberikan semangat baru dalam kem United kerana seperti yang kita tahu
beliau adalah antara individu yang memang cukup dihormati di Old Trafford.
Dengan segala pengalaman yang ada pada dirinya sebagai pemain dan sejarah
panjang beliau bersama kelab sejak usia remaja, saya yakin Giggs akan muncul
jurulatih/pengurus yang berjaya suatu hari nanti. Jangan lupakan juga bahawa
beliau pernah dilatih oleh seorang pengurus hebat (Sir Alex Ferguson) hingga
muncul antara pemain disegani dan nama besar dalam dunia bolasepak. Walaupun
saya katakan bahawa United perlu mencari seorang individu berpengalaman sebagai
pengganti Moyes tetapi saya tidak akan sekali-kali mengetepikan peluang Giggs.
Siapa tahu dengan hanya empat perlawanan, Giggs mampu mencuri perhatian pihak
pengurusan United untuk melantik beliau secara tetap. “Kita akan kembali bermain seperti Manchester
United”, itulah kata-kata Giggs semasa mengendalikan sesi latihan pertamanya
sebagai pengurus United dan saya juga tidak sabar untuk menyaksikan kembali wajah
sebenar United di bawah kendalian lagenda ini. Apa lagi yang saya boleh katakan
tentang insan yang bernama Ryan Joseph Giggs selain beliau adalah individu luar
biasa dan pemain bolasepak yang hebat. Saya bertuah kerana dapat menyaksikan
lelaki ini memperagakan bakatnya di tengah padang selama lebih dua dekad dan kini
menerajui United di bangku pengurus pula. Perginya Moyes meninggalkan kelab
saya harap akan menghadirkan harapan baru di Old Trafford dan semoga ada udara
segar yang berhembus di penghujung musim yang penuh suram ini. “In Giggs we trust”. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan