08 April 2014

MISI GETIR TAPI BUKAN MUSTAHIL


Mampukah Manchester United melakar kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan Bayern Munich di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara? Jika soalan itu anda tanyakan kepada saya, jawapannya sudah tentu “ya”. 90 minit di Allianz Arena bakal menjadi penentu dan melalui percaturan tepat serta dibantu dengan sedikit tuah, saya yakin Bayern mampu disingkirkan. Saya akui bahawa Bayern merupakan sebuah pasukan yang serba lengkap di semua posisi, ditambah pula dengan falsafah bolasepak milik si genius Pep Guardiola selaku pengendali mereka menyebabkan gergasi Bundesliga itu pasukan yang cukup dicemburui ketika ini. Jika ada pihak yang masih pesimis bahawa mustahil untuk United menyingkirkan Bayern di Allianz Arena, saya mahu menjadikan Wigan Athletic sebagai contoh terbaik buat mereka. Mengapa The Latics yang kini bermain di Liga Kejuaraan mahu dijadikan contoh? Musim lalu, Wigan melakar kejutan besar di Wembley apabila mereka menewaskan Manchester City yang dibarisi bintang-bintang ternama untuk muncul juara Piala FA dan musim ini mereka sekali lagi mengaibkan City di kejohanan sama, kali ini di peringkat suku akhir pula. Siapa sangka Wigan yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan musim lalu mampu melakar kejutan besar menewaskan skuad jutawan seperti City di pentas final, tetapi kejutan-kejutan seperti itulah yang menyebabkan bolasepak begitu indah.

Apa yang sudah dilakukan Wigan adalah contoh terbaik dan jika ada pihak yang masih menidakkan peluang United, mereka mungkin lupa bahawa pemenang sesuatu perlawanan bolasepak bukan hanya bergantung kepada kekuatan sesebuah pasukan tetapi elemen tuah, kejutan dan keajaiban turut memainkan peranannya. Bayern ada kelebihan kerana bakal beraksi di Allianz Arena, tetapi tekanan bermain di hadapan penyokong-penyokong fanatik sendiri adakalanya boleh 'membunuh' pasukan tuan rumah dan itulah yang saya harapkan bakal menimpa mereka nanti. Saya yakin barisan bimbingan Guardiola tidak menyangka bahawa mereka gagal menewaskan United pada perlawanan pertama Rabu lalu jika diambilkira prestasi The Red Devils ketika bermain di Theatre of Dreams musim ini. Gol penyamaan Bastian Schweinsteiger mungkin meredakan sedikit tekanan buat mereka, tetapi cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika gol Danny Welbeck di sahkan selain peluang terbaik di babak pertama berjaya disempurnakan pemain itu. Bagi saya strategi permainan yang dirancang David Moyes pada perlawanan pertama minggu lalu adalah perancangan yang bijak mengambilkira kepada situasi terkini kelab dan aset yang dimilikinya. Saya percaya strategi sama akan digunakan beliau di Allianz Arena nanti iaitu mengarahkan pemain-pemainnya berada di kawasan sendiri, menunggu peluang terbaik dan kemudiannya melancarkan serangbalas pantas.

Ketepikan kata-kata yang dilemparkan Arjen Robben bahawa hanya Bayern yang cuba bermain bolasepak sebenar berbanding United kerana dalam situasi sekarang falsafah permainan bolasepak cantik terpaksa dikorbankan demi mencapai keputusan positif di akhir perlawanan. Chelsea berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara (edisi 2011-12) buat pertama kali dalam sejarah kelab walaupun dikritik hebat kerana Roberto de Matteo ketika itu lebih gemar meletakkan 'tren' di hadapan pintu gol pasukannya berbanding bermain secara terbuka. Hasilnya mereka berjaya menyingkirkan pasukan pilihan seperti Barcelona di separuh akhir dan kemudiannya Bayern pula di pentas akhir menerusi penentuan sepakan penalti. Walaupun United tidak menampilkan permainan menghiburkan tetapi perlu kita akui bahawa strategi permainan Moyes minggu lalu cukup berhasil hinggakan David De Gea jarang diuji sepenuhnya oleh barisan hadapan Bayern. Secara teknikalnya Bayern memang sebuah pasukan yang jauh lebih baik berbanding United, jadi kita perlu menerima hakikat bahawa United tidak akan bermain secara terbuka di Allianz Arena nanti, sama seperti aksi mereka di Old Trafford.

Untuk itu benteng pertahanan perlu diberikan perhatian utama dan saya berharap sesiapapun yang diletakkan Moyes di bahagian belakang nanti tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika mengekang asakan lawan. Paling penting United perlu kekal dengan sebelas pemain hingga tamat permainan kerana saya tidak mahu melihat mereka tersingkir akibat kekurangan seorang pemain seperti yang berlaku musim lalu (ketika berdepan Real Madrid). Kecederaan yang melanda Wayne Rooney sedikit meresahkan saya walaupun beliau tetap menyertai rombongan United ke Munich kerana keberkesanan perancangan Moyes dan nasib United turut bergantung kepada faktor kecergasan penyerang England itu. Jika Rooney tidak sempat cergas untuk diturunkan di Allianz Arena nanti, saya berharap Javier Hernandez akan sekali lagi digunakan sebagai penyerang utama selepas beliau mempamerkan prestasi terpuji di St James Park Sabtu lalu. Dua veteran di benteng pertahanan (Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand) tidak diturunkan Moyes ketika berdepan Newcastle, jadi saya jangkakan kelibat mereka akan sekali lagi dipertaruhkan pada aksi menentang Bayern kerana pengaruh dan pengalaman yang dimiliki dua pemain ini.

Prestasi United di St James Park memberikan kita harapan anak-anak buah Moyes mampu melakukan sesuatu di Allianz Arena tetapi saya berharap anda juga tidak terpedaya dengan berita kekalahan pertama Bayern dari 53 perlawanan Bundesliga mereka Sabtu lalu. Selepas kekal dengan rekod tanpa kalah (liga) sejak Oktober 2012, Pep Guardiola melakukan perjudian besar dengan mempertaruhkan rekod tersebut apabila merehatkan sebahagian besar pemain-pemain utama mereka ketika berkunjung di SGL Arena, Augsburg. Dante, Rafinha, Jerome Boateng, Mario Gotze, Thomas Muller dan David Alaba hanya diletakkan di bangku simpanan manakala nama Philipp Lahm, Franck Ribery dan Arjen Robben langsung tidak tersenarai Sabtu lalu. Jangan terlalu seronok melihat rekod 53 perlawanan liga Bayern dileburkan Augsburg kerana sudah tentu mereka akan turun dengan wajah berbeza ketika berdepan United nanti. Dan jangan juga terlalu seronok melihat United membelasah Newcastle United kerana Allianz Arena akan menawarkan suasana jauh berbeza berbanding Sports Direct Arena. Jika mahu melakar keajaiban, Moyes mungkin boleh mempelajari sedikit sebanyak strategi yang digunakan Manuel Pellegrini ketika Manchester City menundukkan Bayern di Allianz Arena Disember lalu. City muncul satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Bayern di gelanggang mereka musim ini dan sudah tentulah saya berharap kejayaan jiran kita itu mampu diulangi barisan The Red Devils.

Fakta bahawa United mampu menjaringkan gol dalam 15 pertemuan mereka menentang wakil Jerman mungkin boleh memberikan kita harapan selain The Red Devils mencatat lima clean sheet dari sembilan perlawanan mereka di Liga Juara-Juara musim ini, iaitu jumlah terbanyak berbanding mana-mana kelab. Jangan lupakan juga fakta bahawa sejak era Liga Juara-Juara diperkenalkan pada 1992, tiada mana-mana kelab berjaya menjuarai kejohanan ini dua musim berturut-turut dan saya berharap sumpahan terhadap juara bertahan akan menimpa Bayern pula musim ini. Adakah sumpahan Liga Juara-Juara terhadap juara bertahan akan berterusan dengan United muncul kelab yang bertanggungjawab meneruskan sumpahan itu Khamis ini? Kita tunggu sahaja apa kesudahannya drama di Allianz Arena nanti. Seperti yang saya sebutkan tadi, faktor kecergasan Rooney amat penting kerana United tidak mampu kehilangan khidmatnya selepas Robin Van Persie mungkin tidak akan bermain dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi. Di sisi lain Guardiola pula tidak dapat menggunakan khidmat Schweinsteiger dan Javi Martinez (kerana penggantungan) manakala Xherdan Shaqiri serta Thiago Alcantara pula akibat kecederaan. Masih ada 90 minit yang memisahkan kedua-dua pasukan dari slot separuh akhir, dan peluang tetap terbuka buat United meskipun Allianz Arena memang terkenal dengan reputasi 'kurang mesranya' terhadap mana-mana pasukan pelawat. Tiada yang mustahil dalam kehidupan dan dunia bolasepak juga tidak terkecuali. Berharaplah semoga akan ada keajaiban di Allianz Arena dan sumpahan terhadap juara bertahan menimpa Bayern pula kali ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

1 ulasan:

  1. Terbaik bro AJ..terima kasih kerana menceriakan hari2 sy dgn United!

    BalasPadam