Gembira, puas hati dan terhibur, hanya itulah
yang dapat saya rangkumkan selepas menyaksikan aksi selama 90 minit Manchester
United awal pagi tadi. Tidak banyak yang mampu dilakukan Norwich City sepanjang
aksi di Old Trafford ketika United yang turun buat pertama kali di bawah
kendalian lagenda hidup mereka, Ryan Giggs selaku pengurus menguasai sepenuhnya
permainan. Walaupun di separuh masa pertama United kelihatan bergelut untuk
cuba memecah kekebalan benteng pertahanan Norwich tetapi gol jaringan Wayne
Rooney menerusi sepakan penalti meredakan segala tekanan. Babak kedua segalanya
menjadi lebih mudah buat United apabila sedikit demi sedikit kekebalan barisan The Canaries berjaya diruntuhkan dan
akhirnya tiga gol lagi berjaya dihasilkan. Hanya sedikit kegopohan
menyempurnakan beberapa peluang terbaik menghalang United dari meraih
kemenangan lebih besar dalam perlawanan ini. Jika tidak sudah tentu ia akan
menjadi malam yang lebih gemilang pada penampilan pertama Giggs selaku
pengurus. Empat gol yang dihasilkan, dua sumbangan Wayne Rooney dan dua lagi
dari Juan Mata saya anggap permulaan sempurna pada penampilan pertama Giggs
selaku pengurus dan lebih manis ia berlaku di Theatre of Dreams. Berbanding aksi United dalam tempoh beberapa
minggu kebelakangan ini, saya lihat ada koordinasi dari bahagian bawah, tengah
dan hadapan ketika mereka menyusun gerakan, bola pula digerakkan ke seluruh
penjuru padang tanpa terlalu bergantung kepada hantaran-hantaran silang dari
bahagian sayap ketika menyerang dan paling penting Giggs mengotakan janjinya
untuk mengembalikan semula permainan sebenar United berteraskan falsafah
bolasepaknya sendiri.
Ini bukanlah permainan terbaik United terutamanya
di babak pertama, tetapi sekurang-kurangnya corak permainan menyerang seperti
ini yang sudah agak lama hilang kembali dapat kita saksikan. Terima kasih atas
sentuhan Giggs dan tiga lagi graduan dari Class
of 92 (Nicky Butt, Paul Scholes dan Phil Neville) yang turut membantu
beliau merencana strategi dan taktikal permainan United. Keputusan Giggs
meletakkan Juan Mata di bangku simpanan, menggandingkan kembali pasangan
Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand di benteng pertahanan serta dua graduan dari
akademi United iaitu Danny Welbeck dan Tom Cleverley dalam kesebelasan utamanya
saya percaya satu keputusan yang pastinya agak mengejutkan kita. Sumbangan
Cleverley di bahagian tengah kurang berkesan tetapi saya tertarik melihat
bagaimana Shinji Kagawa dan Welbeck bertukar-tukar posisi di sebelah kiri
ketika United melancarkan serangan dan penglibatan mereka dengan gol-gol yang
dihasilkan United. Welbeck bukanlah pemain yang popular di mata
penyokong-penyokong United musim ini tetapi kredit perlu diberikan kepada
beliau atas usaha yang dilakukannya selama 60 minit aksinya di atas padang. Giggs
mengakui bahawa beliau bingung memilih kesebelasan terbaiknya sebelum berdepan
Norwich kerana sebagai individu yang pernah beraksi di atas padang bersama-sama
pemain-pemain United yang lain, situasi itu saya anggap adalah perkara normal
buat beliau. “Saya tidak tidur sama sekali malam tadi kerana memikirkan susunan
pemain. Keputusan tidak menyenaraikan beberapa pemain dan meletakkan Juan Mata
di bangku simpanan adalah satu keputusan yang sukar. Cukup berat rasanya kerana
saya hanyalah pengurus sementara namun pada masa yang sama saya juga adalah rakan
mereka. Saya sebenarnya boleh menurunkan dua pasukan United sekaligus kerana respon
yang diberikan pemain-pemain minggu ini sungguh luarbiasa”, kata Giggs selepas
tamat perlawanan pagi tadi.
Kesebelasan utama yang dipilih Giggs sedikit 'membingungkan'
kita terutamanya apabila menyaksikan Mata yang sebelumnya menjadi pilihan utama
Moyes di bahagian tengah sekadar berada di bangku simpanan manakala tidak ramai
menjangkakan bahawa Cleverley akan bermula sebagai pilihan kali ini.
Bagaimanapun segala 'kebingungan' itu reda apabila keputusan di akhir
perlawanan memihak United, malah empat gol yang dihasilkan jentera The Red Devils sedikit mengejutkan saya
jika diambilkira Giggs hanya memiliki tempoh kurang seminggu menyediakan
pasukannya bagi menghadapi perlawanan kompetitif seperti ini. Masih terlalu
awal untuk memberikan pujian melangit buat Giggs kerana ini hanyalah perlawanan
pertama beliau di bangku pengurus tetapi selain dari itu saya sebenarnya cukup
tertarik melihat reaksi pemain-pemain di tengah padang. Seperti yang saya sebut
pada artikel sebelum ini, kehadiran Giggs akan mencetuskan kembali semangat
baru di kem United dan pemain-pemain sudahpun menterjemahkannya di tengah
padang awal pagi tadi. Bukan sahaja ada perubahan kepada reaksi pemain-pemain
di tengah padang, tetapi penyokong-penyokong yang dahulunya perpecah (kerana
ada yang menyokong dan anti Moyes) kini kembali bersatu. Ketika Giggs melangkah
keluar menuju terowong pemain, penyokong-penyokong yang dahulu terbahagi kepada
dua kelompok kini bersatu suara menyanyikan irama “Ryan Giggs' red and white army”, suasana yang sebenarnya sudah
hilang sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Menyaksikan empat dari enam
graduan Class of 92 duduk sebaris
bersama-sama kakitangan dan pemain-pemain simpanan United juga adalah momen
yang cukup indah.
Kehadiran mereka berempat (anggota Class of 92) tidak akan mengubah
nasib United dalam saingan liga musim ini tetapi perlawanan menentang Norwich sekurang-kurangnya
membuktikan kepada kita bahawa United sebenarnya tidak pernah kehabisan kualiti
untuk memberikan saingan kepada pencabar-pencabar yang lain. Apa yang perlu
hanyalah menyerahkan kelompok pemain yang ada ini kepada tangan yang betul
serta mereka-mereka yang sayang dan faham benar dengan sejarah serta tradisi
gemilang kelab. Giggs membuktikan kata-katanya bahawa beliau akan mengembalikan
semula falsafah permainan United yang hilang ketika Moyes mengendalikan kelab
dan persembahan pemain sepanjang 90 minit ketika menentang Norwich adalah
buktinya. Moyes dan Giggs adalah dua individu berbeza dan sudah tentu juga masing-masing
memiliki falsafah bolasepak mereka sendiri. Masih terlalu awal untuk menilai
Giggs kerana ini hanyalah tugasan pertamanya dan masih ada baki tiga perlawanan
lagi yang perlu diharungi United sebelum musim 2013/14 berakhir. Empat
perlawanan bukanlah ukuran sebenar untuk Giggs dinilai tetapi apa yang penting
ialah beliau sudah pun memenuhi janjinya untuk mengembalikan semula watak
sebenar United. Saya tetap berpuashati andainya United sekadar menang 1-0 pagi
tadi kerana dengan baki perlawanan yang tinggal, saya hanya mahu berhibur menyaksikan
barisan The Red Devils bermain
mengikut gaya sebenar United, berusaha tanpa mengenal penat, melakukan tackle dan menjaringkan gol. Selepas
tamat 90 minit permainan, saya tersenyum bukan kerana empat gol yang dijaringkan
United tetapi saya gembira kerana Giggs sudahpun mengotakan janjinya untuk menjelmakan
kembali gaya permainan The Red Devils yang
sebenarnya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan