“Bendera Putih”....itu antara perkataan yang
keluar dari mulut Jose Mourinho sebaik menyaksikan United sekadar memungut satu
mata di bet365 Stadium semalam. Keputusan seri yang diraih United itu juga
menyaksikan mereka sudah mencatatkan lapan keputusan seri dari 22 aksi liga
setakat ini.
Dan keputusan seri kedua berturut-turut dalam
dua aksi terakhir mereka juga petanda awal bahawa United sudah boleh
mengucapkan selamat tinggal kepada misi mereka untuk merebut kejuaraan liga
musim ini. Dengan konsistensi yang dipamerkan Chelsea selaku pendahulu liga,
Mourinho sedar bahawa misi utama beliau selepas ini ialah cuma memastikan
United berada di kelompok empat teratas, bukan lagi mengejar kejuaraan liga.
Meskipun sudah bertukar nama dari Britannia
Stadium kepada bet365 Stadium, Stoke City masih kekal barisan yang sukar
ditewaskan United bila mereka bermain di sana. Tiga kunjungan terakhir liga
United di bet365 Stadium berakhir dengan keputusan seri, di mana kemenangan
terakhir yang berjaya dilakarkan The Red Devils di markas Stoke City itu ialah
pada April 2013.
Seri memang keputusan yang bagus berbanding
kekalahan tetapi satu mata yang dikutip United semalam tidak banyak membantu
usaha mereka untuk terus memberikan tekanan kepada lima lagi pasukan yang
berada di atas. Keputusan seri yang diraih semalam juga membuktikan bahawa intensiti
permainan dan penguasaan bola yang dipamerkan United tidak diimbangi mereka
dengan ketajaman di hadapan pintu gol lawan.
Memang selama ini pun United terlalu
bergantung kepada ketajaman penyudah Zlatan Ibrahimovic dan itu antara masalah
besar yang perlu dicari jalan penyelesaiannya oleh Mourinho. Ketika Ibra silih
berganti dikawal ketat Ryan Shawcross dan Bruno Martins-Indi, United berdepan
masalah untuk memecah benteng pertahanan lawan.
Mencatatkan 59% penguasaan bola, melepaskan
25 percubaan dan mencipta 19 peluang tetapi United hanya mampu menjaringkan
satu gol di penghujung perlawanan, itupun menerusi sepakan percuma yang
dilakukan Wayne Rooney. Gol jaringan Rooney ke gawang Lee Grant itu bukan
sahaja menyelamatkan United dari pulang dengan tangan kosong tetapi gol itu
juga menyaksikan beliau kini pemegang rekod baharu selaku penjaring terbanyak
United sepanjang zaman.
Bukan hanya rekod Sir Bobby Charlton yang
berjaya dipecahkan Rooney, malah gol itu juga menyaksikan beliau kini sudah
menjaringkan 88 gol ketika beraksi di gelanggang lawan dalam saingan Liga
Perdana. Gol ke-88 yang dijaringkan Rooney di gelanggang lawan semalam
membolehkan beliau melepasi catatan yang dilakukan Alan Shearer (87 gol).
Rekod jaringan Rooney mungkin memberikan kita
sedikit penawar di sebalik keputusan seri yang diraih United semalam, tetapi
tetap ada keluhan sebaik Mark Clattenburg meniup wisel penamat. Menyaksikan
bagaimana United mendominasi permainan menerusi peluang-peluang yang dicipta
mereka dan menyaksikan bagaimana pemain berjuang hingga ke penghujung
perlawanan bagi mencari gol penyamaan, seri bagi saya adalah keputusan yang
kejam apatah lagi lawan hanya mampu membolosi gawang David De Gea menerusi gol
sendiri Juan Mata.
Begitulah kejamnya bolasepak kerana adakalanya
pasukan yang bermain baik, mendominasi perlawanan, melepaskan percubaan demi
percubaan dan mencipta lebih banyak peluang akhirnya gagal keluar sebagai
pemenang. United memang kerap kurang bernasib baik musim ini dan semalam tuah
sekali lagi menjauhi mereka.
Jika Henrikh Mkhitaryan dan Juan Mata berjaya
menyudahkan dua peluang terhidang di hadapan gawang lawan selain percubaan
Jesse Lingard di penghujung perlawanan tidak tersasar dari palang gol, kita
mungkin menyaksikan keputusan yang berbeza di bet365 Stadium. Tetapi itulah
bolasepak, kerana selain bermain baik, elemen `tuah’ juga kadangkala boleh
memberikan perbezaan kepada keputusan di akhir perlawanan...Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan