19 Januari 2017

BERSIKAP REALISTIK DAN BIARKAN POGBA BELAJAR DARI KESILAPAN

Apa sebenarnya yang berlaku kepada Paul Pogba sepanjang 90 minit ketika aksi menentang Liverpool Isnin lalu? Entah, kerana hingga sekarang pun saya masih tiada jawapan bila memikirkan bagaimana seorang pemain yang memegang title sebagai pemain termahal dunia boleh beraksi dengan begitu buruk.

Berkali-kali Pogba kehilangan bola dengan mudah malah kelibatnya juga boleh dikatakan tenggelam hampir sepanjang perlawanan. Lebih mengecewakan bila kesilapan yang dilakukannya menyebabkan lawan dihadiahkan sepakan penalti.

Ini bukanlah Pogba yang sering kita lihat dalam beberapa berlawanan terakhir jadi tidak hairanlah mengapa selepas berakhirnya aksi North-West Derby tempohari, beliau dihujani dengan kritikan-kritikan keras hinggakan harga yang terpaksa dibayar kelab bagi mendapatkan kembali khidmatnya turut diperdebatkan.

Dengan hanya dua percubaan yang mampu dilepaskannya selain gagal mencipta sebarang peluang jaringan gol, prestasi Pogba ketika berdepan Liverpool memang wajar dikritik. Bagaimanapun tidak adil juga untuk kita menghakimi kualiti seorang pemain bernama Paul Pogba ini hanya berdasarkan satu perlawanan.

Pogba baru berusia 23 tahun, usia yang dianggap masih muda buat pemain sepertinya. Tambahan pula dengan gelaran pemain termahal dunia yang disandangnya dan bermain pula untuk kelab seperti Manchester United, tekanan yang terpaksa dipikul beliau sangat-sangat berat.

Sebagai pemain muda yang memikul beban besar dalam tugasnya menggerakkan jentera tengah pasukan dan menjadi satu `dosa besar’ pula buat mana-mana pemain United jika mereka tewas kepada lawan seperti Liverpool, kesilapan yang dilakukan Pogba dalam perlawanan itu sebenarnya boleh berlaku kepada mana-mana pemain.

Pogba memang pemain termahal dunia tetapi beliau masih muda dan masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya sebelum menjadi pemain yang jauh lebih bagus berbanding sekarang. Apa yang perlu dilakukan Pogba ialah belajar menyerap tekanan kerana kemahiran itu tidak datang dalam masa yang singkat.

Tekanan dan harapan yang tinggi selain faktor bahawa beliau menganggap perlawanan menentang Liverpool amat penting, bukan sahaja kepada pasukan tetapi juga penyokong mungkin menjadi penyebab mengapa Pogba begitu gugup serta `kebingungan’ sepanjang perlawanan.

Belajar Dari Ibra...

Dalam hal ini, Pogba perlu belajar dan melihat bagaimana pemain yang lebih senior seperti Zlatan Ibrahimovic berdepan dan menangani tekanan yang datang. Pasca aksi North-West Derby Ibra mengingatkan Pogba bahawa sebagai pemain `top’, tekanan akan menjadi `rakan yang cukup akrab’ dan itulah yang perlu dihadapi serta ditangani beliau.

“Tekanan adalah hal yang saya nikmati. Jika anda mahu menjadi pemain `top’, tekanan akan selalu ada 24 jam. Tanpa tekanan anda akan berada di bawah. Jika anda bermain baik, tekanan yang datang juga semakin besar”, kata Ibra. Ya, memang benar kata Ibra kerana Pogba sudah ditakdirkan untuk menjadi pemain `top’ dan kerana itu tekanan juga akan selalu datang untuk mengujinya.

Atas sebab itu, Ibra mencadangkan Pogba supaya meniru apa yang beliau lakukan dalam menangani tekanan. “Tekanan dari luar yang saya terima tidak seberapa berbanding tekanan yang saya berikan untuk diri sendiri. Saya sering mahu melakukan perkara-perkara yang sempurna bukan hanya ketika perlawanan tetapi juga dalam sesi latihan”.

“Saya kecewa jika saya kalah ketika latihan, jadi bayangkan bagaimana perasaan saya jika kalah dalam perlawanan. Itulah tekanan yang saya berikan untuk diri sendiri. Jadi jika ada tekanan yang datang dari luar, ia umpama saya bermain di taman permainan kanak-kanak”.

Terimalah Kenyataan...

Akhirnya kita perlu menerima kenyataan bahawa Pogba bukanlah seperti Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo yang mampu menjaringkan 30 hingga 40 gol semusim. Jika ditakdirkan suatu hari nanti Pogba dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia sekalipun, beliau tidak akan sesekali mampu melakukan apa yang Messi atau Ronaldo lakukan.

Rekod dunia yang dipecahkan United ketika kelab mendapatkan khidmatnya dipertikaikan penyokong kerana mereka berpendapat wang sebanyak £90 juta adalah satu pembaziran untuk seorang pemain yang tidak mampu menjaringkan banyak gol. Perdebatan tentang tanda harga Pogba kembali hangat selepas aksi di bawah prestasi sebenar yang dipamerkannya ketika berdepan Liverpool tempohari.

Pogba merupakan pemain tengah yang mana peranan utamanya ialah cuba menguasai wilayahnya, merancang permainan, menyusun gerakan dan bertahan dalam situasi defensif. Bagaimanapun persepsi penyokong cukup berbeza kerana mereka beranggapan Pogba patut menjaringkan banyak gol hanya disebabkan gelaran pemain termahal dunia yang disandangnya.

Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, Pogba masih muda dan prestasi buruk yang dipamerkannya ketika berdepan perlawanan besar sering berlaku kepada mana-mana pemain muda sepertinya. Itu bukanlah masalah besar walaupun saya masih berpendapat harga yang terpaksa dibayar kelab untuk membawa beliau kembali ke Old Trafford agak tinggi.

Pada usia 23 tahun, Pogba merupakan prospek jangka panjang dan dengan bakat serta potensi yang dimilikinya, saya tetap percaya beliau akan muncul pemain yang jauh lebih menggerunkan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Sementara tiba detik itu, biarkan dahulu `singa muda’ ini mengasah taring dan kemahirannya, serta belajar dari `singa’ yang lebih dewasa bagaimana caranya untuk menjadi pemangsa yang digeruni dan `singa’ yang jauh lebih kejam...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan