16 Januari 2017

FAHAMI FELLA DAN BELAJARLAH UNTUK MENERIMA KEHADIRANNYA

Siapakah pemain Manchester United yang paling anda benci sepanjang tahun 2016? Jika soalan ini ditanyakan kepada penyokong-penyokong United, jawapan yang paling banyak diterima tentunya Marouane Fellaini. Sejak ditandatangani David Moyes pada musim panas 2013, Fella memang bukan pemain yang popular di mata penyokong-penyokong malah selepas dua musim kelab ditangani Louis Van Gaal pun, beliau kekal sebagai pemain yang paling tidak disukai.

Jika anda masih ingat, sepanjang tempoh perpindahan musim panas lalu, Fella antara pemain yang disebut-sebut bakal dijual Jose Mourinho selain Daley Blind, Juan Mata dan Matteo Darmian. Fella sendiri sebenarnya memulakan musim ini dengan langkah kiri selepas kesilapan yang dilakukannya membolehkan Jamie Vardy menyamakan kedudukan ketika aksi merebut trofi Perisai Komuniti Ogos lalu.

Kegopohan Fella melakukan terjahan dalam aksi liga di Goodison Park 5 Disember lalu pula menyebabkan United dinafikan tiga mata berharga, dan bertitik tolak dari situlah kemarahan penyokong-penyokong The Red Devils terhadap pemain berambut afro ini mencapai kemuncaknya.

Tambah menghangatkan keadaan bila Leon Osman yang juga bekas rakan sepasukan beliau di Everton, mengeluarkan kenyataan bahawa Fella memang sering melakukan tindakan-tindakan bodoh seperti itu dan tidak akan berhenti dari melakukannya di masa hadapan.

Selepas kesilapan yang dilakukannya ketika menentang Leicester City dalam aksi Perisai Komuniti, Fella masih diberikan peluang oleh Mourinho untuk membarisi kesebelasan utama United di awal musim. Buktinya, lima aksi pertama United dalam saingan liga, Fella diturunkan Mourinho selama 90 minit permainan.

Begitu juga dengan tindakan gopohnya di Goodison Park yang menyaksikan United terlepas kemenangan berharga. Di sebalik segala cacian, kecaman dan ejekan yang dilemparkan penyokong-penyokong terhadap beliau selepas insiden 5 Disember itu, ada seorang insan yang teguh dan terus menyokong Fella dari belakang. Individu yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Mourinho.

Pendekatan Mourinho terhadap Fella sebenarnya sangat-sangat mengejutkan saya tambahan pula bila mengingatkan reputasi dan sikap tiada kompromi beliau terhadap kesilapan-kesilapan `menjengkelkan’ yang dilakukan pemain-pemainnya. Benarlah kata Juan Mata bahawa sejak tiba di Old Trafford, Mourinho kini individu yang berbeza berbanding sebelumnya.

Gol jaringan Fella ke gawang Hull City dalam aksi separuh akhir pertama Piala Liga menyebabkan namanya bergema di seluruh Theatre of Dreams. Reaksi penyokong-penyokong menyambut gol tersebut cukup mengagumkan hinggakan saya terlupa bahawa inilah pemain yang lebih sebulan lalu pernah mereka undi supaya disingkirkan dari Old Trafford.

Paling menyentuh emosi bila menyaksikan Fella berlari ke tepi padang mendapatkan Mourinho untuk sama-sama berkongsi kegembiraan meraikan gol tersebut. Aksi spontan itu seolah-olah satu petanda bahawa masa depan Fella bersama United masih ada. Akhirnya hanya sehari selepas itu Fella diberikan lanjutan kontrak selama setahun yang menyaksikan beliau kekal bersama kelab hingga 2018.

Gol kedua United jaringan Fella bukan sahaja sangat penting sebagai bekal sebelum aksi separuh akhir kedua di KCOM Stadium 25 Januari ini, tetapi gol itu juga sangat penting dalam survival karier beliau di Old Trafford. Ternyata keputusan Mourinho yang tetap melindungi Fella meskipun pada satu ketika beliau menerima desakan kuat dari para penyokong yang meminta supaya pemain ini dijual akhirnya berhasil.

Sebelum ini pun, Mourinho sudah berkali-kali menegaskan bahawa beliau masih perlukan khidmat Fella dan menganggap pemain ini mampu memainkan peranan penting dalam kempen United musim ini. Dalam skuad Mourinho, Fella memang bukan seorang pemain tengah yang kreatif seperti Juan Mata atau Henrikh Mkhitaryan dan tidak serajin Ander Herrera yang mampu berlari di seluruh pelusuk padang.

Jika mahu dibandingkan visi permainan dan teknik beliau dengan Michael Carrick atau Paul Pogba pula, Fella bukanlah tandingan dua tonggak tengah United itu. Jadi mengapa Mourinho masih perlukan khidmat `pemain kaku’ seperti Fella? Jawapannya mudah kerana beliau perlukan kepelbagaian dalam skuadnya.

Mata, Miki, Carrick, Pogba dan Herrera memang pemain tengah yang unggul tetapi mereka tidak seunggul Fella dalam melakukan `kerja-kerja jahat’ di belakang. Jika dahulunya United memiliki Darren Fletcher, seorang pemain yang sering digunakan Sir Alex Ferguson bagi merosakkan tempo permainan lawan hinggakan kelibatnya cukup dibenci Arsene Wenger, kini Mourinho memiliki Fella.

Saya tidak mahu membandingkan Fletcher dengan Fella kerana mereka pemain yang berbeza dari segi corak permainan apatah lagi bentuk fizikal. Bagaimanapun selepas pemergian Morgan Schneiderlin ke Everton manakala tawaran untuk mana-mana kelab mendapatkan tandatangan Bastian Schweinsteiger pula masih terbuka, Mourinho telah mengambil langkah yang tepat kerana mengekalkan Fella.

Mourinho menyedari buat masa ini penting baginya mempertahankan pemain seperti Fella kerana beliau tahu United sangat perlukan seorang pemain yang boleh melindungi benteng pertahanannya ketika lawan melakukan hantaran-hantaran tinggi, tidak gentar memberikan cabaran dalam perebutan bola 50/50 atau boleh diletakkan sebagai `target man’ ketika United mengarahkan bola terus ke dalam petak penalti lawan menerusi hantaran-hantaran silang mereka.

Aksi menentang Liverpool yang berakhir awal pagi tadi, Fella sekali lagi membuktikan mengapa peranan dan sumbangannya masih berharga untuk United. Kehadiran beliau diminit ke-76 memberikan masalah kepada Dejan Lovren dan Ragnar Klavan terutamanya bila United semakin kerap memberikan tekanan menerusi hantaran-hantaran silang yang ditujukan terus ke arah kepala Fella.

Mourinho tahu dengan adanya Fella di atas padang, United perlu menggunakan kekuatan dan ketinggian beliau dengan melakukan hantaran-hantaran silang lebih kerap dari sebelah sayap dan itulah yang dilakukan mereka. Akhirnya selepas lapan minit Fella dimasukkan, United berjaya menjaringkan gol penyamaan dan apa yang lebih penting ialah penglibatan beliau hingga terhasilnya gol tersebut.

Jika anda mengharapkan lebih dari apa yang Mourinho fikirkan tentang Fella, anda pasti akan kecewa kerana beliau bukanlah type `box to box midfielder’ sebagus Paul Scholes atau `deep lying playmaker’ yang penuh imaginasi seperti Michael Carrick. Fella tetap Fella, seorang pemain yang tanpa teragak-agak akan melanggar, membentes atau menyiku pemain lawan ketika beliau berpeluang melakukannya.

Jika anda masih membenci Fella, apa kata sekiranya anda terima sahaja dengan hati terbuka keberadaan beliau bersama skuad United asalkan Fella tidak melakukan kesilapan-kesilapan `bodoh’ yang boleh merugikan pasukan. Sehingga 2018, biarkan sahaja beliau melaksanakan tugasnya di atas padang, tugas yang pada pandangan Mourinho hanya sesuai dilakukan oleh `Si Pokok’...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan