25 Februari 2019

TUMBANGNYA TIGA MIDFIELDER UNITED WARNAI AKSI NORTH WEST DERBY



“Tidak menepati jangkaan”, “Membosankan” atau apa sahaja perkataan sesuai boleh anda berikan sebagai gambaran aksi selama 90 minit pertemuan antara Manchester United dan Liverpool semalam. Sebaik berakhirnya aksi North West Derby ke-176 (dalam saingan liga) itu, United terpaksa menyerahkan posisi tangga keempat mereka kepada Arsenal selepas skuad The Gunners menewaskan Southampton (2-0) di gelanggang sendiri.

JIka anda mengharapkan arus perlawanan berlangsung sengit sambil kedua-dua musuh tradisi ini berbalas serangan atau mencipta peluang-peluang jaringan gol secara terbuka, anda sepatutnya berasa kecewa sebaik Michael Oliver meniup wisel penamat. Tiada juga insiden duel fizikal atau provokasi sesama pemain yang mewarnai perlawanan sepertimana yang berlaku ketika era Gary Neville dan Jamie Carragher atau membabitkan konfrontasi antara Patrice Evra dan Luis Suarez.

Anti Klimaks

Sepanjang perlawanan, pemain kedua-dua pasukan melakukan 32 kekasaran hingga memaksa Oliver melayangkan empat kad kuning (3 kepada Liverpool dan 1 kepada United). Bagaimanapun faktor ini tidak diiringi aksi menghiburkan di tengah padang kerana kedua-kedua pasukan lebih cenderung mengamalkan pendekatan berhati-hati dalam corak permainan mereka. Ole Gunnar Solskjaer menggunakan formasi 4-3-1-2, manakala dalam situasi bertahan pula, pola formasi United bertukar kepada 4-4-2.

Strategi ini merupakan strategi yang sama digunakan Solskjaer ketika United menyingkirkan Chelsea dari saingan Piala FA, 19 Februari lalu. Jika dilihat kepada keputusan akhir perlawanan, dan bagaimana barisan pertahanan United berjaya meneutralkan ancaman lawan terutamanya dari Mohamed Salah, Solskjaer pastinya mampu tersenyum menyaksikan rekod tanpa kalah beliau dalam saingan liga berpanjangan kepada sepuluh perlawanan meskipun aksi North West Derby kali ini dilabelkan sebagai aksi anti klimaks.

Strategi

Seperti yang dijangkakan, United menggunakan sisi sayap mereka ketika melancarkan serangan sambil sesekali melakukan serang balas pantas ke kubu pertahanan lawan. Meskipun turun tanpa kelibat Anthony Martial, manakala kondisi kecergasan Marcus Rashford pula tidak berada pada tahap terbaik, 47.2% serangan United datangnya dari sisi sayap mereka.

Menyedari potensi ancaman yang mampu dilakukan United dari sisi sayap (terutamanya di sebelah kiri), Jurgen Klopp memilih pengalaman luas yang dimiliki James Milner berbanding Trent Alexander-Arnold untuk mengisi posisi pertahanan kanan skuadnya. Strategi Klopp nampaknya berhasil apabila sepanjang perlawanan tiada satu pun hantaran-hantaran silang berjaya dilakukan United dari sebelah kiri.

Di bahagian tengah pula Klopp menggunakan Fabinho, Giorgino Wijnaldum dan Jordan Henderson untuk melakukan tekanan bagi menganggu proses build up serangan United. Selepas hilang khidmat Nemanja Matic sebelum perlawanan, situasi tambah parah buat Solskjaer apabila beliau melihat satu demi satu pemain tengahnya tumbang akibat kecederaan di babak pertama.

`Tumbangnya’ Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard di babak pertama, manakala Marcus Rashford pula tidak berada pada tahap kecergasan terbaiknya sedikit sebanyak menjejaskan perancangan Solskjaer. Bagaimanapun United masih mampu mencipta peluang terbaik di pertengahan babak pertama, namun umpanan Romelu Lukaku yang lolos di celah-celah pertahanan Liverpool gagal disempurnakan Lingard.

North West Derby Tanpa Gol

Kira-kira 28 tahun lalu atau lebih tepatnya pada tanggal 6 Oktober 1991, United dan Liverpool bertemu dalam saingan liga yang dilangsungkan di Old Trafford. Dalam perlawanan itu, kedua-kedua pasukan buntu dalam misi mereka menembusi pintu gol lawan sepanjang 90 minit perlawanan. Keputusan seri tanpa jaringan yang dilakar di Old Trafford semalam menyaksikan episod sama berulang, sekaligus menyaksikan ini juga keputusan seri tanpa jaringan pertama aksi North West Derby dalam tempoh 28 tahun.

Solidnya Pertahanan United

Ketika United kehilangan hampir keseluruhan pemain utama di bahagian tengah selain masalah kecederaan yang dialami Macus Rashford hampir sepanjang perlawanan, tiada apa yang mampu dilakukan Solskjaer selain mengharapkan agar pasukannya mampu bertahan dengan baik.

Scott McTominay dan Andreas Pereira bukanlah pengganti setanding kepada duet Ander Herrera dan Nemanja Matic di bahagian tengah terutamanya dalam melakukan tugas build up. Di sisi berlawanan pula, Fabinho melaksanakan tugasnya dengan sangat cemerlang untuk Liverpool sekaligus menyaksikan United hilang penguasaan di bahagian tengah.

Malangnya kualiti yang dimiliki Liverpool di bahagian tengah dan pertahanan tidak diimbangi barisan hadapan mereka ketika melakukan serangan. Mohamed Salah, pemain yang sering dijadikan sandaran Jurgen Klopp dalam misi memburu gol tenggelam sepanjang 79 minit aksinya di tengah padang kerana pergerakan beliau sering dibayangi Luke Shaw.

Terkeluarnya Roberto Firmino akibat kecederaan diminit ke-31 memudahkan lagi tugas Victor Lindelof dan Chris Smalling di benteng pertahanan United. Meskipun Liverpool menguasai peratusan penguasaan bola namun mereka berdepan kesukaran menembusi pintu gol David De Gea berikutan pendekatan bermain dalam blok pertahanan rendah yang dilakukan United.

Kehadiran Divock Origi dan Xherdan Shaqiri tidak banyak membantu Klopp dalam misi beliau untuk cuba memecah benteng pertahanan United. Corak permainan United semalam memang diakui agak `pragmatis’, tetapi selepas menyaksikan Solskjaer hilang sentuhan di bahagian tengah berikutan masalah kecederaan yang dialami pemain-pemain utamanya, satu mata di Old Trafford adalah keputusan yang adil untuk dikongsi kedua-dua pasukan.

Pelajaran Penting Untuk Solskjaer

Selepas menyaksikan Ander Herrera cuma mampu bermain selama 21 minit di atas padang akibat kecederaan, Solskjaer menerima tamparan kedua empat minit selepas itu apabila giliran Juan Mata pula terpaksa dibawa keluar kerana masalah yang sama. Di bangku simpanan, Solskjaer lebih memilih Jesse Lingard yang masih belum cergas sepenuh sebagai pengganti Mata berbanding menurunkan Alexis Sanchez.

Perjudian Solskjaer mempertaruhkan kecergasan Lingard akhirnya memakan diri selepas pemain berusia 26 tahun itu cuma mampu bertahan selama 18 minit di atas padang. Hal tersebut mendapat perhatian dari Alan Pardew dalam analisis beliau ketika rehat separuh masa permainan. “Mengapa Solskjaer lebih memilih Juan Mata yang belum cergas dalam kesebelasan utama dan kemudiannya Jesse Lingard sebagai pengganti Mata di babak pertama?”, soal Pardew.

Selain Sanchez yang boleh bermain di bahagian tengah, Solskjaer juga memiliki Fred dalam senarai pemain simpanan United. Jadi keputusan beliau menurunkan Mata dan kemudiannya Lingard yang tahap kecergasan mereka masih diragui menimbulkan sedikit tanda tanya. Aksi menentang Liverpool semalam sepatutnya menjadi pelajaran berguna buat Solskjaer dalam memilih pemain yang tepat berdasarkan tahap kecergasan mereka pada satu-satu perlawanan.

Kredibiliti Sebenar Ole Bakal Diuji

Keputusan seri semalam adalah keputusan yang adil untuk kedua-dua pasukan. Kedua-dua pasukan buntu menghasilkan jaringan atas dua sebab berbeza. Ketika Liverpool mendapati Mohamed Salah buntu dalam misi beliau memecahkan solidnya pertahanan United, Solskjaer pula terpaksa akur berdepan  krisis kecederaan di bahagian tengah yang menyaksikan skuadnya hilang kreativiti di posisi tersebut.

Seri mungkin satu kelegaan buat Solskjaer, tetapi apa yang lebih menariknya ialah melihat bagaimana beliau berdepan dengan krisis di bahagian tengah berikutan kecederaan yang menimpa Matic, Lingard, Mata dan Herrera. Di Selhurst Park awal pagi Khamis ini, kredibiliti Ole selaku pengendali akan sekali lagi diuji sepenuhnya tatkala beliau perlu berdepan Crystal Palace tanpa kekuatan penuh.

Selepas Klopp, Solskjaer kini perlu berdepan pula dengan Roy Hodgson, seorang pengendali yang sangat berpengalaman dalam saingan di England. Melihat kepada kerosakkan yang dilakukan Palace keatas Leicester City di King Power Stadium, skuad pincang United nampaknya bakal berdepan tugas getir di Selhurst Park nanti. Adakah perjalanan tanpa kalah 10 perlawanan liga United di bawah Solskjaer akan berakhir di Selhurst Park? Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan