23 Februari 2019

SI PEMBENCI `SCOUSERS’



Hujung minggu ini anda akan disajikan dengan satu lagi aksi Northwest Derby membabitkan pertembungan antara dua seteru abadi iaitu Manchester United dan Liverpool. Ketika Liverpool berada dalam posisi terbaik untuk menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga mereka, manakala United pula meletakkan tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim depan sebagai misi yang wajib disempurnakan, pertembungan Northwest Derby ke-176 ini pastinya akan menjadi pertembungan yang menarik.

United tewas 1-3 pada aksi pusingan pertama liga yang dilangsungkan di Anfield 17 Disember tahun lalu hingga mengakibatkan Jose Mourinho dipecat selepas itu. Bagaimanapun aksi di Old Trafford nanti pastinya menyaksikan United sebagai kesebelasan yang berbeza. Selepas ketibaan Ole Gunnar Solskjaer, United seolah-olah mendapat semangat baru dan mereka kemudiannya mengharungi sembilan perlawanan liga tanpa kalah. Jadi sudah tentu aksi kali ini akan lebih seimbang berbanding pertemuan pertama di Anfield Disember lalu.

Mereka Yang Paling Dibenci Dalam Northwest Derby

Sejarah perseteruan antara United dan Liverpool memang tidak perlu diperdebatkan lagi. Sejak dahulu hingga kini, pertembungan membabitkan dua seteru dalam kancah saingan bolasepak di England itu sentiasa dinantikan penyokong kedua-dua pasukan di seluruh dunia. Bukan sahaja membabitkan persaingan sengit di atas padang tetapi konflik yang sering berlaku antara pemain kedua-dua pasukan juga antara penyebab mengapa Northwest Derby masih lagi dianggap sebagai `acara besar’ dalam kalendar bolasepak England.

Sejak dekad 90an hinggalah ke era millenium, pertembungan antara United dan Liverpool tidak pernah sunyi dari konflik yang dicetuskan pemain dua musuh tradisi ini di atas padang. Dipihak penyokong United, nama-nama seperti Luis Suarez, Steven Gerrard dan Jamie Carragher pastinya pernah berada dalam senarai pemain Liverpool yang paling mereka benci. Manakala bagi penyokong Liverpool pula, Wayne Rooney, Patrice Evra dan Gary Neville adalah sasaran nombor satu cemuhan mereka setiap kali United bertandang ke Anfield.

Si Pembenci Scousers

Gary Neville is a Red, is a Red, is a red...Gary Neville is a Red, He Hates Scousers”. Chant ini dicipta penyokong-penyokong United khas untuk Gary Neville sebagai interpretasi kebencian beliau terhadap Liverpool. Memang benar kerana Gary secara terang-terangan mengakui bahawa beliau adalah pembenci scouser. “Tiada keraguan untuk mengatakan bahawa saya dibesarkan untuk membenci Liverpool”, kata Gary dalam satu temubual bersama MUTV beberapa tahun lalu.

Menurut Gary lagi, beliau tidak pernah berkunjung ke Liverpool atas sebab lain selain bolasepak. “Saya juga selalu bercakap dengan Ryan Giggs (tentang kunjungan ke Liverpool). Hingga sekarang saya masih tidak faham apa yang menyebabkan dia (Giggs) selalu berkunjung ke sana”, tambah Gary lagi. Kebencian Gary terhadap Liverpool bukan sekadar kata-kata kerana sepanjang beliau menabur bakti di Old Trafford, Gary antara pemain United paling bersemangat setiap kali mereka berdepan Liverpool.

Jika pertembungan antara United dan Arsenal sering diwarnai dengan aksi tegang antara Roy Keane dan Patrick Vieira, aksi Northwest Derby pula sering diwarnai dengan siri percakaran antara Gary dan Jamie Carragher. Perang mulut dan duel fizikal antara dua pemain ini di atas padang merupakan tatapan rutin bagi penyokong kedua-dua pasukan setiap kali berlangsungnya aksi Northwest Derby. Malah Gary juga pernah didenda £5000 kerana aksi berlebihannya saat menyambut kemenangan United di Anfield pada Januari 2006.

Aksi berlebihan beliau itu akhirnya mencetuskan ketegangan membabitkan kedua-dua penyokong di Anfield, jadi tidak hairanlah mengapa sehingga kini nama Gary Neville masih berada dalam senarai pemain United paling dibenci oleh The Scousers. Adakah Gary menyesali provokasi melampau yang dilakukannya di halaman The Kopites 13 tahun lalu itu? Jawapannya tidak sekali-kali kerana menurut Gary, kebencian terhadap Liverpool adalah pencetus utama rasa ghairahnya di atas padang setiap kali United berdepan kelab Merseyside itu.

Mengenai City

Kebencian Gary terhadap Liverpool memang sudah diketahui ramai tetapi bagaimana pula dengan rival sekota United iaitu Manchester City? Dalam satu temubual bersama ESPN pada 2012, Gary mengatakan bahawa City ialah kelab paling boros dalam sejarah bolasepak Inggeris. “Saya lebih menghormati Liverpool kerana tradisi dan sejarah yang dimiliki mereka, berbanding sebuah kelab yang cuba mencipta sejarah dalam tempoh singkat dengan menabur wang”, kata Gary.

Mengenai insiden beliau dengan Peter Schmeichel di terowong pemain pada 2002 pula, Gary berkata, “Saat dia (Schmeichel) kembali bermain, dia bermain untuk Manchester City. Anda tidak boleh bermain untuk Manchester City. Saya penyokong United dan saya tidak akan bermain untuk City. Saya tidak akan bermain untuk Leeds dan saya tidak akan bermain untuk Liverpool. Selepas memenangi treble bersama United dia mengatakan ingin bersara, tetapi dia kemudiannya bermain untuk City. Perkara itu tidak boleh dimaafkan”.

Persaingan Yang Sentiasa Hidup

Kini Gary sudah bersara dari arena bolasepak dan kini tiada lagi pemain-pemain seperti Wayne Rooney, Patrice Evra, Luis Suarez, Jamie Carragher atau Steven Gerrard yang membuatkan suhu aksi Northwest Derby sentiasa menggelegak.

Bagaimanapun itu bukan bermakna bahawa Northwest Derby sudah tidak lagi menarik untuk disaksikan. Persaingan antara United dan Liverpool akan sentiasa hidup biarpun generasi pemain-pemain lama seperti Gary dan Carragher sudah lama bersara.

Rasa cemburu, maruah, tradisi, sejarah dan kegemilangan akan sentiasa dijadikan pertaruhan setiap kali dua musuh tradisi ini bertembung di atas padang. Dan sudah tentu generasi pemain baharu kedua-dua pasukan juga faham betapa pentingnya aksi Northwest Derby ini.

Kemenangan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan United di kelompok empat teratas, tetapi kemenangan esok juga bakal merencatkan perjalanan The Reds dalam misi mereka menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga di Anfield.

Jika ditanyakan kepada Gary sama ada Liverpool atau Manchester City yang menjadi pilihan beliau untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana musim ini, saya yakin Gary akan memilih The Citizens berbanding The Reds. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan