30 November 2020

IMPAK CAVANI DAN LAPAN KEMENANGAN UNITED DI GELANGGANG LAWAN

 


Perlawanan yang mendebarkan dan penuh dengan elemen dramatik, malah pada satu ketika sudah tergambar bahawa United bakal pulang ke Old Trafford dengan tangan kosong selepas mereka ketinggalan (0-2) kepada tuan rumah menerusi gol yang dijaringkan Jan Bednarek dan James Ward-Prowse. Bagaimanapun keajaiban berlaku di babak kedua apabila dalam tempoh 14 minit, United menyamakan kedudukan menerusi sentuhan Bruno Fernandes (minit ke-60) dan Edinson Cavani (minit ke-74).

 

Ketika aksi perlawanan sudah memasuki masa kecederaan, Cavani membuktikan kualitinya selaku antara penyerang tengah terbaik dunia dan yang sepatutnya sudah lama kelab miliki apabila beliau sekali lagi menyempurnakan peluang menerusi kepala untuk menghasilkan gol kemenangan United. Kemenangan di St Mary ini merupakan kemenangan kelapan berturut-turut yang dilakar United di gelanggang lawan dalam saingan liga sekaligus menyamai pencapaian skuad kendalian Sir Alex Ferguson pada 1993.

 

No Penalty No Problem

 

Tiada lagi sindiran atau kata-kata sinis bahawa kemenangan United dibantu sepakan penalti. Ketika berdepan West Brom minggu lalu, United terpaksa bergantung kepada jaringan menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes untuk mereka meraih tiga mata di gelanggang sendiri.

 

Berbanding United yang menjaringkan tiga gol mereka menerusi situasi permainan terbuka, Southampton pula terpaksa bergantung kepada kepakaran mereka dalam situasi set pieces untuk menghasilkan dua gol dalam perlawanan ini.

 

Tolong Letakkan Edi Dalam Kesebelasan Utama

 

Dua gol yang sangat crucial datang dari kepala Edinson Cavani. Menyedari bahawa barisan hadapannya bergelut dalam usaha mereka menembusi benteng pertahanan lawan, Ole Gunnar Solskjaer memasukkan Edi di babak kedua bagi menggantikan Mason Greenwood.

 

Ternyata percaturan Solskjaer berhasil apabila penggempur antarabangsa Uruguay itu menjaringkan dua gol selain mencipta satu bantuan gol bagi membolehkan United terus melebarkan catatan positif mereka setiap kali beraksi di St Mary.

 

Setakat ini Edi sudah menjaringkan tiga gol untuk United dari lima penampilan beliau di Liga Perdana. Melihat kepada sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau di St Mary, sudah tiba masanya untuk Edi terus diberikan peranan selaku `pemain nombor 9’ United selepas ini.

 

Kombinasi Matic dan Van de Beek

 

Kebangkitan dramatik United di St Mary sebenarnya turut dibantu oleh faktor prestasi terpuji yang dipamerkan jentera tengah mereka. Tiada pertikaian tentang sumbangan keseluruhan Bruno Fernandes, tetapi apa yang menariknya ialah melihat bagaimana Nemanja Matic dan Donny Van de Beek bekerjasama dengan begitu baik sama ada dalam situasi defensif ataupun ofensif.

 

Aksi di St Mary merupakan penampilan pertama Donny dalam kesebelasan utama United di Liga Perdana dan sepanjang perlawanan beliau sangat impresif menerusi peranan yang dimainkannya selaku `penghubung’ antara barisan belakang dan barisan hadapan. Manakala Matic pula membuktikan bahawa beliau masih lagi watak penting untuk memainkan peranan selaku `pemain nombor 6’.

 

Sepanjang perlawanan, Matic muncul pemain paling banyak melakukan recovery (15 kali), selain lima kali melakukan intercept dan empat kali melakukan tackle. Statistik ini meletakkan Matic selaku pemain paling banyak melakukan recovery, intercept dan tackle berbanding mana-mana pemain yang beraksi di St Mary semalam.

 

United Tidak Perlukan Pogba?

 

Penampilan jentera tengah United terutamanya dalam dua aksi terakhir mereka seolah-olah memberikan indikasi jelas kepada kita bahawa mereka kini tidak lagi perlu bergantung kepada Paul Pogba. Dalam tempoh beberapa musim terakhir, United memang sangat bergantung kepada keberadaan Pogba selaku penggerak jentera tengah mereka, tetapi komitmen pemenang medal Piala Dunia itu terhadap pasukan sejak akhir-akhir ini mula diperdebatkan.

 

Penampilan solid yang dipamerkan Donny Van de Beek, Bruno Fernandes, Fred dan Nemanja Matic di zon tengah sepatutnya boleh membuatkan anda tersenyum dan menarik nafas lega. Situasi terkini juga sebenarnya menimbulkan persoalan tentang masa depan Pogba di Old Trafford. Tatkala Pogba masih tersisih akibat kecederaan, barisan The Red Devils pula membuktikan bahawa mereka adalah kesebelasan yang lebih baik tanpa Pogba.

 

Pakar Di Gelanggang Lawan

 

Sejak kemenangan yang dilakar mereka ke atas Brighton & Hove Albion pada 1 Julai lalu, United sudah mengharungi lapan aksi mereka di gelanggang lawan dengan rekod kemenangan 100%. Paling menarik empat kemenangan berturut-turut yang dilakar United di gelanggang lawan dalam saingan liga musim ini dilakukan mereka menerusi comeback selepas ketinggalan. Comeback mereka musim ini dilakukan ketika berdepan Brighton, Newcastle United, Everton dan Southampton.

 

Glory Glory Manchester United!!!



28 November 2020

GANDINGAN PALING SESUAI BUAT BRUNO FERNANDES?

 


Buat kali kedua, Donny Van de Beek bermain selama 90 minit apabila beliau diturunkan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Istanbul Basaksehir tempohari. Dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford itu, Donny tidak mencipta sebarang bantuan gol apatah lagi menjaringkan gol, tetapi penampilan pemain antarabangsa Belanda ini di bahagian tengah United wajar diberikan pujian.

 

Aksi menentang Basaksehir itu juga sebenarnya memperlihatkan Donny memainkan dua peranan dalam satu perlawanan. Sepertimana yang anda tahu, pada permulaannya beliau diberikan tanggungjawab sebagai pivot bersama Fred. Di minit ke 58 selepas Bruno Fernandes dikeluarkan, Donny diarahkan untuk berperanan sebagai `pemain nombor 10’ menggantikan kekosongan yang ditinggalkan bintang Portugal itu.

 

Paul Scholes dan Rio Ferdinand, dua legenda United ini turut mengakui bahawa Donny sudah mula membuktikan kemampuannya untuk terus disenaraikan di dalam kesebelasan utama The Red Devils. United membayar £35 juta kepada Ajax ketika mereka mendapatkan khidmat Donny, jadi sudah semestinya penyokong-penyokong juga mahu melihat aksinya lebih kerap di atas padang, bukan di bangku simpanan.

 

Menurut Ferdinand, Donny adalah pemain yang sudah lama United cari, iaitu tipikal pemain tengah yang `sederhana’ menerusi satu atau dua sentuhan yang dilakukannya ketika menerima bola serta tidak egois. Apa yang penting ialah persefahaman terbentuk antara Donny dan Bruno dalam melakukan kerja-kerja mereka bagi menggerakkan jentera tengah pasukan, dan itulah yang dapat anda lihat ketika aksi menentang Basaksehir tempohari.

 

Ketika berdepan Basaksehir, Donny diberikan peranan selaku `pemain nombor 8’, tugas yang sebelum ini kerap digalas Paul Pogba. Sepanjang perlawanan, Donny melepaskan 64 hantaran di mana 56 daripadanya merupakan hantaran tepat, mencipta dua key passes, melakukan satu dribble, memenangi satu perebutan bola tinggi, melakukan satu clearance dan dua tackle.

 

Dalam skema 4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer, Donny berada di hadapan empat pertahanan United bersama Fred. Tugas beliau bukan sekadar melindungi empat rakan dibarisan belakang, tetapi juga melakukan build up dan menjadi penghubung aliran bola kepada Bruno yang berada di hadapan. Apa yang diperlihatkan Donny tempohari sepatutnya memadamkan `mitos’ bahawa beliau bukanlah gandingan yang sesuai untuk Bruno di bahagian tengah United.

 

Satu fakta yang sangat penting dapat anda lihat dalam perlawanan itu ialah kecenderungan Donny untuk melakukan hantaran-hantaran progresif dan sentiasa bergerak hingga membolehkan setiap gerakan-gerakan United berjalan dengan pantas. 60 minit pertama aksi beliau ialah kualiti sebenar yang ada dalam diri Donny sebelum Bruno dikeluarkan di minit ke-58.

 

`Attacking minded’ dalam diri Donny pula merupakan nilai tambah kepada ciri permainan beliau. Jangan lupakan juga bahawa Donny pemain tengah paling fleksibel yang dimiliki Solskjaer ketika ini menerusi kemampuan beliau untuk bergerak sebagai pemain sayap, box to box midfielder atau sebagai `pemain nombor 10’. Kini terpulang kepada Solskjaer bagi memilih, pemain mana paling layak untuk beliau gandingkan bersama Bruno selaku pengerak jentera tengah United. Glory Glory Manchester United!!!


26 November 2020

`SELAMAT JALAN LEGENDA’

 


Dunia bolasepak dikejutkan dengan pemergian Diego Maradona, pemain terhebat pernah disaksikan aksinya ketika era kemuncak beliau sebagai pemain. Semua orang kenal siapa itu Diego Armando Maradona, bahkan mereka yang belum lahir ketika beliau mengetuai Argentina menjulang kejuaraan Piala Dunia di bumi Mexico pada 1986 kenal akan legenda bolasepak Argentina ini. Dari La Boca hinggalah kota Naples, Maradona adalah fenomena, malahan tarafnya diletakkan di kedudukan tertinggi oleh penyokong-penyokong Napoli hinggakan beliau di gelar sebagai `Dewa Bolasepak’.

 

Tidak dinafikan bahawa Pele merupakan pemain yang hebat, tetapi Maradona pula adalah pemain paling sensasi pernah disaksikan di planet Bumi. Dan Maradona juga adalah `genius’ di atas padang menerusi kemahiran semulajadi sebagai pemain yang dianugerahkan kepadanya. Penyokong England boleh melabelkan beliau sebagai `penipu’ tetapi gol menerusi `Tangan Tuhan’ serta gerakan solo beliau yang menewaskan separuh pemain England antara bukti betapa genius dan liciknya Maradona ketika beraksi di atas padang.

 

`Tangan Tuhan’

 

Jika VAR wujud 34 tahun lalu, jaringan menerusi `Tangan Tuhan’ Maradona tidak akan berlaku kerana memang jelas beliau menggunakan tangannya ketika menewaskan Peter Shilton. Pengadil mengesahkan gol tersebut kerana `tertipu’ dengan trick yang dilakukan Maradona biarpun dibantah pemain-pemain England. Jika gol pertama itu mengundang kontroversi, tiada pertikaian tentang gol kedua yang dijaringkan Maradona ke gawang England.

 

Gol itu antara gol terindah yang pernah disaksikan dan gol itu jugalah yang membunuh hasrat England untuk mara ke peringkat separuh akhir. Jika gol pertama dianggap sebagai kontroversi terbesar dalam sejarah bolasepak, gol kedua Maradona ke gawang England antara karya agung yang pernah terhasil dari kakinya. Piala Dunia 1986 seolah-olah memang dicipta untuk Maradona, apabila selepas itu giliran Belgium pula menyaksikan keajaiban beliau menerusi dua gol yang dihasilkannya untuk meletakkan Argentina ke pentas final.

 

Pada tanggal 29 Jun 1986 di Estadio Azteca, Maradona tidak menjaringkan sebarang gol tetapi pernan besar yang dimainkannya membolehkan Jose Luis Brown, Jorge Valdano dan Jorge Buruchaga menembusi gawang Harald Schumacher lantas membolehkan mereka menjulang kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua. Selepas itu, Argentina tidak pernah menjulang trofi teragung bolasepak dunia itu meskipun mereka pernah dibarisi pemain-pemain hebat seperti Claudio Cannigia, Gabriel Batistuta, Juan Roman Riquelme, Carlos Tevez, Ariel Ortega, Juan Sebastian Veron dan kini Lionel Messi.

 

Barcelona adalah kelab terbesar yang pernah diwakili Maradona sepanjang kariernya di Eropah, tetapi Napoli adalah kemuncak sebenar kepada pencapaian beliau di peringkat kelab. Keputusan untuk berpindah dari Catalan ke kota Naples merupakan satu kejutan besar yang dilakukan Maradona ketika itu, dan bersama Napoli beliau berjaya memenangi dua kejuaraan liga (1986/87 dan 1989/90). Sesuatu yang gagal beliau lakukan ketika bersama Barca. Apa yang menariknya kejayaan itu dilakar Maradona di tengah-tengah dominasi AC Milan dan Juventus selaku kuasa besar bolasepak Itali.

 

United vs Maradona

 

United dan Maradona juga sebenarnya ada sejarah tersendiri kerana barisan The Red Devils pernah berdepan legenda Argentina itu di peringkat suku akhir Cup Winners Cup musim 1983/84. Meskipun United tewas (0-2) pada perlawanan pertama di Estadio del FC Barcelona (sekarang Camp Nou), barisan kendalian Ron Atkinson berjaya mara ke separuh akhir menerusi kelebihan agregat (3-2) menerusi dua gol jaringan Bryan Robson dan satu gol sumbangan Frank Stapleton pada aksi kedua yang dilangsungkan di Old Trafford.

 

Mengimbas memori tersebut, Robson berkata, “Ia malam yang istimewa bagi kami dan selepas 36 tahun kami masih bercakap tentangnya. Untuk bangkit dari ketinggalan menentang pasukan seperti Barcelona adalah satu hal yang menakjubkan. Tetapi yang menjadikan perlawanan itu bertambah istimewa apabila mereka dibarisi pemain seperti Maradona dan Bernd Schuster. Ini adalah hari yang menyedihkan untuk dunia bolasepak walaupun dia (Maradona) meninggalkan kami dengan banyak momen-momen yang fantastis”.

 

Penutup

 

Sepanjang kariernya sebagai pemain, Maradona melakukan empat penampilan di temasya Piala Dunia dan sepanjang 1977 hingga 1994, beliau menjaringkan 34 gol menerusi 91 penampilan untuk skuad Albiceleste. Di peringkat kelab pula Maradona bermain untuk enam kelab berbeza dengan Boca Juniors menjadi persinggahan terakhirnya sebelum bersara pada 1997.

 

Hingga kini, warga Argentina masih melihat Maradona sebagai pemain terhebat pernah dilahirkan di negara mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa sebuah gereja di kota Rosario dibina hanya untuk memuja sang legenda ini. Jauh di kota Naples pula, kesan yang ditinggalkan Maradona terhadap Napoli juga masih kekal hingga ke hari ini. Bukan sekadar lukisan grafiti di dinding tetapi mereka percaya bahawa Maradona adalah `Dewa Bolasepak’ yang dianugerahkan untuk kota Naples. `Selamat jalan Maradona…terima kasih untuk momen-momen fantastis yang anda tinggalkan. Glory Glory Manchester United!!!



25 November 2020

ADAKAH INI KESEBELASAN TERBAIK UNITED?

 



Kemenangan besar (4-1) yang dilakar United ke atas Istanbul Basaksehir bukan sahaja meletakkan mereka dalam posisi terbaik untuk lolos ke peringkat kalah mati 16 pasukan, tetapi kemenangan ini juga meletakkan barisan The Red Devils sebagai pasukan pilihan untuk keluar sebagai juara Kumpulan H, kumpulan yang dianggap paling sukar selepas undian dilangsungkan di Geneva pada 1 Oktober lalu.

 

Selepas mengharungi empat perlawanan, United mengumpul sembilan mata hasil dari tiga kemenangan dan satu kekalahan yang dialami mereka, tiga mata mengatasi PSG di tangga kedua dan RB Leipzig di tangga ketiga, manakala Istanbul Basaksehir kekal di tangga terbawah selepas mereka hanya mengutip tiga mata hasil dari kemenangan yang dilakar mereka ke atas United pada 5 November lalu.

 

Apa yang menariknya tentang perlawanan ini bukan mengenai kemenangan kedua berturut-turut yang dilakar United di gelanggang sendiri selepas mereka menundukkan West Bromwich Albion dalam aksi saingan liga pada Ahad lalu, tetapi lebih kepada kesebelasan utama yang diturun Ole Gunnar Solskjaer awal pagi tadi. Ya, untuk pertama kalinya anda melihat Anthony Martial, Edinson Cavani dan Marcus Rashford diturunkan serentak dalam kesebelasan utama United.

 

Sebelum ini, Solskjaer lebih kerap menggunakan Martial untuk berperanan sebagai `pemain nombor 9’, tetapi kali ini tugas tersebut diserahkan beliau kepada `pemain yang lebih berhak dan sesuai’ untuk diletakkan sebagai penyerang tengah. Sudah tentu pemain yang saya maksudkan ialah Cavani. Selain dari itu, hasrat kebanyakkan penyokong United yang mahukan Donny Van de Beek diberikan peluang bermain penuh 90 minit juga turut dipenuhi Solskjaer.

 

Martial bukanlah penyerang tengah tulen, meskipun beliau menggunakan jersi nombor 9, jadi keputusan Solskjaer yang kembali meletakkan beliau di sisi kiri adalah langkah yan tepat. Berbanding penampilan beliau ketika berdepan West Brom pada Ahad lalu, aksi Martial dalam perlawanan ini lebih hidup. Dalam situasi offensive, sepanjang 82 minit aksinya di atas padang, Martial melakukan 54 sentuhan bola, melepaskan 37 hantaran dan melakukan tiga dribble.

 

Ini mungkin bukanlah statistik yang terlalu unggul, apatah lagi beliau gagal melepaskan sebarang percubaan on target, tetapi apa yang penting anda dapat melihat Martial kelihatan selesa melakukan gerakan-gerakan dari sebelah sisi serta bijak meletakkan dirinya di posisi yang tepat untuk menerima hantaran berbanding ketika beliau diberikan peranan sebagai penyerang tengah.

 

Bagaimana dengan Cavani? Berbanding Martial, Cavani berjaya melepaskan tiga percubaan di mana satu daripadanya merupakan percubaan on target. Meskipun tidak menjaringkan sebarang gol, Cavani melakukan banyak pergerakan terutamanya di zon final third lawan, sesuai dengan peranan yang dipegangnya selaku `pemain nombor 9’. Kita sudah lama tidak melihat seorang `pemain nombor 9’ sebenar dalam skuad United dan selepas ini peluang sepatutnya lebih kerap diberikan kepada Cavani untuk bergerak di posisi tersebut.

 

Melihat kepada kesebelasan utama yang diturunkan Solskjaer awal pagi tadi, adakah ini merupakan `kesebelasan terbaik’ yang beliau cari selama ini? Tiada keraguan tentang kemampuan Alex Telles di sisi kiri pertahanan United, begitu juga Aaron Wan-Bissaka di posisi berlawanan manakala Harry Maguire dan Victor Lindelof adalah pilihan utama Solskjaer selaku gandingan pertahanan tengah.

 

Di bahagian tengah pula anda melihat Van de Beek menggantikan peranan Paul Pogba selaku pivot bersama Fred, dan pemain antarabangsa Belanda itu melaksanakan tugasnya dengan sangat berkesan. 88% ketepatan hantaran dari 64 yang dilepaskannya, melakukan satu dribble, satu tackle, memenangi satu perebutan bola tinggi, satu clearance dan satu tactical foul. Jadi ini merupakan satu isyarat yang cukup jelas dari Van de Beek agar Solskjaer lebih berani meletakkan beliau dalam kesebelasan utama United selepas ini.

 

Dalam formasi 4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer, Bruno pula sepertimana biasa adalah nadi kepada kreativiti United ketika mereka melakukan gerakan menerusi peranan selaku playmaker yang digalasnya. Sudah tentu sepertimana yang saya sebutkan tadi, kita memang menunggu agar tugas selaku penyerang tengah diberikan kepada Cavani manakala Martial dan Rashford sebenarnya lebih berkesan jika mereka diberikan kebebasan untuk melakukan gerakan-gerakan dari sebelah sisi. Adakah ini kesebelasan terbaik United musim ini? Ya…tiada keraguan. Glory Glory Manchester United!!!

 

Fakta Selepas Perlawaan:

 

ØSejak 2009, United memenangi kesemua tiga aksi mereka di gelanggang sendiri ketika berdepan wakil dari Turki. Ini juga bermakna Besiktas muncul kelab terakhir dari Turki yang berjaya menewaskan United di Old Trafford.

 

ØDua gol yang dijaringkan Bruno Fernandes dalam perlawanan ini menyaksikan beliau sudah menjaringkan 21 gol dari 35 perlawanan untuk United dalam semua kejohanan. Selain daripada itu Bruno juga sudah terlibat dengan 34 gol yang dijaringkan United (21 gol dan 13 bantuan gol), jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain yang beraksi di Liga Juara-Juara musim ini.

 

ØMarcus Rashford sudah menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini. Apa yang menariknya ialah gol-gol yang dijaringkan beliau berlaku dalam empat aksi terakhir Rashford sama ada sebagai pemain gantian atau dalam kesebelasan utama. Jumlah lima gol yang dijaringkan beliau setakat ini juga menyamai catatan yang dilakukan Rashford sepanjang 18 penampilan pertamanya di saingan tersebut.

 

ØDaniel James muncul pemain Wales pertama yang berjaya menjaringkan gol untuk United di Liga Juara-Juara dalam tempoh sembilan tahun sejak kali terakhir Ryan Giggs melakukannya pada September 2011 ketika United berdepan Benfica.

 

ØGol jaringan Deniz Turuc menerusi sepakan percuma membolehkan beliau menyamai pencapaian yang pernah dilakar Franck Ribery kira-kira sepuluh tahun lalu. Sebenarnya sejak kali terakhir Ribery menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika United dan Bayern Munich bertemu di Allianz Arena pada 30 Mac 2010, tiada mana-mana pemain yang berjaya membolosi gawang United dalam situasi tersebut.




23 November 2020

PORTUGUESE MAGNIFICO

 


Selepas mengharungi lapan perlawanan, Manchester United akhirnya berjaya menamatkan kemarau tanpa kemenangan mereka dalam saingan liga ketika beraksi di gelanggang sendiri. Aksi menentang West Bromwich Albion bukanlah prestasi terbaik yang dipamerkan kesebelasan The Red Devils, tetapi kemenangan itu tetap satu kemenangan yang penting apatah lagi penampilan mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri musim ini menimbulkan sedikit persoalan.

 

Entah kali yang keberapa, United nampaknya sekali lagi terpaksa bergantung kepada Bruno Fernandes, sosok yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti ke gawang The Baggies bagi membolehkan United meraih tiga mata di gelanggang sendiri buat pertama kali dalam saingan liga musim ini. Ini adalah gol ke-14 yang dijaringkan Bruno dalam saingan liga sejak beliau menyertai United hujung Januari lalu, dimana separuh daripadanya disempurnakan beliau menerusi sepakan penalti.

 

Melihat kepada apa yang dilakukan Bruno sejak kehadirannya di Old Trafford, timbul persoalan bagaimanakah nasib United jika mereka beraksi tanpa beliau? Sesuai dengan gelaran `Portuguese Magnifico’ yang diberikan kepada beliau, Bruno sudah kerap kali muncul penyelamat United. Musim lalu, kebangkitan United dalam usaha mereka meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara banyak dikaitkan dengan keberadaan beliau. Sebelum kedatangannya, situasi kem United agak buruk selepas mereka tewas dua perlawanan liga berturut-turut.

 

Kekalahan 0-2 kepada Liverpool di Anfield (pada 20 Januari) mungkin boleh diterima, tetapi tewas dengan jaringan yang sama kepada Burnley di Old Trafford tiga hari selepas itu menyebabkan barisan The Red Devils dijadikan bahan candaan penyokong-penyokong sendiri. Jangan lupakan juga bahawa sebelum itu, United turut tewas (0-2) kepada Arsenal di Stadium Emirates sekaligus menyaksikan ini merupakan catatan terburuk buat kelab dalam tempoh 30 tahun.

 

Sepuluh hari selepas kekalahan memalukan kepada Burnley, Bruno melakukan penampilan pertama beliau untuk United ketika mereka melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers di Old Trafford. United sekali lagi gagal mengutip tiga mata penuh dari tiga aksi terakhir mereka apabila perlawanan ini berkesudahan dengan keputusan seri (0-0).  Jika diambilkira keputusan perlawanan, ini bukanlah debut yang sempurna buat Bruno di Liga Perdana dan juga untuk United.

 

Bagaimanapun apa yang berlaku selepas itu ialah impak yang diberikan Bruno menyaksikan United mengharungi baki 13 perlawanan liga mereka tanpa tewas. Dari baki 13 aksi tersebut, United mengutip 31 mata menerusi sembilan kemenangan dan empat keputusan seri, termasuklah ketika mereka menundukkan Manchester City serta kemenangan penting di gelanggang lawan ke atas dua lagi kelab yang turut bersaing merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara iaitu Chelsea dan Leicester City.

 

Meskipun gagal mendapatkan Bruno pada musim panas, kesempatan akhirnya terbuka buat United mendapatkan tandatangan beliau ketika bursa perpindahan pemain pertengahan musim dibuka. Mengambilkira ketika itu United sangat perlukan seorang perancang tengah kreatif dan harga Bruno yang `masih masuk akal’, kelab akhir mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka mendaratkan perancang Portugal itu di Old Trafford pada penghujung Januari lalu.

 

Dalam lima aksi pertama United selepas ketibaan Bruno, mereka mencatatkan tiga kemenangan dan dua keputusan seri namun momentum itu terhenti disaat pandemik Covid-19 mula menular ke seluruh dunia menyebabkan saingan liga terpaksa dihentikan. Kreativiti Bruno tidak pernah tumpul meskipun tiada sebarang aksi kompetitif selama lebih tiga bulan, kerana selepas liga disambung semula United secara perlahan-lahan mula menghampiri kelompok empat teratas.

 

Bruno adalah jantung kepada setiap gerakan yang diatur United menerusi kemampuan beliau membuka ruang dan peluang kepada rakan sepasukan, akurasi hantaran-hantaran yang dilakukannya serta visi tinggi dalam permainan yang dimilikinya. Akhirnya kemenangan yang dilakar United ke atas Leicester di gelanggang lawan pada aksi terakhir liga musim lalu memastikan mereka lolos ke saingan Liga Juara-Juara menerusi tiket selaku pasukan ketiga terbaik Liga Perdana.

 

Musim lalu, Bruno melakukan 14 penampilan untuk United dalam saingan liga, menjaringkan lapan gol, mencipta tujuh bantuan gol dan tiga kali dinamakan selaku pemain terbaik perlawanan. Melihat kepada catatan statistik dan sumbangan beliau di atas padang, sukar untuk membayangkan bahawa Bruno cuma tiba di Old Trafford ketika saingan liga sudah memasuki fasa kedua. Dan sukar juga membayangkan adakah United mampu beraksi di Liga Juara-Juara musim ini tanpa `bantuan’ Bruno?

 

Kehadiran Bruno sebenarnya mengubat kelukaan penyokong-penyokong United berikutan kegagalan kelab menandatangani Erling Braut Haaland pada Januari lalu. Berbanding menandatangani seorang penyerang tengah sebagus Erling, United sebaliknya berpaling kepada sosok seorang playmaker kreatif untuk mereka letakkan selaku penggerak jentera tengah The Red Devils. Dan dengan hanya merekrut pemain baharu seperti beliau, United bertransformasi kepada kesebelasan yang berbeza berbanding sebelumnya.

 

Sepanjang 22 penampilan beliau di Liga Perdana, Bruno sudah terlibat dengan 24 gol yang dihasilkan United (14 gol dan 10 bantuan gol) sekaligus membuktikan kebergantungan kelab kepada beliau dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa Louis Saha menegaskan bahawa jika United mahu kembali ke podium kejuaraan Liga Perdana, mereka perlu membawa masuk empat pemain yang memiliki kualiti dan mentaliti setaraf Bruno Fernandes.

 

Kebergantungan United kepada Bruno juga sebenarnya boleh menjadi `pedang bermata dua’ kepada mereka. Pertama, Bruno boleh digunakan untuk membunuh lawan sepertimana yang sering dilakukan `Portuguese Magnifico’ sebelum ini. Dan kedua, kebergantungan United kepada beliau juga boleh membunuh diri mereka sendiri. Tentunya persoalan paling besar ialah apa akan terjadi kepada United jika mereka beraksi tanpa Bruno? Pemain yang selama ini menjadi `game changer’ kepada barisan The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!



21 November 2020

PRA PERLAWANAN: MANCHESTER UTD vs WEST BROMWICH ALBION

 


Ini adalah perlawanan yang wajib United menangi apatah lagi selepas mereka belum lagi mencatatkan sebarang kemenangan dari empat aksi liga mereka yang sudah dilangsungkan di Old Trafford sebelum ini. Tatkala pasukan-pasukan seperti Manchester City, Tottenham Hotspurs, Liverpool dan Leicester City bakal berdepan sesama sendiri, United perlu menggunakan perlawanan ini untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga.

 

Bagaimanapun jangan sesekali meremehkan West Brom meskipun mereka masih tercari-cari kemenangan pertama mereka selepas mengharungi lapan aksi liga setakat ini. Untuk rekod selepas persaraan Sir Alex Ferguson, West Brom berjaya menewaskan United tiga kali dari 10 pertemuan antara kedua-dua kelab. Apa yang menariknya ketiga-tiga kemenangan yang diraih skuad The Baggies itu berlaku ketika mereka bertandang ke Old Trafford.

 

Statistik United:

 

*Keputusan perlawanan yang diraih United di Liga Perdana setakat ini: Menang 3, seri 1, kalah 3. Mereka menjaringkan 12 gol dan bolos 14 gol.

 

*Bruno Fernandes muncul penjaring terbanyak United setakat ini dalam saingan liga menerusi lima gol yang dihasilkannya.

 

*Tiga assist yang dicipta Bruno Fernandes dan Marcus Rashford meletakkan mereka sebagai penyumbang assist terbanyak United dalam saingan liga.

 

*United masih belum meraih kemenangan di gelanggang sendiri dalam saingan liga setakat ini. Dari empat perlawanan mereka di Old Trafford, United tewas kepada Crystal Palace, Spurs, Arsenal dan seri ketika berdepan Chelsea.

 

*Jika dihitung sejak musim lalu, United sudah mengharungi enam perlawanan di gelanggang sendiri tanpa kemenangan di Liga Perdana.

 

*Dari lima aksi terakhir United menentang West Brom di Old Trafford, mereka menang tiga kali, seri sekali dan tewas sekali. Kekalahan terakhir yang dialami United ketika berdepan West Brom ialah pada 15 April 2018 di mana mereka tewas 0-1 menerusi jaringan Jay Rodriguez.

 

*Aksi United selepas ini ialah di Liga Juara-Juara berdepan Istanbul Basaksehir pada 25 November nanti.

 

Statistik West Brom

 

*West Brom masih belum meraih kemenangan dari lapan aksi liga mereka setakat ini (seri tiga dan kalah lima), mereka menjaringkan enam gol dan bolos 17 gol.

 

*Callum Robinson merupakan penjaring terbanyak mereka dalam saingan liga setakat ini menerusi dua gol yang dihasilkannya.

 

*Matheus Pereira merupakan penyumbang assist terbanyak mereka dalam saingan liga setakat ini (2 assist).

 

*West Brom cuma menjaringkan 1 gol dari lima aksi terakhir mereka di Liga Perdana.

 

*West Brom tewas kepada Fulham (0-2) pada aksi terakhir mereka di gelanggang lawan dalam saingan liga.

 

*Dalam empat aksi mereka di gelanggang lawan di Liga Perdana setakat ini, gawang West Brom bolos 10 kali dan mereka cuma mampu menjaringkan tiga gol yang menyaksikan mereka mencatatkan satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

 

*Rekod Slaven Bilic ketika berdepan United ialah menang sekali, seri tiga kali dan tewas empat kali.

 

*Aksi seterusnya West Brom selepas ini ialah menentang Sheffield United di gelanggang sendiri (29 November 2020).

 

Glory Glory Manchester United!!!



16 November 2020

10 PENJARING TERBANYAK UNITED DI LIGA JUARA-JUARA EROPAH



Duo Andy Cole dan Dwight Yorke akan sentiasa dikenang sebagai gandingan penyerang terbaik pernah disaksikan aksinya di Old Trafford. Saling memahami corak permainan dan pergerakan masing-masing di atas padang, kombinasi Cole dan Yorke memainkan peranan penting di sebalik kejayaan epik United menjulang kejuaraan Treble pada 1999. Selepas itu muncul Ruud Van Nistelrooy, penggempur prolifik dan igauan ngeri kepada mana-mana penjaga gol lawan menerusi keupayaan beliau yang sentiasa bijak menghidu peluang ketika berada di dalam petak penalti lawan.

 

Di sisi sayap, kita pernah memiliki pemain hebat seperti David Beckham, Ryan Giggs dan Cristiano Ronaldo. Hantaran-hantaran silang membunuh dari kaki kanan Beckham sering dimanfaatkan penyerang-penyerang United untuk menghasilkan gol, manakala Giggs dan Ronaldo adalah ancaman kepada mana-mana bek sisi lawan menerusi kelajuan, kawalan bola memukau dan ketajaman mereka dalam menyudah peluang. Di era mereka sebagai anggota The Red Devils, tiada mana-mana fullback lawan yang gembira jika mereka berdepan Giggs dan Ronaldo.

 

Di bahagian tengah, sosok Roy Keane selaku jeneral, pemimpin dan mentor kepada rakan-rakan sepasukan masih lagi tiada galang gantinya hingga ke hari ini. Vokal, keras dan rela mati di atas padang demi sebuah kemenangan adalah ciri kepada permainan Keano. Jika Keano terkenal dengan semangat meluap-luapnya ketika beraksi, Paul Scholes pula lebih tenang dan akan sentiasa dikenang sebagai antara pemain tengah paling pintar serta maestro yang bertanggungjawab mengawal tempo permainan United.

 

Di bangku simpanan United, Ole Gunnar Solakjaer sentiasa menjadi jawapan kepada Sir Alex Ferguson tatkala barisan hadapannya buntu dalam usaha mereka memecah kekebalan benteng pertahanan lawan. Dan akhir sekali tentulah penampilan Wayne Rooney, pemain yang bertanggungjawab memecah rekod selama lebih empat dekad milik Sir Bobby Charlton selaku penjaring terbanyak United sepanjang zaman menerusi 253 gol yang dihasilkannya dari 559 penampilan.

 

Mereka-mereka ini merupakan sepuluh penjaring terbanyak United dalam kempen mereka di Liga Juara-Juara.  Watak-watak yang pernah mewarnai tempoh-tempoh gemilang United di era Fergie, watak-watak yang pernah membuatkan kita tersenyum dan bersorak gembira tatkala The Red Devils meniti era kesuksesan mereka. Mereka juga antara `puzzle’ yang telah lama hilang tetapi masih belum lagi kita temui penggantinya. “Heroes get remembered, but legends never die…”. Glory Glory Manchester United!!!


 

14 November 2020

BRUNO vs POGBA

 


Awal pagi nanti dua pemain United (Bruno Fernandes dan Paul Pogba) akan bertembung sesama sendiri di bahagian tengah dalam aksi antara Portugal dan Perancis di saingan UEFA Nations League. Impak yang diberikan Bruno kepada United sejak kehadiran beliau pada Januari lalu sangat besar hinggakan ada pendapat mengatakan Pogba turut menerima kesannya.

 

 Jika dahulu United dikatakan sangat bergantung kepada kreativiti dan visi permainan Pogba bagi menggerakan jentera tengah mereka, kini kebergantungan itu beralih ke bahu Bruno. Dari 21 penampilan domestik untuk United, Bruno menjaringkan 13 gol dan mencipta 13 bantuan gol, satu catatan yang cukup impresif dari seorang `pendatang baharu’ seperti beliau.

 

Berbanding Bruno, prestasi Pogba mula diperdebatkan sejak akhir-akhir ini. Pogba sekarang bukanlah Pogba yang pernah anda lihat aksinya ketika bersama Juventus atau pada fasa awal kepulangan semula beliau ke Old Trafford. Jika dahulu Pogba merupakan nama yang wajib ada dalam kesebelasan utama United, kini kelibatnya mula akrab dengan bangku simpanan.

 

Berbanding Bruno yang sudah menjaringkan lima gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam saingan liga, Pogba pula nampaknya masih tercari-cari gol dan assist pertamanya musim ini. Lebih malang dalam beberapa perlawanan terakhir, Pogba lebih banyak digunakan Ole Gunnar Solskjaer sebagai opsyen kedua sama ada kepada Fred atau Scott McTominay di bahagian tengah.

 

Graf prestasi Pogba sebenarnya bukan sahaja mula menurun di peringkat kelab tetapi juga ketika beliau bersama skuad kebangsaan Perancis. Beliau cuma tampil selama 57 minit ketika Perancis dikejutkan Finland (0-2) dalam aksi persahabatan tempohari. Penampilan beliau dalam perlawanan itu turut mengundang kritikan terutamanya selepas video proses gol kedua Finland itu tersebar di media sosial.

 

Aksi antara Portugal dan Perancis ini antara pertembungan menarik dalam aksi antarabangsa hujung minggu ini. Aksi ini bukan sahaja berkisar tentang pertembungan antara juara Dunia dan juara Eropah tetapi juga pentas untuk kita saksikan dua pemain tengah United bertembung sesama sendiri. Saya ingin melihat adakah benar Pogba pemain yang berbeza ketika beliau menyarung jersi Les Bleus? Glory Glory Manchester United!!!



12 November 2020

`RAJA DUEL BOLA TINGGI'

 



Prestasi beliau selaku tonggak pertahanan Manchester United sering dijadikan sasaran kritikan, malah kepimpinan beliau selaku kapten pasukan juga sering dipertikaikan. Kelab menjadikan beliau sebagai pemain termahal dunia, jadi suka mahupun tidak Harry Maguire tidak dapat mengelak dari dijadikan sorotan utama setiap kali pintu gol United dibolosi atau ketika benteng pertahanan yang diterajuinya beraksi di bawah tahap sebenar.

 

Prestasi Maguire di benteng pertahanan United sudah mula menjadi bualan penyokong-penyokong sejak musim lalu lagi. Perlahannya tindakan beliau dalam usaha menyekat pergerakan Steven Bergwijn punca Tottenham Hotspurs berjaya menjaringkan gol ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi liga di Tottenham Hotspurs Stadium pada 20 Jun lalu. Mujurlah gol menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes menyelamatkan United dari pulang ke Old Trafford dengan tangan kosong.

 

Musim ini juga bermula dengan sangat perlahan dan serba tidak kena untuk Maguire. Bermula dengan insiden Mykonos yang menyaksikan beliau terpaksa bermalam di lokap polis, prestasi Maguire selaku pertahanan termahal dunia juga sering dijadikan bahan jenaka hatta oleh penyokong United sendiri. Jika ada individu yang boleh dipersalahkan setiap kali United berdepan kekalahan, Maguire antara mereka yang saya maksudkan.

 

Selepas puas dihujani kritikan, Maguire kembali menampilkan prestasi yang penyokong United mahu saksikan sesuai dengan reputasi disandangnya selaku pertahanan termahal dunia. Penampilan beliau sepanjang 90 minit ketika United berdepan Everton di Goodison Park pada Sabtu lalu memang wajar diberikan pujian. Ini bukanlah satu-satunya penampilan terpuji yang dipamerkan Maguire kerana beliau juga tampil solid di sebalik kemenangan sensasi United ke atas RB Leipzig pada 29 Oktober lalu.

 

Berdasarkan statistik dari FBRef.com, Maguire merupakan pemain yang paling sukses ketika melakukan duel bola tinggi. Mengikut catatan, beliau melakukan 37 duel bola tinggi dalam saingan liga (2020/21) setakat ini dan dari jumlah tersebut beliau berjaya memenanginya sebanyak 33 kali (82.2%). Statistik ini sebenarnya turut menyamai apa yang dilakukan pertahanan tengah Chelsea, Kurt Zouma. Untuk rekod pada musim lalu pula beliau berjaya memenangi 193 duel bola tinggi, 100 lebih banyak dari apa yang beliau lakukan pada musim terakhirnya bersama Leicester City.

 

Mengapa di Old Trafford Maguire lebih banyak melakukan duel bola tinggi berbanding ketika beliau masih menyarung jersi Leicester City? Mengulas tentang hal tersebut, Maguire berkata, “Saya rasa ia mungkin disebabkan taktik yang digunakan pasukan hingga memaksa lawan lebih kerap melakukan hantaran-hantaran bola tinggi”. Di Goodison Park, Maguire tampil solid mengemudi benteng pertahanan United, menerusi satu tackle, satu intercept dan tujuh clearance yang dilakukannya.

 

Selain daripada itu, beliau juga berjaya memenangi lima duel bola tinggi sepanjang perlawanan. Meskipun Dominic Calvert-Lewin muncul pemain paling banyak memenangi duel bola tinggi dalam perlawanan itu (sembilan kali), tetapi tiada satu pun daripadanya membabitkan pertempuran beliau dengan Maguire. Jadi tidak hairanlah mengapa penyerang Everton yang dilabel Ole Gunnar Solskjaer sebagai antara penyerang tengah terbaik di Liga Perdana itu `terdiam’ setiap kali beliau berdepan dengan Maguire.

 

Berikut adalah lima pemain yang memiliki peratus kejayaan tertinggi ketika melakukan duel bola tinggi dalam tempoh 8 minggu Liga Perdana musim ini dilangsungkan:

 

1. Harry Maguire (88.2%)

 2. Kurt Zouma (88.2%)

 3. Ruben Dias (85.7%)

 4. James Tarkowski (82.5%)

 5. Semi Ajayi (82.4%)


Glory Glory Manchester United!!!


10 November 2020

KESEBELASAN UTAMA YANG DITURUNKAN FERGIE PADA PERLAWANAN PERTAMA BELIAU SEBAGAI PENGURUS UNITED

 


 

Pada 6 November 1986, Manchester United mengumumkan secara rasmi perlantikan Alex Ferguson sebagai pengurus yang baharu bagi menggantikan posisi Ron Atkinson. Prestasi `Big Ron’ sepanjang lima musim beliau mengendalikan United tidaklah terlalu buruk kerana dalam tempoh era pengurusan beliau (dari 1981 hingga 1986), Atkinson berjaya mengemudi United menjulang dua kejuaraan Piala FA (1983 dan 1985) serta Perisai Komuniti (1983).

 

Dua musim berturut-turut Atkinson berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga di tangga ketiga dan kemudiannya tiga musim di posisi keempat, selain dua trofi Piala FA dan satu Perisai Komuniti, namun tetap gagal menyelamatkan kerjaya beliau di Old Trafford. Kerana di Scotland ada pesona yang berjaya menarik perhatian Martin Edwards untuk dilantik sebagai pengurus baharu United menerusi kejayaan lelaki ini bersama Aberdeen memecah dominasi Glasgow Rangers dan Celtic.

 

Kejayaan mengemudi Aberdeen menjulang lapan kejuaraan domestik dan dua trofi di pentas Eropah (Cup Winners Cup dan UEFA Super Cup) antara faktor utama yang membawa Alex Ferguson ke Old Trafford. Dua hari selepas perlantikan beliau selaku pengurus United yang baharu, Fergie memimpin barisan pemainnya untuk berdepan Oxford United dalam saingan liga. Malangnya penampilan pertama Fergie sebagai pengurus United berakhir dengan kekalahan apabila skuadnya tewas (0-2) kepada Oxford United.

 

Siapakah pemain yang diturunkan Fergie dalam kesebelasan utamanya pada penampilan pertama beliau sebagai pengurus United?

 

Chris Turner (GK)

 

Turner bukanlah penjaga gol utama United tetapi beliau diturunkan Fergie selepas Gary Walsh mengalami kecederaan. Selepas kehadiran Jim Leighton dari Aberdeen pada 1988, Turner semakin hilang tempatnya dalam skuad utama United sebelum akhirnya beliau memutuskan berhijrah ke Sheffield United.

 

Mike Duxbury

 

Duxbury mendominasi sisi kanan pertahanan United sejak penghujung era 70an hingga 80an. Selepas melakukan 299 penampilan untuk United, beliau berpindah ke Ewood Park pada 1990 namun kecederaan lutut membataskan penampilan beliau bersama Blackburn Rovers. Sempat melakukan 27 penampilan bersama Rovers, Duxbury kemudiannya berhijrah ke Bradford City dua tahun selepas itu.

 

Kevin Moran

 

Moran akan sentiasa dikenang bukan sahaja kerana beliau antara pertahanan kental di Old Trafford tetapi juga kerana terjahan keras yang dilakukannya pada aksi final Piala FA edisi 1985 yang menyaksikan beliau dilayangkan kad merah. Keputusan Fergie merekrut Steve Bruce dari Norwich City pada 1987 menyaksikan Moran semakin hilang tempatnya dalam kesebelasan utama United. Selepas sepuluh musim menyarung jersi United, Moran berhijrah ke Sporting Gijon pada 1988.

 

Graeme Hogg

 

Berbanding Kevin Moran, karier Hogg bersama United agak singkat iaitu selama empat musim (1984-88). Selepas menghabiskan tempoh semusim sebagai pemain pinjaman bersama West Bromwich Albion, Hogg menyertai Portsmouth pada 1988.

 

Arthur Albiston

 

Albiston memiliki tempoh karier yang cukup panjang bersama United. Sepanjang tempoh 14 musim menyarung jersi United, beliau melakukan 467 penampilan dalam semua peringkat kejohanan tetapi dominasinya di sisi kiri pertahanan United mula pudar selepas Fergie merekrut Colin Gibson dari Aston Villa. Albiston kemudiannya menyertai West Bromwich Albion pada 1988.

 

Clayton Blackmore

 

Dalam perlawanan ini Blackmore diberikan peranan untuk bertindak sebagai sayap kanan meskipun sepanjang kariernya di era Fergie, beliau bermain sebagai bek kiri. Keputusan Fergie merekrut Paul Parker dan Denis Irwin menyaksikan Blackmore semakin tersisih dari skuad utama United. Beliau akhir memutuskan berhijrah ke Middlesbrough bersama-sama Bryan Robson pada 1994.

 

Paul McGrath

 

Kecederaan Bryan Robson memaksa Fergie meletakkan McGarth di bahagian tengah dalam perlawanan ini kerana dari 1982 hingga 1989, beliau sangat dikenali sebagai pertahanan tengah paling kental di Liga Divisyen 1 Inggeris. Selain Bryan Robson, beliau juga antara pemain top yang ada dalam skuad utama United ketika itu. Malangnya masalah ketagihan alkohol menyaksikan hubungan beliau dan Fergie kurang harmoni. Akhirnya pada 1989, Fergie memutuskan untuk melepaskan McGarth ke Aston Villa.

 

Remi Moses

 

Agak malang kerana Moses gagal mencapai potensi beliau bukan kerana prestasinya tidak menepati standard yang diinginkan Fergie, tetapi kerana kecederaan lutut serius yang dialaminya. Pada usia 28 tahun, Moses tidak lagi mampu bertahan dengan tuntutan bolasepak tahap tinggi hingga memaksa beliau mengumumkan persaraannya pada 1989.

 

Peter Barnes

 

Bagi pelanggan Astro dan pengikut Liga Perdana Inggeris, wajah Barnes mungkin tidak asing bagi anda. Kerana sejak 2010, beliau bertugas sebagai pundit dan pengulas untuk perlawanan-perlawanan Liga Perdana. Barnes antara pemain yang direkrut Ron Atkinson tetapi tidak mampu bertahan di bawah regim Fergie. Hanya dua musim beliau di Old Trafford, Barnes akhir menyertai semula Manchester City pada 1987.

 

Frank Stapleton

 

223 penampilan untuk United dari 1981 hingga 1987 serta berhasil menjaringkan 60 gol dalam saingan liga. Bagaimanapun 60 gol yang dijaringkan beliau berlaku ketika era Ron Atkinson sebagai pengurus kerana hakikatnya Stapleton gagal menjaringkan satu gol pun ketika beliau bermain di bawah arahan Fergie. Tiada lagi tempat untuk Stapleton sebaik sahaja Fergie merekrut Brian McClair dan beliau menyertai Ajax Amsterdam pada 1987.

 

Peter Davenport

 

Idea asalnya ialah merekrut beliau dari Nottingham Forest bagi mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Mark Hughes yang memilih untuk berhijrah ke Barcelona. Selama dua musim beliau menyertai United (1986-88), Davenport berhasil menjaringkan 22 gol menerusi 92 penampilan yang dilakukannya. Bagaimanapun keputusan Fergie membawa kembali Hughes ke Old Trafford menyebabkan tiada lagi tempat untuk Davenport di jentera serangan United. Beliau akhirnya memilih menyertai Middlesbrough pada 1988.

 

Penutup

 

Meskipun penampilan pertama Fergie selaku pengendali United berakhir dengan kekalahan, namun siapa sangka beliau akhirnya berjaya meletakkan dirinya sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab. 27 tahun sepanjang era beliau sebagai pengurus, United sudah memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah, sesuatu yang mungkin pada awalnya penyokong-penyokong tegar The Red Devils tidak pernah bayangkan memandangkan Fergie sendiri bergelut sepanjang tempoh lima musim pertamanya di Old Trafford.

 

Walaupun bermula dengan `langkah kiri’, Fergie akhirnya sukses meletakkan kembali United sebagai gergasi England dan berjaya menakluk Eropah sebanyak dua kali menerusi kejayaan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1999 dan 2008. Jejak gemilang yang ditinggalkan Fergie di Old Trafford sebenarnya turut menghantui pengganti beliau selepas itu hinggakan pengurus hebat seperti Louis Van Gaal dan Jose Mourinho `di paksa untuk berhenti lebih awal’. Ryan Giggs mengatakan United perlukan tempoh 20 tahun lagi untuk menjulang kembali trofi Liga Perdana, tetapi berharaplah agar telahan Giggs itu tersasar dan semoga kita tidak perlu menunggu selama itu. Glory Glory Manchester United!!!