16 November 2020

10 PENJARING TERBANYAK UNITED DI LIGA JUARA-JUARA EROPAH



Duo Andy Cole dan Dwight Yorke akan sentiasa dikenang sebagai gandingan penyerang terbaik pernah disaksikan aksinya di Old Trafford. Saling memahami corak permainan dan pergerakan masing-masing di atas padang, kombinasi Cole dan Yorke memainkan peranan penting di sebalik kejayaan epik United menjulang kejuaraan Treble pada 1999. Selepas itu muncul Ruud Van Nistelrooy, penggempur prolifik dan igauan ngeri kepada mana-mana penjaga gol lawan menerusi keupayaan beliau yang sentiasa bijak menghidu peluang ketika berada di dalam petak penalti lawan.

 

Di sisi sayap, kita pernah memiliki pemain hebat seperti David Beckham, Ryan Giggs dan Cristiano Ronaldo. Hantaran-hantaran silang membunuh dari kaki kanan Beckham sering dimanfaatkan penyerang-penyerang United untuk menghasilkan gol, manakala Giggs dan Ronaldo adalah ancaman kepada mana-mana bek sisi lawan menerusi kelajuan, kawalan bola memukau dan ketajaman mereka dalam menyudah peluang. Di era mereka sebagai anggota The Red Devils, tiada mana-mana fullback lawan yang gembira jika mereka berdepan Giggs dan Ronaldo.

 

Di bahagian tengah, sosok Roy Keane selaku jeneral, pemimpin dan mentor kepada rakan-rakan sepasukan masih lagi tiada galang gantinya hingga ke hari ini. Vokal, keras dan rela mati di atas padang demi sebuah kemenangan adalah ciri kepada permainan Keano. Jika Keano terkenal dengan semangat meluap-luapnya ketika beraksi, Paul Scholes pula lebih tenang dan akan sentiasa dikenang sebagai antara pemain tengah paling pintar serta maestro yang bertanggungjawab mengawal tempo permainan United.

 

Di bangku simpanan United, Ole Gunnar Solakjaer sentiasa menjadi jawapan kepada Sir Alex Ferguson tatkala barisan hadapannya buntu dalam usaha mereka memecah kekebalan benteng pertahanan lawan. Dan akhir sekali tentulah penampilan Wayne Rooney, pemain yang bertanggungjawab memecah rekod selama lebih empat dekad milik Sir Bobby Charlton selaku penjaring terbanyak United sepanjang zaman menerusi 253 gol yang dihasilkannya dari 559 penampilan.

 

Mereka-mereka ini merupakan sepuluh penjaring terbanyak United dalam kempen mereka di Liga Juara-Juara.  Watak-watak yang pernah mewarnai tempoh-tempoh gemilang United di era Fergie, watak-watak yang pernah membuatkan kita tersenyum dan bersorak gembira tatkala The Red Devils meniti era kesuksesan mereka. Mereka juga antara `puzzle’ yang telah lama hilang tetapi masih belum lagi kita temui penggantinya. “Heroes get remembered, but legends never die…”. Glory Glory Manchester United!!!


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan