26 November 2020

`SELAMAT JALAN LEGENDA’

 


Dunia bolasepak dikejutkan dengan pemergian Diego Maradona, pemain terhebat pernah disaksikan aksinya ketika era kemuncak beliau sebagai pemain. Semua orang kenal siapa itu Diego Armando Maradona, bahkan mereka yang belum lahir ketika beliau mengetuai Argentina menjulang kejuaraan Piala Dunia di bumi Mexico pada 1986 kenal akan legenda bolasepak Argentina ini. Dari La Boca hinggalah kota Naples, Maradona adalah fenomena, malahan tarafnya diletakkan di kedudukan tertinggi oleh penyokong-penyokong Napoli hinggakan beliau di gelar sebagai `Dewa Bolasepak’.

 

Tidak dinafikan bahawa Pele merupakan pemain yang hebat, tetapi Maradona pula adalah pemain paling sensasi pernah disaksikan di planet Bumi. Dan Maradona juga adalah `genius’ di atas padang menerusi kemahiran semulajadi sebagai pemain yang dianugerahkan kepadanya. Penyokong England boleh melabelkan beliau sebagai `penipu’ tetapi gol menerusi `Tangan Tuhan’ serta gerakan solo beliau yang menewaskan separuh pemain England antara bukti betapa genius dan liciknya Maradona ketika beraksi di atas padang.

 

`Tangan Tuhan’

 

Jika VAR wujud 34 tahun lalu, jaringan menerusi `Tangan Tuhan’ Maradona tidak akan berlaku kerana memang jelas beliau menggunakan tangannya ketika menewaskan Peter Shilton. Pengadil mengesahkan gol tersebut kerana `tertipu’ dengan trick yang dilakukan Maradona biarpun dibantah pemain-pemain England. Jika gol pertama itu mengundang kontroversi, tiada pertikaian tentang gol kedua yang dijaringkan Maradona ke gawang England.

 

Gol itu antara gol terindah yang pernah disaksikan dan gol itu jugalah yang membunuh hasrat England untuk mara ke peringkat separuh akhir. Jika gol pertama dianggap sebagai kontroversi terbesar dalam sejarah bolasepak, gol kedua Maradona ke gawang England antara karya agung yang pernah terhasil dari kakinya. Piala Dunia 1986 seolah-olah memang dicipta untuk Maradona, apabila selepas itu giliran Belgium pula menyaksikan keajaiban beliau menerusi dua gol yang dihasilkannya untuk meletakkan Argentina ke pentas final.

 

Pada tanggal 29 Jun 1986 di Estadio Azteca, Maradona tidak menjaringkan sebarang gol tetapi pernan besar yang dimainkannya membolehkan Jose Luis Brown, Jorge Valdano dan Jorge Buruchaga menembusi gawang Harald Schumacher lantas membolehkan mereka menjulang kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua. Selepas itu, Argentina tidak pernah menjulang trofi teragung bolasepak dunia itu meskipun mereka pernah dibarisi pemain-pemain hebat seperti Claudio Cannigia, Gabriel Batistuta, Juan Roman Riquelme, Carlos Tevez, Ariel Ortega, Juan Sebastian Veron dan kini Lionel Messi.

 

Barcelona adalah kelab terbesar yang pernah diwakili Maradona sepanjang kariernya di Eropah, tetapi Napoli adalah kemuncak sebenar kepada pencapaian beliau di peringkat kelab. Keputusan untuk berpindah dari Catalan ke kota Naples merupakan satu kejutan besar yang dilakukan Maradona ketika itu, dan bersama Napoli beliau berjaya memenangi dua kejuaraan liga (1986/87 dan 1989/90). Sesuatu yang gagal beliau lakukan ketika bersama Barca. Apa yang menariknya kejayaan itu dilakar Maradona di tengah-tengah dominasi AC Milan dan Juventus selaku kuasa besar bolasepak Itali.

 

United vs Maradona

 

United dan Maradona juga sebenarnya ada sejarah tersendiri kerana barisan The Red Devils pernah berdepan legenda Argentina itu di peringkat suku akhir Cup Winners Cup musim 1983/84. Meskipun United tewas (0-2) pada perlawanan pertama di Estadio del FC Barcelona (sekarang Camp Nou), barisan kendalian Ron Atkinson berjaya mara ke separuh akhir menerusi kelebihan agregat (3-2) menerusi dua gol jaringan Bryan Robson dan satu gol sumbangan Frank Stapleton pada aksi kedua yang dilangsungkan di Old Trafford.

 

Mengimbas memori tersebut, Robson berkata, “Ia malam yang istimewa bagi kami dan selepas 36 tahun kami masih bercakap tentangnya. Untuk bangkit dari ketinggalan menentang pasukan seperti Barcelona adalah satu hal yang menakjubkan. Tetapi yang menjadikan perlawanan itu bertambah istimewa apabila mereka dibarisi pemain seperti Maradona dan Bernd Schuster. Ini adalah hari yang menyedihkan untuk dunia bolasepak walaupun dia (Maradona) meninggalkan kami dengan banyak momen-momen yang fantastis”.

 

Penutup

 

Sepanjang kariernya sebagai pemain, Maradona melakukan empat penampilan di temasya Piala Dunia dan sepanjang 1977 hingga 1994, beliau menjaringkan 34 gol menerusi 91 penampilan untuk skuad Albiceleste. Di peringkat kelab pula Maradona bermain untuk enam kelab berbeza dengan Boca Juniors menjadi persinggahan terakhirnya sebelum bersara pada 1997.

 

Hingga kini, warga Argentina masih melihat Maradona sebagai pemain terhebat pernah dilahirkan di negara mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa sebuah gereja di kota Rosario dibina hanya untuk memuja sang legenda ini. Jauh di kota Naples pula, kesan yang ditinggalkan Maradona terhadap Napoli juga masih kekal hingga ke hari ini. Bukan sekadar lukisan grafiti di dinding tetapi mereka percaya bahawa Maradona adalah `Dewa Bolasepak’ yang dianugerahkan untuk kota Naples. `Selamat jalan Maradona…terima kasih untuk momen-momen fantastis yang anda tinggalkan. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan