12 November 2020

`RAJA DUEL BOLA TINGGI'

 



Prestasi beliau selaku tonggak pertahanan Manchester United sering dijadikan sasaran kritikan, malah kepimpinan beliau selaku kapten pasukan juga sering dipertikaikan. Kelab menjadikan beliau sebagai pemain termahal dunia, jadi suka mahupun tidak Harry Maguire tidak dapat mengelak dari dijadikan sorotan utama setiap kali pintu gol United dibolosi atau ketika benteng pertahanan yang diterajuinya beraksi di bawah tahap sebenar.

 

Prestasi Maguire di benteng pertahanan United sudah mula menjadi bualan penyokong-penyokong sejak musim lalu lagi. Perlahannya tindakan beliau dalam usaha menyekat pergerakan Steven Bergwijn punca Tottenham Hotspurs berjaya menjaringkan gol ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi liga di Tottenham Hotspurs Stadium pada 20 Jun lalu. Mujurlah gol menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes menyelamatkan United dari pulang ke Old Trafford dengan tangan kosong.

 

Musim ini juga bermula dengan sangat perlahan dan serba tidak kena untuk Maguire. Bermula dengan insiden Mykonos yang menyaksikan beliau terpaksa bermalam di lokap polis, prestasi Maguire selaku pertahanan termahal dunia juga sering dijadikan bahan jenaka hatta oleh penyokong United sendiri. Jika ada individu yang boleh dipersalahkan setiap kali United berdepan kekalahan, Maguire antara mereka yang saya maksudkan.

 

Selepas puas dihujani kritikan, Maguire kembali menampilkan prestasi yang penyokong United mahu saksikan sesuai dengan reputasi disandangnya selaku pertahanan termahal dunia. Penampilan beliau sepanjang 90 minit ketika United berdepan Everton di Goodison Park pada Sabtu lalu memang wajar diberikan pujian. Ini bukanlah satu-satunya penampilan terpuji yang dipamerkan Maguire kerana beliau juga tampil solid di sebalik kemenangan sensasi United ke atas RB Leipzig pada 29 Oktober lalu.

 

Berdasarkan statistik dari FBRef.com, Maguire merupakan pemain yang paling sukses ketika melakukan duel bola tinggi. Mengikut catatan, beliau melakukan 37 duel bola tinggi dalam saingan liga (2020/21) setakat ini dan dari jumlah tersebut beliau berjaya memenanginya sebanyak 33 kali (82.2%). Statistik ini sebenarnya turut menyamai apa yang dilakukan pertahanan tengah Chelsea, Kurt Zouma. Untuk rekod pada musim lalu pula beliau berjaya memenangi 193 duel bola tinggi, 100 lebih banyak dari apa yang beliau lakukan pada musim terakhirnya bersama Leicester City.

 

Mengapa di Old Trafford Maguire lebih banyak melakukan duel bola tinggi berbanding ketika beliau masih menyarung jersi Leicester City? Mengulas tentang hal tersebut, Maguire berkata, “Saya rasa ia mungkin disebabkan taktik yang digunakan pasukan hingga memaksa lawan lebih kerap melakukan hantaran-hantaran bola tinggi”. Di Goodison Park, Maguire tampil solid mengemudi benteng pertahanan United, menerusi satu tackle, satu intercept dan tujuh clearance yang dilakukannya.

 

Selain daripada itu, beliau juga berjaya memenangi lima duel bola tinggi sepanjang perlawanan. Meskipun Dominic Calvert-Lewin muncul pemain paling banyak memenangi duel bola tinggi dalam perlawanan itu (sembilan kali), tetapi tiada satu pun daripadanya membabitkan pertempuran beliau dengan Maguire. Jadi tidak hairanlah mengapa penyerang Everton yang dilabel Ole Gunnar Solskjaer sebagai antara penyerang tengah terbaik di Liga Perdana itu `terdiam’ setiap kali beliau berdepan dengan Maguire.

 

Berikut adalah lima pemain yang memiliki peratus kejayaan tertinggi ketika melakukan duel bola tinggi dalam tempoh 8 minggu Liga Perdana musim ini dilangsungkan:

 

1. Harry Maguire (88.2%)

 2. Kurt Zouma (88.2%)

 3. Ruben Dias (85.7%)

 4. James Tarkowski (82.5%)

 5. Semi Ajayi (82.4%)


Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan