29 April 2013

REVIEW: RVP PAKSA GUNNERS KONGSI MATA


Arsenal dan Manchester United sekadar berkongsi satu mata pada pertemuan liga di Stadium Emirates malam tadi. Jaringan penalti Robin Van Persie di penghujung babak pertama perlawanan memadam kelebihan awal tuan rumah menerusi Theo Walcott seawal minit kedua. Seperti yang sudah dijangkakan Van Persie menerima layanan `istimewa’ dari penyokong-penyokong The Gunners sepanjang 90 minit permainan berikutan keputusannya meninggalkan Stadium Emirates musim panas lalu. Tradisi dengan memberikan penghormatan kepada sang juara (guard of honour) dilakukan sebelum perlawanan manakala penyokong-penyokong tuan rumah pula nampaknya tidak melakukan Poznan Celebration seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Arsenal menguasai permainan terutamanya sepanjang tempoh 30 minit awal perlawanan ketika United sendiri dikhabarkan sedang berada dalam mode percutian selepas kejuaraan liga sah menjadi milik mereka. Ironinya gol yang dihasilkan tuan rumah menerusi Walcott berpunca dari kesilapan Van Persie yang memberikan bola kepada Tomas Rosicky selepas dia tergelincir. Meskipun ulang tayang menunjukkan Walcott berada pada posisi offside sebelum hantaran dilakukan Rosicky, gol pemain antarabangsa England itu tetap disahkan pengadil perlawanan, Phil Dowd. Ketika permainan sebenar separuh masa pertama berbaki seminit untuk ditamatkan, kesilapan Bacary Sagna menjatuhkan Van Persie dalam kawasan penalti mengundang padah. Phil Dowd tanpa ragu-ragu menghadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya mudah disempurnakan Van Persie untuk menyamakan kedudukan. Jaringan ini merupakan gol ke-25 Van Persie musim ini dan tampak sudah pasti dia akan mengekalkan anugerah kasut emas yang dimenanginya musim lalu selepas pencabar terdekat Luis Suarez tidak akan beraksi kerana digantung 10 perlawanan oleh FA England.

Meskipun beberapa pertukaran pemain dilakukan kedua-dua pasukan di babak kedua, namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan dengan keputusan selepas 90 minit kekal 1-1. Selepas perlawanan Sir Alex mendakwa United memiliki peluang lebih besar untuk memenangi perlawanan ini manakala Arsene Wenger menganggap keputusan seri lebih adil buat kedua-dua pasukan. Sir Alex turut membidas tindakan Dowd yang melayangkan lima kad kuning kepada pemain-pemainnya sambil menyifatkan keputusan tersebut kurang wajar dan merosakkan reputasi United selaku antara pasukan paling bersih dalam saingan liga musim ini. “Bagi Manchester United, mempunyai lima pemain yang dilayangkan kad kuning, saya tidak fikir ia sesuatu yang kurang wajar”, kata Sir Alex. Sir Alex turut mengakui beliau sedikit terkejut dengan corak permainan agresif yang dipamerkan anak-anak buah Arsene Wenger terutama sepanjang 20 minit awal permainan. “20 minit awal permainan, kami dikejutkan dengan permainan agresif lawan terutamanya menerusi terjahan-terjahan keras mereka”, sambung Sir Alex lagi. Meskipun sekadar mencatat keputusan seri, Wenger pula tetap yakin pasukannya akan berjaya mendapatkan satu slot ke Liga Juara-Juara musim depan. Satu mata yang diraih Arsenal semalam menyaksikan mereka tergelincir ke tangga keempat selepas Chelsea berjaya mencatat kemenangan ke atas Swansea City. Satu lagi kelab dari London, Tottenham Hotspurs berada di tangga kelima, dua mata di belakang Arsenal namun kedua-duanya (Chelsea dan Spurs) memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Arsenal-United:

Gol: 1 – 1
Sepakan Sudut: 7 – 2
Percubaan Tepat: 13 – 6
Percubaan Tersasar: 6 – 5
Kekasaran: 10 – 11
Offside: 1 – 1
Kad Kuning: 3 – 5
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 51% - 49%

Tiada ulasan:

Catat Ulasan