31 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn BLACKBURN ROVERS



Kemenangan ke atas Blackburn Rovers dan kejayaan merampas semula kedudukan sebagai pendahulu takhta Liga Perdana pastinya merupakan hadiah terbaik sempena ulang tahun ke-70 Sir Alex Ferguson minggu ini.  Di atas kertas, United dilihat tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri tatkala berdepan Rovers yang kini menghuni dasar liga.  Statistik empat perlawanan teakhir United juga cukup menggerunkan apabila skuad The Red Devils itu berjaya menghasilkan 16 gol dengan sepuluh daripadanya dicipta pada dua perlawanan terakhir mereka.  Berita gembira turut di terima Ferguson menjelang kunjungan Rovers nanti apabila Rio Ferdinand dan Phil Jones bakal kembali memperkuatkan pasukan selepas pulih dari kecederaan.  Kehadiran kedua-dua pemain pertahanan tengah ini pastinya amat ditagih Ferguson yang sudahpun kehilangan kapten pasukan, Nemanja Vidic sepanjang baki saingan musim ini, Jonny Evans perlu direhatkan selama dua minggu manakala Chris Smalling pula hanya akan kembali minggu hadapan.  Ketika krisis kecederaan melanda pasukan, Ferguson perlu berterima kasih kepada jadual perlawanan yang tampak memihak kepada pasukannya apabila United hanya perlu berdepan kelab-kelab bawahan sepanjang jadual padat musim cuti Krismas.   Untuk rekod, sepanjang era Liga Perdana, Rovers hanya sekali berjaya menewaskan United di Old Trafford iaitu pada 24 September 2005 (2-1) hasil jaringan kemenangan Morten Gamst Pedersen manakala sepuluh pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di dominasi United (menang 7 dan seri 3).  Barisan penggempur United nyata berada pada prestasi terbaik mereka terutama selepas menyaksikan Dimitar Berbatov mula menemui keyakinan diri ketika merakam hatrik saat berdepan Wigan Athletic Isnin lalu.  Javier Hernandez, Wayne Rooney dan Danny Welbeck dalam keadaan cergas manakala prestasi mantap yang dipamerkan Luis Antonio Valencia dan Michael Carrick  pastinya menambah keresahan buat Steve Kean yang berdepan desakan dari penyokong-penyokong Rovers supaya beliau meletak jawatan. Walau bagaimanapun, United tidak seharusnya memandang rendah keupayaan anak-anak buah Kean dalam perlawanan ini jika mengambilkira semangat juang mereka ketika berjaya mengikat Liverpool di Anfield tempohari.  Apapun pastinya, Rovers akan cuba sedaya upaya mengelak aib tewas 1-7 di gelanggang yang sama musim lalu dari berulang.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Luis Antonio Valencia, Phil Jones, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Park Ji-Sung, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov

27 Disember 2011

UNITED IKAT CITY DI PUNCAK LIGA


Manchester United meneruskan momentum kemenangan besar mereka menjelang permulaan tahun baru apabila berjaya menewaskan Wigan Athletic 5-0. Dimitar Berbatov muncul wira apabila hatriknya memastikan United terus memberi tekanan kepada pendahulu ketika ini, Manchester City yang sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan West Bromwich Albion di The Hawthorns.  Park Ji-Sung menjaringkan gol pendahuluan buat United seawal minit ke-8 apabila bijak menyudahkan hantaran Patrice Evra di dalam petak penalti.  Tugas pelawat untuk mencari gol penyamaan semakin sukar apabila penyerang mereka Connor Sammon dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Phil Dowd kerana menyiku Michael Carrick diminit ke-40.  Selang seminit selepas itu,  Bebatov menjaringkan gol kedua United hasil gerakan Darron Gibson.  Bersambung di babak kedua, United semakin selesa di depan apabila Berbatov menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini di minit ke-58 dan selepas itu giliran Luis Antonio Valencia pula memaksa Ali Al-Habsi mengutip bola di gawang sendiri buat kali keempat.  Diminit ke-78, Berbatov melengkapkan hatriknya dalam perlawanan ini hasil sepakan penalti selepas Ji-Sung dikasari Antolin Alcaraz. Kemenangan bergaya ini juga menyaksikan barisan The Red Devils berjaya membolosi gawang lawan sebanyak 16 kali dari empat perlawanan terakhir mereka sekaligus berkongsi mata dengan Manchester City di tangga teratas.  United dan City terikat 45 mata tetapi skuad bimbingan Roberto Mancini itu yang sekadar mengutip satu mata di The Hawthorns kekal sebagai pendahulu liga dengan perbezaan jaringan.  Kekalahan ini juga menyaksikan rekod buruk Wigan ketika berdepan United berpanjangan kepada 14 perlawanan dan mereka juga gagal menjaringkan sebarang gol di Old Trafford sejak kali terakhir Leighton Baines melakukannya lima tahun lalu.  Glory Glory Manchester United!!!

26 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn WIGAN ATHLETIC



Manchester United menanti kunjungan Wigan Athletic di Old Trafford malam nanti dengan misi meneruskan rekod cemerlang 13 perlawanan tanpa kalah mereka ke atas skuad bimbingan Roberto Martinez itu.  Di samping perlu berdepan hakikat kebangkitan United sejak tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah, skuad The Latics itu juga perlu mengakui hakikat bahawa mereka berdepan kesukaran menembusi benteng United di Old Trafford sejak kali terakhir Leighton Baines melakukannya pada 2006 melalui sepakan penalti.  Walau bagaimanapun, Wigan tewas 1-3 dalam perlawanan itu. Ketika United dilihat tidak berdepan kesukaran mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan ini, misi sebenar skuad The Red Devils ialah terus memberi tekanan kepada jiran mereka yang juga pendahulu takhta liga ketika ini, Manchester City.  United hanya ketinggalan dua mata dari jiran mereka itu dan perlawanan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan Sir Alex Ferguson sambil berharap ada kejutan besar berlaku di The Hawthorns.  United bagaimanapun tidak seharusnya dibuai keyakinan tinggi selepas mencatat kemenangan besar ke atas Fulham pertengahan minggu lalu, sebaliknya perlu berhati-hati terutamanya melalui ancaman pemain tengah lawan Jordi Gomez.  Pemain tengah berasal dari Sepanyol itu sudah menjaringkan empat gol dari lima perlawanan terakhir mereka dan prestasi baik Gomez pastinya ditagih Martinez untuk membantu Wigan terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan.  Selepas mencatat kemenangan ke atas West Bromwich di gelanggang lawan serta berjaya mengikat Chelsea dan Liverpool di gelanggang sendiri, Martinez berharap anak-anak buahnya meneruskan momentum mereka di Old Trafford.  Sementara itu, ada berita gembira menyelubungi kem United apabila Phil Jones yang terpaksa dikeluarkan di Craven Cottage bakal disenaraikan Ferguson dalam perlawanan malam nanti.  Jones disahkan cergas dan bakal bergandingan semula dengan Michael Carrick menjana jentera tengah United manakala Rio Ferdinand dan Javier Hernandez bakal memperkuatkan kembali pasukan selepas direhatkan ketika United berdepan Fulham tempohari. Glory Glory Manchester United!!!  

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Nani, Phil Jones, Michael Carrick, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez.

25 Disember 2011

CARRICK ANTARA WATAK UTAMA KEBANGKITAN UNITED


Di awal musim, nama Michael Carrick hampir dilupakan sebilangan besar penyokong Manchester United akibat penampilan hebat Tom Cleverley dan Anderson menjana bahagian tengah.  Ramai juga yang beranggapan masa depan Carrick bersama United semakin kelam selepas melihat kelibat bekas pemain Tottenham Hotspurs itu sering memanaskan bangku simpanan United.  Walau bagaimanapun Carrick akhirnya membuktikan bahawa dia masih lagi pemain tengah terbaik dalam skuad Sir Alex Ferguson ketika ramai yang mungkin mula melupakan namanya.  Nama Carrick tiba-tiba muncul semula menjadi sebutan bukan saja di kalangan penyokong setia United, malah pemerhati bolasepak kerana prestasi hebatnya sejak kebelakangan ini.  Pemain berusia 30 tahun itu dikatakan menjadi kunci disebalik keupayaan United bangkit memberikan cabaran dalam saingan liga domestik selepas kejutan tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah.  Carrick antara watak penting disebalik kemenangan besar 4-1 United ke atas Wolves dan kemudiannya menjaringkan gol hasil gerakan solo menarik ketika United menewaskan Queens Park Rangers 2-0.  Carrick sekali lagi membuktikan kehebatannya menjana jentera tengah United ketika skuad The Red Devils itu merakamkan kemenangan besar 5-0 ke atas Fulham pertengahan minggu lalu.  Ini diakui sendiri Phil Jones, yang juga merupakan gandingan `sementara' Carrick di bahagian tengah selepas United kehilangan khidmat Darren Fletcher, Anderson dan Tom Cleverley.  Menurut Jones, Carrick adalah pemain yang cukup luar biasa walaupun sebelumnya kelibat pemain berpengalaman itu seolah-olah dipandang sepi dan kurang diberi perhatian.  "Ramai yang tidak memberikan perhatian kepadanya tetapi ketika anda bermain bersamanya, anda akan merasainya.  Dia seperti memiliki deria keenam dan tahu di mana dia perlu berada untuk menerima hantaran.  Dia sering berada di tempat dan masa yang tepat sama ada ketika bertahan ataupun ketika merancang serangan", kata Jones.  Aset paling berharga milik Carrick sebenarnya adalah kualiti hantaran-hantaran jauhnya kepada barisan serangan serta cukup berdisiplin ketika bertahan.  Selepas agak lama diketepikan, Carrick seolah-olah ingin melontarkan amaran kepada pengkritiknya bahawa dia masih lagi yang terbaik di Old Trafford dan sentuhannya menjana bahagian tengah masih belum pudar.  Lihat saja pada prestasinya ketika membantu United mencatat kemenangan ke atas Wolves, QPR dan Fulham, hakikatnya Carrick masih lagi yang terbaik buat The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!

16 Disember 2011

ROONEY INGINKAN KEJUARAAN LIGA EUROPA


Andai ada yang mengatakan bahawa Manchester United sudah hilang selera memburu gelaran di Eropah selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah, mereka sebenarnya silap.  Wayne Rooney sebaliknya menegaskan Kejuaraan Liga Europa adalah kejohanan yang mereka perlu menangi musim ini dan berazam membantu United membawa pulang trofi itu ke Old Trafford.  Walaupun mengakui taraf Liga Europa tidaklah sehebat Liga Juara-Juara, Rooney berjanji pasukannya tidak akan memandang ringan kempen mereka di kejohanan tersebut tambahan pula jiran mereka, Manchester City turut sama bersaing.  "Memang merugikan apabila kami tersingkir dari Liga Juara-Juara kerana kami sentiasa ingin bersaing dalam kejohanan itu.  Namun kami harus melupakan kegagalan tersebut dan kembali menumpukan perhatian kepada kejohanan yang bakal kami sertai.  Pengurus (Sir Alex Ferguson) belum pernah memenangi trofi ini jadi saya yakin dia juga pasti ingin memenanginya", kata Rooney.  Menurut Rooney lagi, dalam setiap kejohanan yang mereka sertai, Manchester United pastinya ingin memenangi sesuatu dan berharap kempen mereka di Liga Europa akan berjalan dengan lancar. Glory Glory Manchester United!!!

15 Disember 2011

AGEN NAFIKAN RUMOUR VALENCIA KE JUVENTUS


Menjelang jendela perpindahan musim sejuk Januari ini, nama Luis Antonio Valencia tidak terlepas dari spekulasi bakal berhijrah keluar dari Old Trafford.  Pendahulu Serie A ketika ini, Juventus dikatakan menunjukkan minat yang cukup tinggi mendapatkan khidmat Valencia malah sanggup  menjadikan Milos Krasic sebagai pertukaran.  Walau bagaimanapun, spekulasi perpindahan Valencia ke Juventus Arena segera dinafikan Diego Herrera  Larrea, agen pemain antarabangsa Ecuador itu.  Menurut Herrera, sekalipun terdapat khabar angin mengaitkan minat yang ditunjukkan Juventus terhadap Valencia, namun tiada sebarang perbincangan rasmi antara pihak pengurusan kedua-dua pasukan.  "Saya ada mendengar khabar tentang minat yang ditunjukkan Juventus, tapi bagi pihak kami itu hanyalah sekadar spekulasi.  Tiada perbincangan rasmi antara kedua-dua pasukan tentang hal ini, jadi saya berani mengatakan ianya hanya sekadar spekulasi", kata Herrera.  Menurut Herrera lagi, kemungkinan untuk Valencia meninggalkan Old Trafford terlalu kecil memandangkan dia baru saja menyambung kontrak selama empat tahun bersama United, selain faktor keluarganya yang cukup gembira di Manchester.  Bagaimanapun Herrera menegaskan, dalam bolasepak segala kemungkinan bakal berlaku. Glory Glory Manchester United!!!

13 Disember 2011

JETRO WILLEMS PELAPIS PATRICE EVRA?


Sir Alex Ferguson memulakan rancangan membentuk skuad masa depannya apabila diberitakan  meletakkan sasaran untuk mendapatkan pemain muda Belanda dan juga PSV Eindhoven, Jetro Willems.  Ferguson bercadang membentuk Willems yang baru berusia 17 tahun sebagai pelapis dan pengganti kepada Patrice Evra yang kini sudahpun menjangkau usia 30 tahun.  Willems sebenarnya baru menyertai Eindhoven dari Sparta Rotterdam Ogos lalu namun Ferguson sudah pun menetapkan sasaran inilah masa terbaik untuknya mendapatkan khidmat pemain muda tersebut.  Selain minat yang ditunjukkan Ferguson, beberapa kelab pesaing United di Liga Perdana dikhabarkan turut berjaya menghidu potensi besar yang ada pada diri Willems.  Ferguson dikatakan telahpun menghantar seorang pencari bakat ke Belanda untuk memantau prestasi Willems bersama Eindhoven di Eredivisie.  Menyedari beliau (Ferguson) mempunyai pemain pelapis yang agak terhad untuk menggantikan Evra satu hari nanti, kemungkinan untuk Willems menjejakkan kakinya ke Old Trafford dilihat agak besar.  Selain faktor harga yang masih rendah, Willems juga boleh digunakan United untuk menghadapi saingan di Liga Europa.  Glory Glory Manchester United!!!

12 Disember 2011

NANI SASARKAN TIGA KEJUARAAN



Selepas terpaksa melupakan aksi saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini, pemain sayap United, Nani meletakkan sasaran untuk memenangi baki kejuaraan yang ada.  Masih pedih untuk menelan kepahitan tewas 1-2 kepada FC Basel, sekaligus melenyapkan hasrat pasukannya untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, bintang antarabangsa Portugal itu berharap United mampu memenangi tiga lagi kejuaraan yang ada untuk musim ini.  United berpeluang memenangi Liga Europa dan Piala FA selain cuba mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang mereka menangi musim lalu.  Sekalipun mengakui sukar menerima hakikat kegagalan United layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, Nani optimis barisan The Red Devils mampu menyapu bersih tiga lagi gelaran yang ada.  "Sukar untuk menerima hakikat kegagalan tersingkir di peringkat kumpulan (Liga Juara-Juara) namun kami masih memiliki peluang untuk menjuarai baki kejohanan yang kami sertai musim ini", kata Nani.  


11 Disember 2011

FERGIE PUASHATI SUMBANGAN PEMAIN SAYAP


Manchester United kembali mencatat kemenangan besar selepas beberapa minggu sebelumnya hanya mampu menjaringkan satu gol pada setiap perlawanan. Kejayaan menumpaskan Wolverhampton Wanderers 4-1 seolah-olah mengimbas kembali prestasi hebat United di awal musim.  Serentak dengan itu, Sir Alex Ferguson pantas melemparkan pujian terhadap prestasi dua pemain sayapnya, Luis Antonio Valencia dan Nani.  "Kami gembira dengan kemenangan ini sambil mampu menampilkan permainan yang menarik.  Gol kedua menjadikan permainan kami lebih rileks dan kami kemudiannya berjaya mengembangkan permainan dengan lebih baik lagi", kata Ferguson.  Sekalipun mengakui Wolves memberikan mereka sedikit masalah di awal babak kedua selepas mereka berjaya merapatkan jurang gol melalui Sebastian Fletcher, Ferguson gembira para pemainnya mampu menguasai permainan terutama menerusi dua pemain sayap mereka.  Menurut Ferguson, Nani dan Valencia berjaya mengembalikan semula rentak serangan United yang memang sudah sinonim melalui gerakan-gerakan dari bahagian sayap, dan berharap barisan pemain-pemainnya kembali menemui rentak permainan sebenar mereka untuk terus memberikan ancaman kepada Manchester City di takhta liga. Glory Glory Manchester United!!!




NANI & ROONEY BERIKAN TIGA MATA BUAT UNITED


Nani dan Wayne Rooney masing-masing menyumbangkan dua gol buat United disebalik kemenangan 4-1 skuad The Red Devils itu ke atas Wolverhampton Wanderers sebentar tadi.  United pantas melupakan kekecewaan mereka di pentas Eropah Khamis lalu apabila merakamkan kemenangan ke-12 mereka dalam liga setakat ini.  Ini juga adalah kali pertama United berjaya menjaringkan lebih dari dua gol sejak kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Chelsea di Old Trafford 18 September lalu.  Wolves yang berjaya memberikan tentangan sengit buat United musim lalu di gelanggang yang sama bagaimanapun terpaksa akur United kali ini lebih unggul. Nani membuka tirai jaringan buat United hasil rembatan dari luar petak penalti diminit ke-17 dan sepuluh minit kemudian, Rooney menggandakan pendahuluan buat United hasil gerakan yang hampir sama.  Biarpun Sebastian Fletcher berjaya merapatkan kedudukan kepada 1-2 hasil tandukan diminit ke-47, Nani terus menjadi ancaman kepada pertahanan lawan apabila dia bijak menyambar hantaran silang Antonio Valencia diminit ke-56 untuk meletakkan United selesa mendahului 3-1 di hadapan.  Diminit ke-66, Wayne Hennessey tewas buat kali keempat selepas Rooney menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini melalui rembatan voli yang menuju terus ke sebelah kanan pintu gol.  Tempo permainan selepas itu sedikit menurun dan biarpun memperolehi beberapa peluang untuk menambah jaringan kedudukan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.  Kemenangan ini menyaksikan United berjaya merapatkan kedudukan mereka dari pendahulu liga ketika ini Manchester City dengan perbezaan hanya dua mata.  Glory Glory Manchester United!!!

10 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn WOLVES


Pertembungan liga hujung minggu ini menjadi pentas terbaik buat Manchester United menebus kehampaan tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu. Barisan Sir Alex Ferguson perlu melupakan segera kekalahan kepada FC Basel hingga menyebabkan mereka terpaksa bersaing di Liga Europa, sebaliknya menggunakan kesempatan untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga ketika ini, Manchester City.  Ini adalah kesempatan terbaik buat The Red Devils yang akan menerima kunjungan Wolverhampton Wanderers untuk memberi tekanan kepada City yang berdepan tugas getir di Stamford Bridge.  Kemenangan United ke atas Wolves tentunya akan menghadirkan tekanan buat City yang perlu berdepan kebangkitan Chelsea di gelanggang lawan.  Ramai pemerhati menganggap United berdepan detik sukar sejak mereka kehilangan khidmat dua perancang utama,  Anderson dan Tom Cleverley akibat kecederaan, hinggakan prestasi hebat  di awal musim sukar untuk mereka kekalkan.  Langkah Ferguson menggunakan Wayne Rooney sebagai pemain tengah nampaknya masih belum membuah hasil dan kecederaan yang dialami Javier Hernandez dan Nemanja Vidic tambah memburukkan lagi keadaan.  Hernandez bakal terlepas aksi selama sebulan manakala Vidic yang diusung keluar di St Jakob Park, Khamis lalu bakal diketepikan hingga akhir musim.  Hernandez dan Vidic menyertai  kembar da Silva, Michael Owen, Dimitar Berbatov, Darren Fletcher, Anderson dan Cleverley dalam senarai pemain di bilik rawatan United, situasi yang tentunya menggembirakan bos Wolves, Mick McCarthy.  Wolves yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Sunderland minggu lalu pastinya mahu mengulangi pencapaian musim lalu ke atas United.  Untuk rekod, Wolves merupakan pasukan pertama yang berjaya menamatkan rentetan rekod tanpa kalah United musim lalu apabila mereka mencatatkan kemenangan 2-1 di Molineux.  Sementara itu, pertahanan United, Rio Ferdinand mahukan rakan-rakan sepasukannya segera melupakan kekalahan di Liga Juara-Juara dengan menjadikan pertemuan ini sebagai medan kebangkitan semula.  Ferdinand memberi amaran Wolves bakal menjadi mangsa pertama kekecewaan pasukannya akibat tersingkir dari saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Patrice Evra, Phil Jones, Michael Carrick, Nani, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck

08 Disember 2011

TERIMA DENGAN HATI TERBUKA


Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara musim ini memang sesuatu yang cukup mengecewakan tambahan pula bila mengingatkan kembali status Manchester United sebagai finalis musim lalu.  Walaupun dibelenggu kekecewaan, Sir Alex Ferguson menganggap keputusan seperti ini adalah salah satu keunikan yang ada pada Liga Juara-Juara.  Kekalahan 1-2 kepada FC Basel awal pagi tadi meletakkan United di tangga ketiga Kumpulan C dan bakal bersaing di kancah Europa League, saingan yang dianggap sebagai kelas dua di peringkat Eropah.  United yang hanya perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke pusingan kalah mati sebaliknya ketinggalan seawal minit ke-9 hasil jaringan Marco Streller.  Biarpun berterusan mengasak untuk mencari gol penyamaan, taktik bertahan yang diamalkan Basel menyukarkan Nani dan Wayne Rooney yang diturunkan sebagai penggempur utama untuk menembusi gawang lawan.  Memburukkan lagi keadaan, kapten pasukan Nemanja Vidic terpaksa diusung keluar padang akibat kecederaan lutut di penghujung babak pertama perlawanan.  Kedudukan United tambah parah di separuh masa kedua selepas tuan rumah menggandakan kedudukan mereka menerusi jaringan Alexander Frei diminit ke-84.  Biarpun Phil Jones berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-89 ianya sudah terlambat buat United untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.  Mengulas keputusan yang dicapai pasukannya pagi tadi, Ferguson jelas kecewa namun mahukan anak-anak buahnya menjadikan kekalahan ini sebagai motivasi.  "Pasukan muda kami tentunya kecewa dengan kekalahan ini, tapi mereka harus bangkit selepas ini.  Keputusan yang kami capai sejak beberapa tahun kebelakangan ini begitu luarbiasa.  Kami kalah di dalam kejohanan terbaik di dunia, ia kejohanan yang cukup luarbiasa.  Saya belum pernah merasai saingan Europa League bersama United dan ia bukanlah pencapaian yang baik.  Ini adalah hadiah buat kami kerana gagal layak ke pusingan seterusnya", kata Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!

07 Disember 2011

PREVIEW: FC BASEL lwn MANCHESTER UTD



Manchester United membawa misi berganda ketika kunjungan mereka ke St Jakob Park dalam kempen Liga Juara-Juara mereka awal pagi nanti.  Bukan saja perlu menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke peringkat 16 pasukan, ketibaan United di Basel juga berbekalkan misi mempertaruhkan imej kelab-kelab England di peringat Eropah.  Hanya Arsenal berjaya mengesahkan tempat lebih awal ke pusingan seterusnya manakala Chelsea terpaksa bergelut hingga ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mengesahkan kemaraan mereka.  Nasib United dan jiran mereka, Manchester City pula bakal ditentukan pada perlawanan terakhir kumpulan masing-masing awal pagi nanti.  Sedar tanggungjawab besar yang dipikul mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris, United perlu mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan menentang FC Basel nanti atau mereka bakal menjadi juara Inggeris pertama yang gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dalam tempoh satu dekad.  Kali terakhir United gagal mara ke peringkat kalah mati dengan status sebagai juara Liga Perdana Inggeris ialah pada musim 1994/95.  Selepas kegagalan itu, mereka muncul sebagai juara di liga domestik sebanyak sembilan kali dan tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Juara liga-liga utama Eropah yang lain sudah pun lolos ke pusingan seterusnya dengan Barcelona mewakili La Liga dan AC Milan pula mengibarkan bendera Serie A.  Keputusan seri akan menempatkan United di tangga kedua Kumpulan C (jika Benfica menang ke atas Otelul Galati) dan mengakibatkan mereka bakal diundi bertemu gergasi Eropah di pusingan kalah mati nanti, namun keputusan itu adalah lebih baik berbanding mereka tersingkir lebih awal.  Untuk itu, Sir Alex Ferguson perlu merangka strategi dengan tepat untuk memerangkap Basel yang berjaya mengikat United 3-3 di Old Trafford dalam pusingan pertama.  Basel juga memiliki skuad yang lebih segar tanpa sebarang penggantungan atau krisis kecederaan pemain manakala United pula kehilangan khidmat Michael Carrick (penggantungan) dan Javier Hernandez (cedera).  Danny Welbeck yang tampil pada perlawanan liga hujung minggu lalu dijangka bakal diletakkan bersama Wayne Rooney sebagai penggempur utama awal pagi nanti. Glory Glory Manchester United!!

Barisan Kemungkinan:  

David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Chris Smalling, Phil Jones, Darren Fletcher, Ashley Young, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck

05 Disember 2011

KOMEN JONES TENTANG GOL PERTAMA KARIERNYA


Gol jaringan Phil Jones di Villa Park kelmarin bukan saja menghadiahkan tiga mata berharga buat United malah jaringan itu juga adalah gol pertama Jones sepanjang kariernya.  "Saya gembira dengan jaringan itu kerana sebelumnya beberapa staf dan rakan-rakan sepasukan sempat bergurau dengan mengatakan bila agaknya saya akan menjaringkan gol", kata Jones.  Menurut Jones, gol sendiri yang dijaringkannya ketika United bertemu Benfica di Liga Juara-Juara Eropah bukanlah sesuatu yang ideal untuk memulakan musim bersama kelab barunya namun kini dia gembira selepas berjaya membantu United meraih tiga mata penuh di Villa Park. Jones yang dibeli dari Blackburn Rovers  mengatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah bermain di mana-mana posisi bersama United dan terbukti ketika menentang Villa, Ferguson meletakkan pemain muda itu di bahagian tengah bersama Michael Carrick. "Saya masih muda dan perkara seperti ini tidak menjadi masalah. Saya melihatnya sebagai satu proses pembelajaran dan saya mahu menikmatinya bersama United". Glory Glory manchester United!!!

DERBY MANCHESTER DI PUSINGAN KETIGA PIALA FA


Undian pusingan ketiga Piala FA bakal menemukan dua pasukan Manchester pada 7 Januari nanti dengan Manchester City bakal menjadi tuan rumah perlawanan tersebut.  Musim lepas, kedua-dua pasukan bertemu di peringkat separuh akhir dan City berjaya menyingkirkan United melalui gol tunggal Yaya Toure.  Mereka akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan selama 33 tahun selepas muncul  juara kejohanan kalah mati tertua di dunia itu apabila menewaskan Stoke City di perlawanan akhir.  Musim ini kedua-dua pasukan berjiran itu sudah dua kali bertemu iaitu di perlawanan merebut Perisai Komuniti (United menang 3-2) dan perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford (City menang 6-1).  Sementara itu, juara Piala FA 2010, Chelsea akan bertemu lawan mereka diperlawanan akhir musim tersebut, Portsmouth manakala satu lagi kelab Liga Perdana, Arsenal akan berdepan lawan yang tidak boleh dipandang mudah, Leeds United.  Berikut adalah undian peringkat ketiga Piala FA 2011/12.

Reading - Stevenage
West Bromwich - Cardiff City
Peterborough - Sunderland
Watford - Bradford
Chelsea - Portsmouth
Gilingham - Stoke City
Liverpool - Southend/Oldham
Sheffield United - Salisbury/Grimsby
Everton - Tamworth
Newcastle - Blackburn
Chelmsford/Macclesfield - Bolton
Barnsley - Swansea
Sindon - Wigan
Fleetwood/Yeovil - Blackpool
Dervy - Crystal Palace
Arsenal - Leeds
Norwich - Burnley
Birmingham - Wolves
Fulham - Charlton
Brighton - Wrexham
Coventry - Southampton
Hull - Ipswich
MK Dons - QPR
Sheffield Wednesday - West Ham
Tottenham - Cheltenham
Bristol Rovers - Aston Villa
Doncaster - Sutton/Notts County
Crawley - Bristol City
Dag & Red - Walsall/Millwall
Manchester City - Manchester United
Nottingham Forest - Liecester
Middlesbrough - Shrewsbury

03 Disember 2011

PREVIEW: ASTON VILLA lwn MANCHESTER UTD



Meskipun prestasi terkini Manchester United agak menggusar penyokong-penyokong mereka, Aston Villa tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan anak-anak buah Sir Alex Ferguson itu.  United yang mencatat keputusan seri 1-1 menentang Newcastle United di gelanggang sendiri hujung minggu lalu menerima tamparan hebat apabila disingkirkan pula Crystal Palace di peringkat suku akhir Piala Carling di Old Trafford.  Villa memang patut memasang angan-angan untuk mengejutkan United awal pagi nanti mengambilkira rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Villa Park pada tiga musim terakhir apabila mereka berjaya mengekang United dari membawa pulang tiga mata penuh.  Tiga pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Villa Park berakhir dengan keputusan seri dan Villa mungkin boleh berharap ketumpulan jentera serangan United sejak akhir-akhir ini bakal dimanfaatkan mereka.  Dalam enam perlawanan terakhir, United hanya menjaringkan nisbah satu jaringan pada setiap perlawanan manakala penjaring terbanyak United, Wayne Rooney pula mengalami kemarau jaringan dalam lapan perlawanan.  Selepas tewas kepada Manchester City, United mencatat empat kemenangan berturut-turut namun rentak kemenangan United tersentak selepas mereka di paksa berkongsi mata dengan Newcastle United di Old Trafford Sabtu lalu.  Empat perlawanan terakhir Villa/United sering menyaksikan tuan rumah unggul mendahului jaringan namun akhirnya terpaksa berkongsi mata hasil jaringan lewat United.  Ramai yang meramalkan mana-mana pasukan yang berjaya menjaringkan gol awal dalam perlwanan ini bakal keluar sebagai pemenang.  Faktor kecergasan mungkin menjadi masalah buat United selepas mereka diheret bermain sehingga masa tambahan dalam kempen Piala Carling pertengahan minggu lalu.  Kehadiran Ashley Young dalam skuad United yang menyarung jersi Villa musim lalu bakal digunakan sepenuhnya oleh Sir Alex Ferguson untuk mencari titik kelemahan  tuan rumah. Apapun, The Red Devils harus segera melupakan kekecewaan mereka dalam dua perlwanan terakhir untuk kembali mencatat kemenangan bagi memberi tekanan kepada pendahulu ketika ini, Manchester City.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Phil Jones, Nani, Darren Fletcher, Michael Carrick, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez

02 Disember 2011

JUAL HIGUAIN...BELI ROONEY


Gonzalo Higuain
Gergasi Sepanyol, Real Madrid diberitakan bakal menawarkan penyerang mereka Gonzalo Higuain kepada Chelsea.  Presiden Real, Florentino Perez dikatakan bersetuju melepaskan Higuain kepada Chelsea dengan nilai 40 juta Pound bagi mengumpul dana membawa Wayne Rooney keluar dari United.  Perez ghairah memburu tandatangan penyerang antarabangsa England itu dan beliau dikatakan akan menawarkan sebanyak 60 juta Pound kepada United bagi merealisasikan hasratnya membawa Rooney ke Bernabeu.

01 Disember 2011

FERGIE MINTA MAAF KEPADA PENYOKONG



Sir Alex Ferguson mengakui dia kehilangan kata-kata selepas menyaksikan pasukannya tersingkir dari saingan separuh akhir Piala Carling kepada Crystal Palace awal pagi tadi.  Sebaik tamat perlawanan, Ferguson pantas memohon maaf kepada penyokong-penyokong United di Old Trafford atas kegagalan anak-anak buahnya mara ke peringkat separuh akhir.  Jaringan Glenn Murray dibabak pertama masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh 90 minit permainan memastikan Palace menempah tempat ke separuh akhir dan bakal berdepan Cardiff City.  Pelawat berjaya mendahului melalui jaringan cantik Darren Ambrose dari jarak jauh diminit ke-66 namun Federico Macheda berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil sepakan penalti.  Glenn Murray muncul wira pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan diminit ke-98 masa tambahan dan biarpun diasak hebat, Palace akhirnya berjaya mempertahankan kedudukan mereka hingga tamat 120 minit permainan.  Ferguson yang menurunkan hampir keseluruhan pemain-pemain mudanya dalam perlawanan itu mengakui begitu kecewa dengan persembahan yang dipamerkan skuadnya. "Secara jujurnya, saya tidak tahu di mana untuk memulakannya.  Saya meminta maaf kepada penyokong kerana ini bukanlah prestasi Manchester United.  Saya sangat kecewa", kata Ferguson.  Disebalik kekecewaan itu, Ferguson tetap merakamkan penghargaan buat Palace dan berharap anak-anak buah Dougie Freedman berjaya mara ke perlawanan akhir.  Glory Glory Manchester United!!!

30 November 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn CRYSTAL PALACE


Seperti biasa, Sir Alex Ferguson kemungkinan besar akan menurunkan skuad keduanya menjelang pertemuan suku akhir Piala Carling menentang Crystal Palace di Old Trafford awal pagi nanti.  Dengan Danny Welbeck dan Michael Owen yang masih belum pulih dari kecederaan kelibat Federico Macheda bersama Mame Biram Diouf bakal menjadi taruhan Ferguson sebagai penggempur dalam perlawanan ini.  Chris Smalling yang diturunkan di penghujung perlawanan ketika pertemuan dengan Newcastle United hujung minggu lalu dijangka mengisi semula tempatnya di benteng United manakala Darron Gibson, Paul Pogba dan Ezekiel Fryers juga bakal memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama.  Ferguson sendiri awal-awal lagi sudah memberi gambaran bahawa ada perubahan menyeluruh terhadap skuad yang akan berhadapan dengan Palace nanti.  "Chris Smalling sudah kembali dalam pasukan dan saya mungkin akan menurunkannya.  Dia masih muda dan akan menjadi sebahagian dari skuad muda yang akan diturunkan menghadapi Palace nanti.  Bahagian yang mendatangkan masalah kepada saya ialah bahagian tengah.  Mungkin saya akan meletakkan Pogba, yang pastinya saya mempunyai cukup pemain untuk dipilih", kata Ferguson.  Sementara itu pengurus Palace, Dougie Freedman menerima berita gembira kembalinya semula Darren Ambrose ke dalam pasukan.  Penyerang pinjaman, Chris Martin juga bakal diturunkan namun Jonathan Williams, Lee Hills dan Alex Marrow bakal diketepikan akibat kecederaan.  Freedman berharap dengan skuad yang ada, Palace akan memperolehi keputusan positif dalam perlawanan ini nanti sambil mengharap kemarau jaringan mereka berakhir di Old Trafford.  Untuk rekod, Palace gagal menjaringkan sebarang gol selama 485 minit dan kepulangan Ambrose yang pernah beraksi untuk Newcastle United diharapkan mampu membawa kesan kepada barisan serangan Palace.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

Ben Amos, Rafael da Silva, Chris Smalling, Ezekiel Fryers, Fabio da Silva, Luis Antonio Valencia, Paul Pogba, Park Ji-Sung, Darren Fletcher, Mame Biram Diouf & Federico Macheda

29 November 2011

BINTANG MUDA ATALANTA TARIK MINAT FERGIE


Manchester United diberitakan sedang bersaing dengan Juventus dan AC Milan  untuk mendapatkan bintang muda Itali berusia 19 tahun, Manolo Gabbiadini.  Gabbiadini yang juga merupakan penyerang kelab Atalanta dikatakan menarik minat Ferguson selepas dia membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan 10 gol dari 13 perlawanan bersama skuad U21 Itali. Nilai Gabbiadini dianggarkan sekitar 9 juta Pound dan Fergie dijangka melepaskan Dimitar Berbatov dan Michael Owen pada musim panas nanti untuk memberi ruang kepada pemain-pemain muda mencipta nama dalam skuadnnya.  Jika Gabbiadiani mengambil keputusan keluar dari Atalanta, United pastinya terpaksa bersaing dengan dua lagi gergasi Itali, Juventus dan AC Milan yang memang telah lama tertarik dengan potensi pemain muda itu.  Biarpun begitu produktif bersama skuad U21 Itali, Gabbiadini agak tumpul dalam liga domestik bersama Atalanta namun Fergie berpendapat gaya permainannya amat sesuai untuk Liga Perdana Inggeris. Glory Glory Manchester United!!!

28 November 2011

ROONEY: CITY TAK TAHU CARA JADI JUARA


Walaupun Manchester United ketinggalan lima mata di belakang pendahulu ketika ini Manchester City, Wayne Rooney tetap optimis peluang United untuk keluar sebagai juara sekaligus mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih besar berbanding jiran mereka itu.  Bagi Rooney, City sebenarnya tidak memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk sesebuah pasukan bergelar juara.  Sambil memberi amaran kepada mereka yang cuba mengenepikan peluang United mempertahankan kejuaraan mereka, Rooney berkata, "Adalah satu kesilapan besar sekiranya anda mengenepikan kami dari calon juara Liga Perdana. Perkara ini sudah berlaku beberapa kali apabila kami membuktikan ramalan mereka sebenarnya salah". Menurut Rooney, United memiliki barisan pemain yang bagus dan jika pasukannya berada di posisi yang baik dalam liga menjelang permulaan tahun baru, beliau yakin United akan melakukan apa yang biasanya mereka lakukan hingga ke akhir musim.  Bagi Rooney, skuad The Red Devils memiliki pengetahuan dan pengalaman yang perlukan untuk memenangi kejuaraan liga, sesuatu yang tidak dimiliki seteru setempat mereka itu.  Sekalipun mengakui City memulakan musim ini dengan cukup baik namun perjalanan liga yang masih panjang membuatkan Rooney tidak begitu khuatir dengan prestasi semasa City. "Sebagai pemain United, kami harus menunjukkan bahawa kami mampu memenangi kejuaraan liga sekali lagi".  Glory Glory Manchester United!!!

27 November 2011

UNITED SEKALI LAGI GAGAL RAIH TIGA MATA


Manchester sekali lagi gagal meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas terikat 1-1 dengan Newcastle United semalam.  Ini adalah keputusan seri kedua buat skuad The Red Devils dalam tempoh seminggu di Old Trafford selepas sebelumnya turut berkongsi mata dengan Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara.  Biarpun menguasai sepenuhnya perlawanan, United akhirnya terpaksa akur sekadar meraih satu mata selepas wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Phil Dowd. United mendahului pelawat diminit ke-50 hasil jaringan Javier Hernandez namun penalti kontroversi yang dihadiahkan Dowd berjaya disempurnakan Demba Ba diminit ke-64 sekaligus memadam kelebihan United.  Sir Alex Ferguson menurunkan Wayne Rooney yang pada mulanya dilaporkan masih mengalami kecederaan dalam kesebelasan utama bersama Hernandez sebagai penggempur.  Tidak mahu skrip sama berulang ketika mereka bertemu Benfica, United memberi tekanan kepada pelawat sejak wisel permulaan ditiupkan namun dua peluang di awal perlawanan gagal disempurnakan Hernandez.  Penjaga gol lawan, Tim Krull nyata individu paling cemerlang apabila dia beberapa kali berjaya menyelamatkan gawang pasukannya dari ditembusi sepanjang babak pertama perlawanan.  Memasuki babak kedua, United terus memberi tekanan kepada pelawat dan hasilnya Hernandez berjaya meletakkan United didepan apabila bola percubaan Rooney yang cuba ditampan Steven Taylor terkena badannya dan gagal diselamatkan Krull.  Kelebihan United cuma bertahan selama 15 minit apabila Dowd kemudiannya menghadiahkan sepakan kontroversi buat pelawat selepas pembantu pengadil  mendapati ada kekasaran yang dilakukan Rio Ferdinand ke atas Hatem Ben Arfa di dalam kotak penalti.  Keputusan itu bagaimanapun dibantah keras pemain-pemain United namun Ba mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk kembali mengikat kedudukan. United yang cuba memburu gol kedua selepas itu mendapati tugas mereka tampak mudah apabila Jonas Gutierrez diperintah keluar padang selepas mengutip dua kad kuning diminit ke-79.  Bagaimanapun serangan bertali arus yang dilancarkan gagal menembusi gawang pelawat selepas Krull bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya United dan kedudukan kekal 1-1 hingga wisel penamat ditiup. Glory Glory Manchester United!!!

26 November 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn NEWCASTLE UTD



Selepas mengalami kekalahan pertama mereka musim ini kepada Manchester City, Newcastle United kembali semula ke kota Manchester untuk berdepan pula dengan Manchester United.  Tewas 1-3 minggu lalu, anak-anak buah Alan Pardew pastinya tidak mahu skrip sama berulang semula malah bos The Magpies itu mengakui beliau telah menganalisis aksi United dalam dua perlawanan terakhir mereka.  Bagaimanapun Pardew bimbang keputusan seri yang dicatatkan United dalam kempen Eropah mereka bertemu Benfica pada aksi pertengahan minggu bakal menjadikan skuad The Red Devils tampil lebih garang dalam perlawanan ini.  Berita baik tentang kemungkinan besar Wayne Rooney boleh diturunkan dalam perlawanan ini pastinya menyuntik motivasi tambahan buat United selepas menyaksikan penyerang England itu tidak beraksi ketika United bertemu Swansea City dan Benfica.  Biarpun tanpa kelibat Tom Cleverley dan Anderson di bahagian tengah akibat kecederaan, Ferguson tidak terlalu bimbang memandangkan beliau mempunyai limpahan pemain untuk menjana bahagian itu.  Darren Fletcher dan Michael Carrick yang diturunkan ketika pertemuan dengan Benfica dijangka terus menjadi sandaran Ferguson untuk mengisi ruang yang ditinggalkan Cleverley dan Anderson.  Bagi Newcastle pula, Pardew dijangka mampu menurunkan skuad terkuatnya malam ini dengan kembalinya Gabriel Obertan, Leon Best dan Cheik Tiote ke dalam pasukan.  Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam enam pertemuan terakhir di Old Trafford ternyata memihak kepada United.  United menang lima daripadanya dan terpaksa berkongsi mata selepas diikat Magpies 1-1 pada musim 2008-09.  Kali terakhir Newcastle United mencatat kemenangan ke atas United ialah pada September 2001. Selain itu, lawan juga mempunyai rekod buruk setiap kali bertandang ke Theatre of Dream yang menyaksikan mereka tidak pernah menang di gelanggang keramat United itu hampir 40 tahun.  Kemenangan terakhir yang dicatatkan Newcastle di Old Trafford ialah pada Februari 1972 manakala Pardew sendiri mempunyai rekod buruk setiap kali berdepan United dimana kelab-kelab yang dipimpinnya sebelum ini tewas kepada United.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Phil Jones, Nani, Darren Fletcher, Michael Carrick, Park Ji-Sung, Javier Hernandez & Wayne Rooney

24 November 2011

FERGIE TAK RISAU BAKAL BERDEPAN KELAB BESAR


Walaupun menyedari pasukannya bakal berdepan gergasi Eropah di pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah nanti, Sir Alex Ferguson menegaskan perkara itu bukanlah sesuatu yang terlalu serius untuk difikirkannya.  United yang menduduki tangga kedua kumpulan C selepas terikat 2-2 dengan Benfica di Old Trafford kelmarin perlu membuat perhitungan dengan FC Basel pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk merebut satu slot ke pusingan kedua.  Benfica yang bakal berdepan kelab tangga tercorot, Otelul Galati di gelanggang sendiri dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mengutip tiga mata penuh dan keluar sebagai juara kumpulan.  Biarpun berkongsi sembilan mata, United terpaksa melepaskan status pendahulu kumpulan C kepada Benfica atas perbezaan jaringan gol. Meskipun sedar kunjungan United ke St Jakob Park, Basel pada 8 Disember nanti bakal menentukan hidup mati perjuangan pasukannya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, Ferguson tetap tenang dan yakin anak-anak buahnya akan layak ke pusingan seterusnya.  "Tentu saja kedudukan di tangga kedua akan membuatkan situasi agak sukar.  Tapi jika anda mengambil kira dari sudut lain, berdepan berlawanan besar sebenarnya akan memudahkan lagi langkah kami.  Ada kemungkinan jika kami layak, kami akan berdepan Barcelona, Real Madrid atau Bayern Munich", kata Ferguson sejurus tamat perlawanan United/Benfica kelmarin.  Biarpun pada mulanya mensasarkan tiga mata penuh untuk memastikan pasukannya menempah tiket ke pusingan kedua, Ferguson tidak kecewa dengan keputusan seri yang diraih pasukannya dalam perlawanan ini. Ferguson yang kehilangan sebahagian besar pemain utama akibat masalah kecederaan memuji kesungguhan yang ditunjukkan pemain-pemainnya dalam perlawanan ini sambil berjanji yang skuadnya akan bermain habis-habisan pada perlawanan terakhir di Basel nanti.  Glory Glory Manchester United!!!

17 November 2011

UNITED RISIK TRIO BELANDA


Gregory van der Weil
Perlawanan persahabatan antara Jerman dan Belanda semalam memang sudah diketahui keputusannya namun ada sesuatu yang menarik di sebalik perlawanan antara dua negara tersebut.  Perlawanan yang diadakan di Imtech Arena, Hamburg itu rupa-rupanya turut ditonton oleh pemerhati dari Manchester United.  Sir Alex Ferguson diberitakan menghantar wakil untuk memantau prestasi trio Belanda yang terdiri dari Klaas Jan Huntelaar, Wesley Sneijder dan Gregory van der Weil dalam perlawanan tersebut.  Wesley Sneijder memang sudah lama dikaitkan akan berhijrah ke Old Trafford namun tuntutan gaji yang tinggi membuatkan proses perpindahannya tergendala.  Impian United untuk mendapatkan Huntelaar yang telahpun menjaringkan sepuluh gol dari sebelas perlawanan di Bundesliga pastinya berdepan laluan sukar.  Schalke awal-awal lagi telah menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali melepaskan penggempur mereka itu setidak-tidaknya sehingga musim panas nanti.  Bagi Gregory van der Weil pula, United dikatakan akan berhadapan dengan saingan musuh domestik mereka iaitu Chelsea  untuk mendapatkan tandatangan bek kanan Ajax Amsterdam itu.  Sementara itu situasi tidak menentu tentang kontrak penyerang Arsenal, Robin van Persie ternyata menarik minat United dan Chelsea.  Van Persie yang masih mempunyai baki kontrak selama 18 bulan bersama Arsenal  belum memutuskan sama ada mahu terus kekal di Emirates Stadium ataupun tidak.  Kem United dan Chelsea diberitakan menunggu dengan penuh minat tentang perkembangan kontrak penyerang antarabangsa Belanda itu bersama Arsenal. Glory Glory Manchester United!!!

15 November 2011

NANI BUKAN UNTUK DIJUAL


Menyedari minat yang begitu mendalam ditunjukkan oleh kelab-kelab dari Serie A terhadap bintang sayapnya, Sir Alex Ferguson akhirnya melaungkan amaran bahawa Nani tidak akan dijual kepada mana-mana pasukan pada sebarang harga.  Pemain antarabangsa Portugal itu  diberitakan cukup diminati gergasi-gergasi Serie A seperti Inter Milan, AC Milan dan Juventus, juga tidak terkecuali Real Madrid di Sepanyol.  Ferguson secara lantang menegaskan bahawa United akan menggunakan segala usaha untuk mengekalkan Nani di Old Trafford dan meminta agar kelab-kelab terbabit melupakan hasrat mereka untuk memancing bintang sayapnya itu.  Kontrak Nani bersama United yang akan berakhir pada 2014 nyata menarik minat kelab-kelab besar di Itali dan media negara tersebut begitu yakin Inter Milan bakal membawa Nani ke Guiseppe Meazza dengan tawaran sebanyak 30 juta Euro.  Menyedari hakikat bahawa bintang mereka sedang diintai kelab-kelab besar, pihak pengurusan United dikatakan bakal menawarkan kontrak baru buat Nani dengan tawaran gaji yang lebih lumayan.  Kenaikan gaji yang ditawarkan kepada Nani nanti bakal menyaksikan dia menerima imbuhan yang sama seperti apa yang diterima oleh Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic.  Nani yang kontraknya bersama United cuma berbaki 18 bulan saja lagi diberitakan akan ditawarkan lanjutan kontrak selama 4 tahun lagi.  Pemain sayap antarabangsa Portugal itu menyertai United sejak tahun 2007 dari Sporting Lisbon dan muncul antara tonggak utama United terutamanya di bahagian sayap sejak penghijrahan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid.  Musim ini Nani sudah bermain sebanyak 16 perlawanan untuk United dalam pelbagai kejohanan dan menjaringkan 5 gol.  Glory Glory Manchester United!!!

12 November 2011

TRIBUTE 25 TAHUN FERGUSON


Baik kawan mahupun lawan, semuanya pasti mengakui individu bernama Sir Alex Ferguson sudahpun mencatatkan namanya dalam tinta emas sebagai pengurus paling berjaya Manchester United dan mungkin juga di dunia.  Karier Ferguson sebagai pengurus United genap 25 tahun, 6 November lalu namun kejayaan yang dikecapinya sekarang bukanlah melalui jalan yang mudah. Ferguson sudahpun menghadiahkan 37 trofi untuk United sepanjang kariernya 25 tahunnya di Old Trafford namun kejayaan itu memerlukan usaha keras dan juga kesabaran untuk muncul pengurus terbaik sepanjang zaman. Ferguson tiba di Old Trafford 25 tahun lalu dengan reputasi sebagai antara jurulatih terbaik di Scotland pada ketika itu namun itu semuanya tidak menjanjikan laluan mudah dimusim pertamanya bersama United.  United hampir saja tersingkir ke divisyen 2 musim 1989-90 namun jaringan kemenangan Mark Robins membantu United meraih kejuaraan Piala FA sekaligus menyelamatkan Ferguson dari dipecat. 

Kejayaan United meraih kejuaraan Piala FA pada tahun 1990 juga menjadi titiktolak kebangkitan Ferguson bersama United untuk meraih lebih banyak trofi selepas itu.  Musim 1991-92, Ferguson hampir-hampir menamatkan kemarau 25 tahun United memenangi kejuaraan liga namun mereka akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Leeds United yang pada ketika itu dikemudi Eric Cantona untuk sekadar berpuashati di tangga kedua.  Kemarau kejuaraan liga United berakhir musim berikutnya apabila Ferguson berjaya memimpin The Red Devils muncul juara Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Ironinya, kejayaan United ini dibantu oleh kecemerlangan si genius dari Perancis, Eric Cantona yang pada musim sebelumnya memimpin Leeds United memenangi kejuaraan liga.  Selepas kejayaan musim 1992-93, Ferguson kemudiannya menghadiahkan 11 lagi kejuaraan liga buat United dan keseluruhan 19 kejuaraan dalam sejarah kelab sekaligus mengenepikan Liverpool sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga di England.

Walaupun berjaya mengemudi United sebagai kuasa besar di England, Ferguson hanya berjaya menghadiahkan dua trofi Liga Juara-Juara buat United sepanjang kerjaya 25 tahunnya.  Paling membanggakan adalah kejayaan treble 1999 di mana United memenangi tiga kejuaraan besar (Piala FA, Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah).  Trofi Liga Juara-Juara yang juga merupakan saingan tertinggi kelab-kelab Eropah ini  adalah merupakan yang pertama buat Ferguson sejak bersama United biarpun sebelumnya sudah memenangi trofi Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) dan Piala Super UEFA pada tahun 1991.  Ferguson berjaya membantu United menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua pada tahun 2008 selepas mereka  menewaskan musuh domestik, Chelsea dalam penentuan sepakan penalti di Moscow.  Ferguson membawa United layak keperlawanan akhir Liga Juara-Juara tahun 2009 dan 2011 namun terpaksa akur dengan kehebatan Barcelona. Kejayaan menghadiahkan dua trofi Liga Juara-Juara dan layak dua kali keperlawanan akhir bukanlah sesuatu yang buruk, tambahan pula kali terakhir United muncul juara Piala Eropah ialah pada tahun 1968 iaitu semasa era Busby Babes.

Bagi meneruskan kegemilangan United, Ferguson adalah seorang pengurus yang gemar melakukan `regenerasi' dalam skuadnya.  Pemain bertaraf bintang sekalipun tidak akan terselamat jika dimata Ferguson beliau menganggap mereka sudah tidak lagi produktif untuk pasukan.  Paul Ince, Andre Kanchelskis, Karel Poborsky, Mark Hughes, Andy Cole dan Dwight Yorke adalah antara nama-nama besar yang pernah ditunjukkan jalan keluar oleh Ferguson akibat prestasi yang semakin menurun.  Ferguson kemudiannya membawa masuk nama-nama baru secara berperingkat seperti David Beckham, Gary Neville, Ryan Giggs, Paul Scholes, Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo.  Proses itu tidak terhenti malah Ferguson terus bernafsu melakukan perubahan dalam skuadnya apabila membawa masuk barisan pemain muda yang baru seperti Chris Smalling, Phil Jones dan Javier Hernandez dalam tempoh dua tahun terakhir selain memiliki bakat muda-muda dari akademi seperti Danny Welbeck dan Tom Cleverley.  Di sebalik kejayaan Ferguson menghadiahkan trofi demi trofi dalam almari kelab, Ferguson juga tidak sunyi dari konfrantasi dengan barisan pemain bintangnya.  Sebagaimana deretan pemain baru yang dibawa masuk, begitulah juga dengan deretan pemain yang terpaksa  melangkah keluar akibat konfrantasi mereka dengan sang pengurus.  Nama-nama besar seperti Jaap Stam, David Beckham, Ruud van Nistelrooy, Diego Forlan dan Roy Keane terpaksa `dikorbankan' Ferguson dari skuad.  Keputusan menyingkirkan pemain-pemain tersebut pada mulanya memang menimbulkan tandatanya dan kontroversi namun kejayaan Ferguson yang terus berjaya mengemudi United meraih kejuaraan demi kejuaraan akhirnya berjaya menutup mulut para pengkritiknya. Para pencabarnya datang dan pergi, daripada Howard Wilkinson, Kenny Dalglish, Kevin Keegan, Arsene Wenger, Jose Mourinho hinggalah Roberto Mancini, begitu juga generasi pemain yang ada di bawah bimbingannya, namun Ferguson terus sukses memimpin Manchester United meraih trofi demi trofi sepanjang kerjaya panjang 25 tahunnya di Old Trafford.  Glory Glory Manchester United!!!

10 November 2011

FERGIE TIMBANG KEMUNGKINAN JUAL VIDIC?


Berita menggemparkan Nemanja Vidic akan berhijrah dari Old Trafford kembali bertiup kencang selepas The Daily Mail melaporkan bahawa Sir Alex Ferguson sedang menimbang kemungkinan menjual kapten United itu kepada Real Madrid.  Jose Mourinho  terus-terusan menggoda Ferguson dengan tawaran lumayan bagi mendapatkan Vidic demi meruntuhkan penguasaan Barcelona di La Liga dan juga Eropah.  Bagaimanapun Ferguson diberitakan enggan melepaskan Vidic semasa musim perpindahan dibuka Januari ini tetapi sebaliknya si kapten bakal dijual pada musim panas nanti.  Khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa Ferguson sudah mula meragui komitmen Vidic bersama United dan menganggap pertahanan Serbia itu tidak menunjukkan kesungguhan 100% setiap kali diturunkan.  Kemungkinan khabar angin ini ada benarnya jika mengambilkira prestasi yang dipamerkan Vidic setakat ini tambahan pula dengan reputasi Ferguson sebelum ini yang tidak ragu-ragu melepaskan pemain bintangnya jika beliau mendapati mereka gagal memberikan komitmen secara total kepada pasukan.  Vidic pernah dikaitkan akan berhijrah ke Sepanyol musim panas lalu atas desakan isterinya namun menafikan khabar angin tersebut dan berjanji dia akan terus komited bersama United.  Setakat ini Vidic hanya membuat tiga penampilan bersama United selepas direhatkan sejak 16 Ogos lalu kerana masalah kecederaan awal musim.  Selepas pulih Vidic tampil membantu Serbia dalam kempen Euro 2012 sebelum kembali semula ke Old Trafford dan disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika United menentang Otelul Galati dalam kempen Eropah mereka di Bucharest 19 Oktober lalu.  Kontrak Vidic yang hanya berbaki dua tahun lagi bakal menjadi pertimbangan utama Ferguson disamping munculnya pertahanan muda dalam skuad seperti Chris Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans menambahkan lagi kemungkinan Vidic akan melangkah keluar.  Glory Glory Manchester United!!!

02 November 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn OTELUL GALATI


Rio Ferdinand akan kembali semula dalam kesebelasan utama Manchester United bagi menghadapi kunjungan Otelul Galati dalam perlawanan keempat Kumpulan C, Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok.  Sir Alex Ferguson mengesahkan Ferdinand akan memperkuatkan benteng United selepas mereka kehilangan khidmat Nemanja Vidic yang digantung kerana layangan kad merah.  Ferdinand tidak diturunkan ketika United menang ke atas Everton di Goodison Park hujung minggu lalu.  Ramai beranggapan keputusan meletakkan Ferdinand di bangku simpanan semasa aksi liga minggu lalu sebagai hukuman di atas kekalahan besar United kepada seteru setempat mereka, Manchester City.  Bagaimanapun keputusan Ferguson menurunkan kembali Ferdinand dalam kesebelasan utamanya   memberi gambaran bahawa khidmat tonggak pertahanan berpengalaman itu tetap ditagih dalam usaha memburu kemenangan di gelanggang sendiri.  

United ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan C, dengan lima mata ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Benfica.  United meraih kemenangan penting di Bucharest, 19 Oktober lalu hasil dua penalti Wayne Rooney sekaligus memintas kedudukan FC Basel di tangga kedua namun perlu berhati-hati dengan kebangkitan Galati dalam tiga perlawanan terakhir mereka.  Galati bangkit mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan domestik mereka selepas tewas 0-2 kepada United.  United pastinya tidak mahu mengulangi memori berkongsi mata dengan FC Basel di Old Trafford biarpun pada satu ketika mendahului lawan dengan kelebihan dua gol.  Selain Vidic, United akan kehilangan khidmat Chris Smalling, Ashley Young dan Tom Cleverley dalam perlawanan ini kerana kecederaan namun Rafael da Silva disahkan cergas untuk diletakkan dalam senarai pemain.  Sementara itu, jurulatih Galati, Dorinel Munteanu tetap beranggapan, United adalah pasukan pilihan dalam perlawanan ini biarpun agak bergelut ketika pertemuan pertama di Bucharest.  Bekas pemain antarabangsa Romania itu berjanji barisannya akan bermain tanpa rasa takut biarpun menyedari Old Trafford bakal dibanjiri puluhan ribu penyokong United. Glory Glory Manchester United!

Barisan kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Phil Jones, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Anderson, Nani, Wayne Rooney & Javier Hernandez

30 Oktober 2011

UNITED KETEPI IGAUAN BURUK


Gol tunggal Javier Hernandez mengembalikan semula Manchester United ke landasan kemenangan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton di Goodison Park semalam.  Sir Alex Ferguson menurunkan Wayne Rooney dan Hernandez sebagai penggempur namun sekali lagi melakukan formasi pelik apabila beliau meletakkan Danny Welbeck di bahagian sayap.  United jelas menguasai babak awal perlawanan sambil memaksa benteng tuan rumah yang diketuai ketua pasukan, Phil Jagielka bekerja keras mematahkan serangan pelawat.  Kebuntuan jaringan gol akhirnya terlerai apabila Hernandez memanfaatkan umpanan silang Patrice Evra diminit ke-19 untuk menewaskan Tim Howard di gawang.  Tuan rumah cuba bangkit selepas itu untuk mencari gol penyamaan dan hampir menyamakan kedudukan melalui tendangan bebas Leighton Baines diminit ke-40, namun palang gol menjadi penghalang dan kedudukan kekal 1-0 hingga babak pertama perlawanan berakhir.  

Di babak kedua, kem United tersentak apabila Tom Cleverley yang baru kembali merasai aksi saingan liga selepas diketepikan sejak 10 September lalu terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring dan digantikan dengan Nani.  Diminit ke-62, United hampir menggandakan jaringan namun percubaan Danny Welbeck yang menerima hantaran Hernandez berjaya diselamatkan Howard.  Tidak lama selepas itu, Ferguson membawa keluar Hernandez dan memasukkan Dimitar Berbatov yang yang diturunkan ketika United menang ke atas Aldershot dalam saingan Piala Liga sebagai penggempur bersama Rooney.  Tuan rumah mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan melalui Seamus Coleman, Louis Saha dan Jack Rodwell namun benteng United yang diketuai Nemanja Vidic cekal bertahan hingga babak terakhir perlawanan.  Ferguson yang turut menyaksikan perlawanan Everton dan Chelsea dalam saingan Piala Liga sudah menjangkakan dari awal pasukannya akan menempuh kesukaran di gelanggang lawan.  "Ini bukanlah perlawanan yang mudah.  Saya menyaksikan perlawanan mereka kelmarin dan mereka beraksi sebagai satu pasukan dan memberi tekanan kepada kami sepanjang perlawanan", kata Ferguson.  Sementara itu, David Moyes mengatakan keputusannya menurunkan skuad terkuat ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala Liga sedikit menjejaskan kekuatan pasukannya dalam perlawanan ini.  Everton kehilangan khidmat Royston Drenthe yang menerima kad merah disamping kehilangan sentuhan Phil Neville dan Tim Cahill yang mengalami kecederaan.  Kemenangan ini juga mengekalkan United di tangga kedua liga dengan 23 mata, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Manchester City.  Glory Glory Manchester United!!!

29 Oktober 2011

PREVIEW: EVERTON lwn MANCHESTER UTD



Manchester United bertandang ke Goodison Park berbekalkan misi bangkit dari igauan buruk tewas 1-6 kepada Manchester City, Ahad lalu.  Bintang tengah United, Park Ji-Sung bingkas mempertahankan kredebiliti rakan-raka sepasukannya biarpun terpaksa menelan hakikat itu adalah kekalahan terburuk United di gelanggang sendiri sejak 1926.  Berbekalkan keyakinan United mampu bangkit dari kekalahan itu, Ji-Sung yakin rakan-rakan sepasukannya akan menampilkan karekter sebenar mereka dalam perlawanan ini nanti.  Skuad bimbingan Sir Alex Ferguson perlu membuktikan bahawa mereka sudah melupakan kekecewaan itu dengan menampilkan aksi terbaik mereka, namun beraksi di Goodison Park bukanlah satu tugas yang mudah.  Buktinya musim lepas United selesa mendahului tuan rumah 3-1, namun The Toffees bangkit menyamakan kedudukan hasil gol lewat Tim Cahill dan Mikel Arteta.  Tumpuan utama Sir Alex Ferguson dalam perlawanan ini ialah bagaimana dia mahu membina semula semangat para pemainnya bangkit dari kekalahan memalukan itu.  Apa yang melegakan Ferguson ialah melihat kembalinya kapten pasukan, Nemanja Vidic yang beraksi selama 90 minit mengetuai barisan United mengenepikan cabaran Aldershot Town dalam saingan Piala Liga Rabu lalu.  Selain itu, Ferguson juga sudah boleh menagih kembali khidmat Tom Cleverley di barisan tengah selepas kehilangan khidmat bintang muda itu sejak 10 September lalu kerana kecederaan.  Cleverley diturunkan di EBB Stadium Rabu lalu dan Ferguson jelas berpuashati dengan prestasi yang dipamerkannya biarpun dia hanya bermain selama 60 minit.  Selain gusar dengan mentaliti pemainnya, Ferguson juga harus berwaspada dengan  ancaman sebenar di atas padang yang bakal dijelmakan bekas pemain United sendiri seperti Louis  Saha, Phil Neville dan Tim Howard.  Saha sudah menemui semula sentuhan jaringannya apabila menyumbang dua gol dalam dua perlawanan terakhir mereka.  Neville jika diturunkan David Moyes, pasti akan berhabisan mengekang asakan penggempur United selain Howard yang  biasanya akan mempamerkan aksi terbaiknya setiap kali berdepan United.  Rekod sepuluh  pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2007 memihak United apabila merakamkan 6 kemenangan, 3 kali seri  dan kalah sekali.  Glory Glory Manchester United!!! 

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Chris Smalling, Phil Jones, Park Ji-Sung, Tom Cleverley, Michael Carrick, Nani, Wayne Rooney & Javier Hernandez

26 Oktober 2011

PIALA LIGA: UNITED MARA KE SUKU AKHIR


Manchester United bangkit dari kekalahan kepada Manchester City dalam saingan liga untuk menempah tempat kepusingan suku akhir Piala Liga (Carling Cup) selepas berjaya menundukkan kelab yang beraksi di Liga 2, Aldershot Town sebentar tadi.  Ferguson tidak menurunkan walau seorang pemain pun dari skuad yang tewas kepada City, Ahad lalu di EBB Stadium sebaliknya memilih barisan keduanya pada perlawanan ini.  Ben Amos dipilih mengisi posisi David de Gea, manakala Nemanja Vidic, Fabio da Silva, Phil Jones dan Ezekiel Fryers mengisi posisi di benteng pertahanan.  Park Ji-Sung, Tom Cleverley, Antonio Valencia dan Mame Biram Diouf di bahagian tengah manakala Michael Owen dan Dimitar Berbatov sebagai penggempur.  Meskipun sekadar menurunkan skuad kedua, United mendominasi perlawanan di hadapan kira-kira 7 ribu penyokong tuan rumah dan berjaya mendahului melalui jaringan Berbatov diminit ke-15.  Michael Owen menggandakan jaringan buat United diminit ke-41 dan Antonio Valencia menutup sisa-sisa peluang tuan rumah menerusi gol ketiga diminit ke-48.  Selepas unggul dengan tiga gol di hadapan, Ferguson membuat tiga pertukaran di separuh masa kedua apabila mengeluarkan Fryers, Cleverley dan Diouf dan memberi kesempatan buat Paul Pogba, Michael Keane dan Ravel Morrison merasai aksi perlawanan.  Perlawanan ini juga menyaksikan kemunculan semula Tom Cleverley dalam kesebelasan permulaan United selepas diketepikan sejak 10 September kerana kecederaan.  Glory Glory Manchester United!!!

25 Oktober 2011

PREVIEW PIALA LIGA: ALDERSHOT lwn MAN UTD


Recreation Ground
Selepas diaibkan Manchester City 1-6 di gelanggang sendiri, Ahad lalu, skuad kendalian Sir Alex Ferguson akan bertandang ke Recreation Ground dengan misi mengubati kekecewaan tersebut.  United akan berdepan Aldershot Town, kelab dari Liga Kejuaraan 2 di gelanggang lawan dalam perlawanan pusingan ke-4 Piala Liga (Carling Cup) awal pagi nanti.  Tiada rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan pernah dicatatkan sebelum ini dan meskipun lawan sekadar menduduki tangga ke-15 liga divisyen 4, United pastinya sedar mereka tidak boleh memandang ringan cabaran lawan.  Dalam saingan kalah mati seperti ini, kejutan kerap dilakukan oleh kelab-kelab kerdil ke atas pasukan elit, tambahan pula mereka bakal beraksi di hadapan kira-kira 7 ribu penyokong sendiri.  Kelab yang dibimbing bekas  penyerang Wimbledon, Dean Holdsworth itu pastinya mahu menambah luka United manakala Sir Alex Ferguson pula akan menjadikan perlawanan ini sebagai motivasi untuk pemain-pemainnya bangkit dari kekalahan ngeri Ahad lalu.  Rekod Aldershot dalam lima perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri sedikit membimbangkan penyokong-penyokong mereka.  Mereka tewas tiga dari lima perlawanan di gelanggang sendiri, menang sekali ke atas Rochdale dan mencatat keputusan seri dengan AFC Wimbledon.  Tuan rumah akan bergantung sepenuhnya kepada ketajaman penyerang mereka Michael Rankine dan Danny Hylton untuk memburu gol.  Di pihak United pula, Ferguson akan merehatkan David de Gea dan menggunakan Anders Lindegaard di gawang sambil mengharapkan pengalaman Nemanja Vidic memimpin pemain-pemain muda dibenteng pertahanan.  Fabio da Silva, Phil Jones dan Ezekiel Fryers dijangka akan merasai aksi bersama Vidic di benteng pertahanan manakala Paul Pogba, Park Ji-Sung, Antonio Valencia dan Michael Carrick bakal menjana jentera tengah United.  Penyerang veteran, Michael Owen yang sudah mengumpul dua gol dalam kejohanan ini akan digandingkan bersama Dimitar Berbatov sebagai penggempur utama.  Glory Glory Manchester United!!!

24 Oktober 2011

MALAM JAHANAM DI OLD TRAFFORD


Apa sebenarnya yang telah berlaku ke atas skuad Red Devils malam tadi sehingga begitu mudah dijinakkan Manchester City di gelanggang keramat mereka sendiri, Old Trafford.  Sir Alex Ferguson mengakui, dia begitu kecewa dengan keputusan di akhir perlawanan yang menyaksikan United tunduk 1-6 kepada jiran mereka itu, rekod terburuk United di Theatre of Dream ketika menentang City sejak 1926.  United ketinggalan di babak pertama hasil jaringan Mario Balotelli dan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jonny Evans dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mark Clattenburg.  Balotelli menggandakan jaringan buat City diminit ke-60 dan sembilan minit kemudian giliran Sergio Aguero pula meletakkan City selesa mendahului dengan tiga gol.  

Walaupun Darren Fletcher berjaya merapatkan kedudukan diminit ke-81, Edin Dzeko merakamkan hatrik untuk melengkapkan malam derita buat skuad kendalian Sir Alex Ferguson itu.  "Ini adalah hari terburuk buat kami bahkan ketika saya masih bermain, saya tidak pernah mengalami kekalahan 1-6", kata Ferguson.  Menurut Ferguson, layangan kad merah yang diterima Evans menjadi detik penentu kejatuhan mereka dalam perlawanan itu.  Meskipun kekurangan seorang pemain, Ferguson berpendapat pasukannya harus bermain secara terbuka bagi mencari gol penyamaan sambil bergantung kepada pengalaman Rio Ferdinand dan Patrice Evra di benteng dalam menyerap asakan lawan.  "Ketika kami kekurangan seorang pemain, kami masih terus menyerang dan bermain secara terbuka.  Ini sebenarnya sungguh gila dan bolasepak sememangnya gila".  Kekalahan ini juga menyaksikan rekod kemenangan 19 perlawanan berturut-turut United di Old Trafford berakhir.  United kini ketinggalan lima mata di belakang City namun bernasib baik tidak dipintas Chelsea yang berada di tangga ketiga.  Skuad kendalian Andre Villas-Boas itu tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers dalam satu lagi perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!