30 September 2012

FERGUSON KECAM BENTENG PERTAHANAN UNITED


Sir Alex Ferguson mengecam prestasi barisan pertahanannya selepas kekalahan 2-3 United kepada Tottenham Hotspurs di Old Trafford tengah malam tadi. Benteng United bolos sejak awal permainan lagi menerusi jaringan Jan Vertonghen diminit ke-2. Prestasi babak pertama United pantas mengundang kemarahan Ferguson terutama barisan pertahanannya yang dilihat tidak mempunyai jawapan dalam mengekang kepantasan Gareth Bale. "Kami tidak bermain dengan baik di babak pertama. Penampilan kami cukup buruk di awal permainan dan dihukum dengan gol pantas lawan. Selepas itu lawan menjaringkan gol di babak kedua hasil bola muntah. Pertahanan kami sangat buruk", kata Ferguson. Satu-satunya faktor yang mengurangkan sedikit amarah Ferguson ialah persembahan baik anak-anak buahnya di babak kedua. Meskipun ketinggalan 0-2, United bangkit di babak kedua untuk menekan lawan dan memerlukan hanya enam minit sebaik babak kedua bersambung untuk merapatkan kedudukan hasil jaringan Nani. Bagaimanapun kealpaan benteng pertahanan terus menjadi igauan apabila dua minit selepas itu Clint Dempsey menghukum kesilapan Anders Lindegaard yang gagal menangkap kemas percubaan Gareth Bale untuk meletakkan pelawat mendahului 3-1. United menguasai sepenuhnya babak kedua namun gagal mencari gol penyamaan selepas Shinji Kagawa menjaringkan gol kedua United diminit ke-54. "Di babak kedua persembahan kami cukup fantastik. Kami seharusnya meraih sesuatu dari perlawanan ini, tetapi kami kurang bernasib baik", kata Ferguson lagi. Glory Glory Manchester United!!!

REVIEW: SPURS AKHIRI MIMPI BURUK DI OLD TRAFFORD


Lima gol menghiasi pertembungan Manchester United dan Tottenham Hotspurs di Old Trafford tengah malam tadi. Kemenangan 3-2 skuad bimbingan Andre Villas-Boas itu ke atas United di Theatre of Dreams mengakhiri pencapaian buruk Spurs di Old Trafford sejak hampir 23 tahun. Ketika perlawanan baru berlangsung dua minit, Spurs unggul di depan hasil jaringan Jan Vertonghen  melalui gerakan Gareth Bale. Kepantasan Bale sekali lagi menjadi igauan kepada benteng pertahanan United apabila pemain Wales itu berhasil menembusi gawang Anders Lindegaard diminit ke-32 untuk meletakkan Spurs selesa mendahului dengan dua gol. Spurs menguasai permainan di babak pertama dan berjaya mempertahankan kelebihan dua gol milik mereka hingga tamat separuh masa pertama. Babak kedua berlangsung lebih menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan United memerlukan hanya enam minit (minit ke-51) sebaik babak kedua bersambung untuk merapatkan kedudukan menerusi jaringan Nani. Kegembiraan United tidak bertahan lama apabila seminit selepas itu Spurs kembali melebarkan kedudukan menerusi Clint Dempsey. Bekas pemain Fulham itu memanfaatkan bola muntah hasil percubaan Bale untuk meletakkan Spurs mendahului 3-1. Permainan bertambah menarik apabila dua minit selepas itu giliran Shinji Kagawa pula merapatkan kedudukan buat United yang memanfaatkan gerakan dari Robin Van Persie. Selepas gol itu, United meneruskan tekanan ke atas benteng pelawat untuk mencari gol penyamaan namun tendangan percuma Rooney diminit ke-61sekadar singgah di tiang gol. Percubaan-demi percubaan United untuk mencari gol penyamaan berakhir dengan kebuntuan dan The Red Devils akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka kepada Spurs di Old Trafford sejak 1989. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan:

Penguasaan Permainan: 62% - 38%
Sepakan Sudut: 9 - 5
Percubaan Tepat: 8 - 3
Percubaan Tersasar: 6 - 2
Kekasaran: 7 - 6
Offside: 2 - 2
Kad Kuning: 0 - 0
Kad Merah: 0 - 0
Gol: 2 - 3

29 September 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn TOTTENHAM


Selepas mencatat kemenangan pada dua perlawanan terakhir, Andre Villas-Boas memikul tugas berat meneruskan rentak kemenangan Tottenham Hotspurs dalam saingan liga apabila bakal berdepan Manchester United di Old Trafford tengah malam ini. Bukan hanya setakat lima kemenangan berturut-turut The Red Devils dalam semua kejohanan, tetapi bekas pengendali Chelsea itu harus juga merenung semula rekod buruk Spurs setiap kali berkunjung ke Old Trafford. Semasa masih mengendalikan Chelsea, Villas-Boas juga tidak mempunyai rekod yang baik ketika berdepan Sir Alex Ferguson apabila kalah 3-1 di Old Trafford dan sekadar seri 3-3 ketika berdepan United di Stamford Bridge. Sejak Mei 2011, Spurs tidak pernah menang ketika berdepan United dan dari 27 perlawanan terakhir yang menemukan kedua-dua kelab, Spurs hanya berjaya meraih 6 keputusan seri dan selebihnya berakhir dengan kekalahan. Rekod 20 kunjungan terakhir Spurs di Old Trafford juga cukup buruk apabila mereka hanya mencatat 3 keputusan seri dan 17 kekalahan. Gawang mereka juga dibolosi United sebanyak 54 kali atau purata 2 gol dalam setiap perlawanan. Harapan Spurs tentunya bergantung kepada ketangkasan Brad Friedel di gawang yang mempamerkan aksi cemerlang ketika berdepan QPR minggu lalu. Wayne Rooney yang diturunkan ketika United menewaskan Newcastle United dalam perlawanan pusingan keempat Piala Capital One, Khamis lalu dijangka berpasangan dengan Robin Van Persie di barisan hadapan. Gandingan ini dijangka memberikan masalah besar buat lawan jika diambil kira statistik kedua-dua penggempur ini ketika berdepan Spurs. Van Persie (ketika masih bersama Arsenal) berjaya menjaringkan 5 gol dan mencatat 4 assist saat berdepan Spurs manakala Rooney pula menjaringkan 7 gol dari 8 pertemuan menentang lawan yang sama. Nemanja Vidic, Ashley Young, Phil Jones dan Chris Smalling pula masih kekal dalam senarai kecederaan. Spurs pula masih belum pasti dapat menggunakan khidmat Kyle Naughton dan Benoit Assou-Ekotto kerana diberitakan masih belum cergas sepenuhnya manakala Heurelho Gomes, Younes Kaboul, Emmanuel Adebayor dan Scott Parker diketepikan kerana masih belum pulih dari  kecederaan. Dengan pendahulu ketika ini, Chelsea berdepan tugas sukar apabila terpaksa berkunjung ke Stadium Emirates berdepan Arsenal, United perlu menggunakan peluang ini untuk mengumpul mata maksimum sekaligus memintas kedudukan The Blues di tangga teratas liga. Glory Glory Manchester United!!!

Rekod Pertemuan:

- Dari 176 perlawanan, United menang 84 perlawanan manakala Spurs pula hanya mencatat 46 kemenangan ke atas United.

- Rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Old Trafford jelas memihak United apabila dari 89 perlawanan, The Red Devils menang 59 kali, seri 16 dan kalah 14 kali.

- Spurs tidak pernah menang di Old Trafford sejak 1989, dimana pemain-pemain United seperti David de Gea, Tom Cleverley, Danny Welbeck dan Phil Jones masih belum dilahirkan ketika itu.

- Kali terakhir Spurs mengatasi United ialah pada Mei 2001 di White Hart Lane dengan jaringan 3-1.

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Michael Carrick, Tom Cleverley, Nani, Wayne Rooney, Danny Welbeck & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Spurs:

Brad Friedel, Kyle Walker, William Gallas, Steven Caulker, Jan Vertonghen, Sandro, Moussa Dembele, Aaron Lennon, Clint Dempsey, Gareth Bale & Jermain Defoe

28 September 2012

CLEVERLEY MANGSA TERBARU `HAIR DRYER TREATMENT'

Ada rahsia di sebalik kejayaan Tom Cleverley menjaringkan gol pada perlawanan pusingan keempat Piala Capital One menentang Newcastle United awal pagi Khamis lalu. Gol jaringan Cleverley diminit ke-58 itu rupa-rupanya hasil dari kemarahan yang dilepaskan Sir Alex Ferguson kepadanya ketika dibilik persalinan semasa rehat separuh masa pertama. Perkara ini didedahkan Wayne Rooney yang mengatakan punca kemarahan Ferguson ialah akibat kegagalan Cleverley menyempurnakan jaringan gol di babak pertama perlawanan meskipun pemain muda itu memperolehi peluang-peluang terbaik di depan gawang lawan. "Tom melepaskan beberapa peluang di babak pertama dan itu membuatkan pengurus kurang senang", kata Rooney. Hal ini bukanlah asing buat pemain-pemain United yang cukup kenal dengan reputasi `hair dryer treatment' pengurus lagenda itu. Bagi pemain-pemain veteran United yang lain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes, mereka sudah biasa dengan situasi ini malah sudah menyaksikan sendiri insiden yang lebih teruk akibat dari kemarahan Ferguson. Insiden paling terkenal akibat sikap panas baran Ferguson yang masih diingati hingga sekarang tentunya `kes baling kasut' ke atas David Beckham pada 2003 hingga mengakibatkan bekas bintang United itu mengalami kecederaan di kening. Ramai juga yang percaya insiden itu menyebabkan Beckham dijual kepada Real Madrid empat bulan kemudian. Ferguson memang terkenal dengan sikap kerasnya di bilik persalinan terutamanya jika ada antara pemainnya bermain di bawah prestasi sebenar. Pada perlawanan menentang Newcastle United, Cleverley dilihat banyak melepaskan peluang menjaringkan gol terutamanya di babak pertama dan hal itu membuatkan Ferguson agak kurang senang. Selepas muncul pemain paling teruk menjadi mangsa kemarahan Ferguson, Cleverley tampil diseparuh masa kedua dengan gol yang menarik. Ini juga merupakan gol pertama pemain muda itu untuk United dalam kariernya bersama pasukan utama. Ferguson sebelum ini pernah berkata  bahawa usia yang semakin meningkat menjadikan dia seorang yang lebih penyabar dan sudah meninggalkan reputasinya sebagai `hair dryer treatment' itu. Apapun jika untuk kebaikkan pasukan Ferguson tidak perlulah berubah secara drastik dan jika reputasinya sebagai `hair dryer treatment' boleh meningkatkan prestasi pasukan, sebaiknya bos United itu jangan membuang terus sikap panas barannya itu. Glory Glory Manchester United!!!

27 September 2012

REVIEW: REKOD TANPA KALAH 40 TAHUN KEKAL


Manchester United mengekalkan rekod tanpa kalah 40 tahun mereka ke atas Newcastle United di Old Trafford apabila menewaskan skuad Alan Pardew 2-1, sekaligus layak ke pusingan keempat Piala Capital One awal pagi tadi. Berbekalkan rekod hebat ke atas lawan yang tidak pernah menang di Old Trafford sejak 1972, gol Anderson dan Tom Cleverley memastikan United mengesahkan tempat mereka di pusingan keempat dan bakal bertemu satu lagi kelab dari Liga Perdana iaitu Chelsea di Stamford Bridge 30 Oktober ini. Diperkuatkan semula dengan kehadiran Wayne Rooney yang pulih dari kecederaan dan Darren Fletcher yang kembali dalam kesebelasan utama dalam tempoh 10 bulan, skuad The Red Devils mendahului diminit ke-44 hasil rembatan Anderson dari luar petak penalti. Ini juga merupakan gol pertama Anderson dalam tempoh setahun. Pelawat yang diperkuatkan semula dengan kehadiran kapten pasukan Fabricio Coloccini dan Chieck Tiote beberapa kali memberi tekanan kepada benteng pertahanan United yang diterajui barisan kurang pengalaman seperti Michael Keane, Alexander Buttner, Marnick Vermijl dan Scott Wootton. Walau diberikan tekanan, United menambah jaringan diminit ke-58 menerusi jaringan Cleverley dari hujung petak penalti pelawat. Ketinggalan dua gol, Alan Pardew memasukkan penggempur berbisanya, Pappis Cisse dan hasilnya penyerang antarabangsa Senegal itu merapatkan kedudukan empat minit kemudian melalui tandukan dari jarak dekat. Biarpun tidak menjaringkan gol dalam perlawanan ini, Rooney tetap memainkan peranan penting dalam gerakan-gerakan yang diaturkan apabila dia kerapkali membuka ruang buat Danny Welbeck ataupun Javier Hernandez sebelum dikeluarkan diminit ke-76. Di penghujung permainan, pelawat hampir menyamakan kedudukan melalui sepakan gunting Cisse namun bola sekadar singgah di tiang gol. Glory Glory Manchester United!!!

26 September 2012

PREVIEW PIALA CAPITAL ONE: MANCHESTER UTD lwn NEWCASTLE UTD


Manchester United akan menanti kunjungan Newcastle United dalam perlawanan pusingan ketiga Piala Capital One (dulu dikenali sebagai Piala Carling) di Old Trafford awal pagi nanti. Faktor sebagai tuan rumah menjadi kelebihan buat United dalam perlawanan ini apatah lagi The Magpies mempunyai rekod buruk apabila tidak pernah menang dalam tempoh 40 tahun setiap kali beraksi di Theatre of Dreams. Selepas gagal meraih sebarang kejuaraan musim lalu, Sir Alex Ferguson tentunya menjadikan kejohanan ini sebagai permulaan untuk menebus kegagalan itu walaupun kejuaraan ini dianggap sebagai kejuaraan kelas tiga di England. Selepas diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada lawan sama dalam perlawanan liga di Sports Direct Arena musim lalu, barisan United tentunya mempunyai satu lagi sebab untuk memenangi perlawanan ini. Dengan deretan bintang yang mengalami kecederaan Ferguson dijangka bakal memberi peluang buat pemain-pemain muda tampil awal pagi nanti. Alexander Buttner dan Nick Powell bakal mengisi kesebelasan utama United manakala Darren Fletcher pula dijangka melakukan penampilan pertama dalam kesebelasan utama selepas diketepikan hampir 10 bulan kerana masalah usus. Bagi pelawat pula, Fabricio Coloccini dan Chieck Tiote dijangka kembali memperkuatkan pasukan selepas diketepikan dalam kempen Liga Europa kerana masalah kecederaan. Coloccini yang menjalani rawatan dengan pasukan perubatan skuad kebangsaan Argentina sudah pulih dari masalah hamstring manakala Tiote pula disahkan bebas dari kecederaan betis, bakal menjadi tunjang kekuatan The Magpies dalam perlawanan ini. Alan Pardew dijangka memberi peluang buat penjaga gol keduanya, Rob Elliot tampil di Old Trafford selepas Tim Krul mengalami kecederaan siku. Biarpun penjaga gol Belanda itu dikatakan sedia diturunkan, namun Pardew pastinya tidak akan mengambil risiko menurunkan penjaga gol utamanya itu. Selain Krul, Danny Simpson turut akan diketepikan dan dijangka kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan liga hujung minggu ini. Untuk rekod ini adalah merupakan perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan dalam kejohanan ini sejak dipertemukan pada 1994. Ketika itu The Magpies berjaya mengatasi United dengan keputusan 2-0. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Antonio Valencia, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Alexander Buttner, Darren Fletcher, Nick Powell, Tom Cleverley, Javier Hernandez & Danny Welbeck

Barisan Kemungkinan Newcastle:

Rob Elliot, James Perch, Mike Williamson, Steven Taylor, David Santon, Dan Gosling, Chieck Tiote, Gael Bigirimana, Gabriel Obertan, Shola Ameobi & Romain Amalfitano

25 September 2012

PENGUNDURAN TERRY, RAHMAT BUAT RIO


Pengunduran John Terry dari skuad kebangsaan England  merupakan satu rahmat dan membuka semula peluang Rio Ferdinand untuk dipanggil memperkuatkan skuad The Three Lions itu. Kelmarin, Terry mengumumkan persaraan dari peringkat antarabangsa selepas mendapati tempatnya dalam skuad kebangsaan semakin tergugat dan bakal berdepan siasatan FA atas insiden perkauman yang membabitkan dirinya dengan pertahanan QPR, Anton Ferdinand. Meskipun mahkamah membebaskan Terry atas tuduhan itu Julai lalu, kapten Chelsea itu tetap berdepan hukuman selepas FA mengambil tindakan untuk melakukan siasatan sendiri. Situasi terkini yang menimpa Terry membuatkan pintu menyertai skuad England kembali terbuka buat Rio yang memang diketahui masih menyimpan hasrat menyarung jersi putih The Three Lions. Walau bagaimanapun peluang Rio tetap bergantung kepada keputusan pengurus England, Roy Hodgson. Keputusan untuk melihat sama ada Rio akan kembali semula menyertai skuad England akan hanya dapat dilihat selewat-lewatnya penghujung minggu depan. Ketika itu Hodgson akan mengumumkan barisan pemain yang akan dibawa bagi menggalas misi kempen kelayakan Piala Dunia 2014. Rio diketepikan Hodgson ketika kejohanan Euro 2012 atas alasan `bolasepak', tetapi ramai percaya keputusan mengugurkan Rio dibuat kerana hubungan dinginnya dengan Terry berpunca dari insiden berbaur perkauman melibatkan kapten Chelsea itu dengan adiknya, Anton. Rio bagaimanapun perlu bersaing dengan Phil Jagielka, Joleon Lescott dan Gary Cahill namun prestasi cemerlangnya ketika mengawal benteng United di Anfield kelmarin mencerahkan peluangnya untuk dipanggil semula memperkuatkan barisan pertahanan England. Glory Glory Manchester United!!!

GOL TERBAIK RAFAEL UNTUK UNITED


Gol penyamaan ketika berdepan Liverpool di Anfield merupakan gol terbaik dari Rafael da Silva dan hal itu diakui sendiri pemain Brazil itu. Berkunjung ke gelanggang lawan yang juga merupakan perlawanan kelima musim ini, Rafael meletakkan United kembali mengikat kedudukan selepas ketinggalan hasil jaringan Steven Gerrard lima minit sebelum itu. Rafael mengakui gol penyamaan itu cukup istimewa buat dirinya apatah lagi jaringan itu dilakukan di gelanggang keramat musuh tradisi United itu. "Itu adalah gol terbaik saya untuk United", kata Rafael tentang sepakan melencong yang memperdaya Pepe Reina itu. Setelah lima perlawanan sebelum ini yang diharungi di Anfield tanpa sebarang kemenangan, United ditekan hebat tuan rumah meskipun mereka kehilangan Jonjo Shelvey kerana layangan kad merah. Ketika Gerrard meletakkan tuan rumah di depan, rekod buruk United di Anfield tampak akan berterusan, namun lima minit kemudian jaringan penyamaan sensasi Rafael meningkatkan kembali keyakinan skuad The Red Devils. Penalti Robin Van Persie diminit ke-81 menghadiahkan kemenangan pertama buat United di gelanggang keramat  musuh tradisi United itu dalam tempoh lima tahun. Gol penyamaan Rafael memang cukup penting buat United dan hadir pada waktu yang tepat. Jika tidak kerana gol penyamaan itu, pemain-pemain United mungkin akan gugup selepas ditekan hebat barisan The Reds. Rafael kini sudah menjaringkan dua gol musim ini dan berada di belakang Van Persie yang mengumpul lima gol dalam senarai penjaring United setakat ini. Glory Glory Manchester United!!! 

24 September 2012

REVIEW: PENALTI RVP BERI KEMENANGAN PERTAMA UNITED DI ANFIELD DALAM TEMPOH LIMA TAHUN


Penalti lewat Robin Van Persie memberikan kemenangan buat Manchester United dalam tempoh lima tahun di Anfield. United akhirnya berjaya mencatat kemenangan di gelanggang musuh tradisi mereka itu sekaligus memberikan kekalahan ketiga buat Liverpool musim ini. Walau bagaimanapun armada Brendan Rodgers menguasai sebahagian besar perlawanan semalam biarpun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Jonjo Shelvy dilayangkan kad merah. Tuan rumah berjaya membuka peluang melalui Luis Suarez namun percubaan penyerang kontroversi itu dari dalam petak penalti berjaya diselamatkan Anders Lindegaard. Mereka terus melakukan ancaman, kali ini melalui Fabio Borini yang menerima umpanan Suarez namun percubaan jarak dekatnya berjaya ditampan pertahanan United. Liverpool menerima tamparan awal apabila Shelvy dilayangkan kad merah diminit ke-38 kerana melakukan terjahan keras ke atas Jonny Evans. Biarpun kekurangan pemain, tuan rumah tidak mengendurkan asakan malah mencipta satu lagi peluang terbaik namun  tiada pemain tuan rumah yang menyambut bola umpanan Borini dari sebelah kiri. Liverpool akhir berjaya mendahului sebaik babak kedua bersambung melalui Steven Gerrard diminit ke-46 namun lima minit kemudian Rafael da Silva kembali mengikat kedudukan hasil lencongan bola menarik yang gagal diselamatkan Pepe Reina. Diminit ke-57, tuan rumah menuntut sepakan penalti selepas berlaku pelanggaran terhadap Suarez dan Raheem Sterling di dalam petak penalti namun rayuan mereka tidak diendahkan pengadil perlawanan. Keputusan pengadil perlawanan sekali lagi menjadi pertikaian apabila dia menghadiahkan sepakan penalti kepada United selepas Glenn Johnson mengasari Antonio Valencia diminit ke-80. Van Persie yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak mengulangi kesilapan ketika berdepan Southampton apabila mudah menewaskan Reina untuk meletakkan United mendahului 2-1. Tuan rumah cuba mencari gol penyamaan selepas itu dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Martin Kelly di penghujung permainan sedikit tersasar. Biarpun pengadil perlawanan memberikan tambahan masa hingga tujuh minit, namun tuan rumah gagal memanfaatkan kelebihan itu dan terpaksa akur untuk melihat satu lagi kekalahan di gelanggang sendiri musim ini selepas kekalahan kepada Arsenal pada 2 September lalu. Kemenangan ini juga berjaya mengekalkan United di tangga kedua liga dengan 12 mata, satu mata di belakang pendahulu ketika ini Chelsea. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan:

Penguasaan Bola: 57% - 43%
Sepakan Sudut: 7 - 3
Percubaan Tepat: 6 - 3
Percubaan Tersasar: 6 - 3
Kekasaran: 13 - 7
Offside: 0 - 1
Kad Merah: 0 - 1
Kad Kuning: 1 - 2
Gol: 1 - 2

23 September 2012

PREVIEW: LIVERPOOL lwn MANCHESTER UNITED



Pertembungan dua musuh tradisi, Manchester United dan Liverpool sentiasa dianggap sebagai perlawanan terbesar dalam kalendar bolasepak England. Kedua-dua kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak Britain itu akan meneruskan perseteruan mereka dan dijadualkan bertemu di Anfield hari ini. Biar di tahap mana kedua-dua kelab berada ketika ini, pertembungan dua musuh tradisi ini sentiasa dinanti dan kadangkala dihiasi dengan kontroversi sepertimana yang berlaku musim lalu (kes perkauman membabitkan Patrice Evra dan Luis Suarez). Perlawanan hari ini juga menjadi perlawanan pertama diadakan di Anfield sejak laporan Tragedi Hillsborough dikeluarkan yang tentunya juga menjadi detik memperingati 96 mangsa yang terkorban. Terdapat ramai pihak percaya bahawa hari ini bakal menjadi titik perubahan dalam hubungan antara kedua-dua kelab di mana United dan Liverpool  boleh menyokong antara satu sama lain terutamanya dalam memperingati tragedi lampau termasuk kes Hillsborough dan nahas udara Munich. Tiga mata penuh tentunya menjadi rebutan malah Liverpool pasti mahu melakar kemenangan pertama mereka dalam saingan liga musim ini di bawah Brendan Rodgers. Wayne Rooney, Chris Smalling, Phil Jones dan Ashley Young kekal dalam senarai pemain United yang tersisih kerana kecederaan manakala Patrice Evra dijangka merebut semula tempatnya dari Alexander Buttner. Robin Van Persie akan terus memikul tanggungjawab sebagai penggempur utama sambil dibantu Shinji Kagawa di belakang. Liverpool menunjukkan perlawanan ini penting buat mereka apabila menurunkan skuad kedua ketika berdepan Young Boys dalam saingan Liga Europa Khamis lalu sebagai persediaan buat bintang mereka menghadapi kunjungan United. Liverpool masih tercari-cari kemenangan pertama mereka selepas mencatat dua keputusan seri dan dua kekalahan dari empat perlawanan mereka manakala United pula sudah mencatat tiga kemenangan berturut-turut dari tiga perlawanan terakhir. Statistik jaringan juga menunjukkan United antara kelab paling produktif dalam menghasilkan gol apabila skuad The Red Devils mencatat nisbah 2.5 gol dalam setiap perlawanan. Bagaimanapun jika penyokong kedua-dua pasukan mahu menyaksikan pesta gol dalam perlawanan ini, mereka mungkin boleh melupakan hasrat tersebut. Dalam tiga pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan berkesudahan dengan keputusan jaringan tidak melebihi tiga gol malah dalam dua pertemuan terakhir gol hanya dapat dijaringkan di penghujung permainan. Apapun perlawanan ini tentunya mencetuskan emosi berapi-api baik di kalangan pemain atau penyokong kedua-dua pasukan dan tetap perlawanan terbesar dalam kalendar bolasepak England. Glory Glory Manchester United!!!

Rekod Pertemuan:

- Kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak 186 kali dengan Liverpool unggul mencatat 72 kemenangan berbanding 62 milik United.

- Liverpool tidak kalah dalam lima perlawanan terakhir menentang United di Anfield apabila mereka menang empat kali dan seri sekali.

- Dalam lima pertemuan terakhir liga, empat kad merah dilayangkan kepada kedua-dua pasukan.

Fakta Perlawanan:

- Tanpa kemenangan selepas empat perlawanan, Liverpool mencatat permulaan terburuk dalam tempoh 101 tahun.

- Dalam pertemuan menentang Liverpool, Nemanja Vidic dilayangkan kad merah sebanyak tiga kali.

- Sejak musim lalu, United dianugerahkan 13 sepakan penalti, catatan tertinggi dikalangan kelab Liga Perdana yang lain.

Barisan Kemungkinan Liverpool:

Pepe Reina, Martin Kelly, Martin Skrtel, Daniel Agger, Glenn Johnson, Steven Gerrard, Nuri Sahin, Joe Allen, Fabio Borini, Luis Suarez & Raheem Sterling

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael dan Silva, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Luis Antonio Valencia, Michael Carrick, Nani, Shinji Kagawa & Robin Van Persie

20 September 2012

EVRA DAN SUAREZ DIGESA LUPAKAN SENGKETA


Dua pemain yang mencetuskan kontroversi musim lalu kerana terbabit dengan isu perkauman, Patrice Evra dan Luis Suarez dijangka akan bersalaman sebelum sepak mula pertemuan Liverpool-United di Anfield Ahad ini. Seperti yang diberitakan oleh BBC, kedua-dua kelab optimis dua pemain itu akan melupakan persengketaan antara mereka yang tercetus musim lalu hingga mengakibatkan Suarez digantung lapan perlawanan kerana melemparkan kata-kata berbaur perkauman ke atas Evra. United dan Liverpool yakin kedua-dua bintang mereka itu tidak akan mengulangi insiden sama di Old Trafford yang menyaksikan Suarez enggan bersalaman dengan Evra. Tindakan itu menyebabkan Evra meraikan kemenangan secara berlebihan selepas tamat perlawanan yang menyaksikan United mengatasi Liverpool 2-1 dan tercetus sedikit ketegangan di terowong pemain. Pada perlawanan liga hujung minggu ini, kedua-dua pasukan juga sudahpun berbincang tentang acara memperingati mangsa-mangsa tragedi Hillsborough sebelum sepak mula, termasuk pelepasan 96 belon yang mewakili jumlah korban tragedi tersebut oleh Steven Gerrard dan Nemanja Vidic. Glory Glory Manchester United!!!

FERGIE KECEWA KEGAGALAN NANI


Sir Alex Ferguson kecewa dengan keputusan Nani mengambil sepakan penalti pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Galatasaray awal pagi tadi. Selepas mendahului menerusi jaringan Michael Carrick, pemain sayap itu sepatutnya memberikan pendahuluan selesa buat United apabila dihadiahkan sepakan penalti di babak kedua namun sepakan Nani berjaya digagalkan Fernando Muslera. Ferguson juga mendedahkan pemain yang sepatutnya mengambil sepakan penalti itu ialah Robin Van Persie,tapi bagaimanapun bos United itu tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas Nani. Menurut Ferguson dia juga patut dipersalahkan kerana tidak menentukan perkara itu (siapa yang patut mengambil sepakan penalti) sebelum perlawanan. "Saya rasa kami sepatutnya menentukan perkara ini sebelum perlawanan. Itu adalah kesilapan saya dan saya harus menerimanya", kata Ferguson. Kegagalan menyempurnakan peluang itu mungkin menyebabkan Nani tidak lagi diberi kesempatan mengambil sepakan penalti dimasa hadapan. Nani muncul pemain ketiga United musim ini yang gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas Robin Van Persie dan Javier Hernandez. Mengulas kegagalan itu, Nani berjanji dia tidak akan mengulangi kesilapan tersebut jika diberi peluang lagi mengambil sepakan penalti oleh Ferguson. "Saya melakukannya, Van Persie juga begitu. Selepas ini sesiapun yang mengambil sepakan penalti saya pasti mereka akan menyempurnakannya. Saya akan melakukannya lagi jika diberi kepercayaan oleh pengurus", kata Nani. Glory Glory Manchester United!!!  

REVIEW: GOL PANTAS CARRICK BERI UNITED TIGA MATA


Gol pantas Michael Carrick memberikan tiga mata berharga buat Manchester United pada perlawanan pertama mereka di peringkat Eropah. Meskipun terpaksa memerah keringat ketika melayan kunjungan wakil Turki, Galatasaray dalam aksi Kumpulan H, United akhirnya unggul sebagai pemenang hasil jaringan tunggal perlawanan menerusi Carrick di minit ke-7. Ini juga merupakan gol pertama pemain tengah itu untuk United di peringkat Eropah dalam tempoh tiga tahun. United sebenarnya berpeluang menang dengan kelebihan dua jaringan tetapi sepakan penalti Nani diseparuh masa kedua berjaya diselamatkan Fernando Muslera. Galatasaray membuktikan mereka sebenarnya lawan yang cukup kental menerusi beberapa percubaan yang berjaya diselamatkan David de Gea selain tiang gol yang menjadi penghalang. Muslera juga beraksi baik terutamanya apabila menafikan sekurang-kurangnya lima percubaan tepat The Red Devils. Robin Van Persie dan Shinji Kagawa tampil pada perlawanan pertama mereka untuk United di peringkat Eropah namun digantikan Danny Welbeck dan Javier Hernandez di penghujung permainan. Meskipun mencatat kemenangan, Sir Alex Ferguson agak kecewa dengan persembahan keseluruhan United dalam perlawanan ini. United pada satu ketika membiarkan lawan menguasai permainan dengan melakukan percubaan-percubaan bahaya ke arah pintu gol mereka. Berdepan lawan seperti Galatasaray pada perlawanan pertama memang sesuatu yang sukar tambahan pula mereka dibarisi pemain-pemain berpengalaman. Di babak pertama United membiarkan lawan menguasai permainan dan sering terdedah dengan serang balas pantas pelawat.  Bagaimanapun di babak kedua, United tampil dengan lebih baik dan memperkemaskan permainan mereka dengan melakukan gerakan-gerakan menarik ke arah pintu gol lawan. Kemenangan ini menyaksikan United menduduki tangga kedua Kumpulan H di belakang wakil Romania, CFR Cluj yang menang 2-0 ke atas Braga di gelanggang lawan. Perlawanan kedua akan diadakan pada 3 Oktober nanti dengan United akan berkunjung ke Romania menentang CFR Cluj manakala Galatasaray pula menanti Braga di Turk Telekom Arena. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan:

Gol: 1 - 0
Percubaan: 20 - 14
Percubaan Tepat: 6 - 3
Penguasaan Bola: 53% - 47%
Kekasaran: 22 - 10
Sepakan Penjuru: 7 - 7
Offside: 2 - 3
Kad Kuning: 3 - 1
Kad Merah: 0 - 0

19 September 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn GALATASARAY


Manchester United akan berdepan ujian pertama mereka di peringkat Eropah musim ini apabila dijadualkan berdepan wakil Turki, Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford awal pagi esok. United terdesak untuk cuba melupakan episod malang mereka di peringkat Eropah apabila tersingkir dalam saingan peringkat kumpulan pada kempen musim lalu yang berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada FC Basel di Switzerland. United dan Galatasaray sudah bertemu sebanyak empat kali dalam saingan di peringkat Eropah dengan rekod pertemuan juga seimbang apabila masing-masing mencatat dua keputusan seri, menang sekali dan kalah sekali. Selepas mencatat tiga kemenangan dalam saingan domestik sekaligus berada di tangga kedua liga, United kini meletakkan matlamat untuk membuktikan bahawa skuad kali ini mampu menebus keaiban di peringkat Eropah musim lalu. Bagi lawan pula, mereka turut menikmati permulaan cemerlang dalam kempen liga dan tampak bersedia melakukan sesuatu pada kunjungan mereka di Old Trafford kali ini. Meskipun berdepan dengan masalah kecederaan terhadap beberapa pemain utamanya, Sir Alex Ferguson tetap mempunyai skuad yang besar untuk menampung ketiadaan bintang-bintang yang tersisih akibat kecederaan. Paling ketara apabila Alexander Buttner membuktikan kepada peminat United, mereka tidak perlu meratapi ketiadaan Patrice Evra apabila mempamerkan aksi terpuji dan menjaringkan gol sulung pada penampilan pertamanya untuk United dalam saingan liga hujung minggu lalu. Selepas mengecapi aksi sulung pada saingan domestik, Buttner kini tampak sudah bersedia melakukan penampilan pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pula. Wayne Rooney, Ashley Young, Phil Jones, Chris Smalling dan Darren Fletcher akan terus tersisih kerana masih dalam proses pemulihan. Paling menjadi tumpuan ialah perebutan di posisi penjaga gol United.

Apakah Anders Lindegaard yang beraksi pada dua perlawanan terakhir United (menentang Southampton dan Wigan Athletic) akan terus diberi kepercayaan mengawal gawang awal pagi esok atau giliran David de Gea pula kembali merebut tempatnya dalam kesebelasan utama. Dua bintang baru, Robin Van Persie dan Shinji Kagawa akan meneruskan peranan mereka di hadapan, manakala Antonio Valencia dan Nani pula bakal mengisi posisi di bahagian sayap. Paul Scholes yang merakamkan penampilan ke-700 minggu lalu dijangka diletakkan bersama-sama Michael Carrick menjana bahagian tengah. Barisan pertahanan dijangka tidak mengalami perubahan besar dengan Nemanja Vidic, Jonny Evans, Rafael da Silva dan Buttner dijangka membarisi posisi tersebut. Fatih Terim berdepan tugas getir membawa pasukannya berkunjung ke England tetapi mereka dibarisi dengan skuad yang bebas dari kecederaan. Hanya Tomas Ujfalusi yang disisihkan dari skuad kerana kecederaan ligamen. Engin Beytar yang tidak bermain pada saingan liga kerana penggantungan bakal diturunkan dalam perlawanan ini. Pelawat juga pastinya mempertaruhkan kelibat Hamit Altintop yang berpindah dari Real Madrid, namun pemain antarabangsa Turki itu perlu meningkatkan permainannya atau berdepan risiko ditenggalami barisan tengah United. Selain Altintop pemain lawan yang perlu diawasi ialah bintang tengah mereka dari Brazil, Filipe Melo yang menyertai kelab itu dari Juventus musim lalu dan juga bekas penyerang Bolton Wanderers, Johan Elmander. Selain Elmander, Galatasaray turut memiliki seorang lagi pemain yang pernah beraksi di Liga Perdana England iaitu Emmanuel Eboue (bekas pemain Arsenal) dan Albert Riera (bekas pemain Liverpool). Pengetahuan serta pengalaman Elmander, Eboue dan Riera ketika bermain di England sangat berguna buat Terim dalam mengatur strategi bagi memerangkap United. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Alexander Buttner, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Nani, Paul Scholes, Michael Carrick, Shinji Kagawa & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Galatasaray:

Fernando Muslera, Cris, Gokhan Zan, Emmanuel Eboue, Nakan Balta, Filipe Melo, Engin Baytar, Hamit Altintop, Albert Riera, Semih Kaya & Johan Elmander

18 September 2012

SCHOLESY...MASIH HEBAT DI PENGHUJUNG KARIER


Paul Scholes melengkapkan penampilan ke-700 bersama Manchester United dengan menjaringkan gol pembukaan di sebalik kemenangan besar 4-0 United ke atas Wigan Athletic semalam. Perlawanan menentang Wigan itu juga cukup istimewa buat seorang lagi bintang United, Rio Ferdinand yang tampil buat kali ke-400 untuk kelab. Scholes kini menyertai dua lagi lagenda United yang berjaya tampil lebih 600 perlawanan iaitu Ryan Giggs (911 penampilan) dan Sir Bobby Charlton (758 penampilan). Scholes pemain yang cukup berbeza jika dibandingkan dengan Ryan Giggs dari segi fizikal dan corak permainan. Scholes juga mempunyai sejarah dua kecederaan lutut yang serius serta kecederaan mata dan dengan apa yang pernah dilaluinya, kejayaan mencatatkan penampilan ke 700 adalah sesuatu yang pastinya cukup luar biasa. Kini ketiga-tiga pemain ini (Giggs, Scholes dan Ferdinand) menjadi contoh buat pemain muda United yang lain tentang apa yang mereka boleh capai jika mereka sanggup berkorban untuk bola sepak. Hatrik Robin Van Persie ketika berdepan Southampton membolehkan dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, tetapi penyerang antarabangsa Belanda itu berkata Scholes ialah pemain yang sepatutnya dipilih berbanding dirinya. Memang benar apa yang dikatakan Van Persie kerana ketika United ketinggalan 1-2, Sir Alex Ferguson mengambil keputusan memasukkan Scholes diminit ke-61. Sebaik masuk menggantikan Tom Cleverley, Scholes pantas mengubah tempo permainan hingga membolehkan United menjaringkan dua gol, sekaligus memberikan kekalahan ketiga berturut-turut buat The Saints. Kata-kata Ferguson terhadap Scholes selepas tamat perlawanan di Stadium St Mary cukup untuk menggambarkan segalanya. "Selepas Paul dimasukkan, ia seperti membuka pintu ke dimensi lain. Ketepatan umpanannya berjaya mengubah tempo permainan kami manakala lawan (Southampton) pula tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi menghentikannya", kata Ferguson. Scholes sentiasa memberikan kualiti terbaiknya dalam setiap perlawanan dan menunjukkan bahawa dia masih pemain yang hebat dan berpengaruh biarpun sudah berada di penghujung karier. Langkah Ferguson memujuk Scholes untuk kembali semula dari persaraan pertengahan musim lalu nyata satu keputusan yang tepat. Ferguson memang diakui individu yang cukup berpengaruh dan berjaya mengemudi United meraih kejayaan gemilang sepanjang 26 tahun karier pengurusannya di Old Trafford. Namun Ferguson juga dikira cukup bertuah kerana dia dianugerahkan dua pemain hebat seperti Scholes dan Giggs. Pemain seperti mereka sebenarnya memudahkan lagi tugas Ferguson mengatur taktikal dan bos United itu juga cukup bertuah kerana berpeluang bekerja dengan pemain hebat seperti Scholes dan Giggs. Glory Glory Manchester United!!!

16 September 2012

REVIEW: UNITED LEBARKAN PENGUASAAN KE ATAS WIGAN DI OLD TRAFFORD


Manchester United melebarkan rekod tanpa kalah mereka ke atas Wigan Athletic di Old Trafford kepada lapan perlawanan selepas mereka menang 4-0 semalam. The Red Devils sepatutnya mendahului seawal minit ke-4 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Danny Welbeck dijatuhkan Ali El-Habsi namun sepakan Javier Hernandez berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat itu. Selepas itu United mencipta beberapa peluang terutamanya melalui Welbeck tetapi percubaa-percubaan penyerang antarabangsa England itu sering tersasar. Nani juga berpeluang meletakkan United di hadapan namun sepakan lambungnya gagal menepati sasaran biarpun El-Habsi sudah tertewas dan kedudukan kekal 0-0 hingga tamat separuh masa pertama. United lebih garang di separuh masa kedua dan hasilnya mereka berjaya mendahului pelawat diminit ke-51 hasil jaringan bintang veteran, Paul Scholes. Gol itu berpunca dari hantaran rendah Nani di sebelah kiri pintu gol lawan yang gagal ditepis kemas El-Habsi dan memudahkan Scholes menolak masuk dari jarak dekat. Diminit ke-63, United melebarkan kedudukan mereka selepas Hernandez berjaya melepasi perangkap offside lawan apabila menyambut rembatan dari Alexander Buttner.

Tiga minit selepas itu giliran Buttner yang membuat penampilan pertamanya untuk United selepas berpindah dari Vittese Arnhem menjaringkan gol ketiga United. Bek kiri itu yang mengambilalih tempat Patrice Evra dalam perlawanan ini melakukan larian menarik dari sebelah kiri, menewaskan beberapa pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari sudut sukar yang gagal diselamatkan El-Habsi. Pesta kemenangan United ditutup apabila seorang lagi muka baru, Nick Powell yang masuk menggantikan Paul Scholes melepaskan rembatan menarik dari luar kotak penalti hasil lorongan Hernandez. Gol jaringan Powell itu persis apa yang sering dilakukan bintang veteran United, Scholes apabila dia dengan mudah mengacah seorang pertahanan lawan sebelum dengan tenang melepaskan rembatan deras yang terus menerjah jaring lawan. Jadi tidak hairanlah jika kamera pantas menyorot kepada wajah Scholes yang berada di bangku simpanan pemain selepas gol tersebut. Kemenangan itu menyaksikan United kini mengumpul sembilan mata dan melonjak di tangga kedua liga, satu mata di belakang pendahulu liga ketika ini, Chelsea yang sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika berdepan Queens Park Rangers. Glory Glory Manchester United!!!

14 September 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn WIGAN ATHLETIC



Selepas berehat seminggu kerana memberi ruang kepada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014, saingan Liga Perdana England disambung kembali esok. Sepertimana yang dijadualkan, Manchester United akan berdepan Wigan Athletic di Old Trafford dengan United ketika ini menduduki tangga kelima manakala Wigan pula berada di tangga kesembilan. United mempunyai rekod yang cukup baik ketika bermain digelanggang sendiri dan perlawanan ini adalah peluang terbaik buat skuad The Red Devils meneruskan momentum kemenangan selepas mereka meraih enam mana dari dua perlawanan terakhir. Selepas berpindah dari London ke Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas, harapan tinggi diletakkan ke atas bahu Robin Van Persie dalam memburu gol musim ini agak tinggi. Namun penyerang antarabangsa Belanda itu pantas menyesuaikan diri dengan pasukan baru dan membuktikan bahawa dia adalah penyerang kelas dunia apabila sudah meledakkan empat gol dari tiga perlawanan. Van Persie menjaringkan gol yang cukup cemerlang ketika berdepan Fulham dan kemudian mencatat hatrik ketika berdepan Southampton biarpun sepatutnya dia menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. Gandingan dengan Shinji Kagawa dibelakangnya serta Ashley Young dan Antonio Valencia di kiri dan kanan mencetuskan sesuatu yang hebat buat United, dan Wigan pastinya berdepan tugas sukar mengawal ketiga-tiga mereka dari membekalkan hantaran-hantaran berkualiti kepada Van Persie (jika Van Persie diturunkan). Dengan Wayne Rooney yang terlepas aksi selama dua bulan, Van Persie akan memikul tugas selaku penyerang utama untuk tempoh beberapa minggu lagi.

Tumpuan utama pada perlawanan ini sebenarnya bukanlah terarah kepada Van Persie, tetapi krisis kecederaan yang melanda kem United. Di barisan belakang, United kehilangan khidmat Chris Smalling, Phil Jones manakala Jonny Evans pula belum pasti diturunkan selepas pemain itu mendedahkan dia mengambil suntikan penahan sakit ketika turun mewakili Ireland menentang Russia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Selasa lalu. Van Persie dan Kagawa sendiri mengalami kecederaan ketika mewakili negara masing-masing dalam kempen kelayakan Piala Dunia namun tahap kecederaan kedua-dua bintang baru United itu diberitakan tidak membimbangkan. Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang buruk berlaku, adalah lebih baik jika Ferguson tidak menurunkan Van Persie dan Kagawa dalam perlawanan ini. Rafael dal Silva bakal menjadi pilihan Ferguson di posisi bek kanan manakala Alexander Buttner mungkin diberi peluang melakukan penampilan pertamanya bagi menggantikan Patrice Evra. Biarpun berdepan masalah kecederaan, United jelas skuad yang lebih kuat berbanding Wigan biarpun skuad bimbingan Roberto Martinez itu berjaya mengejutkan United ketika mereka menang 1-0 di gelanggang sendiri musim lalu. Kekalahan itu adalah satu peringatan buat United agar tidak mengambil mudah kemampuan The Latics. United hanya tewas dua dari 41 perlawanan liga mereka di Old Trafford dan dijangka terus melebarkan penguasaan mereka esok. Rekod di gelanggang sendiri ketika bertemu Wigan juga jelas memihak kepada United apabila skuad The Red Devils menang kesemua tujuh pertemuan mereka setakat ini. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Alexander Buttner, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Ashley Young, Paul Scholes, Michael Carrick, Antonio Valencia, Danny Welbeck & Javier Hernandez.

Barisan Kemungkinan Wigan:

Ali Al-Habsi, Antolin Alcaraz, Gary Caldwell, Ivan Ramis, Emerson Boyce, James McCarthy, Maynor Figueroa, Arouna Kone, Franco Di Santo & Shaun Maloney

13 September 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: ANDERSON DAN NANI AKAN DIJUAL JANUARI INI?


Manchester United bakal melepaskan dua pemain tengah mereka Anderson dan Nani Januari ini. Sir Alex Ferguson dikatakan sudah mula hilang sabar dengan prestasi Anderson selain rekod kecederaan pemain Brazil itu yang buruk, manakala Nani pula dikatakan kecewa gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama berikutan kehadiran Shinji Kagawa. Anderson menyertai United dari FC Porto pada 2007 dengan memikul reptuasi tinggi yang diletakkan ke atasnya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Roy Keane. Walau bagaimanapun sepanjang lima tahun di Old Trafford, pemain Brazil itu dilihat lebih banyak bergelut dengan masalah kecederaan dari membuktikan reputasinya di atas padang. Musim lalu, Anderson hanya bermain sebanyak 10 perlawanan liga untuk United dan selebihnya hanya menghabiskan masa dengan keluar masuk di bilik rawatan. Benfica dan Tottenham Hotspurs antara kelab yang dikatakan berminat mendapatkan pemain tengah itu jika United benar-benar ingin melepaskannya. Walau bagaimanapun United mahu mendapatkan sekurang-kurang 18 juta Pound hasil dari penjualan Anderson, jumlah yang mereka keluarkan ketika mendapatkan pemain itu dari FC Porto.  Nasib Anderson kini bergantung pada prestasi semasanya kerana Ferguson tidak mahu terburu-buru melepaskan pemain berusia 24 tahun itu dan masih menaruh harapan agar dia kembali semula pada prestasi terbaiknya. 

Selain itu faktor umur dan kontrak Anderson yang masih berbaki 3 tahun menyebabkan United tidak akan menjual pemain itu dengan harga yang murah. Sebelum itu, United sudahpun melihat Moussa Dembele sebagai pengganti terbaik buat Anderson sebelum pemain antarabangsa Belgium itu menyertai Tottenham Hotspurs. Sementara itu Nani pula kini menjadi sasaran gergasi Itali yang berminat membawa pemain sayap antarabangsa Portugal itu beraksi di Serie A. Selepas berjaya mendapatkan Nicklass Bendtner secara pinjaman dari Arsenal, Juventus berharap Nani bakal menjadi pembelian terbesar mereka Januari ini. Prestasi tidak konsisten Nani menyebabkan dia sering diletakkan di bangku simpanan, dan menjadi pilihan kedua Ferguson di belakangan Antonio Valencia. Tambah memburukan lagi keadaan, kedatangan Kagawa menyebabkan Nani semakin tersisih dari kesebelasan utama United. Perbincangan kontrak baru yang menemui jalan buntu menyaksikan masa depan pemain itu di Old Trafford kian kelam. Ferguson kini sedang memantau beberapa pemain tengah baru untuk dijadikan pengganti kepada Paul Scholes dan dana hasil penjualan Anderson dan Nani akan digunakan bos United itu untuk membeli pemain tengah baru Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!

BUTTNER GUGAT POSISI EVRA


Tempat Patrice Evra selaku bek kiri Manchester United kian tergugat selepas Sir Alex Ferguson diberitakan sedang mempertimbangkan untuk memberi peluang buat Alexander Buttner melakukan penampilan pertamanya ketika menentang Wigan Athletic hujung minggu ini. Prestasi Evra sejak kebelakangan ini sering menjadi perhatian utama Ferguson dan pemain antarabangsa Perancis itu sendiri tanpa ragu-ragu menyebut kedatangan Buttner adalah untuk memberi saingan kepadanya dalam mengisi slot di posisi tersebut. Buttner ditandatangani Ferguson dari kelab Eredivisie, Vittese Arnhem dengan nilai 3.9 juta Pound sebagai pelapis Evra yang kini sudah menjangkau usia 31 tahun dan dilihat semakin perlahan. Sejak menyertai United dari AS Monaco pada 2006, tempat Evra selaku bek kiri tidak tergugat dan dia adalah pilihan automatik di posisi tersebut sepanjang enam tahun kariernya di Old Trafford. Biarpun turut memiliki Fabio da Silva (Fabio kini dipinjamkan ke QPR), Evra kekal selaku pilihan utama Ferguson yang menyaksikan dia sudah beraksi keseluruhan 295 penampilan dalam kesemua pertandingan untuk United. Untuk rekod, musim lalu Evra bermain sebanyak 37 perlawanan liga dan hanya terlepas satu perlawanan ketika United berdepan Everton di Goodison Park. Glory Glory Manchester United!!!

11 September 2012

EVANS BERDEPAN KECEDERAAN LEBIH SERIUS


Situasi terkini kecederaan Jonny Evans tentunya mengundang resah buat Sir Alex Ferguson selepas pemain pertahanan itu mengakui dia bermain dalam kesakitan ketika turun mewakili skuad kebangsaan Ireland menentang Russia hujung minggu lalu. Pertahanan tengah itu yang bergelut dengan kecederaan buku lali mendakwa dia terpaksa bergantung kepada suntikan penahan sakit dalam perlawanan itu yang berkesudahan Ireland tewas dengan jaringan 0-2. Perkembangan ini tentunya bakal mencetus kemarahan Ferguson yang berdepan krisis kecederaan pemain di barisan belakang selepas kehilangan khidmat Phil Jones dan Chris Smalling untuk jangkamasa panjang. Biarpun sudah memperolehi semula khidmat Rio Ferdinand yang diturunkan ketika United menang 3-2 ke atas Southampton, kehilangan Evans tetap sesuatu yang cuba dielakkan Ferguson. Berbeza dengan sikap Ferguson yang cukup berhati-hati dalam menangani masalah kecederaan Evans, Ireland pula sebaliknya dijangka terus menggunakan khidmat pemain pertahanan itu untuk perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 mereka menentang Luxembourg di Windsor Park malam ini. Evans masih belum merasai aksi liga setakat ini kerana Ferguson mahu memberi ruang buat pemain itu pulih dari kecederaan, namun kudratnya terus ditagih skuad kebangsaan Ireland biarpun berdepan risiko kecederaan yang lebih serius. Evans memang diketahui masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan dan jika sesuatu yang buruk berlaku kepadanya dalam perlawanan menentang Luxembourg nanti, United bakal berdepan satu lagi prospek kecederaan jangka masa panjang di benteng mereka selepas apa yang melanda Jones dan Smalling. Semoga situasi di mana Michael Carrick terpaksa dikerah mengisi posisi pertahanan tengah sepertimana pada dua perlawanan awal liga tidak berulang dan Evans pula pulang ke Old Trafford dengan keadaan cergas sepenuhnya. Glory Glory Manchester United!!!

09 September 2012

JONES DIKETEPIKAN SELAMA DUA BULAN


Manchester United mengumumkan pemain pertahanan, Phil Jones akan diketepikan selama dua bulan selepas menjalani pembedahan lututnya semalam. Jones cedera ketika sesi latihan dan imbasan yang dijalankan selepas itu menunjukkan dia terpaksa berehat untuk tempoh yang panjang. Jones sudah terlepas aksi dalam tiga perlawanan awal United musim ini yang menyaksikan The Red Devils berdepan krisis kecederaan di benteng pertahanan mereka pada awal musim. Selain Jones, United turut gagal menggunakan khidmat Jonny Evans, Chris Smalling dan Rio Ferdinand pada perlawanan awal musim hingga menyaksikan pemain tengah Michael Carrick terpaksa mengisi kekosongan di bahagian tengah pertahanan. Jurucakap kelab mengatakan pertahanan berusia 20 tahun itu akan menjalani sesi pemulihan selama enam hingga lapan minggu sebelum boleh beraksi semula. Ini adalah berita buruk buat Jones yang menyertai United dari Blackburn Rovers musim lalu kerana sebelumnya dia juga terpaksa diketepikan dari skuad kebangsaan England di Kejohanan Euro 2012. Bukan hanya terlepas aksi dalam saingan liga, Jones turut diketepikan dalam kempen kelayakan Piala Dunia England dan dijangka hanya akan kembali semula pada November nanti. Di peringkat domestik, Jones akan terlepas aksi penting United menentang Liverpool, Chelsea dan Arsenal, manakala skuad kebangsaan England pula tidak dapat menggunakan khidmat Jones ketika mereka menentang San Marino dan Poland bulan hadapan. Di samping itu, Jones juga bakal terlepas aksi tiga perlawanan awal peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Galatasaray, Braga dan CFR Cluj. Selain Jones, United juga kehilangan khidmat Chris Smalling untuk jangkamasa panjang selepas tulang metatarsal pemain itu patah, namun Rio Ferdinand sudah beraksi dalam saingan liga minggu lalu ketika mereka menang ke atas Southampton manakala Jonny Evans juga sudah pulih sepenuhnya dan bersedia merasai aksi pertamanya musim ini. Glory Glory Manchester United!!!

KENAPA FERGIE BERTEMU PEP DI NEW YORK?


Perkhabaran dari media-media di Sepanyol melaporkan bahawa Sir Alex Ferguson berlepas ke Now York untuk bertemu bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola minggu lalu. Akhbar El Mundo Deportivo melaporkan bahawa Ferguson dan Guardiola tidak menghadiri forum jurulatih dan pengurus elit anjuran UEFA di Nyon, Switzerland pertengahan minggu lalu biarpun mendapat undangan dari bandan induk bolasepak Eropah itu. El Mundo Deportivo juga melaporkan tujuan utama Ferguson yang sanggup berlepas ke New York untuk bertemu dengan Guardiola ialah bagi membincangkan tentang calon penggantinya di Old Trafford. Ferguson dikatakan mahu Guardiola menggantikannya sebagai pengurus Manchester United sekiranya dia (Ferguson) mengambil keputusan untuk bersara hujung musim ini. Reputasi Guardiola ketika mengendalikan Barca selama empat tahun menyebabkan Ferguson merasakan warga Sepanyol itu adalah calon paling untuk menggantikan tempatnya. Biarpun cemerlang ketika mengemudi Barca dengan pelbagai kejuaraan yang diraihnya selain menewaskan United sebanyak dua kali di pentas final Liga Juara-Juara (2009 dan 2011), Guardiola mengambil keputusan drastik meninggalkan kelab Catalan itu penghujung musim lalu. Tekanan selaku jurulatih Barca adalah penyebab utama mengapa Guardiola mengumumkan pengundurannya sebelum mempertimbangkan tempoh setahun untuk kembali semula kearena pengurusan/kejurulatihan bolasepak. Glory Glory Manchester United!!!

08 September 2012

ROONEY INGIN TAMATKAN KARIER BERSAMA UNITED


Persoalan tentang masa depan kariernya bersama Manchester United, kecederaan awal musim hingga menyaksikannya terpaksa diketepikan selama hampir dua bulan dan hubungan dengan Sir Alex Ferguson, menjadikan permulaan musim ini sebagai antara yang paling sukar buat Wayne Rooney. Di sebalik semua persoalan dan spekulasi yang ditimbulkan, Rooney sebaliknya berkata dia gembira bersama The Red Devils dan mensasarkan untuk menamatkan kariernya di Old Trafford. "Bolehkah saya berada di sini (Old Trafford) untuk tempoh 10 tahun lagi? Saya harap begitu. Selagi penyokong mahu melihat saya kekal sebagai pemain United, maka itulah yang akan saya lakukan. Mudah-mudahan saya akan terus berada di sini untuk tempoh yang panjang. Ini adalah kelab yang hebat dan secara jujurnya ke mana lagi anda boleh pergi selain kelab ini", kata Rooney. Kini Rooney hanya perlu melihat individu di sekelilingnya dalam bilik persalinan United dan kemudian melihat bagaimana caranya untuk terus melanjutkan kerjayanya bersama United seberapa lama yang boleh. Ryan Giggs dan Paul Scholes adalah individu yang boleh dijadikan contoh terbaik buat Rooney tentang bagaimana mereka boleh terus kekal berbakti bersama kelab bermula dari zaman remaja hinggalah sekarang. Permulaan yang buruk buat Rooney apabila aksi hambarnya ketika menentang Everton pada perlawanan pembukaan menyaksikan dia diletakkan dibangku simpanan ketika menentang Fulham pada perlawanan kedua. Rooney dimasukkan di penghujung babak kedua namun tidak lama selepas itu mengalami kecederaan serius hingga menyaksikan dia terpaksa diusung keluar padang dan tidak akan beraksi selama dua bulan. Rooney menjangkakan dia akan kembali beraksi penghujung bulan ini namun kehadiran Robin Van Persie dan prestasi terkini bekas penyerang Arsenal itu menjadikan Rooney bukan lagi pilihan automatik dalam kesebelasan utama United. Adalah diharapkan selepas Rooney kembali beraksi semula nanti, dia akan lebih bersedia untuk bersaing dengan Van Persie, Javier Hernandez dan Danny Welbeck dalam perebutan slot di bahagian hadapan United. Hubungan dingin sepertimana yang digembar-gemburkan media berlaku antara Rooney dan Ferguson sedikit sebanyak meresahkan penyokong-penyokong United. Sesetengah penyokong mulai bimbang episod Oktober 2010 akan berulang kembali ketika Rooney meminta meninggalkan Old Trafford sebelum ditawarkan kontrak baru yang lebih lumayan. Kemelut ketika itu berlanjutan hingga Rooney digugurkan dari skuad bagi pertembungan dengan Blackburn Rovers pada perlawanan tahun baru selain didenda kerana berparti pada hari `Boxing Day' bersama-sama rakan sepasukan Jonny Evans dan Darron Gibson. Mengulas tentang episod itu, Rooney mengatakan ia merupakan kesilapan besar yang dilakukannya. "Saya sedar selepas melakukan kesilapan itu dan mahu memperbetulkan keadaan. Dalam tempoh 12 jam akhirnya saya menandatangani kontrak baru", jelas Rooney lagi. Kini Rooney berazam membantu United merampas kembali mahkota kejuaraan liga dari seteru setempat mereka, Manchester City sekaligus memadamkan memori buruk pada perlawanan terakhir liga musim lalu. Rooney mengakui bahawa dia masih dihantui jaringan Sergio Aguero di masa kecederaan ke atas QPR di Etihad yang menyaksikan City mengesahkan kejuaraan liga milik mereka hasil perbezaan jaringan gol. United pernah tewas kepada Chelsea dalam perebutan kejuaraan liga dengan hanya perbezaan satu mata, namun tewas kepada City menerusi perbezaan jaringan gol pada perlawanan terakhir liga adalah sesuatu yang cukup dahsyat buat Rooney. Glory Glory Manchester United!!!

06 September 2012

SANTOS NAFI SPEKULASI TAWARAN UNITED TERHADAP NEYMAR


Khabar tentang minat Manchester United terhadap penyerang Brazil, Neymar dinafikan kelab pemain itu Santos. Semalam, The Sun melaporkan United berminat membawa Neymar ke England dengan tawaran sebanyak 38 juta Pound pada hari terakhir jendela perpindahan pemain dibuka. Jika benar apa yang didakwa akhbar itu dan tawaran United diterima Santos, perpindahan Neymar akan menjadi pembelian termahal United mengatasi apa yang mereka bayar ketika membawa Dimitar Berbatov dari Tottenham Hotspurs pada 2008. Walau bagaimanapun usaha United itu menemui kegagalan selepas Neymar menegaskan dia ingin kekal beraksi di Brazil hingga Piala Dunia 2014. Spekulasi itu bagaimanapun dinafikan Pengerusi Santos, Filipe Faro yang mengatakan apa yang digembar-gemburkan oleh media-media di England sebagai tidak benar. "Saya tidak tahu bagaimana berita itu muncul, ia tidak benar sama sekali" kata Faro. Neymar merupakan antara pemain bolasepak paling diburu di dunia. Kehebatannya yang berjaya menjaringkan 113 gol dari 190 penampilan bersama Santos menarik kelab-kelab gergasi Eropah lain seperti Real Madrid dan Barcelona untuk mendapatkan khidmatnya. Walau bagaimanapun, pemerhati dan peminat bolasepak terpaksa menunggu hingga berakhirnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil untuk menyaksikan kelab Eropah mana yang akan disertai bintang sensasi skuad Samba itu. Glory Glory Manchester United!!!

HENRIQUEZ SERTAI UNITED SECARA RASMI


Manchester United membawa seorang lagi penggempur musim ini selepas secara rasmi mengikat penyerang muda dari Chile, Angelo Henriquez semalam. Pemain berusia 18 tahun itu akhirnya berjaya mencapai impiannya untuk menyertai United selepas permohonan visa dan permit kerjanya diluluskan. Henriquez pada mulanya dijangka menandatangai kontrak secara rasmi pada penghujung bulan Ogos, namun masalah kelulusan visa dan permit kerja menyaksikan proses perpindahan bekas pemain Universidad de Chile itu tergendala. Henriquez akan menggunakan jersi nombor 21 dan buat permulaan pemain itu akan menyertai skuad U-21 United bagi menimba pengalaman dan merasai suasana saingan bolasepak England. Henriquez dalam kenyataannya mengatakan bahawa dia gembira proses perpindahan itu akhirnya berjaya dilaksanakan dan tidak sabar bermain untuk The Red Devils. "Saya gembira menyertai kelab terbesar di dunia. Manchester United adalah kelab yang luar biasa dan memiliki pengurus yang hebat", kata Henriquez. Sir Alex Ferguson tertarik dengan kemampuan Henriquez ketika mewakili Universidad di mana pemain itu menjaringkan 11 gol dari 17 penampilan bersama kelab Chile itu. Kepantasan dan kemampuan membaca permainan buat pemain muda sepertinya nyata mengagumkan Ferguson hingga mendorong bos United itu menghantar wakil ke Chile untuk memancing bintang muda itu ke Old Trafford. Reputasi Ferguson dalam mengembangkan bakat-bakat muda menjadi faktor utama mendorong Henriquez memilih Old Trafford sebagai destinasi untuknya mengembangkan karier walaupun bakatnya turut menjadi perhatian jiran United, Manchester City. Glory Glory Manchester United!!!

05 September 2012

SENARAI PEMAIN KE LIGA JUARA-JUARA 2012/13



Manchester United telah memilih 25 pemain untuk kempen mereka di Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Darren Fletcher yang bertarung dengan penyakit usus kronik juga turut disenaraikan dalam kempen kali ini. United diletakkan dalam Kumpulan H yang turut dihuni Galatasaray (Turki), Sporting Braga (Portugal) dan CFR Clug (Romania). Perlawanan pertama United dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini ialah menentang Galatasaray di Old Trafford pada 20 September. Keseluruhannya United menyenaraikan 33 pemain termasuk dari skuad Liga Simpanan mereka. Berikut adalah senarai pemain-pemain untuk saingan Liga Juara-Juara 2012/13:

Penjaga Gol: David de Gea, Anders Lindegaard & Sam Johnstone*

Pertahanan: Rafael da Silva, Phil Jones, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Nemanja Vidic, Alexander Buttner, Marnick Vermijl* & Michael Keane*

Tengah: Antonio Valencia, Ryan Giggs, Michael Carrick, Ashley Young, Paul Scholes, Tom Cleverley, Darren Fletcher, Shinji Kagawa, Nick Powell, Larnell Cole*, Jesse Lingard* & Ryan Tunnicliffe*

Penyerang: Wayne Rooney, Javier Hernandez, Danny Welbeck, Robin Van Persie, Federico Macheda* & Joshua King*

Nota: * adalah pemain dari skuad Liga Simpanan

04 September 2012

UNITED DAN CITY SERIUS PANTAU SITUASI TERKINI CR7


Manchester United dan Manchester City diberitakan sedang bersiap sedia memantau perkembangan terkini pergolakan yang berlaku antara Cristiano Ronaldo dan kelabnya Real Madrid. Ronaldo menunjukkan reaksi tidak gembira selepas membantu kelabnya menewaskan Granada 3-0 dalam perlawanan liga kelmarin biarpun dia menjaringkan dua gol sekaligus koleksi gol ke-150 untuk kelab dalam perlawanan tersebut. Ronaldo mendakwa dia kurang gembira kerana `isu profesionalisme' dan situasi ini mengundang berbagai reaksi dari pihak luar mahupun pihak pengurusan Real Madrid sendiri. Paling menarik ialah komen dari bekas pemain antarabangsa Portugal, Paulo Futre yang mendakwa tindakan dilakukan Ronaldo itu bukanlah bertujuan mahu mendapatkan kontrak baru yang lumayan dari Real Madrid, tetapi sebaliknya Ronaldo merasakan dirinya kurang mendapat sokongan dari pihak kelab. Bagi bekas pemain Real Madrid, Roberto Carlos pula, reaksi yang ditunjukkan Ronaldo mungkin berkaitan dengan kekecewaannya tewas kepada Andres Iniesta dalam pemilihan Pemain Terbaik Eropah. Menurut berita-berita yang diterbitkan di Sepanyol, pemain berusia 27 tahun itu sudahpun menyampaikan hasratnya kepada Florentino Perez (Presiden Real Madrid) untuk berhijrah dari Santiago Bernabeu. Pihak Real sendiri sudahpun memanggil agen pemain itu, Jorge Mendes untuk mengetahui situasi sebenar yang dialami Ronaldo. "Saya tidak akan bercakap tentang perkara ini dan hanya akan menumpukan kepada pasukan kebangsaan Portugal. Pihak pengurusan kelab tahu tentang perkara ini. Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi kerana ada perkara yang lebih penting perlu saya lakukan", kata Ronaldo berkaitan hubungan dengan Real Madrid ketika ini. Sir Alex Ferguson yang begitu berat melepaskan bintang Portugal itu dari meninggalkan Old Trafford pada 2009 kini berpeluang bekerjasama semula dengan Ronaldo selepas situasi terkini berlaku antara Pemain Terbaik FIFA 2008 itu dengan kelabnya. Jiran United, City juga dikatakan serius memantau situasi ini dan merasakan mereka mempunyai kemampuan terutamanya dari segi kewangan untuk membawa Ronaldo kembali beraksi di England. Glory Glory Manchester United!!!

03 September 2012

PUJIAN BUAT VAN PERSIE


Hatrik Robin Van Persie membuatkan Sir Alex Ferguson tersenyum, apatah lagi perlawanan menentang Southampton malam tadi merupakan perlawanan istimewa buat pengurus United itu. Kunjungan ke Stadium St Mary merupakan perlawanan ke-1000 buat Ferguson sebagai pengurus United dan tambah manis apabila menyaksikan skuadnya bangkit selepas ketinggalan dua kali kepada tuan rumah untuk mambawa pulang tiga mata penuh. Van Persie nyata menjadi igauan buat Southampton selepas penyerang antarabangsa Belanda itu menafikan hajat tuan rumah untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini. Sebaik tamat perlawanan, Ferguson pantas memuji penampilan penyerang barunya itu. "Tentu saja Van Persie bermain dengan begitu fantastik, namun kemasukkan Paul Scholes benar-benar mengubah permainan kami", kata Ferguson. Scholes masuk menggantikan Tom Cleverley diminit ke-61 ketika United ketinggalan 1-2 kepada tuan rumah, dan kelibat bintang veteran itu ternyata berjaya mengubah rentak permainan secara keseluruhannya. Dalam tempoh yang singkat Scholes menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada pada dirinya untuk mengubah situasi dan gerakan serta hantaran veteran itu kepada barisan hadapan United menghadirkan masalah buat benteng tuan rumah. Bagaimanapun pujian pastinya ditujukan buat Van Persie yang tampil luar biasa dengan jaringan hatriknya malam tadi. Glory Glory Manchester United!!!

REVIEW: HATRIK RVP PADA PERLAWANAN ISTIMEWA FERGIE


Robin Van Persie muncul bintang utama pada perlawanan istimewa ke-1000 Sir Alex Ferguson sebagai pengurus United apabila menjaringkan hatrik di Stadium St Mary malam tadi. United bangit menewaskan Southampton 3-2 selepas ketinggalan dua kali kepada tuan rumah sekaligus mengulangi pencapaian buruk The Saints dalam tempoh 11 tahun yang gagal mengutip sebarang mata pada tiga perlawanan awal liga. Hatrik yang dirakam Van Persie turut menyaksikan bekas penyerang Arsenal itu sudah menjaringkan 100 gol dalam penampilan liga selain meletakkan beliau berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak bersama penyerang Swansea, Michu dengan 4 gol. Perlawanan berlangsung agak seimbang dengan bola lebih banyak tertumpu di bahagian tengah padang. United dikejutkan dengan jaringan Rickie Lambert di minit ke-16, namun penyudah kelas dunia Van Persie tujuh minit kemudian kembali mengikat kedudukan. Di separuh masa kedua, The Saints sekali lagi berada di hadapan hasil tandukan Morgan Schneiderlin di minit ke-55 yang memanfaatkan kesilapan Patrice Evra selepas pertahanan kiri United itu tergelincir. United berpeluang menyamakan kedudukan diminit ke-69 apabila pengadil Mike Dean menghadiahkan sepakan penalti selepas Van Persie dikasari Jos Hooiveld. Bagaimanapun sepakan lemah Van Persie berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kelvin Davis. Di penghujung saingan United berdepan kemungkinan pulang dengan tangan kosong selepas asakan bertali arus mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan tuan rumah hinggalah Van Persie muncul wira dengan dua jaringan dalam tempoh lima minit. Gol diminit ke-87 dan 92 itu sudah cukup untuk memastikan United pulang dengan tiga mata penuh dan gol ketiga Van Persie pula merupakan koleksi gol ke-100 pemain itu dalam kancah Liga Perdana. Kemenangan ini juga melonjakkan United di tangga kelima liga dengan enam mata dari tiga perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!

02 September 2012

PREVIEW: SOUTHAMPTON lwn MANCHESTER UTD



Sir Alex Ferguson akan mengendalikan perlawanan ke-1000 untuk Manchester United hari ini ketika pasukannya berkunjung ke Stadium St Mary menentang Southampton pada perlawanan liga ketiga mereka musim ini. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada Januari 2011 dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA, di mana United menewaskan tuan rumah 2-1 hasil jaringan Michael Owen dan Javier Hernandez. Kelibat Shinji Kagawa dan Robin Van Persie pasti sekali lagi menjadi tumpuan pada perlawanan malam ini selepas kedua-duanya berjaya menjaringkan gol sulung masing-masing untuk United ketika menang ke atas Fulham minggu lalu. Van Persie bakal menggalas tugas sebagai penggempur utama selepas ketiadaan Wayne Rooney yang terpaksa diketepikan selama 2 bulan kerana kecederaan. Bagi tuan rumah pula, perlawanan ini cukup penting buat mereka selepas gagal mengutip sebarang mata pada dua perlawanan terdahulu. Keupayaan The Saints memberikan tentangan sengit kepada juara bertahan, Manchester City sebelum terpaksa mengalah hasil jaringan kemenangan Samir Nasri perlu diberi perhatian barisan The Red Devils. Benteng pertahanan United sekali lagi menjadi fokus utama selepas mereka kehilangan khidmat Rio Ferdinand, Chris Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans di awal musim hingga memaksa Ferguson menggunakan Michael Carrick di bahagian tengah pertahanan. Apapun malam ini, khidmat Jonny Evans dijangka boleh digunakan Ferguson untuk diletakkan bersebelahan Vidic selepas pemain itu diberitakan sudah pulih dari kecederaan. Bagaimanapun Evans perlu segera memulihkan semula prestasinya berikutan pemain pertahanan itu sudah tidak beraksi agak lama. Rekod empat pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Stadium St Mary ternyata memihak United apabila mereka menang tiga dari empat pertemuan terakhir. Southampton perlu mengelak dari mengalami kekalahan ketiga mereka di awal musim dalam tempoh 11 tahun dan tugas mereka tampak sukar tatkala berdepan skuad Ferguson yang semakin bersemangat selepas berjaya meraih tiga mata minggu lalu. Rekod juga mengunjukkan United tidak tewas dalam 16 perlawanan mereka ketika berdepan pendatang baru Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Michael Carrick, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Tom Cleverley, Paul Scholes, Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Nani & Robin Van Persie