Manchester United akan menanti kunjungan Newcastle United dalam perlawanan pusingan ketiga Piala Capital One (dulu dikenali sebagai Piala Carling) di Old Trafford awal pagi nanti. Faktor sebagai tuan rumah menjadi kelebihan buat United dalam perlawanan ini apatah lagi The Magpies mempunyai rekod buruk apabila tidak pernah menang dalam tempoh 40 tahun setiap kali beraksi di Theatre of Dreams. Selepas gagal meraih sebarang kejuaraan musim lalu, Sir Alex Ferguson tentunya menjadikan kejohanan ini sebagai permulaan untuk menebus kegagalan itu walaupun kejuaraan ini dianggap sebagai kejuaraan kelas tiga di England. Selepas diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada lawan sama dalam perlawanan liga di Sports Direct Arena musim lalu, barisan United tentunya mempunyai satu lagi sebab untuk memenangi perlawanan ini. Dengan deretan bintang yang mengalami kecederaan Ferguson dijangka bakal memberi peluang buat pemain-pemain muda tampil awal pagi nanti. Alexander Buttner dan Nick Powell bakal mengisi kesebelasan utama United manakala Darren Fletcher pula dijangka melakukan penampilan pertama dalam kesebelasan utama selepas diketepikan hampir 10 bulan kerana masalah usus. Bagi pelawat pula, Fabricio Coloccini dan Chieck Tiote dijangka kembali memperkuatkan pasukan selepas diketepikan dalam kempen Liga Europa kerana masalah kecederaan. Coloccini yang menjalani rawatan dengan pasukan perubatan skuad kebangsaan Argentina sudah pulih dari masalah hamstring manakala Tiote pula disahkan bebas dari kecederaan betis, bakal menjadi tunjang kekuatan The Magpies dalam perlawanan ini. Alan Pardew dijangka memberi peluang buat penjaga gol keduanya, Rob Elliot tampil di Old Trafford selepas Tim Krul mengalami kecederaan siku. Biarpun penjaga gol Belanda itu dikatakan sedia diturunkan, namun Pardew pastinya tidak akan mengambil risiko menurunkan penjaga gol utamanya itu. Selain Krul, Danny Simpson turut akan diketepikan dan dijangka kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan liga hujung minggu ini. Untuk rekod ini adalah merupakan perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan dalam kejohanan ini sejak dipertemukan pada 1994. Ketika itu The Magpies berjaya mengatasi United dengan keputusan 2-0. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Antonio Valencia, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Alexander Buttner, Darren Fletcher, Nick Powell, Tom Cleverley, Javier Hernandez & Danny Welbeck
Barisan Kemungkinan Newcastle:
Rob Elliot, James Perch, Mike Williamson, Steven Taylor, David Santon, Dan Gosling, Chieck Tiote, Gael Bigirimana, Gabriel Obertan, Shola Ameobi & Romain Amalfitano
Tiada ulasan:
Catat Ulasan