16 September 2012

REVIEW: UNITED LEBARKAN PENGUASAAN KE ATAS WIGAN DI OLD TRAFFORD


Manchester United melebarkan rekod tanpa kalah mereka ke atas Wigan Athletic di Old Trafford kepada lapan perlawanan selepas mereka menang 4-0 semalam. The Red Devils sepatutnya mendahului seawal minit ke-4 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Danny Welbeck dijatuhkan Ali El-Habsi namun sepakan Javier Hernandez berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat itu. Selepas itu United mencipta beberapa peluang terutamanya melalui Welbeck tetapi percubaa-percubaan penyerang antarabangsa England itu sering tersasar. Nani juga berpeluang meletakkan United di hadapan namun sepakan lambungnya gagal menepati sasaran biarpun El-Habsi sudah tertewas dan kedudukan kekal 0-0 hingga tamat separuh masa pertama. United lebih garang di separuh masa kedua dan hasilnya mereka berjaya mendahului pelawat diminit ke-51 hasil jaringan bintang veteran, Paul Scholes. Gol itu berpunca dari hantaran rendah Nani di sebelah kiri pintu gol lawan yang gagal ditepis kemas El-Habsi dan memudahkan Scholes menolak masuk dari jarak dekat. Diminit ke-63, United melebarkan kedudukan mereka selepas Hernandez berjaya melepasi perangkap offside lawan apabila menyambut rembatan dari Alexander Buttner.

Tiga minit selepas itu giliran Buttner yang membuat penampilan pertamanya untuk United selepas berpindah dari Vittese Arnhem menjaringkan gol ketiga United. Bek kiri itu yang mengambilalih tempat Patrice Evra dalam perlawanan ini melakukan larian menarik dari sebelah kiri, menewaskan beberapa pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari sudut sukar yang gagal diselamatkan El-Habsi. Pesta kemenangan United ditutup apabila seorang lagi muka baru, Nick Powell yang masuk menggantikan Paul Scholes melepaskan rembatan menarik dari luar kotak penalti hasil lorongan Hernandez. Gol jaringan Powell itu persis apa yang sering dilakukan bintang veteran United, Scholes apabila dia dengan mudah mengacah seorang pertahanan lawan sebelum dengan tenang melepaskan rembatan deras yang terus menerjah jaring lawan. Jadi tidak hairanlah jika kamera pantas menyorot kepada wajah Scholes yang berada di bangku simpanan pemain selepas gol tersebut. Kemenangan itu menyaksikan United kini mengumpul sembilan mata dan melonjak di tangga kedua liga, satu mata di belakang pendahulu liga ketika ini, Chelsea yang sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika berdepan Queens Park Rangers. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan