18 September 2012

SCHOLESY...MASIH HEBAT DI PENGHUJUNG KARIER


Paul Scholes melengkapkan penampilan ke-700 bersama Manchester United dengan menjaringkan gol pembukaan di sebalik kemenangan besar 4-0 United ke atas Wigan Athletic semalam. Perlawanan menentang Wigan itu juga cukup istimewa buat seorang lagi bintang United, Rio Ferdinand yang tampil buat kali ke-400 untuk kelab. Scholes kini menyertai dua lagi lagenda United yang berjaya tampil lebih 600 perlawanan iaitu Ryan Giggs (911 penampilan) dan Sir Bobby Charlton (758 penampilan). Scholes pemain yang cukup berbeza jika dibandingkan dengan Ryan Giggs dari segi fizikal dan corak permainan. Scholes juga mempunyai sejarah dua kecederaan lutut yang serius serta kecederaan mata dan dengan apa yang pernah dilaluinya, kejayaan mencatatkan penampilan ke 700 adalah sesuatu yang pastinya cukup luar biasa. Kini ketiga-tiga pemain ini (Giggs, Scholes dan Ferdinand) menjadi contoh buat pemain muda United yang lain tentang apa yang mereka boleh capai jika mereka sanggup berkorban untuk bola sepak. Hatrik Robin Van Persie ketika berdepan Southampton membolehkan dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, tetapi penyerang antarabangsa Belanda itu berkata Scholes ialah pemain yang sepatutnya dipilih berbanding dirinya. Memang benar apa yang dikatakan Van Persie kerana ketika United ketinggalan 1-2, Sir Alex Ferguson mengambil keputusan memasukkan Scholes diminit ke-61. Sebaik masuk menggantikan Tom Cleverley, Scholes pantas mengubah tempo permainan hingga membolehkan United menjaringkan dua gol, sekaligus memberikan kekalahan ketiga berturut-turut buat The Saints. Kata-kata Ferguson terhadap Scholes selepas tamat perlawanan di Stadium St Mary cukup untuk menggambarkan segalanya. "Selepas Paul dimasukkan, ia seperti membuka pintu ke dimensi lain. Ketepatan umpanannya berjaya mengubah tempo permainan kami manakala lawan (Southampton) pula tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi menghentikannya", kata Ferguson. Scholes sentiasa memberikan kualiti terbaiknya dalam setiap perlawanan dan menunjukkan bahawa dia masih pemain yang hebat dan berpengaruh biarpun sudah berada di penghujung karier. Langkah Ferguson memujuk Scholes untuk kembali semula dari persaraan pertengahan musim lalu nyata satu keputusan yang tepat. Ferguson memang diakui individu yang cukup berpengaruh dan berjaya mengemudi United meraih kejayaan gemilang sepanjang 26 tahun karier pengurusannya di Old Trafford. Namun Ferguson juga dikira cukup bertuah kerana dia dianugerahkan dua pemain hebat seperti Scholes dan Giggs. Pemain seperti mereka sebenarnya memudahkan lagi tugas Ferguson mengatur taktikal dan bos United itu juga cukup bertuah kerana berpeluang bekerja dengan pemain hebat seperti Scholes dan Giggs. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan