29 September 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn TOTTENHAM


Selepas mencatat kemenangan pada dua perlawanan terakhir, Andre Villas-Boas memikul tugas berat meneruskan rentak kemenangan Tottenham Hotspurs dalam saingan liga apabila bakal berdepan Manchester United di Old Trafford tengah malam ini. Bukan hanya setakat lima kemenangan berturut-turut The Red Devils dalam semua kejohanan, tetapi bekas pengendali Chelsea itu harus juga merenung semula rekod buruk Spurs setiap kali berkunjung ke Old Trafford. Semasa masih mengendalikan Chelsea, Villas-Boas juga tidak mempunyai rekod yang baik ketika berdepan Sir Alex Ferguson apabila kalah 3-1 di Old Trafford dan sekadar seri 3-3 ketika berdepan United di Stamford Bridge. Sejak Mei 2011, Spurs tidak pernah menang ketika berdepan United dan dari 27 perlawanan terakhir yang menemukan kedua-dua kelab, Spurs hanya berjaya meraih 6 keputusan seri dan selebihnya berakhir dengan kekalahan. Rekod 20 kunjungan terakhir Spurs di Old Trafford juga cukup buruk apabila mereka hanya mencatat 3 keputusan seri dan 17 kekalahan. Gawang mereka juga dibolosi United sebanyak 54 kali atau purata 2 gol dalam setiap perlawanan. Harapan Spurs tentunya bergantung kepada ketangkasan Brad Friedel di gawang yang mempamerkan aksi cemerlang ketika berdepan QPR minggu lalu. Wayne Rooney yang diturunkan ketika United menewaskan Newcastle United dalam perlawanan pusingan keempat Piala Capital One, Khamis lalu dijangka berpasangan dengan Robin Van Persie di barisan hadapan. Gandingan ini dijangka memberikan masalah besar buat lawan jika diambil kira statistik kedua-dua penggempur ini ketika berdepan Spurs. Van Persie (ketika masih bersama Arsenal) berjaya menjaringkan 5 gol dan mencatat 4 assist saat berdepan Spurs manakala Rooney pula menjaringkan 7 gol dari 8 pertemuan menentang lawan yang sama. Nemanja Vidic, Ashley Young, Phil Jones dan Chris Smalling pula masih kekal dalam senarai kecederaan. Spurs pula masih belum pasti dapat menggunakan khidmat Kyle Naughton dan Benoit Assou-Ekotto kerana diberitakan masih belum cergas sepenuhnya manakala Heurelho Gomes, Younes Kaboul, Emmanuel Adebayor dan Scott Parker diketepikan kerana masih belum pulih dari  kecederaan. Dengan pendahulu ketika ini, Chelsea berdepan tugas sukar apabila terpaksa berkunjung ke Stadium Emirates berdepan Arsenal, United perlu menggunakan peluang ini untuk mengumpul mata maksimum sekaligus memintas kedudukan The Blues di tangga teratas liga. Glory Glory Manchester United!!!

Rekod Pertemuan:

- Dari 176 perlawanan, United menang 84 perlawanan manakala Spurs pula hanya mencatat 46 kemenangan ke atas United.

- Rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Old Trafford jelas memihak United apabila dari 89 perlawanan, The Red Devils menang 59 kali, seri 16 dan kalah 14 kali.

- Spurs tidak pernah menang di Old Trafford sejak 1989, dimana pemain-pemain United seperti David de Gea, Tom Cleverley, Danny Welbeck dan Phil Jones masih belum dilahirkan ketika itu.

- Kali terakhir Spurs mengatasi United ialah pada Mei 2001 di White Hart Lane dengan jaringan 3-1.

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Michael Carrick, Tom Cleverley, Nani, Wayne Rooney, Danny Welbeck & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Spurs:

Brad Friedel, Kyle Walker, William Gallas, Steven Caulker, Jan Vertonghen, Sandro, Moussa Dembele, Aaron Lennon, Clint Dempsey, Gareth Bale & Jermain Defoe

Tiada ulasan:

Catat Ulasan