30 Julai 2020

TANPA BRUNO, UNITED TIDAK AKAN BERADA DI PENTAS LIGA JUARA-JUARA MUSIM DEPAN?



Menamatkan saingan liga di tangga ketiga bukanlah kejayaan yang terlalu besar untuk kelab seperti Manchester United, tetapi kejayaan kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara tetap satu pencapaian yang boleh dianggap `fantastis’ jika diambilkira prestasi kelab pada fasa pertama saingan liga berlangsung. Sudah tentu salah seorang `key player’ yang sering disebut-sebut menjadi punca kebangkitan United pada fasa kedua saingan liga ialah Bruno Fernandes.

 

Jika dihitung mata yang berjaya dikumpul United dalam saingan liga bermula dari 1 Februari hingga 26 Julai, mereka memungut 34 mata dari 14 perlawanan. Jumlah ini meletakkan United selaku pasukan yang memungut mata paling banyak dalam tempoh tersebut, dua mata di hadapan Manchester City di tangga kedua. 1 Februari hingga 26 Julai juga adalah tempoh dimana Bruno Fernandes melakukan penampilan untuk United selepas berpindah dari Sporting Lisbon pada hujung Januari lalu. 

 

United mengeluarkan dana sebanyak £46.6 juta ketika mereka merekrut Bruno dari Sporting Lisbon. Bagaimanapun selepas melihat prestasi cemerlangnya hingga berjaya membantu United meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara, nilai Bruno dalam pasaran perpindahan pemain kini dianggarkan mencapai £68 juta. Catatan lapan gol dan tujuh bantuan gol yang dilakukan Bruno adalah indikasi jelas impak segera yang dibawa pemain antarabangsa Portugal itu sejak ketibaannya di Old Trafford.

 

Jika mahu dibuat perbandingan catatan yang dilakukan Bruno berbanding pemain-pemain dari lima liga utama Eropah, apa yang dilakukan beliau sepanjang 14 perlawanan untuk United adalah statistik yang cukup mengagumkan. Hanya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sahaja yang memiliki catatan penglibatan gol lebih baik dari Bruno sepanjang tempoh 1 Februari hingga 26 Julai 2020.

 

Untuk rekod, Messi terlibat dalam 26 gol (11 gol dan 16 bantuan gol) untuk Barcelona, manakala di Serie A pula, Ronaldo terlibat dalam penghasilan 17 gol untuk Juventus (14 gol dan 3 bantuan gol). Meskipun di penghujung musim prestasi Bruno sedikit menurun kesan dari jadual yang padat, namun United sudah menerima pulangan setimpal dengan layak ke saingan Liga Juara-Juara hasil dari pelaburan yang mereka lakukan ke atas pemain berusia 25 tahun itu.

 

Rehat selama dua minggu sebelum barisan The Red Devils kembali bertarung di atas padang diharap cukup untuk membuatkan mereka kembali segar dan bernafsu semula. Saingan liga sudah berakhir tetapi misi United dalam kempen kompetitif mereka musim ini bakal diteruskan pada 8 Ogos nanti. Misi Bruno untuk membantu United layak ke saingan Liga Juara-Juara sudah tercapai kini fokus beliau beralih pula kepada kempen Liga Europa.

 

Percayalah dengan adanya pemain yang memiliki kualiti seperti Bruno serta beberapa pemain yang bakal direkrut Solskjaer nanti, United mampu memanaskan lagi suhu persaingan dalam perebutan kejuaraan liga musim depan. Tiada reaksi berlebihan yang dilakukan Solskjaer selepas berakhirnya aksi menentang Leicester City tempohari. Mungkin kerana beliau sedar bahawa “Kita adalah Manchester United”, dan kita cukup akrab dengan posisi sebagai juara, bukan berada di belakang juara. Glory Glory Manchester United!!!


28 Julai 2020

KETIKA DUA `LORD' MENJARINGKAN GOL PADA HARI YANG SAMA



26 Julai memang hari yang cukup istimewa buat penyokong-penyokong Manchester United. Pertama, kerana kejayaan barisan The Red Devils mengesahkan tempat mereka ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas mereka menewaskan Leicester City (2-0) di gelanggang lawan. Sebab kedua pula ialah penantian anda selama setahun tujuh bulan mahu melihat Jesse Lingard mengakhiri kemarau jaringannya dalam saingan liga berakhir selepas beliau memanfaatkan kesilapan Kasper Schmeichel untuk gol kedua United di Kings Power Stadium.

 

Sebelum aksi di Kings Power Stadium, kali terakhir Lingard menjaringkan gol ialah pada 23 Disember 2018. Dua gol yang diledak beliau ke gawang Cardiff City itu rupa-rupanya gol terakhir beliau dalam saingan liga pada musim tersebut (2018/19). Sepanjang aksi liga pada bulan Disember 2018 itu, Lingard antara pemain United paling menyerlah menerusi empat gol yang beliau jaringkan. Satu gol dijaringkan beliau ke gawang Arsenal dan Liverpool, manakala dua lagi ke gawang Cardiff City.

 

Sepanjang Disember 2018 juga, Lingard jelas berada dalam kelas tersendiri hinggakan ketika itu timbul `rumour’ yang mengaitkan minat Real Madrid untuk membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu. Woww…dikaitkan dengan projek `Galactico baharu’ tentunya merupakan satu dimensi baharu dalam karier Lingard kerana bukan calang-calang pemain yang berpeluang `digosipkan’ dengan minat dari gergasi Sepanyol itu.

 

Khabar-khabar angin tentang perpindahan beliau ke Santiago Bernabeu saya anggap satu penghormatan kepada Lingard, tetapi entah mengapa prestasi beliau tiba-tiba merudum selepas itu. Dari seorang pemain yang dicanangkan bakal digandingkan bersama Eden Hazard, Lingard kini cuma `penumpang’ dalam skuad United. Akibat dari prestasi buruknya itu, Lingard akhirnya diberikan anugerah `Lord’ oleh penyokong-penyokong United.

 

Gelaran `Lord’ itu bukanlah satu pengiktirafan tertinggi dari penyokong tetapi lebih kepada bahan jenaka untuk beliau. Selama setahun tujuh bulan sejak kejayaan beliau meledak gawang Cardiff City sebanyak dua kali, `Lord’ Lingard terus tenggelam tatkala rakan-rakan sepasukan beliau yang lebih muda seperti Mason Greenwood mencipta sensasi baharu di Old Trafford menerusi gol-gol yang dijaringkan bintang muda itu.

 

Hilang sudah kelibat seorang pemain lincah yang mampu membelah pertahanan lawan menerusi kepantasan larian-lariannya, atau menjaringkan gol-gol yang kelihatan mudah menerusi gerakan satu dua dengan rakan sepasukan yang lain. Bagaimanapun pada Ahad lalu, secara tiba-tiba `Lord’ muncul semula dalam `radar’ penjaring United di pentas liga. Sudah lama kita tidak melihat Lingard menjaringkan gol dan beliau memilih hari terakhir saingan liga untuk melakukannya.

 

Gol diminit ke-8 masa kecederaan dari Lingard itu sebenarnya bukanlah gol yang terlalu `crucial’ kerana gol yang dicari-cari United datang dari sepakan penalti Bruno Fernandes 27 minit sebelum itu. Bagaimanapun gol itu tetap penting untuk Lingard walaupun beliau antara pemain yang mungkin kita tidak akan lihat lagi aksinya bersama United musim depan.

 

26 Julai akan menjadi hari yang `istimewa’ buat kita, kerana selepas setahun tujuh bulan, kita dapat melihat kembali `fenomena’ Lingard menjaringkan gol. Dan 26 Julai juga sebenarnya hari yang sangat istimewa buat peminat bolasepak dunia kerana jauh di kota Turin, seorang lagi `Lord’ turut berhasil menamatkan kemarau gol beliau. Pemain yang saya maksudkan ialah Federico Bernardeschi.

 

Jika Lingard perlukan tempoh setahun tujuh bulan untuk mengakhiri kemarau jaringannya di saingan liga, `Lord’ Bernardeschi pula perlukan setahun sepuluh bulan untuk menjaringkan gol pertamanya di Serie A sejak kali terakhir beliau menjaringkan gol ke gawang Fosinone pada 23 September 2018. 26 Julai 2020 adalah hari yang benar-benar `gila’, kerana pada hari yang sama dunia menyaksikan dua `Lord’ berjaya menjaringkan gol. Glory Glory Manchester United!!!


27 Julai 2020

"UCL....KAMI DATANG LAGI!!!"



Mereka melalui tempoh selama 325 hari dengan berada di posisi empat teratas namun pada hari terakhir saingan liga berlangsung, Leicester City terpaksa akur mereka sekadar menamatkan saingan musim ini di tangga kelima. Kini persoalan tentang pasukan mana yang bakal mengisi dua lagi slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan sudah terjawap apabila Manchester United dan Chelsea menamatkan kempen liga mereka selaku pasukan yang berada di tangga ketiga dan keempat.

Bagi United, ini adalah pengakhiran yang sangat manis untuk mereka pada musim penuh pertama Ole Gunnar Solsjaer sebagai pengendali meskipun pada awalnya posisi empat teratas seperti agak mustahil untuk digapai. Mengingatkan apa yang berlaku sepanjang fasa pertama saingan liga berlangsung, kejayaan barisan `The Red Devils’ menamatkan saingan liga musim ini di posisi ketiga tetap satu pencapaian yang boleh kita raikan. Ganjaran kepada kejayaan ini sudah tentu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Gol menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes dan jaringan lewat permainan Jesse Lingard akhirnya menamatkan debaran dan penantian kita, akan tetapi tugas United masih belum berakhir. Tiket ke saingan Liga Juara-Juara sudah berada dalam genggaman, tetapi dalam tempoh dua minggu dari sekarang, United akan kembali bertarung untuk melunaskan misi mereka dalam saingan Liga Europa pula. Liga Europa adalah satu-satunya jalan yang tinggal untuk United menamatkan kempen mereka musim ini dengan satu kejuaraan.

Titik Kebangkitan

Bruno Fernandes adalah pemain yang sering disebut-sebut menjadi punca kebangkitan United sepanjang fasa kedua saingan liga berlangsung. Sejak kekalahan mengaibkan kepada Burnley di gelanggang sendiri pada 23 Januari lalu, United kemudiannya mengharungi baki 14 perlawanan liga mereka tanpa tewas. Catatan lapan gol dan tujuh `assist’ yang disumbangkan Bruno dari 14 penampilan beliau di Liga Perdana sudah cukup untuk mengesahkan hakikat tersebut.

Perlu diakui sejak ketibaan Bruno di Old Trafford, jentera tengah United mula berfungsi semula. Sejak itu juga United mengharungi 19 perlawanan dalam semua kejohanan tanpa kalah, hinggalah tiba saat mereka disingkirkan Chelsea dalam perebutan tempat ke pentas final Piala FA.  Impak kehadiran Bruno juga dapat anda lihat di sebalik peningkatan prestasi Anthony Martial. Dengan adanya seorang pemain tengah kreatif, permainan Martial lebih `hidup’ ketika beliau mengekspoitasi ruang di belakang pertahanan lawan.

Perjuangan Yang Panjang

United tidak bermain bolasepak sebenar mereka di King Power semalam, tetapi itu bukanlah satu isu yang terlalu besar kerana akhirnya mereka berjaya menyempurnakan misi mereka dan pulang ke Old Trafford dengan posisi ketiga liga sebagai `ganjaran’. Apa yang penyokong ingin lihat ialah keputusan di akhir perlawanan, kerana United sudah berjuang untuk perebutan posisi empat teratas ini buat tempoh yang cukup panjang.

Jika anda masih ingat, United pernah terperosok di tangga ke-14 pada minggu kesembilan saingan liga berlangsung. Isu konsistensi barisan kendalian Solskjaer menyaksikan kedudukan mereka dalam carta liga lebih banyak berlegar-legar di sekitar tangga kelima dan keenam. Bermula tahun baharu, United mula mendapat momentum dan secara perlahan-lahan mereka mula menghampiri posisi Leisester dan Chelsea. Akhirnya selepas tamat aksi ke-37, United memintas kedudukan Leicester dan Chelsea hasil keputusan seri ketika berdepan West Ham di gelanggang sendiri.

Penutup

Pertarungan untuk perebutan posisi empat teratas memang sangat melelahkan dan mendebarkan, tetapi kini ianya telah berakhir. Kemenangan di Kings Power Stadium semalam akhirnya meleraikan penantian kita yang begitu panjang dan United menamatkan kempen liga mereka musim ini dengan kembali semula beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Simpati untuk Jamie Vardy yang berjaya memenangi anugerah kasut emas selaku penjaring terbanyak tetapi gol-gol yang dijaringkan beliau gagal membawa Leicester bersaing di Liga Juara-Juara. Simpati juga untuk Brendan Rodgers yang skuad kendaliannya sudah berada di posisi empat teratas hampir sepanjang musim, tetapi pada hari terakhir mereka terpaksa akur menamatkan saingan liga di tangga kelima.

Kempen Liga Perdana sudah berakhir, tetapi masih ada misi yang perlu diselesaikan barisan `The Red Devils’ musim ini. Fokus seterusnya akan beralih pula kepada saingan Liga Europa, pentas dimana United memiliki potensi untuk menjulang trofi tersebut buat kali kedua. United sudah mengetuk pintu Liga Juara-Juara, tetapi menutup kempen musim ini dengan trofi Liga Europa adalah satu penamat yang sempurna pada musim penuh pertama Solskjaer selaku pengendali. “UCL!!!...Kami datang lagi!!!”…Glory Glory Manchester United!!!

23 Julai 2020

UNITED KINI NOMBOR 3



Sebelum perlawanan seri bukanlah keputusan yang kita inginkan, tetapi selepas perlawanan satu mata yang berjaya dikutip menyaksikan Manchester United kini naik dua anak tangga untuk berada di posisi ketiga liga. Tewasnya Leicester City dan kemudiannya Chelsea, membolehkan United masuk ke kelompok empat teratas sekaligus menyaksikan persaingan untuk merebut dua slot ke saingan Liga Juara-Juara akan ditentukan hingga ke perlawanan terakhir liga.

United dan Chelsea terikat dengan 63 mata selepas mengharungi 37 perlawanan, namun perbezaan jumlah jaringan yang besar meletakkan The Red Devils di belakang Liverpool dan Manchester City dalam carta liga. Sekali lagi isu kecergasan pemain akibat jadual yang begitu padat akhirnya menjejaskan prestasi keseluruhan United di atas padang. Sempat ketinggalan menerusi penalti yang disempurnakan Michail Antonio, United bangkit mengikat kedudukan menerusi gol penyamaan Mason Greenwood di babak kedua.

Satu Keajaiban

Sejak kekalahan 0-2 kepada Burnley di Old Trafford pada 23 Januari lalu, United ketinggalan 16 mata di belakang Leicester City yang ketika itu berada di tangga ketiga liga. Sejak kekalahan itu jugalah United sudah mengharungi 13 perlawanan liga tanpa kalah dan akhirnya awal pagi tadi mereka berjaya memintas dua pasukan (Leciester City dan Chelsea) yang menjadi pesaing mereka untuk slot ke saingan Liga Juara-Juara.

Menyaksikan posisi United dalam carta liga pada bulan Januari, anda pastinya tidak akan percaya bahawa mereka mampu berada pada kedudukan sekarang. Apa yang berlaku ketika ini boleh dianggap satu keajaiban untuk United yang sejak Januari lalu secara perlahan-lahan mula memberikan cabaran kepada Leicester City dan Chelsea dalam persaingan untuk perebutan posisi empat teratas liga. 

United Yang Kepenatan

Berbanding West Ham, United cuma memiliki tempoh rehat selama dua hari sebelum turun beraksi dalam perlawanan ini. Kali terakhir anak-anak buah David Moyes turun beraksi ialah pada 18 Julai lalu ketika mereka menundukkan Watford (3-1) di gelanggang sendiri. Berbanding West Ham, United pula terpaksa mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.

Akhirnya kesan yang cukup besar boleh anda lihat dalam perlawanan ini. Tatkala pemain-pemain lawan begitu agresif melakukan duel, United pula bergelut untuk bermain pada tahap terbaik mereka. Melihat kepada situasi yang dialami United sejak akhir-akhir ini, satu mata yang berjaya mereka kutip awal tadi tetap satu keputusan yang boleh dianggap positif, apatah lagi tangga ketiga liga kini menjadi milik mereka.

Perlu Rekrut Baru

Solskjaer hanya melakukan dua penggantian pemain dari lima pertukaran yang boleh beliau lakukan dalam perlawanan ini. Adakah apa yang berlaku awal pagi tadi menunjukkan bahawa beliau ragu-ragu dengan kemampuan pemain yang berada di bangku simpanannya hinggakan Solskjaer tidak berani untuk mengambil risiko dengan melakukan perubahan kepada susunan pemain terbaik pilihannya?

Atau adakah di mata beliau pemain seperti Daniel James, Scott McTominay, Juan Mata dan Fred tidak punya cukup kualiti tatkala United sendiri sedang berdepan isu kecergasan kesan dari jadual yang padat? Apa yang berlaku sekarang adalah pelajaran yang sangat berguna, jadi percayalah dalam masa terdekat United akan mengaktifkan pencarian dalam bursa perpindahan pemain musim panas untuk membentuk `squad depth’ mereka.

Sensasi Mason  

Gol penyamaan yang dijaringkan Mason bukan sahaja berjaya meletakkan United di tangga ketiga liga, malahan gol itu juga menyaksikan barisan kendalian Solskjaer sudah mengharungi 13 perlawanan liga tanpa kalah. Setakat ini Mason sudah menjaringkan 10 gol dalam saingan liga, sekaligus membolehkan beliau menghampiri pencapaian yang dilakukan Wayne Rooney pada musim 2004-05.

15 tahun lalu, 11 gol yang dihasilkan Rooney meletakkan beliau sebagai pemain remaja United paling produktif menghasilkan gol di peringkat liga dalam semusim. Secara keseluruhan setakat ini pula, Mason sudah menjaringkan 17 gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Catatan ini juga meletakkan Mason sebaris dengan legenda-legenda United sebelum ini seperti George Best, Brian Kidd dan Rooney.

Pada musim 1965/66, Best yang ketika itu berusia 19 tahun berjaya menjaringkan 17 gol semusim untuk United. Catatan yang sama kemudiannya berjaya dilakukan Kidd pada musim 1967/68. 37 tahun selepas itu Rooney yang melakukan perpindahan sensasi dari Goodison Park ke Old Trafford berjaya mengulangi pencapaian Best dan Kidd selaku pemain remaja United yang berhasil menjaringkan 17 gol dalam semusim.

Memandangkan United masih memiliki baki satu perlawanan liga musim ini, selain fakta bahawa mereka masih bersaing di Liga Europa, Mason berpeluang memadam catatan yang pernah dilakukan Best, Kidd dan Rooney selaku pemain remaja United paling produktif dalam semusim. Terima kasih Mason untuk gol yang anda jaringkan awal pagi tadi, kerana gol itulah akhirnya meletakkan United di posisi empat teratas. Glory Glory Manchester United!!!

22 Julai 2020

Preview: WASPADA `PUKULAN' THE HAMMERS



Kekalahan Leicester City kepada Tottenham Hotspurs telah membuka jalan yang cukup luas untuk Manchester United berada di kelompok empat teratas, dengan syarat mereka perlu menewaskan West Ham dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford awal pagi esok. Bukan itu sahaja, United juga turut berpeluang menyingkirkan Chelsea dari posisi tangga ketiga liga sekiranya barisan kendalian Frank Lampard itu keciciran mata dalam kunjungan mereka ke Anfield.

Selepas berkali-kali melepaskan peluang terbaik untuk berada di kelompok empat teratas, ini adalah masa terbaik untuk United melakukannya. Misi utama United awal pagi esok ialah pungut tiga mata biarpun dengan kelebihan margin hanya satu gol. Jika United perlukan kemenangan untuk meletakkan mereka di posisi empat teratas, West Ham pula berharap mereka mampu melakukan kejutan di Old Trafford untuk terus menjarakkan diri dari zon penyingkiran.

Formasi

Berbanding ketika aksi menentang Chelsea di peringkat separuh akhir Piala FA tempohari, Ole Gunnar Solskjaer dijangka akan kembali menggunakan empat permain pertahanan menerusi formasi 4-3-3 yang bakal beliau gunakan. Ini adalah perlawanan yang penting, jadi sudah tentu trio Anthony Martial-Marcus Rashford-Mason Greenwood akan disenaraikan semula dalam kesebelasan utama United, manakala Paul Pogba, Nemanja Matic dan Bruno Fernandes pula bertindak selaku penggerak jentera tengah.

Jika Solskjaer bakal menggunakan kembali formasi 4-3-3, David Moyes pula akan kekal dengan skema 4-5-1 yang sering digunakan beliau dengan menjadikan Jarrod Bowen, Pablo Fornals dan Michail Antonio sebagai tunjang kekuatan `The Hammers’. Antonio adalah pemain yang wajar diberikan perhatian selepas beliau menjaringkan enam gol dan mencipta satu assist dari lima perlawanan terakhir liga untuk West Ham. Dalam situasi bola mati pula, mereka memiliki Tomas Soucek, pemain yang cukup berbahaya dalam melakukan `duel’ di udara.

Situasi Sukar

Jangan pernah meremehkan West Ham meskipun mereka tidak pernah menang dalam tiga kunjungan terakhir di Old Trafford, tambahan pula United sendiri sedang bergelut dengan isu kecergasan pemain-pemain mereka berikutan jadual yang padat. Barisan The Red Devils perlu berada dalam kondisi terbaik, kerana jika tidak mereka bakal menjadi sasaran West Ham untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

Musim lalu, United berjaya menewaskan West Ham (2-1) di Old Trafford menerusi penalti yang disempurnakan Paul Pogba, manakala aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan pula menyaksikan United tewas (1-3). Mengingatkan bahawa West Ham sedang berjuang untuk kekal beraksi di Liga Perdana musim depan, mereka adalah kesebelasan yang sangat berbahaya ditambah pula dengan prestasi baik yang dipamerkan mereka dalam dua aksi terakhir.

Faktor Soucek

Moyes pernah menyebut bahawa tanpa Soucek, West Ham akan berada dalam situasi yang lebih berbahaya berbanding sekarang, semuanya kerana kemampuan pemain antarabangsa Republik Czech ini memanfaatkan peluang dalam situasi bola tinggi. Sejak tiba di London pada Januari lalu, beliau sudah menjaringkan tiga gol untuk West Ham, dan kesemuanya dihasilkannya menerusi kepala.

Ramalan Kesebelasan Utama United

Untuk perlawanan ini, Solskjaer sudah tentunya akan cuba untuk menurunkan kesebelasan utama beliau. Untuk itu, anda akan kembali menyaksikan gandingan Nemanja Matic, Paul Pogba dan Bruno Fernandes di bahagian tengah manakala di barisan hadapan pula trio Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood akan bertidak selaku penggempur.

Di barisan belakang pula, Brandon Williams akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Luke Shaw di sisi kiri pertahanan United, manakala Aaron Wan-Bissaka akan terus memainkan peranan pentingnya di sebelah kanan. Meskipun prestasinya dikritik hebat, Harry Maguire akan kekal membentuk gandingan bersama Victor Lindelof di zon tengah pertahanan United.

Apa yang menjadi persoalan sekarang adakah Solskjaer akan terus meletakkan David De Gea di posisi `nombor 1’ selepas prestasi pemain berusia 29 tahun itu hangat diperdebatkan sejak kebelakangan ini. Meletakkan atau menyingkirkan De Gea dari kesebelasan utama tetap satu perjudian yang besar yang perlu dilakukan Solskjaer, jadi sangat menarik untuk melihat apakah keputusan yang bakal beliau ambil dalam perlawanan ini.

Penutup

West Ham sepertimana yang anda tahu adalah kesebelasan yang agak fizikal corak permainan mereka. Southampton dan Chelsea sudah mendedahkan kelemahan United, jadi pendekatan sama juga bakal digunakan Moyes dalam perlawanan ini, iaitu mengarahkan para pemainnya melakukan `pressing’ ketika lawan menguasai bola.

Empat musim lalu, West Ham pernah menggagalkan usaha United untuk berada di kelompok empat teratas sekaligus layak beraksi di pentas Liga Juara-Juara. Meskipun ketika itu masih berbaki satu lagi perlawanan, Louis Van Gaal menyebut bahawa kekalahan 2-3 di Boleyn Ground menutup peluang United untuk ke Liga Juara-Juara. Berharaplah agar nasib buruk yang pernah menimpa Van Gaal tidak berulang lagi. Glory Glory Manchester United!!!

21 Julai 2020

TIBA MASANYA UNTUK PERUBAHAN



Sejak beliau mengambilalih tempat Edwin Van der Sar pada 2011, posisi David De Gea selaku penjaga gol utama United tidak tercabar hingga sekarang. Dalam tempoh itu Anders Lindegaard, Victor Valdes dan Sergio Romero sekadar pilihan kedua di belakang beliau, malahan prospek penjaga gol masa hadapan United seperti Joel Perreira dan Dean Henderson pula masih belum beroleh kesempatan untuk menyarung jersi `nombor 1’ United itu.

Pada aksi separuh akhir Piala FA menentang Chelsea, prestasi De Gea selaku penjaga gol nombor satu United sekali lagi dijadikan sasaran kritikan. Dua `blunder’ yang dilakukan beliau mengakibatkan United terlepas peluang untuk mara ke final dan cuba menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ke-13 dalam sejarah kelab. Adakah sudah tiba masanya untuk Ole Gunnar Solskjaer memberikan peluang kepada Romero mengambilalih posisi De Gea pada baki perlawanan United selepas ini?

Untuk rekod, dalam saingan Liga Perdana sahaja, De Gea muncul penjaga gol paling banyak melakukan `blunder’, iaitu sebanyak tujuh kali sejak musim 2018/19. Ketika graf keyakinan penyokong-penyokong United terhadap De Gea semakin menurun, Dean Henderson pula terus menerus menunjukkan peningkatan yang sangat signifikan di Bramall Lane. Musim ini sahaja, penjaga gol berusia 23 tahun itu sudah melakukan 13 `clean sheet’ untuk Sheffield United.

Jangan lupakan juga prospek untuk The Blades beraksi di Liga Europa musim depan, jadi sudah tentu Chris Wilder akan sedaya upaya cuba memujuk Solskjaer untuk melanjutkan tempoh pinjaman Henderson setidak-tidaknya untuk tempoh semusim lagi. Jika Solskjaer mahukan Henderson kembali semula ke Old Trafford musim depan, posisi De Gea tidak lagi selamat kerana beliau kini sudah ada pencabar baharu yang mampu menyingkirkannya selaku pemilik jersi `nombor 1’ United.

Adakah Henderson kini sudah layak untuk diberikan peluang mengawal gawang United musim depan? Sebagai perbandingan, mari kita lihat statistik De Gea dan Henderson sepanjang saingan liga musim ini.

Jumlah Penampilan:
De Gea: 36
Henderson: 34

Jumlah Percubaan Yang Dilepaskan Lawan:
De Gea: 364
Henderson: 387

Bolos:
De Gea: 35
Henderson: 29

Clean Sheet:
De Gea: 12
Henderson: 13

Penyelamatan:
De Gea: 91
Henderson: 95

Penyelamatan Dalam Petak Penalti:
De Gea: 53
Henderson: 59

Penyelamatan Di Luar Petak Penalti:
De Gea: 38
Henderson: 34

Peratus Penyelamatan:
De Gea: 72.2%
Henderson: 76.2%

Clearance:
De Gea: 16
Henderson: 26

Penyelamatan:
De Gea: 91
Henderson: 95

Jumlah Bolos Dalam Petak Penalti:
De Gea: 31
Henderson: 27

Jumlah Bolos Di Luar Petak Penalti:
De Gea: 4
Henderson: 2

Blunder Mengakibatkan Jaringan Gol:
De Gea: 3
Henderson: 1

Blunder Dari Percubaan (Termasuk Gol):
De Gea: 4
Henderson: 1

Bola Terlepas Dari Tangkapan:
De Gea: 1
Henderson: 4

Jika anda lihat dari statistik yang dikeluarkan oleh OPTA ini, sangat jelas bahawa Henderson mendahului De Gea hampir dalam semua aspek. Statistik ini juga sebenarnya jelas menunjukkan bahawa De Gea sudah terlalu jauh dari prestasi yang pernah meletakkan beliau selaku antara penjaga gol terbaik dunia.

Bagaimanapun satu hakikat yang perlu diakui ialah De Gea seorang penjaga gol yang sangat berpengalaman dan sudah terlibat dalam banyak perlawanan-perlawanan besar di peringkat kelab mahupun ketika beliau menyarung jersi skuad kebangsaan. Jika faktor ini mahu diambilkira, Henderson masih lagi terlalu jauh di belakang De Gea.

Walaupun begitu, jika tidak diberikan sebarang peluang, Henderson juga tidak akan mampu menunjukkan potensi sebenar beliau selaku penjaga gol masa depan United. Dalam situasi sekarang kita terpaksa mengakui bahawa De Gea bukan lagi yang terbaik di dunia malah mungkin juga beliau bukan lagi yang terbaik di Old Trafford.

Adakah sudah tiba masanya untuk United `berpaling’ dari beliau dan mula memberikan peluang kepada pencabar yang lebih muda untuk merebut takhta yang sudah bagitu selesa diduduki De Gea selama sembilan tahun? Solskjaer boleh bercakap apa sahaja untuk mempertahankan De Gea dari serangan kritikan kerana itu memang antara tugasnya sebagai pengurus.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, kita juga perlu mengakui bahawa sudah lebih setahun warga Sepanyol ini mengalami penurunan prestasi, dan United juga sebenarnya tidak boleh menunggu selama setahun lagi untuk melakukan perubahan. Adakah Solskjaer memiliki kekuatan untuk membawa pulang Henderson ke Old Trafford dan meletakkan beliau sebagai penjaga gol nombor satu United? Glory Glory Manchester United!!!

20 Julai 2020

KITA MEMANG PATUT KALAH



Hanya ada satu perkataan paling tepat untuk menggambarkan apa yang berlaku di Wembley awal pagi tadi…”United memang patut kalah”. Memang memedihkan tetapi apa yang dibimbangkan akhirnya berlaku juga, kerana selepas mengharungi 19 perlawanan tanpa kalah, tempoh `bulan madu’ United berakhir pada perlawanan ke-20 mereka.

Seperti yang saya sebutkan pada preview perlawanan, ancaman Chelsea tidak boleh dipandang mudah dan itulah yang mereka lakukan di Wembley meskipun tiga aksi menentang United sebelum itu mereka tewas kesemuanya. Akhirnya tiket ke pentas final Piala FA dalam genggaman mereka, dan United pula terpaksa akur bahawa Chelsea lebih layak ke final.

Dilema Ole Gunnar Solskjaer menang sudah kita fahami sebelum perlawanan lagi. Jadual yang padat dan kecergasan pemain antara fokus yang sering dibahaskan sama  ada wajarkah United `melepaskan’ sahaja perlawanan ini kepada Chelsea. Secara peribadi sebagai penyokong, kita memang mahukan agar United mara ke final dan menjulang Piala FA buat kali ke-13.

Bagaimanapun akhirnya kita juga terpaksa akur bahawa selain Piala FA, United juga memiliki misi yang sangat penting pada baki kempen mereka musim ini, iaitu merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dan menjulang trofi Liga Europa buat kali kedua. Untuk itu, Solskjaer terpaksa melakukan `rotation’ pada senarai kesebelasan utamanya demi memenuhi tuntutan jadual yang begitu padat.

3-4-1-2

Apa yang dilakukan Solskjaer dalam perlawanan ini ialah meletakkan kombinasi pemain utama dan simpanan dalam kesebelasan utamanya. Tetapi apa yang agak mengejutkan ialah apabila beliau menggunakan tiga pemain pertahanan sebagai `mirroring’ kepada skema yang sama digunakan Frank Lampard.

Strategi ini bagaimanapun bukanlah terlalu asing, kerana Solskjaer pernah menggunakan formasi 3-4-1-2 ketika United menewaskan Chelsea di Stamford Bridge pada aksi fasa kedua saingan liga. Sepertimana Solskjaer, Lampard juga mengubah pendekatan beliau dengan menggunakan tiga pemain pertahanan menerusi formasi 3-4-3 dalam perlawanan ini.

Strategi yang digunakan Solskjaer akhirnya tidak berjalan seperti yang beliau harapkan. Agak mengecewakan apabila melihat bahagian tengah tidak berfungsi dengan baik sebagai penghubung kepada barisan hadapan sekaligus menyaksikan United berdepan kesukaran untuk memecah masuk ke zon pertahanan Chelsea.

Ketika Marcus Rashford bergerak ke sisi kiri atau kanan pula, tiada bek sayap yang menyokong pergerakan beliau sekaligus menyaksikan United tidak banyak mencipta peluang dalam situasi permainan terbuka. Lampard pula nampaknya sudah banyak belajar dari tiga kekalahan beliau kepada Solskjaer sebelum ini. Sudah tentu beliau tidak lagi mahu terjerumus di lubang yang sama buat kali keempat.

`Pressing’ Chelsea

Mungkin juga Lampard sudah melihat dengan penuh teliti apa yang dilakukan Southampton ketika berdepan United, jadi taktik yang sama juga beliau terapkan dalam perlawanan ini. Apa yang berlaku dalam aksi mereka ketika berdepan Southampton berulang lagi kerana United agak bergelut mengimbangi `pressing’ yang dilakukan Chelsea ketika mereka menguasai bola.

Faktor ini jugalah yang menyebabkan United gagal menggunakan kelebihan Daniel James untuk melakukan gerakan-gerakan `counter attack’. Chelsea akhirnya berjaya mengekspoitasi sisi sayap di mana dua gol mereka berlaku dari gerakan di sisi kanan dan satu lagi gol dari gerakan yang dilakukan di sisi kiri.

Apa Dah Jadi De Gea?

David De Gea sekali lagi menjadi sorotan utama dan kali ini bukan kerana aksi penyelamatan yang dilakukannya. Agak malang untuk melihat seorang penjaga gol yang pernah memenangi anugerah `Golden Glove’ tewas dua kali menerusi jaringan yang sepatutnya mampu beliau selamatkan. Gol kedua Chelsea yang dihasilkan Mason Mount pula adalah kesilapan beliau yang membunuh terus harapan United untuk cuba melakukan kebangkitan.

Secara peribadi Solskjaer sendiri berpendapat bahawa De Gea sepatutnya mampu menyelamatkan percubaan yang dilakukan Mason Mount itu. Suka atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa dalam tempoh setahun De Gea sudah mengalami penurun prestasi meskipun dalam beberapa perlawanan ada penyelamatan-penyelamatan hebat yang berjaya dilakukannya. Timbul persoalan adakah sudah sampai masanya Solskjaer menamatkan tempoh pinjaman Dean Henderson dan membawa pulang penjaga gol muda itu ke Old Trafford musim depan?

Penutup

Melihat kepada keputusan akhir di `scoreboard’, penampilan Chelsea dalam perlawanan ini sebenarnya bukanlah terlalu istimewa. Berbanding United, ``The Blues’ akhirnya keluar sebagai pemenang kerana mereka lebih banyak `mengalirkan’ bola ke zon pertahanan lawan.

Dibantu dengan kesilapan individu pemain United, Chelsea berjaya mencipta tiga gol manakala United pula memang tidak bermain dengan baik sejak minit pertama lagi. Kekalahan ini memang sedikit menyakitkan memandangkan satu dari peluang United untuk menjulang trofi musim ini sudah tertutup, disamping rekod 19 perlawanan tanpa kalah mereka turut menemui titik nokhtahnya.

Jangan meratap terlalu lama kerana masih ada misi lain yang perlu disempurnakan selepas ini. Dua hari lagi, United akan berdepan West Ham dalam aksi liga, dan kesempatan kini terbuka luas untuk mereka menyingkirkan Leicester City dari tangga keempat selepas barisan kendalian Brendan Rodgers itu tewas (0-3) kepada Spurs awal pagi tadi.

Selain peluang untuk berada di posisi empat pasukan terbaik liga kini sudah terbuka luas, United juga masih memiliki satu lagi misi yang tidak kurang pentingnya iaitu cuba memenangi trofi Liga Europa buat kali kedua. Jadi untuk kali ini ucapkan sahaja “Selamat berjaya Chelsea” pada aksi `derby London’ di pentas final Piala FA nanti.

Menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas dan kemudiannya memenangi trofi Liga Europa tetap satu catatan yang manis pada musim penuh pertama Solskjaer di Old Trafford, asalkan para pemainnya tidak lagi melepaskan peluang yang sudah terbuka begitu luas ini. Glory Glory Manchester United!!!

19 Julai 2020

ADAKAH LAMPARD TERJATUH DI LUBANG YANG SAMA BUAT KALI KEEMPAT?



Musim ini Manchester United dan Chelsea sudah tiga kali bertemu, dan tiga kali juga Ole Gunnar Solskjaer berjaya mengatasi Frank Lampard. Bermula dengan penuh bergaya ketika mereka mencatatkan kemenangan besar ke atas The Blues (4-0) dalam aksi pertama liga di Old Trafford, United kemudiannya dua kali menakluk Stamford Bridge ketika kedua-dua pasukan berdepan di pentas Piala Liga dan pada fasa kedua saingan liga.

Awal pagi nanti, United dan Chelsea ditakdirkan bertemu sekali lagi dan apa yang menariknya adakah Lampard akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali keempat berturut-turut? Buat seketika lupakan sebentar perebutan slot ke Liga Juara-Juara kerana ganjaran yang ditawarkan kepada pemenang dalam perlawanan ini ialah tiket ke pentas final Piala FA selain peluang buat kedua-dua pasukan menamatkan kempen musim ini dengan satu kejuaraan terbuka luas.

Prestasi Semasa

Jika dilihat kepada prestasi semasa, United adalah kesebelasan pilihan dalam perlawanan ini. United masih belum tewas 19 aksi terakhir mereka, manakala penampilan barisan hadapan yang berjaya menghasilkan purata tiga gol dari lima perlawanan terakhir adalah ancaman kepada benteng Chelsea yang bolos lapan gol dari lima aksi terakhir mereka.  

Benteng Pertahanan

Meskipun benteng pertahanan United mula menjadi bahan perdebatan sejak kebelakangan ini namun dalam masa yang sama perlu diakui bahawa Harry Maguire, Victor Lindelof, Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka memainkan peranan yang cukup penting di sebalik rentetan rekod tanpa kalah United dalam 19 perlawanan.

Selepas saingan musim ini disambung semula, United mengharungi lapan perlawanan dalam semua kejohanan tanpa kalah  (menang 6 dan seri 2) dan dari jumlah tersebut gawang mereka cuma dibolosi sebanyak enam kali. Di gawang pula, David De Gea sudah melakukan empat catatan clean sheet.

Ciri Permainan United

Dari dahulu hingga sekarang, United sentiasa dikenali sebagai kesebelasan yang cukup berbahaya ketika mereka melakukan counter attack. Musim ini sahaja, dari 63 gol yang dihasilkan United dalam saingan liga, enam daripadanya dilakukan mereka menerusi skema gerakan counter attack.

Jumlah ini meletakkan United di belakang Leicester City (9), Liverpool (9) dan Tottenham (7) selaku kesebelasan yang paling banyak menjaringkan gol menerusi gerakan ini. Sementara itu, Chelsea pula adalah pasukan yang paling kerap dibolosi lawan menerusi gerakan counter attack sepanjang musim ini.

Untuk rekod, benteng pertahanan Chelsea sudah dibolosi sebanyak tujuh kali dari gerakan counter attack yang dilakukan lawan. Jumlah ini meletakkan mereka dikedudukan teratas bersama Aston Villa selaku kesebelasan yang paling banyak dibolosi lawan menerusi gerakan counter attack di Liga Perdana.

Trio 3 M

Sorotan sudah pasti tertumpu sekali kepada trio Marcus, Martial dan Mason yang begitu produktif menghasilkan gol untuk United sejak kebelakangan ini. Secara keseluruhan hingga setakat ini, trio ini sudah menjaringkan 43 gol untuk United di Liga Perdana dan 58 gol dalam semua peringkat kejohanan.

Martial sudah menjaringkan tiga gol dan menyumbang dua bantuan gol dari empat penampilan terakhir beliau, manakala Marcus pula menjaringkan tiga gol dan menyumbang satu bantuan gol dari tiga penampilan terakhirnya. Aksi menentang Crystal Palace tempohari hari adalah contoh terbaik bagaimana Marcus dan Martial bekerjasama dengan begitu baik hingga terhasilnya gol kedua United.

Memandangkan gawang Chelsea sudah dibolosi lapan gol dari lima penampilan terakhir mereka, Lampard nampaknya perlu memikirkan cara terbaik untuk cuba meneutralkan ancaman dari trio Marcus-Martial-Mason jika beliau berhasrat mengemudi kesebelasannya mara ke pentas final nanti.

Penutup

Meskipun prestasi, rekod jaringan dan momentum semasa meletakkan United sebagai kesebelasan pilihan untuk mara ke final, namun keupayaan Chelsea untuk melakukan kejutan tidak boleh pandang mudah. Selaku pengendali, Lampard juga pastinya sudah belajar sesuatu dari tiga kekalahan lalu beliau di tangan Solskjaer. Cuma persoalannya sekarang apakah strategi yang bakal beliau rencanakan agar dirinya tidak lagi terjerumus di lubang yang sama buat kali keempat. Glory Glory Manchester United!!!