21 Julai 2020

TIBA MASANYA UNTUK PERUBAHAN



Sejak beliau mengambilalih tempat Edwin Van der Sar pada 2011, posisi David De Gea selaku penjaga gol utama United tidak tercabar hingga sekarang. Dalam tempoh itu Anders Lindegaard, Victor Valdes dan Sergio Romero sekadar pilihan kedua di belakang beliau, malahan prospek penjaga gol masa hadapan United seperti Joel Perreira dan Dean Henderson pula masih belum beroleh kesempatan untuk menyarung jersi `nombor 1’ United itu.

Pada aksi separuh akhir Piala FA menentang Chelsea, prestasi De Gea selaku penjaga gol nombor satu United sekali lagi dijadikan sasaran kritikan. Dua `blunder’ yang dilakukan beliau mengakibatkan United terlepas peluang untuk mara ke final dan cuba menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ke-13 dalam sejarah kelab. Adakah sudah tiba masanya untuk Ole Gunnar Solskjaer memberikan peluang kepada Romero mengambilalih posisi De Gea pada baki perlawanan United selepas ini?

Untuk rekod, dalam saingan Liga Perdana sahaja, De Gea muncul penjaga gol paling banyak melakukan `blunder’, iaitu sebanyak tujuh kali sejak musim 2018/19. Ketika graf keyakinan penyokong-penyokong United terhadap De Gea semakin menurun, Dean Henderson pula terus menerus menunjukkan peningkatan yang sangat signifikan di Bramall Lane. Musim ini sahaja, penjaga gol berusia 23 tahun itu sudah melakukan 13 `clean sheet’ untuk Sheffield United.

Jangan lupakan juga prospek untuk The Blades beraksi di Liga Europa musim depan, jadi sudah tentu Chris Wilder akan sedaya upaya cuba memujuk Solskjaer untuk melanjutkan tempoh pinjaman Henderson setidak-tidaknya untuk tempoh semusim lagi. Jika Solskjaer mahukan Henderson kembali semula ke Old Trafford musim depan, posisi De Gea tidak lagi selamat kerana beliau kini sudah ada pencabar baharu yang mampu menyingkirkannya selaku pemilik jersi `nombor 1’ United.

Adakah Henderson kini sudah layak untuk diberikan peluang mengawal gawang United musim depan? Sebagai perbandingan, mari kita lihat statistik De Gea dan Henderson sepanjang saingan liga musim ini.

Jumlah Penampilan:
De Gea: 36
Henderson: 34

Jumlah Percubaan Yang Dilepaskan Lawan:
De Gea: 364
Henderson: 387

Bolos:
De Gea: 35
Henderson: 29

Clean Sheet:
De Gea: 12
Henderson: 13

Penyelamatan:
De Gea: 91
Henderson: 95

Penyelamatan Dalam Petak Penalti:
De Gea: 53
Henderson: 59

Penyelamatan Di Luar Petak Penalti:
De Gea: 38
Henderson: 34

Peratus Penyelamatan:
De Gea: 72.2%
Henderson: 76.2%

Clearance:
De Gea: 16
Henderson: 26

Penyelamatan:
De Gea: 91
Henderson: 95

Jumlah Bolos Dalam Petak Penalti:
De Gea: 31
Henderson: 27

Jumlah Bolos Di Luar Petak Penalti:
De Gea: 4
Henderson: 2

Blunder Mengakibatkan Jaringan Gol:
De Gea: 3
Henderson: 1

Blunder Dari Percubaan (Termasuk Gol):
De Gea: 4
Henderson: 1

Bola Terlepas Dari Tangkapan:
De Gea: 1
Henderson: 4

Jika anda lihat dari statistik yang dikeluarkan oleh OPTA ini, sangat jelas bahawa Henderson mendahului De Gea hampir dalam semua aspek. Statistik ini juga sebenarnya jelas menunjukkan bahawa De Gea sudah terlalu jauh dari prestasi yang pernah meletakkan beliau selaku antara penjaga gol terbaik dunia.

Bagaimanapun satu hakikat yang perlu diakui ialah De Gea seorang penjaga gol yang sangat berpengalaman dan sudah terlibat dalam banyak perlawanan-perlawanan besar di peringkat kelab mahupun ketika beliau menyarung jersi skuad kebangsaan. Jika faktor ini mahu diambilkira, Henderson masih lagi terlalu jauh di belakang De Gea.

Walaupun begitu, jika tidak diberikan sebarang peluang, Henderson juga tidak akan mampu menunjukkan potensi sebenar beliau selaku penjaga gol masa depan United. Dalam situasi sekarang kita terpaksa mengakui bahawa De Gea bukan lagi yang terbaik di dunia malah mungkin juga beliau bukan lagi yang terbaik di Old Trafford.

Adakah sudah tiba masanya untuk United `berpaling’ dari beliau dan mula memberikan peluang kepada pencabar yang lebih muda untuk merebut takhta yang sudah bagitu selesa diduduki De Gea selama sembilan tahun? Solskjaer boleh bercakap apa sahaja untuk mempertahankan De Gea dari serangan kritikan kerana itu memang antara tugasnya sebagai pengurus.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, kita juga perlu mengakui bahawa sudah lebih setahun warga Sepanyol ini mengalami penurunan prestasi, dan United juga sebenarnya tidak boleh menunggu selama setahun lagi untuk melakukan perubahan. Adakah Solskjaer memiliki kekuatan untuk membawa pulang Henderson ke Old Trafford dan meletakkan beliau sebagai penjaga gol nombor satu United? Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan