28 Julai 2020

KETIKA DUA `LORD' MENJARINGKAN GOL PADA HARI YANG SAMA



26 Julai memang hari yang cukup istimewa buat penyokong-penyokong Manchester United. Pertama, kerana kejayaan barisan The Red Devils mengesahkan tempat mereka ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas mereka menewaskan Leicester City (2-0) di gelanggang lawan. Sebab kedua pula ialah penantian anda selama setahun tujuh bulan mahu melihat Jesse Lingard mengakhiri kemarau jaringannya dalam saingan liga berakhir selepas beliau memanfaatkan kesilapan Kasper Schmeichel untuk gol kedua United di Kings Power Stadium.

 

Sebelum aksi di Kings Power Stadium, kali terakhir Lingard menjaringkan gol ialah pada 23 Disember 2018. Dua gol yang diledak beliau ke gawang Cardiff City itu rupa-rupanya gol terakhir beliau dalam saingan liga pada musim tersebut (2018/19). Sepanjang aksi liga pada bulan Disember 2018 itu, Lingard antara pemain United paling menyerlah menerusi empat gol yang beliau jaringkan. Satu gol dijaringkan beliau ke gawang Arsenal dan Liverpool, manakala dua lagi ke gawang Cardiff City.

 

Sepanjang Disember 2018 juga, Lingard jelas berada dalam kelas tersendiri hinggakan ketika itu timbul `rumour’ yang mengaitkan minat Real Madrid untuk membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu. Woww…dikaitkan dengan projek `Galactico baharu’ tentunya merupakan satu dimensi baharu dalam karier Lingard kerana bukan calang-calang pemain yang berpeluang `digosipkan’ dengan minat dari gergasi Sepanyol itu.

 

Khabar-khabar angin tentang perpindahan beliau ke Santiago Bernabeu saya anggap satu penghormatan kepada Lingard, tetapi entah mengapa prestasi beliau tiba-tiba merudum selepas itu. Dari seorang pemain yang dicanangkan bakal digandingkan bersama Eden Hazard, Lingard kini cuma `penumpang’ dalam skuad United. Akibat dari prestasi buruknya itu, Lingard akhirnya diberikan anugerah `Lord’ oleh penyokong-penyokong United.

 

Gelaran `Lord’ itu bukanlah satu pengiktirafan tertinggi dari penyokong tetapi lebih kepada bahan jenaka untuk beliau. Selama setahun tujuh bulan sejak kejayaan beliau meledak gawang Cardiff City sebanyak dua kali, `Lord’ Lingard terus tenggelam tatkala rakan-rakan sepasukan beliau yang lebih muda seperti Mason Greenwood mencipta sensasi baharu di Old Trafford menerusi gol-gol yang dijaringkan bintang muda itu.

 

Hilang sudah kelibat seorang pemain lincah yang mampu membelah pertahanan lawan menerusi kepantasan larian-lariannya, atau menjaringkan gol-gol yang kelihatan mudah menerusi gerakan satu dua dengan rakan sepasukan yang lain. Bagaimanapun pada Ahad lalu, secara tiba-tiba `Lord’ muncul semula dalam `radar’ penjaring United di pentas liga. Sudah lama kita tidak melihat Lingard menjaringkan gol dan beliau memilih hari terakhir saingan liga untuk melakukannya.

 

Gol diminit ke-8 masa kecederaan dari Lingard itu sebenarnya bukanlah gol yang terlalu `crucial’ kerana gol yang dicari-cari United datang dari sepakan penalti Bruno Fernandes 27 minit sebelum itu. Bagaimanapun gol itu tetap penting untuk Lingard walaupun beliau antara pemain yang mungkin kita tidak akan lihat lagi aksinya bersama United musim depan.

 

26 Julai akan menjadi hari yang `istimewa’ buat kita, kerana selepas setahun tujuh bulan, kita dapat melihat kembali `fenomena’ Lingard menjaringkan gol. Dan 26 Julai juga sebenarnya hari yang sangat istimewa buat peminat bolasepak dunia kerana jauh di kota Turin, seorang lagi `Lord’ turut berhasil menamatkan kemarau gol beliau. Pemain yang saya maksudkan ialah Federico Bernardeschi.

 

Jika Lingard perlukan tempoh setahun tujuh bulan untuk mengakhiri kemarau jaringannya di saingan liga, `Lord’ Bernardeschi pula perlukan setahun sepuluh bulan untuk menjaringkan gol pertamanya di Serie A sejak kali terakhir beliau menjaringkan gol ke gawang Fosinone pada 23 September 2018. 26 Julai 2020 adalah hari yang benar-benar `gila’, kerana pada hari yang sama dunia menyaksikan dua `Lord’ berjaya menjaringkan gol. Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan