27 Julai 2020

"UCL....KAMI DATANG LAGI!!!"



Mereka melalui tempoh selama 325 hari dengan berada di posisi empat teratas namun pada hari terakhir saingan liga berlangsung, Leicester City terpaksa akur mereka sekadar menamatkan saingan musim ini di tangga kelima. Kini persoalan tentang pasukan mana yang bakal mengisi dua lagi slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan sudah terjawap apabila Manchester United dan Chelsea menamatkan kempen liga mereka selaku pasukan yang berada di tangga ketiga dan keempat.

Bagi United, ini adalah pengakhiran yang sangat manis untuk mereka pada musim penuh pertama Ole Gunnar Solsjaer sebagai pengendali meskipun pada awalnya posisi empat teratas seperti agak mustahil untuk digapai. Mengingatkan apa yang berlaku sepanjang fasa pertama saingan liga berlangsung, kejayaan barisan `The Red Devils’ menamatkan saingan liga musim ini di posisi ketiga tetap satu pencapaian yang boleh kita raikan. Ganjaran kepada kejayaan ini sudah tentu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Gol menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes dan jaringan lewat permainan Jesse Lingard akhirnya menamatkan debaran dan penantian kita, akan tetapi tugas United masih belum berakhir. Tiket ke saingan Liga Juara-Juara sudah berada dalam genggaman, tetapi dalam tempoh dua minggu dari sekarang, United akan kembali bertarung untuk melunaskan misi mereka dalam saingan Liga Europa pula. Liga Europa adalah satu-satunya jalan yang tinggal untuk United menamatkan kempen mereka musim ini dengan satu kejuaraan.

Titik Kebangkitan

Bruno Fernandes adalah pemain yang sering disebut-sebut menjadi punca kebangkitan United sepanjang fasa kedua saingan liga berlangsung. Sejak kekalahan mengaibkan kepada Burnley di gelanggang sendiri pada 23 Januari lalu, United kemudiannya mengharungi baki 14 perlawanan liga mereka tanpa tewas. Catatan lapan gol dan tujuh `assist’ yang disumbangkan Bruno dari 14 penampilan beliau di Liga Perdana sudah cukup untuk mengesahkan hakikat tersebut.

Perlu diakui sejak ketibaan Bruno di Old Trafford, jentera tengah United mula berfungsi semula. Sejak itu juga United mengharungi 19 perlawanan dalam semua kejohanan tanpa kalah, hinggalah tiba saat mereka disingkirkan Chelsea dalam perebutan tempat ke pentas final Piala FA.  Impak kehadiran Bruno juga dapat anda lihat di sebalik peningkatan prestasi Anthony Martial. Dengan adanya seorang pemain tengah kreatif, permainan Martial lebih `hidup’ ketika beliau mengekspoitasi ruang di belakang pertahanan lawan.

Perjuangan Yang Panjang

United tidak bermain bolasepak sebenar mereka di King Power semalam, tetapi itu bukanlah satu isu yang terlalu besar kerana akhirnya mereka berjaya menyempurnakan misi mereka dan pulang ke Old Trafford dengan posisi ketiga liga sebagai `ganjaran’. Apa yang penyokong ingin lihat ialah keputusan di akhir perlawanan, kerana United sudah berjuang untuk perebutan posisi empat teratas ini buat tempoh yang cukup panjang.

Jika anda masih ingat, United pernah terperosok di tangga ke-14 pada minggu kesembilan saingan liga berlangsung. Isu konsistensi barisan kendalian Solskjaer menyaksikan kedudukan mereka dalam carta liga lebih banyak berlegar-legar di sekitar tangga kelima dan keenam. Bermula tahun baharu, United mula mendapat momentum dan secara perlahan-lahan mereka mula menghampiri posisi Leisester dan Chelsea. Akhirnya selepas tamat aksi ke-37, United memintas kedudukan Leicester dan Chelsea hasil keputusan seri ketika berdepan West Ham di gelanggang sendiri.

Penutup

Pertarungan untuk perebutan posisi empat teratas memang sangat melelahkan dan mendebarkan, tetapi kini ianya telah berakhir. Kemenangan di Kings Power Stadium semalam akhirnya meleraikan penantian kita yang begitu panjang dan United menamatkan kempen liga mereka musim ini dengan kembali semula beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Simpati untuk Jamie Vardy yang berjaya memenangi anugerah kasut emas selaku penjaring terbanyak tetapi gol-gol yang dijaringkan beliau gagal membawa Leicester bersaing di Liga Juara-Juara. Simpati juga untuk Brendan Rodgers yang skuad kendaliannya sudah berada di posisi empat teratas hampir sepanjang musim, tetapi pada hari terakhir mereka terpaksa akur menamatkan saingan liga di tangga kelima.

Kempen Liga Perdana sudah berakhir, tetapi masih ada misi yang perlu diselesaikan barisan `The Red Devils’ musim ini. Fokus seterusnya akan beralih pula kepada saingan Liga Europa, pentas dimana United memiliki potensi untuk menjulang trofi tersebut buat kali kedua. United sudah mengetuk pintu Liga Juara-Juara, tetapi menutup kempen musim ini dengan trofi Liga Europa adalah satu penamat yang sempurna pada musim penuh pertama Solskjaer selaku pengendali. “UCL!!!...Kami datang lagi!!!”…Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan