19 Julai 2020

ADAKAH LAMPARD TERJATUH DI LUBANG YANG SAMA BUAT KALI KEEMPAT?



Musim ini Manchester United dan Chelsea sudah tiga kali bertemu, dan tiga kali juga Ole Gunnar Solskjaer berjaya mengatasi Frank Lampard. Bermula dengan penuh bergaya ketika mereka mencatatkan kemenangan besar ke atas The Blues (4-0) dalam aksi pertama liga di Old Trafford, United kemudiannya dua kali menakluk Stamford Bridge ketika kedua-dua pasukan berdepan di pentas Piala Liga dan pada fasa kedua saingan liga.

Awal pagi nanti, United dan Chelsea ditakdirkan bertemu sekali lagi dan apa yang menariknya adakah Lampard akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali keempat berturut-turut? Buat seketika lupakan sebentar perebutan slot ke Liga Juara-Juara kerana ganjaran yang ditawarkan kepada pemenang dalam perlawanan ini ialah tiket ke pentas final Piala FA selain peluang buat kedua-dua pasukan menamatkan kempen musim ini dengan satu kejuaraan terbuka luas.

Prestasi Semasa

Jika dilihat kepada prestasi semasa, United adalah kesebelasan pilihan dalam perlawanan ini. United masih belum tewas 19 aksi terakhir mereka, manakala penampilan barisan hadapan yang berjaya menghasilkan purata tiga gol dari lima perlawanan terakhir adalah ancaman kepada benteng Chelsea yang bolos lapan gol dari lima aksi terakhir mereka.  

Benteng Pertahanan

Meskipun benteng pertahanan United mula menjadi bahan perdebatan sejak kebelakangan ini namun dalam masa yang sama perlu diakui bahawa Harry Maguire, Victor Lindelof, Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka memainkan peranan yang cukup penting di sebalik rentetan rekod tanpa kalah United dalam 19 perlawanan.

Selepas saingan musim ini disambung semula, United mengharungi lapan perlawanan dalam semua kejohanan tanpa kalah  (menang 6 dan seri 2) dan dari jumlah tersebut gawang mereka cuma dibolosi sebanyak enam kali. Di gawang pula, David De Gea sudah melakukan empat catatan clean sheet.

Ciri Permainan United

Dari dahulu hingga sekarang, United sentiasa dikenali sebagai kesebelasan yang cukup berbahaya ketika mereka melakukan counter attack. Musim ini sahaja, dari 63 gol yang dihasilkan United dalam saingan liga, enam daripadanya dilakukan mereka menerusi skema gerakan counter attack.

Jumlah ini meletakkan United di belakang Leicester City (9), Liverpool (9) dan Tottenham (7) selaku kesebelasan yang paling banyak menjaringkan gol menerusi gerakan ini. Sementara itu, Chelsea pula adalah pasukan yang paling kerap dibolosi lawan menerusi gerakan counter attack sepanjang musim ini.

Untuk rekod, benteng pertahanan Chelsea sudah dibolosi sebanyak tujuh kali dari gerakan counter attack yang dilakukan lawan. Jumlah ini meletakkan mereka dikedudukan teratas bersama Aston Villa selaku kesebelasan yang paling banyak dibolosi lawan menerusi gerakan counter attack di Liga Perdana.

Trio 3 M

Sorotan sudah pasti tertumpu sekali kepada trio Marcus, Martial dan Mason yang begitu produktif menghasilkan gol untuk United sejak kebelakangan ini. Secara keseluruhan hingga setakat ini, trio ini sudah menjaringkan 43 gol untuk United di Liga Perdana dan 58 gol dalam semua peringkat kejohanan.

Martial sudah menjaringkan tiga gol dan menyumbang dua bantuan gol dari empat penampilan terakhir beliau, manakala Marcus pula menjaringkan tiga gol dan menyumbang satu bantuan gol dari tiga penampilan terakhirnya. Aksi menentang Crystal Palace tempohari hari adalah contoh terbaik bagaimana Marcus dan Martial bekerjasama dengan begitu baik hingga terhasilnya gol kedua United.

Memandangkan gawang Chelsea sudah dibolosi lapan gol dari lima penampilan terakhir mereka, Lampard nampaknya perlu memikirkan cara terbaik untuk cuba meneutralkan ancaman dari trio Marcus-Martial-Mason jika beliau berhasrat mengemudi kesebelasannya mara ke pentas final nanti.

Penutup

Meskipun prestasi, rekod jaringan dan momentum semasa meletakkan United sebagai kesebelasan pilihan untuk mara ke final, namun keupayaan Chelsea untuk melakukan kejutan tidak boleh pandang mudah. Selaku pengendali, Lampard juga pastinya sudah belajar sesuatu dari tiga kekalahan lalu beliau di tangan Solskjaer. Cuma persoalannya sekarang apakah strategi yang bakal beliau rencanakan agar dirinya tidak lagi terjerumus di lubang yang sama buat kali keempat. Glory Glory Manchester United!!! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan