Sebelum perlawanan seri
bukanlah keputusan yang kita inginkan, tetapi selepas perlawanan satu mata yang
berjaya dikutip menyaksikan Manchester United kini naik dua anak tangga untuk
berada di posisi ketiga liga. Tewasnya Leicester City dan kemudiannya Chelsea,
membolehkan United masuk ke kelompok empat teratas sekaligus menyaksikan persaingan
untuk merebut dua slot ke saingan Liga Juara-Juara akan ditentukan hingga ke
perlawanan terakhir liga.
United dan Chelsea terikat
dengan 63 mata selepas mengharungi 37 perlawanan, namun perbezaan jumlah
jaringan yang besar meletakkan The Red Devils di belakang Liverpool dan
Manchester City dalam carta liga. Sekali lagi isu kecergasan pemain akibat jadual
yang begitu padat akhirnya menjejaskan prestasi keseluruhan United di atas
padang. Sempat ketinggalan menerusi penalti yang disempurnakan Michail Antonio,
United bangkit mengikat kedudukan menerusi gol penyamaan Mason Greenwood di
babak kedua.
Satu Keajaiban
Sejak kekalahan 0-2 kepada Burnley
di Old Trafford pada 23 Januari lalu, United ketinggalan 16 mata di belakang
Leicester City yang ketika itu berada di tangga ketiga liga. Sejak kekalahan
itu jugalah United sudah mengharungi 13 perlawanan liga tanpa kalah dan
akhirnya awal pagi tadi mereka berjaya memintas dua pasukan (Leciester City dan
Chelsea) yang menjadi pesaing mereka untuk slot ke saingan Liga Juara-Juara.
Menyaksikan posisi United dalam
carta liga pada bulan Januari, anda pastinya tidak akan percaya bahawa mereka
mampu berada pada kedudukan sekarang. Apa yang berlaku ketika ini boleh
dianggap satu keajaiban untuk United yang sejak Januari lalu secara
perlahan-lahan mula memberikan cabaran kepada Leicester City dan Chelsea dalam
persaingan untuk perebutan posisi empat teratas liga.
United Yang Kepenatan
Berbanding West Ham, United cuma
memiliki tempoh rehat selama dua hari sebelum turun beraksi dalam perlawanan
ini. Kali terakhir anak-anak buah David Moyes turun beraksi ialah pada 18 Julai
lalu ketika mereka menundukkan Watford (3-1) di gelanggang sendiri. Berbanding West
Ham, United pula terpaksa mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.
Akhirnya kesan yang cukup besar
boleh anda lihat dalam perlawanan ini. Tatkala pemain-pemain lawan begitu
agresif melakukan duel, United pula bergelut untuk bermain pada tahap terbaik
mereka. Melihat kepada situasi yang dialami United sejak akhir-akhir ini, satu
mata yang berjaya mereka kutip awal tadi tetap satu keputusan yang boleh dianggap
positif, apatah lagi tangga ketiga liga kini menjadi milik mereka.
Perlu Rekrut Baru
Solskjaer hanya melakukan dua
penggantian pemain dari lima pertukaran yang boleh beliau lakukan dalam
perlawanan ini. Adakah apa yang berlaku awal pagi tadi menunjukkan bahawa
beliau ragu-ragu dengan kemampuan pemain yang berada di bangku simpanannya
hinggakan Solskjaer tidak berani untuk mengambil risiko dengan melakukan
perubahan kepada susunan pemain terbaik pilihannya?
Atau adakah di mata beliau pemain
seperti Daniel James, Scott McTominay, Juan Mata dan Fred tidak punya cukup
kualiti tatkala United sendiri sedang berdepan isu kecergasan kesan dari jadual
yang padat? Apa yang berlaku sekarang adalah pelajaran yang sangat berguna,
jadi percayalah dalam masa terdekat United akan mengaktifkan pencarian dalam
bursa perpindahan pemain musim panas untuk membentuk `squad depth’ mereka.
Sensasi Mason
Gol penyamaan yang dijaringkan
Mason bukan sahaja berjaya meletakkan United di tangga ketiga liga, malahan gol
itu juga menyaksikan barisan kendalian Solskjaer sudah mengharungi 13 perlawanan
liga tanpa kalah. Setakat ini Mason sudah menjaringkan 10 gol dalam saingan
liga, sekaligus membolehkan beliau menghampiri pencapaian yang dilakukan Wayne
Rooney pada musim 2004-05.
15 tahun lalu, 11 gol yang
dihasilkan Rooney meletakkan beliau sebagai pemain remaja United paling produktif
menghasilkan gol di peringkat liga dalam semusim. Secara keseluruhan setakat
ini pula, Mason sudah menjaringkan 17 gol untuk United dalam semua peringkat
kejohanan. Catatan ini juga meletakkan Mason sebaris dengan legenda-legenda
United sebelum ini seperti George Best, Brian Kidd dan Rooney.
Pada musim 1965/66, Best yang
ketika itu berusia 19 tahun berjaya menjaringkan 17 gol semusim untuk United.
Catatan yang sama kemudiannya berjaya dilakukan Kidd pada musim 1967/68. 37 tahun
selepas itu Rooney yang melakukan perpindahan sensasi dari Goodison Park ke Old
Trafford berjaya mengulangi pencapaian Best dan Kidd selaku pemain remaja United
yang berhasil menjaringkan 17 gol dalam semusim.
Memandangkan United masih memiliki
baki satu perlawanan liga musim ini, selain fakta bahawa mereka masih bersaing
di Liga Europa, Mason berpeluang memadam catatan yang pernah dilakukan Best,
Kidd dan Rooney selaku pemain remaja United paling produktif dalam semusim.
Terima kasih Mason untuk gol yang anda jaringkan awal pagi tadi, kerana gol
itulah akhirnya meletakkan United di posisi empat teratas. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan