20 Julai 2020

KITA MEMANG PATUT KALAH



Hanya ada satu perkataan paling tepat untuk menggambarkan apa yang berlaku di Wembley awal pagi tadi…”United memang patut kalah”. Memang memedihkan tetapi apa yang dibimbangkan akhirnya berlaku juga, kerana selepas mengharungi 19 perlawanan tanpa kalah, tempoh `bulan madu’ United berakhir pada perlawanan ke-20 mereka.

Seperti yang saya sebutkan pada preview perlawanan, ancaman Chelsea tidak boleh dipandang mudah dan itulah yang mereka lakukan di Wembley meskipun tiga aksi menentang United sebelum itu mereka tewas kesemuanya. Akhirnya tiket ke pentas final Piala FA dalam genggaman mereka, dan United pula terpaksa akur bahawa Chelsea lebih layak ke final.

Dilema Ole Gunnar Solskjaer menang sudah kita fahami sebelum perlawanan lagi. Jadual yang padat dan kecergasan pemain antara fokus yang sering dibahaskan sama  ada wajarkah United `melepaskan’ sahaja perlawanan ini kepada Chelsea. Secara peribadi sebagai penyokong, kita memang mahukan agar United mara ke final dan menjulang Piala FA buat kali ke-13.

Bagaimanapun akhirnya kita juga terpaksa akur bahawa selain Piala FA, United juga memiliki misi yang sangat penting pada baki kempen mereka musim ini, iaitu merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dan menjulang trofi Liga Europa buat kali kedua. Untuk itu, Solskjaer terpaksa melakukan `rotation’ pada senarai kesebelasan utamanya demi memenuhi tuntutan jadual yang begitu padat.

3-4-1-2

Apa yang dilakukan Solskjaer dalam perlawanan ini ialah meletakkan kombinasi pemain utama dan simpanan dalam kesebelasan utamanya. Tetapi apa yang agak mengejutkan ialah apabila beliau menggunakan tiga pemain pertahanan sebagai `mirroring’ kepada skema yang sama digunakan Frank Lampard.

Strategi ini bagaimanapun bukanlah terlalu asing, kerana Solskjaer pernah menggunakan formasi 3-4-1-2 ketika United menewaskan Chelsea di Stamford Bridge pada aksi fasa kedua saingan liga. Sepertimana Solskjaer, Lampard juga mengubah pendekatan beliau dengan menggunakan tiga pemain pertahanan menerusi formasi 3-4-3 dalam perlawanan ini.

Strategi yang digunakan Solskjaer akhirnya tidak berjalan seperti yang beliau harapkan. Agak mengecewakan apabila melihat bahagian tengah tidak berfungsi dengan baik sebagai penghubung kepada barisan hadapan sekaligus menyaksikan United berdepan kesukaran untuk memecah masuk ke zon pertahanan Chelsea.

Ketika Marcus Rashford bergerak ke sisi kiri atau kanan pula, tiada bek sayap yang menyokong pergerakan beliau sekaligus menyaksikan United tidak banyak mencipta peluang dalam situasi permainan terbuka. Lampard pula nampaknya sudah banyak belajar dari tiga kekalahan beliau kepada Solskjaer sebelum ini. Sudah tentu beliau tidak lagi mahu terjerumus di lubang yang sama buat kali keempat.

`Pressing’ Chelsea

Mungkin juga Lampard sudah melihat dengan penuh teliti apa yang dilakukan Southampton ketika berdepan United, jadi taktik yang sama juga beliau terapkan dalam perlawanan ini. Apa yang berlaku dalam aksi mereka ketika berdepan Southampton berulang lagi kerana United agak bergelut mengimbangi `pressing’ yang dilakukan Chelsea ketika mereka menguasai bola.

Faktor ini jugalah yang menyebabkan United gagal menggunakan kelebihan Daniel James untuk melakukan gerakan-gerakan `counter attack’. Chelsea akhirnya berjaya mengekspoitasi sisi sayap di mana dua gol mereka berlaku dari gerakan di sisi kanan dan satu lagi gol dari gerakan yang dilakukan di sisi kiri.

Apa Dah Jadi De Gea?

David De Gea sekali lagi menjadi sorotan utama dan kali ini bukan kerana aksi penyelamatan yang dilakukannya. Agak malang untuk melihat seorang penjaga gol yang pernah memenangi anugerah `Golden Glove’ tewas dua kali menerusi jaringan yang sepatutnya mampu beliau selamatkan. Gol kedua Chelsea yang dihasilkan Mason Mount pula adalah kesilapan beliau yang membunuh terus harapan United untuk cuba melakukan kebangkitan.

Secara peribadi Solskjaer sendiri berpendapat bahawa De Gea sepatutnya mampu menyelamatkan percubaan yang dilakukan Mason Mount itu. Suka atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa dalam tempoh setahun De Gea sudah mengalami penurun prestasi meskipun dalam beberapa perlawanan ada penyelamatan-penyelamatan hebat yang berjaya dilakukannya. Timbul persoalan adakah sudah sampai masanya Solskjaer menamatkan tempoh pinjaman Dean Henderson dan membawa pulang penjaga gol muda itu ke Old Trafford musim depan?

Penutup

Melihat kepada keputusan akhir di `scoreboard’, penampilan Chelsea dalam perlawanan ini sebenarnya bukanlah terlalu istimewa. Berbanding United, ``The Blues’ akhirnya keluar sebagai pemenang kerana mereka lebih banyak `mengalirkan’ bola ke zon pertahanan lawan.

Dibantu dengan kesilapan individu pemain United, Chelsea berjaya mencipta tiga gol manakala United pula memang tidak bermain dengan baik sejak minit pertama lagi. Kekalahan ini memang sedikit menyakitkan memandangkan satu dari peluang United untuk menjulang trofi musim ini sudah tertutup, disamping rekod 19 perlawanan tanpa kalah mereka turut menemui titik nokhtahnya.

Jangan meratap terlalu lama kerana masih ada misi lain yang perlu disempurnakan selepas ini. Dua hari lagi, United akan berdepan West Ham dalam aksi liga, dan kesempatan kini terbuka luas untuk mereka menyingkirkan Leicester City dari tangga keempat selepas barisan kendalian Brendan Rodgers itu tewas (0-3) kepada Spurs awal pagi tadi.

Selain peluang untuk berada di posisi empat pasukan terbaik liga kini sudah terbuka luas, United juga masih memiliki satu lagi misi yang tidak kurang pentingnya iaitu cuba memenangi trofi Liga Europa buat kali kedua. Jadi untuk kali ini ucapkan sahaja “Selamat berjaya Chelsea” pada aksi `derby London’ di pentas final Piala FA nanti.

Menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas dan kemudiannya memenangi trofi Liga Europa tetap satu catatan yang manis pada musim penuh pertama Solskjaer di Old Trafford, asalkan para pemainnya tidak lagi melepaskan peluang yang sudah terbuka begitu luas ini. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan