22 Julai 2020

Preview: WASPADA `PUKULAN' THE HAMMERS



Kekalahan Leicester City kepada Tottenham Hotspurs telah membuka jalan yang cukup luas untuk Manchester United berada di kelompok empat teratas, dengan syarat mereka perlu menewaskan West Ham dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford awal pagi esok. Bukan itu sahaja, United juga turut berpeluang menyingkirkan Chelsea dari posisi tangga ketiga liga sekiranya barisan kendalian Frank Lampard itu keciciran mata dalam kunjungan mereka ke Anfield.

Selepas berkali-kali melepaskan peluang terbaik untuk berada di kelompok empat teratas, ini adalah masa terbaik untuk United melakukannya. Misi utama United awal pagi esok ialah pungut tiga mata biarpun dengan kelebihan margin hanya satu gol. Jika United perlukan kemenangan untuk meletakkan mereka di posisi empat teratas, West Ham pula berharap mereka mampu melakukan kejutan di Old Trafford untuk terus menjarakkan diri dari zon penyingkiran.

Formasi

Berbanding ketika aksi menentang Chelsea di peringkat separuh akhir Piala FA tempohari, Ole Gunnar Solskjaer dijangka akan kembali menggunakan empat permain pertahanan menerusi formasi 4-3-3 yang bakal beliau gunakan. Ini adalah perlawanan yang penting, jadi sudah tentu trio Anthony Martial-Marcus Rashford-Mason Greenwood akan disenaraikan semula dalam kesebelasan utama United, manakala Paul Pogba, Nemanja Matic dan Bruno Fernandes pula bertindak selaku penggerak jentera tengah.

Jika Solskjaer bakal menggunakan kembali formasi 4-3-3, David Moyes pula akan kekal dengan skema 4-5-1 yang sering digunakan beliau dengan menjadikan Jarrod Bowen, Pablo Fornals dan Michail Antonio sebagai tunjang kekuatan `The Hammers’. Antonio adalah pemain yang wajar diberikan perhatian selepas beliau menjaringkan enam gol dan mencipta satu assist dari lima perlawanan terakhir liga untuk West Ham. Dalam situasi bola mati pula, mereka memiliki Tomas Soucek, pemain yang cukup berbahaya dalam melakukan `duel’ di udara.

Situasi Sukar

Jangan pernah meremehkan West Ham meskipun mereka tidak pernah menang dalam tiga kunjungan terakhir di Old Trafford, tambahan pula United sendiri sedang bergelut dengan isu kecergasan pemain-pemain mereka berikutan jadual yang padat. Barisan The Red Devils perlu berada dalam kondisi terbaik, kerana jika tidak mereka bakal menjadi sasaran West Ham untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

Musim lalu, United berjaya menewaskan West Ham (2-1) di Old Trafford menerusi penalti yang disempurnakan Paul Pogba, manakala aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan pula menyaksikan United tewas (1-3). Mengingatkan bahawa West Ham sedang berjuang untuk kekal beraksi di Liga Perdana musim depan, mereka adalah kesebelasan yang sangat berbahaya ditambah pula dengan prestasi baik yang dipamerkan mereka dalam dua aksi terakhir.

Faktor Soucek

Moyes pernah menyebut bahawa tanpa Soucek, West Ham akan berada dalam situasi yang lebih berbahaya berbanding sekarang, semuanya kerana kemampuan pemain antarabangsa Republik Czech ini memanfaatkan peluang dalam situasi bola tinggi. Sejak tiba di London pada Januari lalu, beliau sudah menjaringkan tiga gol untuk West Ham, dan kesemuanya dihasilkannya menerusi kepala.

Ramalan Kesebelasan Utama United

Untuk perlawanan ini, Solskjaer sudah tentunya akan cuba untuk menurunkan kesebelasan utama beliau. Untuk itu, anda akan kembali menyaksikan gandingan Nemanja Matic, Paul Pogba dan Bruno Fernandes di bahagian tengah manakala di barisan hadapan pula trio Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood akan bertidak selaku penggempur.

Di barisan belakang pula, Brandon Williams akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Luke Shaw di sisi kiri pertahanan United, manakala Aaron Wan-Bissaka akan terus memainkan peranan pentingnya di sebelah kanan. Meskipun prestasinya dikritik hebat, Harry Maguire akan kekal membentuk gandingan bersama Victor Lindelof di zon tengah pertahanan United.

Apa yang menjadi persoalan sekarang adakah Solskjaer akan terus meletakkan David De Gea di posisi `nombor 1’ selepas prestasi pemain berusia 29 tahun itu hangat diperdebatkan sejak kebelakangan ini. Meletakkan atau menyingkirkan De Gea dari kesebelasan utama tetap satu perjudian yang besar yang perlu dilakukan Solskjaer, jadi sangat menarik untuk melihat apakah keputusan yang bakal beliau ambil dalam perlawanan ini.

Penutup

West Ham sepertimana yang anda tahu adalah kesebelasan yang agak fizikal corak permainan mereka. Southampton dan Chelsea sudah mendedahkan kelemahan United, jadi pendekatan sama juga bakal digunakan Moyes dalam perlawanan ini, iaitu mengarahkan para pemainnya melakukan `pressing’ ketika lawan menguasai bola.

Empat musim lalu, West Ham pernah menggagalkan usaha United untuk berada di kelompok empat teratas sekaligus layak beraksi di pentas Liga Juara-Juara. Meskipun ketika itu masih berbaki satu lagi perlawanan, Louis Van Gaal menyebut bahawa kekalahan 2-3 di Boleyn Ground menutup peluang United untuk ke Liga Juara-Juara. Berharaplah agar nasib buruk yang pernah menimpa Van Gaal tidak berulang lagi. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan