04 November 2009

United Layak Ke Pusingan Kalah Mati

http://d.yimg.com/a/p/afp/20091031/capt.photo_1256953280679-1-0.jpg
Manchester United berjaya menempah tiket ke peringkat pusingan kalah mati Liga Juara selepas mencatat keputusan seri 3-3 ketika melayani kunjungan CSKA Moscow awal pagi tadi. CSKA hampir meraih tiga mata penuh dalam misi menghidupkan peluang mereka ke pusingan kalah mati selepas mendahului 3-1 hinggalah Luis Antonio Valencia menyamakan kedudukan di penghujung permainan. Dipermulaan babak pertama, CSKA lebih awal menguji gawang United yang dikawal Edwin Van Der Sar melalui percubaan Alan Dzagioev dan Deividas Semberas. United memperolehi peluang terbaik diminit ke 10 tetapi sepakan Darren Fletcher dari jarak 20 meter sedikit tersasar dari gawang lawan. Selepas itu giliran Michael Owen pula mencipta peluang tetapi rembatannya berjaya diselamatkan Igor Akinfeev. Dalam keghairahan mengasak lawan, United akhirnya dikejutkan melalui gol pembukaan Alan Dzagoev diminit ke 25. Dzagoev yang menerima hantaran Tomas Necid dari tengah berjaya menewaskan Van Der Sar untuk meletakkan pelawat di hadapan.

United tidak perlu menunggu lama, apabila selang empat minit selepas itu, Michael Owen berjaya menyamakan kedudukan buat tuan rumah. Owen yang menerima hantaran Luis Antonio Valencia dari sebelah kanan berjaya melepaskan rembatan jarak dekat untuk menewaskan Akinfeev. Kegembiraan penyokong-penyokong United bagaimanapun tidak kekal lama apabila kali ini giliran Milos Krasic pula meletakkan pelawat kembali di hadapan diminit ke 31. Selepas ketinggalan, United menggandakan asakan tetapi pelawat akhirnya berjaya mempertahankan kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung di babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk terus memberi tekanan buat barisan Sir Alex Ferguson. Kali ini giliran Valeri Beretzuski pula membocori gawang United. Gol diminit ke 47 itu terhasil melalui tendangan bebas yang berjaya ditanduk masuk oleh Beretzuski disebelah kiri gawang United.

Selepas ketinggalan 1-3, Ferguson membawa masuk Wayne Rooney dan Patrice Evra untuk memperkuatkan pasukan. United terus menggasak kubu pelawat dengan asakan-asakan bertali arus tetapi Akinfeev beraksi cukup cemerlang menafikan percubaan-percubaan bahaya United menerusi Michael Owen, Paul Scholes dan Federico Macheda. Akinfeev akhirnya tertewas juga diminit ke 84 melalui jaringan Scholes. Scholes yang menerima hantaran dari Gary Neville berjaya menanduk masuk di hadapan gawang untuk merapatkan kedudukan. Selepas itu United kian bernafsu mencari gol penyamaan dan pelawat dipaksa berkampung dikawasan sendiri sepanjang baki permainan. Gol penyamaan yang dicari United akhirnya berjaya diperolehi diminit ke 2 masa tambahan melalui Valencia. Rembatan Valencia dari jarak 25 meter terkena Georgy Shennikov sekaligus memperdayakan Akinfeev untuk akhirnya meletakkan mereka berkongsi mata. Dengan keputusan itu, United meraih 10 mata dari empat perlawanan dan mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan