11 November 2009

Fergie Terlepas, Rooney Diberi Amaran

http://d.yimg.com/a/p/ap/20091108/capt.637240c22b0443cd92d0ab74bcdee923.britain_soccer_premier_league_lth113.jpg
FA Inggeris memberikan amaran kepada penyerang Manchester United, Wayne Rooney atas kenyataannya bahawa kemenangan Chelsea ke atas United Ahad lalu dibantu pemain ke 12 (merujuk kepada Martin Atkinson yang mengadili perlawanan itu). Bagaimanapun Sir Alex Ferguson yang membantah keras keputusan Atkinson memberikan sepakan percuma kepada Chelsea, punca kepada gol kemenangan lawan malam itu tidak dikenakan apa-apa tindakan. Ferguson juga mempertikaikan keputusan Atkinson membenarkan gol yang dijaringkan oleh John Terry selepas melihat Didier Drogba melakukan kekasaran ke atas Wes Borwn dalam situasi kelam kabut di hadapan pintu gol. Atkinson memberikan sepakan percuma kepada Chelsea selepas mendapati Darren Fletcher melakukan kekasaran ke atas Ashley Cole. Keputusan Atkinson itu mencetuskan bantahan keras dari Ferguson yang mendakwa, pegawai perlawanan itu tidak berada pada posisi sepatutnya kerana dia berada di belakang Joe Cole dan tidak dapat melihat insiden itu.

Menurut Ferguson, Fletcher sebenarnya berjaya merampas bola dari kaki Ashley Cole dengan cara yang bersih tetapi pertahanan Chelsea itu dilihat sengaja merebahkan badan dan Atkinson kemudiannya menghadiahkan sepakan percuma kepada lawan. FA pula mendapati Rooney telah mengeluarkan kenyataan selepas perlawanan bahawa kemenangan Chelsea telah dibantu oleh pemain ke 12. Kenyataan Rooney itu sebenarnya tidak merujuk kepada penonton tetapi diarahkan kepada Atkinson. Tingkahlaku Rooney bagaimanapun berjaya dirakamkan kamera selepas perlawanan berakhir. FA melihat bantahan Ferguson lebih kepada ungkapan kekecewaan tanpa ada tuduhan serius terhadap kredibeliti pengadil perlawanan. Berbeza dengan situasi Rooney, FA mendapati kenyataan yang dikeluarkan oleh penyerang England itu lebih kepada tuduhan terhadap pengadil perlawanan. Walau bagaimanapun Rooney hanya diberikan amaran keras oleh FA dan diberikan peringatan oleh badan induk bolasepak Inggeris itu agar tidak mengulanginya lagi dimasa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan