Pelawaan Cristiano Ronaldo kepada Wayne Rooney agar bekas rakan sepasukannya di United itu meninggalkan Old Trafford untuk bersama-samanya mengecapi kegemilangan di Real Madrid segera mendapat reaksi balas dari Rooney. Menurut Ronaldo, karier Rooney akan lebih berkembang dan gemilang jika menyertai kelab seperti Real Madrid, namun Rooney yang baru menimang cahayamata tiga hari lalu tidak langsung berhasrat meninggalkan Old Trafford. Rooney mahu terus bermain untuk United dan berhasrat mengakhiri kariernya di Old Trafford sambil menjadikan rekod penampilan Ryan Giggs sebagai sasaran utamanya untuk dipecahkan. Untuk rekod, Giggs telah membuat penampilan melebihi 800 perlawanan dan telah menjaringkan 150 gol buat United, sekaligus memecahkan rekod yang dipegang oleh Sir Bobby Charlton sebelum ini. "Saya ingin menjadi seperti Giggs. Saya kagum dan amat menghormati pencapaiannya itu. Anda sendiri boleh melihat hasil yang diraihnya selama ini dan dia telah memenangi banyak trofi bersama United. Giggs merupakan pemain yang patut dijadikan panduan buat kami di sini", kata Rooney.
"Saya berharap mampu bermain sebanyak Giggs untuk United. Rekod yang diciptanya amat luar biasa dan jika mampu mendekati pencapaiannya pun sudah memadai buat saya merasa bangga", akui Rooney lagi. Tidak seperti Ronaldo yang memilih Madrid sekalipun sudah menabur bakti selama enam musim bersama United, Rooney jelas memilih haluan berbeza. Penyerang antarabangsa England itu hanya ingin bermain untuk United dan mengakhiri kariernya disini. "Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanya ingin mengakhiri karier saya di sini. Saya amat berbangga melihat Giggs begitu setia menabur bakti bersama United. Dia juga banyak menyumbang kepada peningkatan kelab selama ini", tambah Rooney lagi. Kelahiran anak lelakinya tiga hari lalu diharap menjadi pemangkin kepada Rooney yang akan turun membantu United berdepan dengan Chelsea di Stamford Bridge malam esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan